Sunday, December 20, 2009

Langkah memartabatkan bahasa

Langkah memartabatkan bahasa Melayu bukan setakat menambah waktu pengajaran bahasa di sekolah. Jumlah waktu pengajaran di bilik darjah sudah mencukupi. Guru dan pelajar sudah terbeban dengan pengajaran bahasa Melayu di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi. Begitu juga dengan tambahan aktiviti di sekolah semakin membebankan guru dan pelajar. Tambahan masa untuk mata pelajaran lain mengehadkan masa untuk aktiviti bahasa Melayu. Hal ini tidak dapat dielakkan.Langkah memartabatkan bahasa Melayu sepatutnya dilakukan di luar lengkungan sekolah. Amalan bahasa dalam kalangan masyarakat termasuk para pemimpin perlu ditingkatkan bukan langkah mengundur. Penggunaan bahasa Melayu di media cetak, televisyen, pengucapan tokoh masih pada tahap lama, tidak banyak perubahan. Nampaknya penggunaan bahasa Inggeris melebihi bahasa Melayu. Jika ini amalan dan sikap terhadap bahasa Melayu, hasrat memartabatkan bahasa ini untuk mencapai matlamatnya hanya atas kertas saja.

Sunday, November 22, 2009

Memartabatkan bahasa Melayu

Persoalan yang sering dilontarkan oleh banyak pihak ialah usaha memartabatkan bahasa Melayu. Apakah perkara-perkara yang nak dimartabatkan? Nampak jelas usaha tersebut banyak dibebankan kepada pelajar di sekolah.

Sekadar menambah masa pelajar bahasa Melayu di kelas bukanlah usaha yang tepat. Jumlah 6 waktu seminggu sudah mencukupi dan ditambah pelbagai aktiviti melalui persatuan dan aktiviti lain mengikut arahan kementerian, jabatan, dan pejabat pelajaran daerah. Pada peringkat sekolah sudah mantap dan tak ada masalah. Apa yang perlu penerusan dasar yang ada.

Tumpuan sewajarnya dilakukan di luar institusi pendidikan. Institusi kepimpinan dan media patut jadi tumpuan untuk memartabatkan bahasa. Pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dalam menggunaan bahasa Melayu yang bermutu. Sebelum dan semasa menjadi pemimpin penguasaan bahasa Melayu sentiasa dipantau.

Media cetak dan elektronik terutama radio dan tv sentiasa dipantau dan ditegur jika tahap penggunaan bahasa Melayu masih kurang bermutu. Pengaruh media sangat kuat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Pendek kata rakyat perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik.

Monday, November 9, 2009

Hujung tahun 2009

Kita kini berada dalam bulan November. Penghujung tahun macam-macam peristiwa akan berlaku. Selain banjir, tanah runtuh, musim tengkujuh, kita juga berhadapan gelora dalam masyarakat termasuk perkembangan politik dalam negara dan luar negara.

Apa saja yang berlaku biasanya disebabkan sikap manusia yang tak serik melakukan tindakan yang menjurus wujud masalah. Sebagai contoh masalah pencemaran yang sering dibangkitkan. Sikap tamak manusia yang mengejar keuntungan telah membelakangkan kesejahteraan orang lain. Projek perumahan yang dibina macam cendawan tidak mengambil kira kawasan penampan air, kawasan hijau dan lebih banyak membuang bukit atau tanah tinggi. Masalah ini berterusan hingga kini.

Apabila berlaku masalah seperti banjir dan tanah runtuh, biasanya yang salah orang ramai bukan pihak yang meluluskan projek tersebut. Kita mudah lupa keadaan banjir pada masa lalu seperti tahun 2006. Tak belajar apa-apa daripada peristiwa lalu.

Tuesday, October 20, 2009

Haiwan peliharaan

Hubungan manusia dengan haiwan sukar nak dipisahkan. Haiwan diperlukan oleh manusia bukan sahaja sebagai sumber makanan, tetapi juga memberi hiburan dengan melihat telatahnya. Kita seronok melihat haiwan yang jinak seperti kucing dan arnab. Memelihara haiwan yang tidak berbahaya boleh dijadikan hobi untuk mengisi masa terutama kanak-kanak dan remaja. Utamakan haiwan yang boleh dimakan termasuk ikan.

Kewujudan haiwan menjadikan kita insaf betapa cantik dan hebatnya ciptaan
Allah. Haiwan memerlukan manusia, dan manusia juga perlukan haiwan dalam keadaan tertentu.

Thursday, October 8, 2009

Hari Raya

SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA PEMBACA YANG MEMBACA BLOG INI.

MOGA DIKUATKAN IMAN, MURAHKAN REZEKI DAN MENJADIKAN ISLAM PANDUAN HIDUP.

Tuesday, September 8, 2009

Menanti perubahan

Semua orang mahu membuat perubahan. Perubahan membawa kemajuan. Banyaklah pakar motivasi dan orang politik meniupkan semangat perubahan. Perubahan masyarakat berorientasikan atau berlandaskan pemikiran politik, motivator mahupun golongan agama, semua bercakap satu - perubahan.



Benarkah masyarakat kita sudah berubah dalam semua aspek? Cuba kita tinjau beberapa perkara.

Situasi 1:

Apabila ramadan semakin ke penghujung, masyarakat sibuk berbelanja sakan untuk membuat persiapan Hari Raya Puasa. Tak kira apa keadaan pun, semua mahu kelihatan baru, bergaya dan hebat. Alasannya 'setahun sekali apa salahnya'. Perbelanjaannya ada yang mencecah ribuan ringgit.Untuk siapa semua itu? Kita akan berasa seronok apabila tetamu datang ke rumah memuji tuan rumah. Terdapat barang yang tak ada kualiti cuma kelihatan cantik saja. Terdapat juga barang yang kurang penting.

Setiap kali Hari raya puasa, golongan peniaga mengaut keuntungan berganda dan golongan itu mungkin tak pernah membuat kebajikan apa-apa dalam masyarakat kita. Sebaliknya masyarakat kita yang memberi 'sumbangan' tak langsung kepada mereka. Ketawalah mereka.

Diucapkan:

Selamat berpuasa dan selamat Hari Raya.

Friday, August 14, 2009

Ke mana kita berbelanja?

Jika kita tinjau ke beberapa pasar raya amat jelas ramai pembelinya terdiri daripada orang Melayu. Boleh dianggarkan setiap pembelian tidak kurang RM100 dan kadang kala mencecah RM1000.00. Pada satu masa(dalam 1 jam), jika jumlah pengunjung 100 keluarga dan sebuah keluarga berbelanja RM100, bermakna RM10,000 dicurahkan ke situ. Pihak mana yang mengaut keuntungan? Jika ditambah golongan remaja, berapa jumlahnya? Ini baru satu pasar raya.

Berkunjung ke pasar raya menjadi aktiviti rekreasi keluarga Melayu. Orang bukan Melayu sangat kurang. Pada setiap hujung minggu, mereka bersiar-siar dengan membawa anak-anak. Terdapat keluarga yang bersantai di restoran segera dan berlakulah 'projek kolestrol' diri sendiri.

Sudah sampai masanya kerajaan melalui agensinya seperti Tabung Haji, bergabung tenaga membina pasar raya yang berasaskan makanan halal, peluang berniaga dan tempat keluarga bersantai secara berfaedah khususnya bagi orang Islam.

Ini adalah pilihan keluarga untuk berbelanja dan bersantai. Pada masa dulu, ibu bapa membawa anak-anak bekerja di kebun, di sawah, ke laut, ke hutan dan sebagainya. Aktiviti mandi di sungai, di parit sambil memancing telah menjadi kebiasaan. Tapi itu dulu...

Wednesday, August 5, 2009

BULAN OGOS BULAN KEMERDEKAAN

Sama sedar atau tidak, kita sudah berada dalam bulan Ogos. Bulan ini mengingatkan kita tentang kemerdekaan negara yang disambut saban tahun. Hidup dalam negara yang makmur ini sangat bertuah jika kita bandingkan negara lain. Kemajuan begitu pesat negara ini khususnya aspek pembangunan sangat hebat.
Walau bagaimanapun kemudahan jalan raya yang semakin baik masih tidak seiring dengan jumlah kenderaan yang ada di jalan raya. Saiz jalan nampak tak banyak berubah. Ke mana-mana kita pergi, jalan raya semakin sesak. Sepatutnya kita sudah mempunyai jalan bertingkat-tingkat macam rumah pangsa di bandar utama selain Kuala Lumpur. Keadaan sesak menjadikan pengguna tak selesa. Tak tahulah apa akan jadi 10 tahun akan datang. Perkara ini perlu difikirkan dan diselesaikan.

Friday, July 24, 2009

Impian atau angan-angan

Semua orang mempunyai angan-angan. Kadang kala sudah jadi cita-cita. Ada yang ingin menjadi tokoh politik, PM, menteri dan pemimpin tertentu. Dari segi minat, ada yang berhasrat mendaki gunung tertinggi di dunia, belayar keliling dunia, dan macam-macam.

Banyak halangan yang terpaksa ditempoh untuk mencapai hasrat itu. Kita sepatutnya bersedia mencari dan memberikan peluang pekerjaan untuk kalangan yang memerlukan. Golongan yang mampu patut membuka kilang, memberi perkhidmatan dan sebagainya asalkan dapat menyediakan peluang pekerjaan. Perkara ini mungkin sukar dan menjadi angan-angan saja.

Jika diusahakan secara bertahap, mempunyai modal yang baik insya-Allah akan berjaya. Golongan ibu tunggal, Orang kurang upaya, anak yatim harus dibela dengan memberikan peluang kerja tanpa mengharapkan bantuan ahli perniagaan asing. Begitu juga para remaja yang mempunyai kelayakan dan berkelakuan baik tetapi masih menganggur. Selamat berfikir.

Friday, July 17, 2009

Nikmat yang diberi.

Kadang kala agak sukar mencari waktu yang sesuai dan lapang untuk menulis dalam blog. Apabila ada sedikit waktu lapang, mood pula tak ada. Banyak idea nak ditulis tapi masa tak ada atau tak sempat. Segala-galanya Allah yang menentukan. Idea, masa dan mood dipinjamkan oleh Allah buat beberapa waktu. Amat berharga sekiranya kita dikurniakan nikmat tersebut dan kita dapat salurkan untuk tatapan ramai.
Persoalannya, manusia sering tak menghargai nikmat yang diberi. Dalam keadaan sihat kita sering lupa memanfaatkan kesihatan untuk kebaikan. Kita sering memburu sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Kadang kala dibuat kononnya untuk organisasi, jabatan atau institusi.
Biasanya manusia segera buat sesuatu untuk mengejar pangkat dan kedudukan. Tekanan kepada orang lain untuk melonjakkan pencapaian atas arahan pihak atasan menjadi keutamaan. Orang di bawah sering menghadapi masalah akibat hambatan tugas yang semakin bertambah yang berpunca dari tujuan kecil atau perkara mudah. Budaya kerja semakin tak sihat walaupun atas nama ISO 9001, KMK, dan sebagainya.
Manusia sering muhasabah apabila ditimpa sesuatu penyakit atau sesuatu masalah tak kira pangkat seseorang. Sepatutnya dalam usaha mencapai kejayaan, kita tak sepatutnya mengambil langkah menekan orang lain apatah lagi menyusahkan orang lain.

Saturday, July 4, 2009

Susah payah masa lalu

Sudah seminggu(4 Jul 2009) kereta baru mercedez saya beli pada harga on the road RM256,000. Bukan mudah membuat keputusan yang penting itu semata-mata hanya membeli sebuah kereta. Sesetengah orang menganggap suatu pembaziran lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi gawat kini.
Biar apapun tafsiran, sebuah kereta itu dapat melambangkan pencapaian prestasi peribadi selama ini. Kualiti sebuah kereta sangat penting dan memberi makna kepada diri sendiri. Hal ini juga memberi jawapan dan rumusan susah payah masa lalu untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan mengharapkan pencapaian yang berterusan.
Dalam pada itu, hasrat ingin menyumbang secara berterusan kepada golongan yang kurang berkemampuan sentiasa ada. Sebelum kita memiliki sesuatu yang berharga, kita pernah berada dalam keperitan dan susah. Kereta juga menjadi penanda penting dalam kehidupan kita.

Sunday, June 21, 2009

Suasana panas

Dalam beberapa hari lalu, suhu politik Malaysia agak tinggi. Isu yang timbul memanaskan suhu sama ada oleh parti memerintah mahupun pembangkang. Keadaan panas itu ditambah dengan tahap suhu yang agak panas dan peralihan monsun barat daya kepada timur laut. Kadang kala panas dan hujan.

Sebagai rakyat biasa, kita berharap semua pihak terutama pemimpin dapat mengawal keadaan. Kita mahu suasana yang harmoni, urusan harian berjalan baik dan dapat beribadah dengan lebih baik.

Isu ekonomi, isu politik, kesihatan dan pendidikan mengambil tempat dan mencuri tumpuan umum dalam kalangan rakyat. Rasanya semua isu dan masalah akan segera selesai jika pihak yang melaksanakannya berasaskan kepentingan negara dan rakyat.

Walau bagaimanapun, dalam membincangkan pelbagai perkara yang serius, media tv khususnya mengalih pandangan dengan mengajak sebahagian rakyat pada hiburan semata-mata. Manusia memang perlu hiburan. Malangnya hiburan itu mengajak minda kepada unsur ke belakang seperti cerita seram, hantu dan sebagainya. Hiburan yang berasaskan budaya Barat mengambil ruang yang luas. Nampaknya kita semakin mendidik masyarakat jauh daripada nilai akhlak yang baik. Hal ini belum lagi melihat pada saluran atau media massa yang lain.

Persoalannya, apakah peranan kita?

Tuesday, June 9, 2009

Masalah bahasa lagi...

Masalah bahasa nampaknya belum ada penghujungnya. Mungkin tak akan ada penghujungnya kerana Malaysia ialah sebuah negara yang pernah dijajah oleh British. Kesan penjajahan masih berkesan hingga kini walaupun kita sudah 52 tahun merdeka. Pemikiran belum merdeka sepenuhnya.

Penjajah berjaya mencelarukan pemikiran kita kepada 3 golongan: golongan yang berpendirian bahasa Inggeris punca dan nadi kemajuan, bahasa Melayu mampu memajukan rakyat, dan bahasa bukan penentu kemajuan.

Orang kita masih terkial-kial belajar bahasa Inggeris dalam keadaan bahasa Melayu masih tidak mantap penguasaannya. Bahasa Inggeris mungkin akan menjadi wajib tak lama lagi. Ini satu kejayaan kepada para pejuang bahasa Inggeris.
Sepatutnya pemimpin bangkit membela bahasa Melayu dan meluaskan penggunaannya. Sikap orang Melayu juga semakin menjauhi bahasa kebangsaan ini. Bahasa ini dikatakan menjadi punca Melayu mundur, tak maju dan tak bawa ke mana-mana. Hanya untuk perbualan di warong/kedai makan, bercakap dengan orang tua atau perbualan di surau/masjid.
Salah siapa? Cari jawapan sendiri.

Sebelum bersekolah, saya tak menguasai bahasa Melayu sepenuhnya. Tetapi mengambil bidang bahasa Melayu kerana tertarik keindahan dan fungsinya.
Sebenarnya, tak ada masalah untuk membangunkan negara ini menggunakan bahasa Melayu. Apabila saya melancong ke luar negara, tak ada masalah menggunakan bahasa Inggeris. Saya pun bukan pandai sangat bercakap, tetapi orang luar negara boleh faham.

Dari segi taraf, bahasa Inggeris tetap sebagai bahasa kedua untuk tujuan tertentu sahaja. Janganlah risau kalau pelajar kita tak hebat bahasa Inggeris. Mereka faham dan mempunyai asas, dah cukup.

Alasan yang mengatakan penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan pelajar ke luar negara juga tak sesuai. Berapa orang yang dapat belajar ke luar negara?Berapa orang yang dapat kerja berurusan dengan luar negara? Untuk memudahkan rujukan buku bahasa Inggeris, berapa banyak buku yang tak faham? Kemudahan internet memudahkan rujukan.
Dalam kita sibuk mendesak anak Melayu menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu mereka semakin lemah. Masyarakat bukan Melayu semakin meningkat penguasaan bahasa Melayu. Mereka sedar kepentingan bahasa Melayu dari sudut ekonomi. Pasaran perniagaan adalah rakyat tempatan yang berbahasa Melayu.

Sekiranya bahasa Inggeris berjaya menjadi subjek wajib dalam SPM, tahniahlah kepada pejuang dan pencinta bahasa Inggeris. Jika semua orang dah menguasai bahasa Inggeris mungkin pada masa itu buku, media, ucapan dan sebagainya dalam bahasa Inggeris. Kita pun dah tak payah berpolemik, buang masa dan pening kepala. Orang kampung pun dah guna bahasa Inggeris.Tahniah!

Tuesday, June 2, 2009

Program cuti sekolah

Setiap kali cuti persekolahan, banyak program yang dijalankan atau diadakan di seluruh negara. Program itu diadakan untuk mengisi kecenderungan masyarakat dalam musim cuti ini. Program hiburan tidak ketinggalan diadakan dan kadang kala diselitkan dalam program lain seperti karnival pendidikan, kesihatan dan sebagainya termasuk Jomheboh.
Masyarakat Melayu sangat memberi sambutan program yang berunsur hiburan.Kaum lain mungkin datang tapi untuk berniaga. Banyaklah wang dibelanjakan sambil berhibur. Melihat keadaan itu, seolah-olah masyarakat kita hidup gembira, tidak ada kesusahan, tidak ada kemiskinan, dan tak ada apa-apa yang susah.
Walau bagaimanapun keadaan sebenar sangat berlainan jika kita meneliti realiti hidup masyarakat. Kegawatan ekonomi ada yang menyebabkan orang hilang pekerjaan. Seorang penebar roti canai yang saya kenali menceritakan kisah jirannya yang diberhentikan kerja, isterinya pula lumpuh. Dia mengumpulkan makanan yang berbaki di kedai makan untuk diberikan kepada jirannya itu. Cerita ini hanyalah satu masalah dalam beribu masalah dalam masyarakat.
Ada baiknya jika kita ada lebihan wang lebih baik berikan terus kepada golongan yang
sangat memerlukan dalam masyarakat tanpa melalui pihak lain.

Sunday, May 24, 2009

Semangat berniaga

Sudah berminggu-minggu pemikiran kita banyak tertumpah pada pelbagai persoalan politik dan ekonomi dalam negara mahupun luar negara. Kita santai sekali sekala melihat apa yang berlaku di sekeliling kita walaupun perkara biasa yang kita lihat.

Sudah agak lama tak makan asam pedas ikan merah di gerai benteng Parit Jawa, Muar. Pasal makan entah kenapa kadang-kadang cerewet juga. Nak makan asam pedas pergi Pt.Jawa. Nak makan ikan baung masak lemak tempoyak pergi ke Segamat.Nak makan kari kepala ikan ke Melaka.

Tapi yang ini bukan pasal makan. Sewaktu makan asam pedas tengah hari tadi, seorang nyonya tua sudah bongkok tiga, mengheret baldi berisi sayuran seperti kangkong.Dia masih kuat berniaga. Patutnya dia duduk berehat, berjenaka dengan anak cucu. Agaknya sampai liang lahat nak niaga.Apakah yang membuatkan dia bersemangat untuk berniaga?

Alangkah bagusnya amalan berniaga disemai dalam kalangan anak muda. Program usahawan yang diterapkan dalam pendidikan kurang berkesan termasuk di pusat pengajian tinggi. Setelah dapat ilmu, sijil atau ijazah mereka buat apa? Pihak manakah yang mengambil berat masa depan mereka? Adakah mereka masih menganggur atau kerja sambilan?

Mereka tidak seharusnya makan gaji dengan pihak lain berterusan. Memberikan mereka kemahiran tanpa petunjuk semangat tak akan membawa mereka ke mana-mana. Pasti ada sesuatu yang silap dan tak kena.

Wednesday, May 20, 2009

Pendidikan holistik

Pendidikan holistik semakin popular digunakan kini. Kalau dulu terutama sekitar tahun 90-an perkataan holistik sering digunakan dalam kalangan ahli akademik di Malaysia, atau pelajar universiti tetapi kini ahli politik sudah menunjukkan kecenderungan menggunakannya. Mungkin para pegawai di kementerian turut membantu ahli politik dan juga pengaruh media.
Jika diperhatikan dan diimbas semula, holistik hanya satu pendekatan dalam bidang pendidikan suatu ketika dulu. Sejak bilakah holistik naik taraf kepada pendidikan holistik? Tak pasti...Kena kaji lagi.
Saya lebih suka pendidikan bersepadu berbanding pendidikan holistik. Pendidikan bersepadu tiba-tiba ditamatkan riwayatnya pada hampir penghujung tahun 1990-an (lebih kurang 1998).
Pendidikan bersepadu berdasarkan/bertunjangkan nilai akhlak dan kemahiran yang hendak dicapai. Akhlak menekankan perlakuan baik yang membawa diri kepada takutkan Allah, bukan yang lain. Walaupun pendokong holistik mempertahankan ada aspek akhlak tetapi pendidikan bersepadu nyata lebih tegas dan konkrit dalam hujah mereka.
Holistik dan kini libralisasi tak banyak beza. Kedua-dua ini diimport dari Barat. Barat sangat gembira apabila pendidikan kita mengambil pendekatan mereka. Kita sebenarnya dijajah minda oleh Barat pada tahap yang lebih teruk.
Pendokong libralisasi tersenyum lebar apabila konsep itu diterima. Kita seolah-olah menyediakan wadah dan wahana untuk mereka meluaskan pengaruh dalam nadi kehidupan kita, termasuk pendidikan, ekonomi, fakulti minda dan sebagainya. Fikirlah.

Thursday, May 14, 2009

Masalah kecairan wang satu penipuan

Difahamkan bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana pergi agaknya segala duit yang terkumpul dalam dunia ini?

China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika.

Wang tersimpan ini yang menjadi wang simpanan negara merupakan hasil usaha negara kita berjual-beli dengan Amerika.

China dan Jepun negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika Syarikat.

Pemaksaan ini melalui dua cara. Pertama, Amerika telah membuat perjanjian tahun 1972-74 dengan keluarga Saud (Arab Saudi) bahawa semua jual beli minyak wajib menggunakan dolar kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara dengan Saudi pengeluar utamanya.

Sebagai gantinya, kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud daripada dipukul oleh ombak rakyat.

Kedua, dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini.

Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar. Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual-beli minyak.

Jawapannya Saddam digantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih daripada kertas dolar, justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran.

Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ia dipanggil fiat money - nilai yang dipaksa.

Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Oleh sebab itu, kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis.

Pada awalnya Amerika Syarikat sebuah negara revolusioner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertasnya sendiri.

Amerika yang merdeka telah membebaskan diri daripada para pemilik bank yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka.

Lalu para pemilik bank menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan mereka.

Pada tahun 1913, setelah beberapa kali percubaan gagal, akhirnya para pemilik bank telah berjaya memaksa (atau menipu) Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913.

Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul.

Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di pinggir Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan.

Siapa ahli-ahli lembaga pengarah Federal Reserve ini juga dirahsiakan. Kongres hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan dicadangkan oleh Federal Reserve.

Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke, pengerusinya yang terkini.

Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum.

Mengikut akta 1913 ini, pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve.

Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar, maka kerajaan wajib meminjam daripada Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan.

Lihat bagaimana liciknya konspirasi para pemilik bank ini.

Seperti tulisan minggu lalu, para pemilik bank ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa-apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika daripada Federal Reserve dan akan dibayar kembali dengan bunga.

Duit membayar hutang dan riba ini datang daripada tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong, para pemilik bank ini telah mencipta harta Qarun.

Inilah punca yang sedang membawa huru-hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang berhujah – perkembangan ini di Amerika, apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit?

Sabar dahulu, biar saya terangkan sejelas mungkin.

Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar.

Ia telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para pemilik bank dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia.

Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia.

Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini.

Kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar.

Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini, maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF.

Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini?

Pertama, banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama.

Kedua, tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Putih yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para pemilik bank dan Central Bank (nama asal Federal Reserve).

Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam daripada Central Bank.

Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini.

Ketiga, tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para pemilik bank dan kaum pemodal ini.

Semenjak 1913, pemilik banker ini telah membuat jaringan, kabel dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus.

Hari ini kabel rahsia para pemilik bank ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika. Hasilnya, media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para pemilik bank dan kaum pemodal ini.

Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu, media cetak masih lagi bergerak bebas.

Hari ini yang tinggal hanya enam buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media.

Syarikat-syarikat media ini pula dimiliki oleh para pemilik bank. Malah jika menyelidik dengan rapi, kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita.

Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabel-kabel rahsia seperti Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull dan Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia.

Di belakang semua ini, nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya-raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka.

Kabel rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi dan Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom.

Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri.

Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada mereka ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabel rahsia ini.

Justeru, kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan, maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama. Apabila dasar globalisasi diperkenalkan, maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan turut bersuara.

Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam, maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul Haq, mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik.

Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan.

Hari ini sebenarnya tidak ada masalah kecairan. Apa yang berlaku, peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para pemilik bank ini.

Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai.

Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini.

Buat ketika ini, di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin.

(Dipetik dan diubah suai daripada tulisan Di sinilah wang dunia disorok oleh Hishamuddin Rais | Apr 16, 09 1:41pm dalam Malaysiakini.com)

Saturday, May 9, 2009

Ekonomi global kerja siapa

Catatan: Tulisan ini dipetik daripada Malaysiakini.com dan dipaparkan untuk kita melihat kembali tentang ekonomi global yang suatu ketika dulu sangat hebat. Penulis membedah persoalan ini.

Dalang kejatuhan ekonomi global
Hishamuddin Rais | Mar 18, 09 11:51am
Akhirnya kerajaan mengakui bahawa negara kita sedang berhadapan dengan satu malapetaka ekonomi. Malapetaka ini bukan muncul dengan tiba-tiba.

Ia adalah hasil projek ekonomi yang telah dimulakan dari zaman presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan perdana menteri Britain, Margaret Thatcher – 25 tahun dahulu. Dasar ekonomi ini dinamakan globalisasi dan penswastaan.

Penswastaan diajukan oleh pemilik-pemilik bank di Wall Street dan City of London pada awal 1980-an dahulu. Kaum pemodal syarikat multinasional dan tuan empunya bank melalui dasar penswataan merancang satu strategi untuk membolot semua harta kakayaan dalam dunia ini.

Justeru penswastaan dikahwinkan dengan dasar globalisasi.

Dasar penswastaan ini dijual oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada negara-negara Asia, Afrika dan Latin Amerika. Pelbagai bentuk ganjaran dan tekanan telah diberikan oleh dua badan besar ini agar dasar penswastaan dan globalisasi ini diterima.

Maka muncullah ayat-ayat klise – dunia tanpa sempadan – dan pelbagai mantra yang karut-marut untuk melalaikan dan memerangkap warga dunia ketiga.

Di Malaysia, apabila beruk melihat, maka beruk pun meniru. Justeru pada 1980-an dan 1990-an, Mahathir Mohamad meniru bulat-bulat dasar penswastaan ini. Air, elektrik, penerbangan, hospital, jalan raya, sistem kumbahan, universiti dan pelbagai harta negara telah diswastakan.

Dasar penswastaan ini selari dengan Dasar Ekonomi Baru - mengagih-agih kekayaan kepada Bumiputera. Maka berbondong- bondonglah harta negara jatuh ke tangan individu atau syarikat individu.

Maka semakin dikenali perkataan-perkataan seperti pink form dan EPU (Unit Perancang Ekonomi di JPM) – yang dilihat sebagai mesin ATM untuk kroni-kroni United Malays National Organisation.

Harta yang dimodalkan, didirikan dan dikendalikan oleh negara mula diagih-agihkan kepada kroni, anak bini dan kaum keluarga.

Globalisasi, penswastaan dan ekonomi terbuka hanyalah tipu helah IMF dan Bank Dunia. Dibelakang IMF dan Bank Dunia ini adalah tuan-tuan punya bank dan kaum pemodal Anglo-Amerika.

Sebenarnya dasar penswastaan dan globaisasi ini adalah dasar penjajahan bentuk baru. Ia merupakan sistem kolonialisma yang lebih licik dan lebih tersusun.

Melalui penswastaan dan globalisasi ini, wujud satu empayar baru yang bernama Pax Americana. Sama seperti empayar Pax Romana dan Pax Britannia – empayar baru ini memiliki tanah-tanah jajahan di seluruh dunia.

Perjanjian perniagaan dibuat, pasaran dibuka. Perjanjian ketenteraan diikat – pengkalan tentera darat, udara dan laut didirikan. Gedebe dan kaki-kaki busuk Asia, Afrika dan Amerika Latin – ramai yang bersedia bekerjasama untuk menjadi budak suruhan Pax Americana.

Sekali-sekala pemimpin negara dunia ketiga ini akan naik syahwat apabila diterima mengadap ke Rumah Putih. Jangan lupa bagaimana Mahathir telah merasuah tukang lobi di Washington DC agar dapat masuk ke Rumah Putih untuk "mencium" tangan George W Bush pada 2002.

Melalui dasar penswataan dan ekonomi terbuka, modal Anglo-Amerika mula menerobos masuk. Modal-modal ini mula membeli harta-harta strategik seperti air, api, media, stesen TV, hospital, syarikat pengangkutan. Pemodal Anglo-Amerika ini secara licik mencari rakan niaga di kalangan warga tempatan yang memiliki jaringan dan hubungan kuasa politik.

Malah ahli-ahli politik akan diberi hak milik atau saham agar segala bentuk projek diluluskan.

Justeru di Malaysia, kita mula melihat jenama global MacDonald, Burger King, Tesco atau StarBucks berselirat mencari mangsa. Impak kedatangan syarikat-syarikat gergasi ini kepada peniaga tempatan jarang dan tidak pernah dibincangkan – malah tidak ada langsung penilian ekonomi dilakukan.

Dalam masa yang sama, undang-undang dan akta telah diluluskan di Parlimen untuk memastikan kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika ini akan terjaga dengan baik. Buruh tidak dibenarkan berpersatuan. Buruh dilarang mogok.

Jika ada pemimpin buruh yang menyusun kaum pekerja, ia akan ditahan. Tuntutan gaji minimum ditolak untuk memastikan kaum pemodal mendapat keuntungan maksimum.

Peniaga-peniaga kecil tempatan merasa tekanannya dan tidak mungkin dapat bersaing. Banyak yang bungkus dan tutup kedai. Kematian peniaga tempatan ini menggembirakan pemodal Anglo-Amerika ini kerana suasana ini cukup sihat untuk mereka meluaskan pasaran.

Selama 25 tahun semenjak dasar pasaran terbuka dan globalisasi ini diperkenalkan, kaum pemodal Anglo-Amerika ini kini telah berjaya mengawal hampir kesemua bahan mentah dunia. Mereka boleh menaikkan atau menurunkan harga bahan-bahan mentah ini.

Mereka berhujah bahawa yang menentukan turun naik harga ialah pasaran bebas. Hujah ini bohong! Merekalah di Wall Street dan di City of London yang menentukan turun naiknya harga bahan-bahan mentah.

Dari belakang panggung – tuan-tuan empunya bank dan gedung perniagan sentiasa merancang. Mereka mewujudkan kumpulan-kumpulan pemikir. Mereka mendirikan jaringan sokongan yang berselirat di seluruh dunia.

Mereka memberi dana kepada ribuan NGO di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk memastikan dasar dan falsafah ekonomi terbuka dan globalisasi mereka diterima. Tujuan mereka: terus membolot harta kekayaan dalam dunia ini.

Elit ekonomi dan tuan empunya bank amat jarang menampakkan diri mereka secara terbuka. Jaringan-jaringan kabel mereka tersusun secara rahsia. Cara mereka bekerja tidak jauh bezanya daripada cara Mafia atau kongsi gelap bergerak.

Organisasi seperti Bilderberg Group, Bohemian Grove, Masonic dan Illuminati adalah sarang dan tempat mereka berkumpul dan merancang. Merekalah yang memiliki kuasa untuk menaik atau menurunkan ahli-ahli politik - bukan sahaja di Amerika Syarikat dan London tetapi di seluruh dunia.

Di Rusia, pada satu ketika dahulu, mereka berjaya menaikkan Yeltsin. Lihat apa yang terjadi – habis harta negara lingkup. Di timur tengah, tidak ada Sheikh dan Emir yang berani bersuara. Lihat apa yang terjadi kepada Saddam.

Cuba di bawah Castro yang merdeka dan bebas terus dihuru-hara. Chavez dan Ahmadinejad dilihat sebagai musuh kerana tidak membenarkan modal Anglo-Amerika memporak-perandakan ekonomi negara mereka.

Hari ini dunia sedang dalam kesakitan. Jika kita sakit, maka kita wajib kenal pasti apakah penyakit kita itu. Jika telah diketahui, maka baru boleh diubati. Jika tersalah baca, maka tidak mungkin sakit itu dapat diubati.

Ada yang mengatakan bahawa krisis hari ini adalah krisis kewangan. Ada yang mengatakan bahawa krisis hari ini adalah krisis ekonomi. Ada yang menuduh krisis ini timbul kerana tuan punya bank dan para CEO tamak haloba. Ada yang menuduh bahawa krisis ini timbul kerana kurang kawalan.

Semua ini tidak salah. Tetapi semua ini hanyalah manifestasi daripada penyakit itu. Krisis yang kita hadapi hari ini adalah krisis kapitalisme. Sistem ekonomi kapitalisme telah sampai ke satu tahap bahawa ia tidak mungkin dapat bergerak lagi. Pengeluaran dan pemintaan telah tepu.

Contohnya: dunia telah padat dengan kereta – pembeli terakhir dari negara China. Apabila rakyat China tidak lagi membeli kereta maka Toyota, Nissan, General Motor jatuh muflis.

Atau: ketika ini warga Malaysia yang berupaya membeli kereta telah membeli kereta. Maka telah sampai ke tahap kalau Proton terus mengeluarkan kereta, pasti tidak ada lagi pembelinya.

Seribu satu macam galakan yang diberikan tidak juga akan melahirkan pembeli. Tidak lama lagi Proton akan muflis. Atau sebenarnya Proton telah muflis tetapi kita tidak diberitahu

Friday, May 8, 2009

Akidah umat Islam tanggungjawab siapa?

Sudah beberapa hari blog ini tak dapat dikemas kini kerana sibuk dengan pelbagai urusan harian. Memang banyak masalah yang hendak dikemukakan untuk tatapan semua.
Masalah serius yang melanda umat Islam dan tak habis-habis dibincangkan ialah masalah akidah.
Ancaman ini bahaya terhadap umat Islam. Media khususnya tv memainkan peranan berkesan untuk memesongkan akidah melalui hiburan.Rancangan hiburan di tv jelas boleh menjejaskan akidah. Walaupun berupa hiburan seperti drama, nyayian, konsert kaedah itu sangat halus dan berkesan.
Hal ini ditambah dengan masalah keluarga seperti bapa atau ibu tak bertanggung jawab, akibat perceraian, masalah kemiskinan dan kurangnya amalan agama dalam keluarga.
Sekolah sebenarnya sudah berperanan mendidik pelajar. Persoalannya, faktor luar yang berlaku dalam masyarakat sangat dahsyat. Memang teruk. Remaja mudah dipengaruhi oleh elemen yang merosakkan akidah melalui tawaran yang menarik. Jika remaja Melayu Islam ingin menukar agama kepada Kristian, adakah itu bukan masalah umat Islam?
Program keluarga sakinah nampaknya kurang berkesan. Sepatutnya program ini mesti mendekati keluarga yang bermasalah dan mencari penyelesaian. Ketua kampung boleh membantu untuk mendapatkan maklumat dan hebahan lain. Program sakinah jangan hanya buat program 'potong jambul' dan marhaban di surau atau masjid saja.

Monday, May 4, 2009

Ke mana bantuan?

Apabila menyaksikan paparan oleh media massa tentang kesusahan orang ramai seperti kemiskinan, kesan sesuatu bencana dan sebagainya, kita tertanya-tanya adakah pihak yang berwajib dan berkenaan tahu sepenuhnya masalah itu? Sering kali didedahkan bantuan yang diterima tidak mencukupi. Penerima masih mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
Bagi orang Islam, peruntukan daripada jabatan agama, wang zakat, dan berbagai-bagai sumber sepatutnya cukup untuk membantu golongan yang susah itu. Tidak dinafikan wang derma atau sumbangan orang ramai juga banyak dan boleh disalurkan. Selain itu, NGO juga banyak yang membantu kewangan dan sumber lain.
Badan korprat dan GLC (syarikat berkepentingan kerajaan) seperti TNB, Telekom pula mengaut keuntungan mencecah bilion ringgit. Syarikat ini mampu untuk membantu.
Persoalannya, wang bantuan ke mana, disalurkan untuk apa, dan sampaikah sasaran? Melihat pada aspek fizikal, jelas menunjukkan badan kebajikan, agensi kerajaan berbelanja agak mewah. Bangunan sering diubahsuai dengan bentuk baru, mewah, eksklusif walaupun keadaan yang lama masih baik. Lihat saja contoh bangunan TNB dan Telekom. Tak membazir? Renungkanlah.

Sunday, May 3, 2009

Berniaga

Semua orang adalah pengguna. Dalam masa yang sama,semua orang perlu berniaga. Soalan yang sering ditanya: Hendak berniaga apa? Macam-macam boleh diniagakan, yang penting halal dan tak bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang negara. Berniaga tentulah mengikut keperluan pengguna, sama ada perkhidmatan atau barangan.
Pernyataan yang sering kedengaran: Aku tak tau berniaga.Barang tak laku.
Semua orang ada kelebihan, agak mustahil tak tahu menyampaikan maklumat kepada orang lain.
Apabila kita berniaga, pemikiran kita sentiasa proaktif. Kita juga akan sentiasa menjaga komunikasi dengan orang lain. Ingat, selagi dia itu manusia, mereka akan membeli sesuatu. Kita juga bersikap strategis dan berhati-hati. Kita juga akan lebih sabar menghadapi kerenah orang. Berniaga menstilah daripada yang kecil kepada yang lebih besar. Jangan gopoh dan banyak bersabar.
Jika kita berniaga, kita akan lebih cermat berbelanja, bukan kedekut. Kita akan membeli barang jika ada kepentingan atau barang itu benar-benar perlu.
Selamat berniaga.

Thursday, April 30, 2009

Sikap sebagai bangsa pembeli

Kenapakah sukar nak membuang tabiat membeli dalam kalangan orang Melayu? Apa saja barang jika dijual di Malaysia bangsa paling ramai yang membeli ialah Melayu. Memang menghairankan benda yang kecil nampak tak berguna juga orang Melayu pun beli. Saya sendiri pernah lihat Melayu beramai-ramai beli gelang yang dibuat dari batu jed dijual oleh apek yang mendakwa batu itu bawa tuah, boleh hilang penyakit dan membawa aura yang baik. Melayu mudah percaya tanpa banyak usul periksa. Apek itu boleh kaya raya kerana jual batu jed entah dari sumber mana. Melayu sebagai orang Islam mudah lupa bawa kuasa hanya pada Allah, bukan pada batu. Itu baru satu contoh.
Jika nak disenaraikan terlalu banyak. Paling banyak barang hiasan seperti perabot, langsir, karpet dan pelbagai manik.
Sebab itu Melayu perlu menjadi peniaga dan bangsa penjual. Jika pemikiran sebagai pembeli apa sahaja orang jual kita akan beli. Kalau kita jadi bangsa penjual, kita akan berfikir apa sahaja barang kita boleh jual. Kita akan lebih kreatif dan proaktif mencari idea baru.
Sebagai bangsa pembeli, Melayu mudah kena tipu, berhibur dan bersiar-siar di pasar raya di samping membuang masa. Pelaburan tak kena tempat. Apabila ditanya kenapa tak pergi haji, jawabnya tak mampu. Tetapi banyak duit sudah dicurahkan di beberapa pasar raya dan membeli benda yang tak perlu.

Sunday, April 26, 2009

Kata sendi dengan

Pengguna bahasa sering melakukan kesilapan apabila menggunakan kata dengan. Kata sendi ini termasuk dalam kata tugas. Adanya kata sendi ini menjadikan ayat itu betul.

Kata sendi dengan
Perkataan dengan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud yang berikut:

a) bersama-sama atau berserta

Contohnya: Ayah pergi ke bandar dengan ibu.

b) cara sesuatu itu dilakukan

Contohnya: Setiap perbuatan hendaklah dimulakan dengan doa dan niat yang baik.

c) memakai atau menggunakan sebagai alat

Contohnya: Nasi ambang itu dibungkus dengan daun pisang.

d) menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama.

Contohnya: Keperluan masyarakat dahulu berbeza dengan masyarakat kini.

Saturday, April 25, 2009

Akhbar dan tv

Pada masa ini saya kurang berminat membaca akhbar dan menonton tv. Rasanya tidak berbaloi membeli akhbar masa ini. Sudah lebih 6 bulan tak membeli akhbar. Hanya tumpang baca secara tak langsung apabila berada di kedai makan, dan kantin.

Bahan yang dipaparkan lebih banyak berunsur hiburan. Bahan lain yang tidak berunsur hiburan pula tidak menghuraikan dengan jelas dan wujud pandangan berat sebelah. Apabila kita bandingkan maklumat di internet melalui laman web atau blog, ulasan di akhbar sangat cetek dan tidak telus. Kita sedar akhbar dan tv sangat mendokong matlamat dan prinsip pemiliknya untuk mempengaruhi pembaca dan penonton. Itu urusan mereka.

Menonton tv terasa membuang masa. Banyak hiburan yang kita tak perlukan. Sebagai rakyat Malaysia khasnya orang Melayu, berasa sangat hairan tayangan drama dan hiburan tidak berteraskan jati diri orang Melayu atau rakyat Malaysia. Jika ada unsur kemelayuan pun sekadar menyelit atau 'asal ada'. Apakah realiti kehidupan orang Melayu begitu? Drama asing seperti Indonesia, Amerika Latin, Korea dan sebagainya dan hiburan lain juga menguasai program tv . Terasa bukan tinggal di Malaysia.

Apakah pilihan kita sekarang? Saya terpaksa beralih kepada internet untuk mengisi masa lapang. Kita dapat banyak maklumat, berita, bahan ilmiah, pelbagai ilmu atau hiburan dengan melayari internet. Kita juga boleh membaca al-Quran berserta tafsirnya daripada internet.

Kita kena kempen ahli keluarga kita menggunakan saluran internet berbanding akhbar dan tv. Sekiranya mampu menguasai ilmu ICT, buatlah blog dan laman web untuk dikongsi bersama anak-anak, rakan, keluarga dan orang lain. Kita boleh berinteraksi dengan orang lain dengan lebih menarik dan sampaikan ilmu.

Friday, April 24, 2009

Songkok tak pernah dicuci

Songkok biasanya tak pernah dicuci. Apabila sering dipakai oleh orang Islam timbul persoalan wajarkah dipakai untuk bersembahyang. Kakitangan kerajaan dibolehkan memakai songkok warna hitam sebagai songkok atau pakaian rasmi.Begitu juga ramai ahli politik memakai songkok untuk bersolat. Saya belum mendengar atau melihat ada orang yang membasuh/cuci songkok termasuk kalangan guru agama.
Jika songkok itu sudah lebih 3 tahun bermakna sudah 3 tahun tak dicuci. Tapi tak tahulah kalau ada orang cuci songkok sendiri gunakan air.Mungkin songkok plastik agaknya.
Kopiah lebih praktikal berbanding songkok. Kopiah mudah dibasuh/cuci dan setelah kering boleh dipakai semula. Hal ini penting apabila kita hendak mengerjakan solat bagi umat Islam. Kesucian pakaian amat penting selain faktor wuduk, tertib dan sebagainya.
Walaupun anda peminat songkok,terutama songkok tinggi bagi orang Johor, pakailah kopiah apabila bersolat.

Monday, April 20, 2009

Komunikasi sebagai seorang ketua

Entah kenapa apabila seseorang itu menjadi ketua dalam sebuah organisasi atau jabatan, dia boleh berubah macam jarum jam berputar 360 darjah. Dia lupa semasa menjadi orang bawah, sering komen ketuanya yang tak jaga cara komunikasi.
Sesuatu masalah yang kecil mudah diselesaikan, tetapi komunikasi yang salah menyebabkan orang bawah bersikap melawan dan tak mahu buat arahan ketua mereka.
Jarang seorang ketua berbudi bahasa apabila mengarahkan sesuatu. Kononnya dengan bersikap keras orang lain akan patuh. Apabila orang bawah memberi pandangan yang bertentangan dengan arahan atau idea, orang itu dianggap melawan. Ketua harus mendengar dulu pendapat yang dikemukakan, bukan mencantas percakapan orang bawah. Tidak semestinya idea ketua adalah terbaik.
Apabila orang bawah menolak sesuatu tugasan tentulah ada sebab tertentu. Dalam hal ini ketua harus melihat secara terperinci bukan mengecap orang bawah menentangnya.
Ketua yang baik adalah orang yang bersikap terbuka, mendengar pandangan orang bawah, mengambil keputusan atas kepentingan ramai.

Friday, April 17, 2009

Pendirian atas pagar

Dalam kalangan masyarakat kita, terdapat individu atau kelompok tertentu yang kononnya tidak menyokong mana-mana pihak dalam soal politik. Golongan ini berpendapat sesiapa saja yang dapat kuasa atau menang dalam pilihan raya akan melakukan perlakuan negatif yang sama: rasuah, sombong, lebih pentingkan diri, mengejar kekayaan, dan perosak masyarakat.
Golongan ini macam lalang, kadang kala menyokong parti kerajaan atau kadang kala menyokong pembangkang atas beberapa isu. Mereka akan memilih individu atau parti yang dirasakan baik pada waktu pilihan raya, bukan dasar parti, masa lalu atau masa akan datang. Pegangan mereka berubah-ubah ikut kepentingan atau world view sendiri.
Kefahaman mereka kadang kala berasaskan emosi. Pendirian mereka agak rapuh, boleh berubah ikut situasi. Pandangan mereka tidak mendalam tapi bersungguh-sungguh untuk mengatakan mereka berpendirian benar. Mereka kurang terdedah dengan sumber maklumat daripada pelbagai media. Mereka juga kurang mengikuti perkembangan sesebuah parti secara dekat.
Pendapat saya, mana-mana parti seharusnya berusaha mendekati golongan ini untuk mendapat sokongan. Mereka lebih banyak membaca akhbar perdana atau tv. Kelemahan seseorang pemimpin parti biasanya dianggap kelemahan parti itu secara keseluruhannya terutama pembangkang. Misalnya, seorang pemimpin itu rasuah atau berkhalwat. Parti yang menjadi naungan pemimpin itu dianggap sebagai lemah dan tak betul.
Oleh sebab itu, semua pemimpin parti dalam peringkat apa sekali pun mesti mengawal diri daripada melakukan kesilapan yang boleh dipandang serong oleh rakyat.

Tuesday, April 14, 2009

Artis dan ulama

Rasanya ramai yang bersetuju dan seronok apabila artis rock seperti Amy Search dan rakan-rakannya(drr) membuat persembahan di Kota Bahru di depan MB Kelantan Datuk Nik Aziz. Selama ini artis dianggap terlalu kontra dengan aktiviti ulama kerana gambaran yang silap. Pandangan ulama sering digambarkan bertentangan dengan pandangan artis.
Amy drr membawa imej dan perspektif positif. Nampaknya Siti Nurhaliza juga menemui Nik Aziz walaupun bukan tujuan politik, tetapi kunjungan hormat itu membawa makna penerimaan artis pada kaca mata ulama.
Fitrah semua manusia perlukan hiburan, tetapi hiburan yang bagaimana? Saya sangat berharap ulama di Malaysia dapat memainkan peranan mewujudkan wadah yang sebenar dan imej yang dikehendaki Islam dalam soal hiburan. Janganlah di Kota Bahru sahaja. Janganlah juga hanya Nik Aziz sahaja yang memainkan peranan. Jika artis mahu bertemu Nik Aziz tidak perlu dihalang, itu hak artis berkenaan.
Boleh dikatakan setiap negeri ada ulama terkenal. Buat program yang melibatkan artis. Apa salahnya artis buat persembahan di sekolah pondok atau madrasah dengan kaedah atau garis panduan yang sesuai dengan syariat Islam. Beri peluang kepada mereka mengenali sekolah pondok atau madrasah dengan lebih dekat. Bakat yang ada gunakan untuk aktiviti dakwah. Jemput masyarakat luar menyaksikannya. Artis dan ulama ada peranan masing-masing, eloklah ada kerjasama.

Sunday, April 12, 2009

Beli yang perlu sahaja

Sikap masyarakat kita yang suka membeli-belah di pasar raya amat sukar dikikis. Masyarakat Melayu kebanyakannya makan gaji sama ada kakitangan kerajaan atau swasta. Setiap kali mendapat gaji, pasar raya menjadi lokasi tumpuan untuk mencurahkan duit. Setelah menahan diri selama 25-30 hari, dah tak sabar lagi membawa anak isteri ke pasar raya.
Tawaran harga yang agak rendah berbanding kedai runcit menjadi alasan penting untuk belanja sakan di pasar raya. Apatah lagi ditambah sikap atau hobi suka aktiviti membeli-belah. Sebab itu kewujudan pasar raya di Malaysia bagai cendawan tumbuh lepas hujan.Siapakah pelanggan utamanya, warga asing, bukan Melayu atau orang Melayu? Jawabnya lebih 90% orang Melayu.
Kebanyakan pasar raya dimiliki pelabur luar negara. Berjuta-juta duit orang Melayu dibawa keluar. Orang Melayu menjadi penyumbang kekayaan mereka. Kebanyakan produk syarikat Yahudi yang diboikot kini menjadi tumpuan pembeli semula kerana tertarik dengan harganya yang rendah. Kenapa boikot tidak berterusan?
Sepatutnya, sikap suka menunjuk-nunjuk, bermegah membeli di pasar raya ternama perlu dikikis. Beli di kedai runcit biasa, membantu golongan peniaga kecil. Yang lebih penting beli barang yang perlu sahaja dan halal. Beli di pasar raya ada ijab kabul pembelian ke? Pembeli dan pengguna juga perlu patuh syariat Islam ketika urusan jual beli.Keberkatan sangat penting untuk mendapat keredaan Allah.

Thursday, April 9, 2009

Bahan najis dalam ubat jantung



Ulasan semasa:
Sudah tiba masanya pakar perubatan Islam, botani dan farmasi bergabung tenaga memperkenalkan bahan alternatif untuk merawat jantung dan pelbagai penyakit lain. Tuhan menguji manusia sejauh mana keimanan kita. Dicipta haiwan seperti babi/khinzir yang mempunyai macam-macam kegunaan tetapi diharamkan dalam Islam. Umat Islam diminta mengkaji, berfikir, bersatu dalam mencari penyelesaian masalah. Inilah hikmahnya.

Petikan berita akhbar Kosmo 9 April 2009

Bahan najis dalam ubat jantung

Oleh JUNHAIRI ALYASA


UBAT mengandungi porcine walaupun berkesan melegakan saluran darah pesakit jantung yang tersumbat, hakikatnya ia diperbuat daripada unsur babi. - Gambar hiasan

* * *


KUALA LUMPUR - Pesakit jantung dalam kalangan orang Islam dilanda dilema apabila dua jenis ubat yang dianggap paling mujarab dan popular bagi rawatan mencairkan darah saluran tersumbat mengandungi porcine atau unsur babi.

Kedua-dua ubat cecair itu telah digunakan secara meluas dan lazimnya disuntik serta-merta ke atas mangsa kes serangan jantung.

Bagaimanapun, pesakit beragama Islam mempunyai pilihan untuk menggunakan sejenis ubat yang disuntik ke pembuluh darah, cuma ia kurang berkesan serta ada kesan sampingan.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Haizal Haron Kamar, beliau akan memaklumkan terlebih dahulu kepada pesakit terutama yang beragama Islam mengenai pengunaan dua ubat tersebut.

Wednesday, April 8, 2009

Kesan pilihan raya dua bukit satu batang

Pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sangat menarik untuk diperhatikan dan diulas. Biasanya saya kurang berminat hendak mengulas sesuatu pilihan raya kerana kita akan banyak membaca ulasan oleh orang lain dan menjadi bahan perbincangan.
Keputusan Batang Ai sudah diduga dari awal. Rakyat di situ barang kali belum terkesan keadaan di semenanjung. Bukit Gantang dan Selambau dapat menyimpulkan pelbagai persepsi. Pada awalnya BN dianggap boleh menang dengan selesa di dua bukit. Pelantikan PM yang baru, kemasukan Tun Mahathir ke dalam UMNO dan pelbagai suntikan semangat baru dianggap boleh mengubah pengundi kepada BN dan mengekalkan pengundi tradisinya. Tetapi keputusan sebaliknya.Ramalan sesetengah pihak agak tepat.
BN perlu mengkaji punca keseluruhan,termasuk isu nasional, bukan di dua bukit itu sahaja. Jika BN nak menang pada masa akan datang, mereka perlu mengatasi permasalahan rakyat.Kehendak rakyat perlu dipenuhi sebelum pilihan raya umum ke-13. Apakah masalah orang Melayu, India, Cina? Apakah masalah atau isu nasional yang menjadi perhatian rakyat? Isu PPSMI, harga barangan, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, masalah sosial termasuk disiplin remaja, kepuasan bekerja kakitangan awam khasnya guru mesti diatasi segera. Jangan fokus pada golongan korporat sahaja.
Pada Pakatan Rakyat pula, mereka perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat jika mahu terus disokong. PR tidak boleh berasa yakin dan selesa dengan 'mood' rakyat masa ini. BN akan mencari ruang kelemahan PR. PR tak boleh mendabik dada dan sentiasa seronok atas kemenangan 4 pilihan raya yang lalu. Mereka perlu strategi yang baik dan berkesan.
Walau apa keadaan pun, tak kira PR atau BN, rakyat hanya mahu pemimpin yang baik, bersikap rendah diri, mengutamakan kebajikan rakyat, jangan tunjuk kemewahan keluarga, dan bagi yang Islam mereka mahu pemimpin yang islamik. Patuh ajaran Islam. Jangan tunjuk muka apabila ada pilihan raya. Sekadar bagi hamper kepada ibu-ibu tunggal, dokong anak kecil nampak gambar dalam akhbar atau tolong ambil lauk dalam program gotong-royong, taktik ini idea lama.
Apakah strategi BN dan PR pada masa akan datang? Kita tunggu dan lihat.

Saturday, April 4, 2009

Pembangunan untuk semua kaum?

Dalam kepesatan pembangunan fizikal di bandar utama Malaysia, kita masih sukar melihat ruang kedai atau bangunan yang dimiliki oleh orang Melayu dan bumiputera lain. Selalunya sejarah dipersalahkan atau menyalahkan penjajah mengagihkan pembangunan mengikut kaum. Setelah 52 tahun merdeka, adakah patut penjajah masih dipersalahkan? Pihak mana yang berkuasa?
Orang Melayu dan bumiputera masih dipersalahkan kerana mengharapkan subsidi daripada kerajaan. Ambil contoh mudah, nak jual pisang goreng di tepi jalan tanpa modal RM1000.00 , mereka tak dapat berniaga. Apatah lagi nak menyewa ruang perniagaan di kompleks besar.
Sebenarnya, untuk mencapai keseimbangan antara kaum, yang masih tahap rendah pencapaiannya perlu dibantu. Subsidi bukan sahaja kewangan tetapi termasuk khidmat nasihat, bimbingan dan kepakaran. Syarikat asing mendapat subsidi kerajaan melalui pengurangan cukai dan insentif yang diberikan pada setiap kali pembentangan bajet.
Dari segi kegigihan, bumiputera harus mencontohi usaha kaum lain terutama kaum Cina dalam perniagaan. Tak salah meniru usaha mereka asalkan tak melanggar undang-undang.
Syarikat GLC dan korporat yang berjaya perlu membantu orang yang mampu berniaga bukan setakat jual kerepek atau makjun saja. Begitu juga wang baitulmal, hasil kutipan zakat perlu digunakan untuk membantu mereka yang ingin berniaga. Apalah erti pembangunan fizikal sesebuah bandar jika orang Melayu hanya jadi penonton bangunan kompleks, jadi pembeli, jadi pengguna atau melepak dengan seronok.

Thursday, April 2, 2009

Memilih pemimpin

Dalam sesebuah negara, kerajaan dan rakyat sama-sama penting. Rakyat yang memilih dan menentukan kerajaan. Kerajaan dapat wujud apabila ada sekumpulan rakyat yang dipilih untuk memimpin kerajaan.
Dalam konteks di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, kita perlu memilih orang yang berpaut pada sesebuah parti yang berasaskan keadilan, tidak mementingkan golongan elit semata-mata, tidak ego, ada rasa rendah diri pada orang ramai, sederhana dalam kehidupannya,ada pendidikan tinggi, boleh mendengar pandangan orang lain dan setiap keputusan berasaskan kepentingan rakyat bukan golongan peniaga atau korporat.
Bagi orang Islam, syarat itu ditambah dengan pilih pemimpin Islam yang dapat membawa Islam ke tahap yang tinggi, menutup aurat termasuk isteri dan anak-anaknya( juga pakai tudung), kehidupan sederhana bukan menonjolkan kemewahan, pemikiran yang bijak, boleh membaca al-Quran dan mampu mentafsir walaupun tak sehebat golongan ulama,jika lelaki boleh menjadi imam solat dan mengutamakan kebajikan.
Pemimpin mestilah orang yang tidak mengutamakan hiburan yang melalaikan. Pemimpin yang sederhana bukan bermaksud boleh ke pesta hiburan, boleh ke masjid, boleh bercakap hal agama, moral. Pemimpin mesti berusaha mengajak rakyat menghapuskan pusat perjudian, maksiat, tidak memberi hiburan yang melalaikan dan elemen gejala sosial. Pendidikan akhlak dan moral serta amalannya dalam kehidupan perlu diutamakan. Telitilah setiap orang yang akan dipilih jadi pemimpin khasnya melalui pilihan raya.

Monday, March 30, 2009

Pupus bahasa

Rencana ilmiah Pupus Bahasa diambil daripada laman kesturi.net untuk menjadi bahan renungan dan perbincangan bersama.- Mypandan

Dari www.kesturi.net
Oleh Aqil Fithri

Dewasa ini, frasa “Bahasa Melayu Bahasa Ilmu” sudah kian asing. Apa yang terpapar sekarang ialah, Bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam pengungkapan yang tinggi, dan dituduh tidak mempunyai kekuatan bagi diperkasakan sebagai bahasa yang penting. Hatta, Bahasa Melayu turut dikritik habis-habisan kerana gagal untuk bertahan dalam era globalisasi, serta tersisih apabila berhadapan dengan cambahan istilah-istilah baru, terutamanya yang terdapat dalam sub-bidang baru yang muncul di dalam sains, teknologi, matematik, komunikasi, komputer dan lain-lain lagi.

Selain itu, Bahasa Melayu juga dikatakan tidak mempunyai kekuatan sejarah dan falsafah bagi dibangunkan sebagai bahasa moden, sekalipun bukan sebagai antara bahasa utama dunia, meskipun secara geografinya jumlah penutur bahasa ini demikian banyak. Memang, hasrat kewujudan Bahasa Melayu bukanlah untuk mengalahkan Bahasa Inggeris–yang memang begitu berkuasa pada abad ini–tapi bahasa ini tetap saja dilihat terpuruk berbanding bahasa-bahasa moden lain, seperti Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun, dan lain-lain lagi.

Di samping itu, ada juga yang berhujah bahawa ketika ilmuan Perancis sedang membincangkan hubungan antara ¨minda dan jirim¨ sewaktu Zaman Renainsans Eropah, maka ketika itu orang Melayu masih lagi sibuk bercucuk tanam. Demikian juga, ketika ilmuan Jerman sedang membincangkan hubungan antara ¨fizik dan metafizik¨ sewaktu Zaman Pencerahan Eropah, orang Melayu maseh lagi membaling tombak melawan penjajah. Kalangan ini memperlekeh, jika tamadun dari bangsa-bangsa Eropah ini telah pun melahirkan Rene Descartes, Immanuel Kant, dll, maka gerangan manakah sarjana yang dilahirkan oleh Tamadun Melayu?

Memang, ¨Seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual¨ yang diadakan hasil dari kerjasama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Pusat Dialog Peradaban, di Universiti Malaya, serta dirasmikan oleh Prof. Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, baru-baru ini bukanlah jawapan muktamad pada segala persoalan tersebut. Ini sepertimana yang dirumuskan oleh Prof Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud, Presiden ASASI, sewaktu ucapan pembukaan seminar ini, ¨gagasan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu bukanlah baru. Waima, idea ini banyak tersekat ekoran zaman penjajahan, dan kekurangan kesungguhan kalangan kita sendiri.¨

Walaupun begitu, di satu sisi yang berbeza, seminar tersebut sewajarnya mencelikkan ramai pihak, bahawa Bahasa Melayu tidaklah miskin. Terdapat tiga kertas akademik yang telah dibentangkan. Bezanya, ketiga pembentang bukannya ahli bahasa, tapi lebih tergolong dari kelompok filsuf sains/filsuf-saintis. Ini termasuklah, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar (UM), Dr. Shaharir Mohammad Zain, dan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (UKM).

Dalam makalah pertama, yang bertema, ¨Ilmu Falsafah dan Ilmu Keagamaan sebagai Pemangkin Kemajuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah,¨ Osman Bakar, yang juga Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban, cuba untuk memaparkan hubungan akrab antara falsafah dan agama dan kaitannya dengan martabat atau mutu bahasa yang digunakan dari kalangan bangsa dan agama tersebut. Sudah tentu, apa yang diungkapkannya ini dapat dicerna baik sekiranya kita merujuk kembali kepada beberapa bahasa utama yang terdapat dalam Islam, seperti Arab dan Farsi, yang memang diketahui begitu kaya dengan kamus kosakatanya dan ini semua membantu dalam mempermudahkan kefahaman ilmu yang terdapat dalam bidang falsafah dan agama.

Secara sejarahnya, hubungan bahasa Arab dan Farsi dalam falsafah dan agama adalah sesuatu yang lazim, dan umumnya sudah maklum. Tapi, bila beliau cuba membawa soal ini ke dalam kes sejarah Bahasa Melayu, memang sesuatu yang jarang diungkapkan. Barangkali sesuai dengan latarnya sebagai murid Seyyed Hossein Nasr, beliau telah menerangkan bahawa falsafah adalah ilmu yang sangat penting, yang selalu dianggap sebagai ¨ilmu segala ilmu¨–manakala mutu ilmu yang diolah adalah sejajar dengan pemartabatan bahasa yang digunakan. Ini kerana, ketika persoalan-persoalan tingkat tinggi yang diwacanakan, seperti epistemologi, metafizik, etika, dll, adalah juga merujuk kepada mutu kandungan bahasa yang digunakan.

Mithalnya, beliau yang juga timbalan ketua pegawai eksekutif, Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia ini memberikan contoh sewaktu Tamadun Melayu begitu semarak dengan penyebaran dan perkembangan Islam, dan sewaktu itulah terhimpun dan terhasilnya kajian kepustakaan Melayu yang sangat tinggi kandungan ilmunya. Ini dapat kita semak saja menerusi karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri, Ahmad al-Fathani, dll, yang begitu kaya dengan ilmu, lalu tersuai dengan corak masyarakat di Alam Melayu ini. Barangkali, antara kelebihan bangsa di Alam Melayu sebelum ini ialah, mereka lekas menyesuaikan diri dengan keadaan baru, serta kreatif dalam mengolah kehadhiran agama-budaya-bahasa baru.

Kenyataan ini mungkin lebih dekat jika kita menelusuri salah satu aspek klasik yang ketara tercermin dari sumbangan Ibn ´Arabi terhadap Alam Melayu. Tidak seperti belahan yang lain, Alam Melayu tampaknya mampu menyerap kehadhiran aliran sufi ini dengan penuh sintesis sekali—antara usuluddin dan falsafah, atau antara kalam dan tasawwuf. Ini jelas diperlihatkan dari beberapa tulisan Hamzah Fansuri, yang tebal dengan wehdatul wujud-nya.

Justeru, kerana pengaruh aliran ini dari belahan dunia luar, maka kosakata ilmu yang terdapat dalam Alam Melayu kemudiannya bertambah, sebab ada keperluan untuk mengungkapkan soal falsafah mistikal ini. Lantaran itu, inilah antara sebab kenapa Bahasa Melayu ada wibawa untuk menjadi bahasa ilmu pada waktu tersebut, kerana kemampuan bahasa ini mampu menjadi bahasa falsafah-agama.

Selain daripada itu, beliau yang juga pengarang buku Tawhid and Science, menghamburkan pujian pada Tafsir al-Azhar yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bayangkan, bila Hamka sendiri meraikan Bahasa Melayu dalam karangan tafsir-nya, yang dianggap antara tafsir yang baik, maka sudah tentu ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu memang mampu menghurai kandungan agama secara sempurna, meskipun diakui terdapat beberapa peminjaman dari bahasa Arab.

Justeru, hakikatnya, Bahasa Melayu sejarahnya sudah cukup bagus, ekoran keupayaannya untuk mengungkapkan perkara-perkara yang bertaraf hikmah dan ilmu, bukan hanya bertakuk pada taraf maklumat semata-mata.

Sebenarnya, hubungan Bahasa Melayu dalam Islam turut disentuh oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam ¨Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.¨ Diketahui, Bahasa Melayu telah terbangun sebagai salah satu dari lima bahasa Islam, selain dari bahasa Arab, Farsi, Urdu dan Turki. Bahkan, hal ini jelas tersemak dari kesamaan aksara yang digunakan, meskipun akhirnya Bahasa Melayu dan Bahasa Turki kecundang dalam pengaruh aksara rumi. Fakta inilah yang membezakan bahasa kita dengan bahasa Farsi, yang menurut Osman Bakar, telah menjadi begitu maju sehingga terganding dengan bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam pengungkapan Islam, lebih- lebih lagi setelah zaman Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali.

Kemudian, kertas akademik kedua diteruskan menerusi Shaharir Mohamad Zain dengan tema makalah, ¨Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Telah, Lani dan Kelak.¨ Sekilas, barangkali pertanyaan pertama yang muncul ialah, mengapa beliau mengunakan kosakata ¨Telah, Lani dan Kelak.¨ Seperti memahami persoalan yang terbenak ramai ini, mantan TImbalan Naib Canselor UKM ini menyatakan bahawa tiga kosakata tersebut sebenarnya adalah serangkai, dan masing-masing beretimologi dari perkataan Lani, yang asalnya perkataan lama, yang akhir-akhir ini hanya digunakan di kalangan masyarakat Melayu utara.

Ternyata, judul makalah ini sengaja direka demikian, bagi menunjukkan bahawa sesuatu yang kuno bukanlah rendah mutu ilmunya, dan sebaliknya sesuatu yang baru tidaklah semestinya tinggi mutu ilmunya. Malah, kalau kita insaf, sikap ini juga adalah suatu kritikan bawah sedar kepada mereka yang sering memakai kosakata pinjaman secara literal, sedangkan dalam khazanah bahasa kita sudah pun mempunyai aneka kosakata yang lebih sesuai dan asli. Mithalnya, kita kerap menemukan mereka yang terhegeh-hegeh menggunakan perkataan ¨kualiti¨ berbanding ¨mutu,¨ ¨koloborasi¨ berbanding ¨usahasama,¨ ¨dialog¨ berbanding ¨randau,¨ dll.

Sebab itu, dalam makalah ini juga beliau–yang memang diketahui berjasa dalam menyumbang kosakata Melayu dalam bidang sains dan teknologi–turut memperkenalkan istilah janapada (bahasa wacana), yang dipinjamnya dari Bahasa Sanskrit, suatu bahasa yang dahulunya dekat dengan kebudayaan Melayu. Beliau menerangkan, janapada ini merupakan padanan kepada perkataan ¨nation,¨ atau nasion. Sebaleknya, tidak perlulah ada yang resah dengan rekaan kosakata baru, kerana ini amalan biasa dalam sosiolinguistik, malahan langkah ini sebenarnya boleh mengayakan lagi khazanah pengetahuan sendiri.

Justeru, dengan adanya kekayaan tamadun sendiri ini, maka tidak perlulah kita merendah diri dengan sejarah. Tak perlu gentar dengan perkataan ¨lama,¨ ¨kuno¨ dan ¨klasik,¨ di samping tak perlu mudah terpersona dengan perkataan, ¨maju¨, ¨membangun¨, dll. Sewaktu awal pembentangan makalahnya ini, beliau yang juga pengarang buku ¨Pembinaan Semula Teori Kepimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu¨ yang terbit baru-baru ini, telah menunjukkan bahawa terdapat 40 buah negara maju di dunia, yang data ini dipetiknya dari sumber PBB. Maka, di kalangan negara maju ini, semuanya adalah menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan sekaligus sebagai bahasa janapada-nya juga, kecuali Singapura, Ireland dan Amerika Syarikat.

Maknanya di sini, bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar/rasmi negara tersebut, manakala bahasa janapada adalah bahasa yang berkeupayaan untuk berwacana tinggi, atau dalam isitlah yang lain, bahasa yang berangrasana. Masing-masing digunakan secara serentak. Malah, seraya menyindir barangkali, beliau membandingkan,¨ malah, Mongolia pun turut menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa janapada, meskipun mereka bukanlah sebuah negara maju.¨

Demikian juga kalau ada yang berhujah bahawa taraf sesebuah negara itu untuk bergelar negara maju adalah kerana mereka mencipta sains, maka dari senarainya tersebut, terdapat 20 buah negara maju yang sudah terkeluar, kerana negara tersebut bukan negara pencipta sains. Jadi, teori cetek yang cuba diwar-warkan bahawa bahasa setiap negara maju mestilah mencipta sains kini adalah termansuh dengan sendirinya!

Selain itu, tatkala membicarakan kedudukan Bahasa Melayu yang telah/lepas, pengarang kini sedang menyiapkan buku ¨Kritikan Teori Kenisbian Einstein dan Teori Quantum¨ cuba untuk menghimbau kembali beberapa catatan sejarah awal Tamadun Melayu, dalam rangka mencungkil mutu ilmu yang terdapat dalam Tamadun Melayu asal. Menurutnya, Tamadun Melayu yang terawal yang dikesan setakat ini ialah di Funan, yang kini menjadi sebahagian dari Kemboja, di mana bahasanya ketika itu lebih dikenali sebagai Kun Lun. Kemudian, baru tamadun ini digantikan dengan Chenla, dan seterusnya.

Malah, sumber dari Tiongkok–panggilan kuno Alam Melayu terhadap China sebelum ini–turut mengesahkan maklumat ini. Ini ditambah lagi terdapat catatan Yunani pada abad ke-2M yang memanggil Bahasa Melayu ketika Tamadun Funan tersebut sebagai Kolan sahaja. Dan, ketika tamadun inilah, terdapatnya prasasti (batu bersurat) yang menunjukkan bahawa Bangsa Melayu di Funan itulah yang mencipta angka sifar, bukannya seperti yang termaktub dalam buku-buku teks, yang didakwa berasal dari Tamadun India. Selain dari membelek kekuatan ilmu Melayu yang terdapat pada Zaman Funan, makalah beliau turut menyelitkan kandungan ilmu Melayu yang terdapat pada kerajaan Champa dan Srivijaya, dan Zaman Melayu-Islam.

Manakala, untuk Bahasa Melayu dalam waktu lani, mantan professor matematik-fizik ini berkata, ekoran penyingkiran aksara Jawi dalam tradisi pendidikan kita, keadaan ini telah mendorong kepada penghakisan identiti bitara (unik) yang terdapat dalam Bahasa Melayu itu sendiri. Memang, perumian Jawi pertama kali dilakukan pada abad ke-16, oleh Pegafetta, iaitu salah seorang pencatat dalam pelayaran Magellan. Namun, penghakisan Bahasa Melayu Jawi ini kemuncaknya berlaku setelah aksara tersebut terbuang dari sistem pendidikan Malaysia pada 1960-an.

Di samping itu, Bahasa Melayu yang terdapat di Pattani, dan di Singapura, dan di Mindanao, kemudiannya langsung tidak dibangunkan untuk menjadi bahasa ilmu. Sebaleknya, hanya Bahasa Melayu di Indonesia, dan di Malaysia sahaja secara bersungguh dilakukan perancangan bahasa ke arah menatijahkannya sebagai bahasa yang beragrasana.

Walau bagaimanapun, kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia akhirnya tergugat setelah kerajaan mula melaksanakan dasar PPSMI yang mundur, di mana wibawa Bahasa Melayu dalam sektor pendidikan telah mulai terhakis sama sekali. Jadi, Bahasa Melayu Malaysia, yang satu ketika dahulu telah mengalahkan Bahasa Indonesia dari segi pengungkapan ilmunya, kini kembali ketinggalan, barangkali suatu waktu nanti Bahasa Melayu Malaysia hanya akan menjadi salah satu dari rumpun bahasa Indonesia sahaja.

Dengan keringnya penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan, ini menjadikan bahasa ini bukan lagi sebagai bahasa ilmu. Sebab, prasyarat utama untuk sesebuah bahasa memperoleh taraf bahasa ilmu, atau bahasa janapada, atau bahasa berangrasana ini, ialah bahasa tersebut seharusnya terpakai sepanuhnya dalam sistem pendidikan. Meskipun kita mempunyai ITNM, DBP dan universiti-universiti, serta sekolah kebangsaan, namun kebanyakan dasar yang dirumuskan sebenarnya amatlah meminggirkan Bahasa Melayu, terutamanya dasar PPSMI—yang hari ini terkenal sebagai dasar yang sangat bebal.

Justeru itu, ketika menyimpulkan pembentangannya, mantan Presiden ASASI ini menjangkakan bahawa kedudukan Bahasa Melayu Malaysia nanti takkan lagi digunakan dalam mentakrifkan ilmu, meskipun maseh wujud lagi Bahasa Melayu Indonesia, yang memang diketahui meluas dituturkan di wilayah-wilayah dalam pengaruhnya. Bahkan, beliau turut meramalkan Bahasa Melayu Malaysia akan menjadi senasib dengan Bahasa Melayu Pattani, dan Bahasa Melayu Champa dalam tempoh 30 tahun mendatang. Lebih mendukacitakan lagi, para mereka yang kononnya mengaku pejuang Bahasa Melayu sebenarnya tidaklah begitu bersungguh mempertahankannya, bukan sahaja dalam tingkat sistem pendidikan tinggi, malah aras sekolah rendah sekalipun!

Keluhan yang diutarakan oleh Shaharir Mohamad Zain ini memang dirasai rapat oleh ASASI, yang memang terkenal dengan gagasan pengislaman dan pemeribumian sains, serta kental mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Atas kapasiti sebagai Setiausaha Agong ASASI, Mohammad Alinor Abdul Kadir meneruskan pembentangan menerusi makalah yang bertema, ¨Sumber Bertulis Terawal Pengetahuan Rumpun Melayu.¨

Makalah ini membincangkan sorotan kekayaan pengetahuan Melayu yang diperoleh dari prasasti, serta manuskrip-manuskrip lain. Walau bagaimanapun, penyelidik gigih ini tetap mengakui bahawa maseh terdapat halangan untuk kita memunggah kekayaan pengetahuan terawal ini memandangkan kekurangan ahli akademik yang berminat, serta ketiadaan displin ini secara khusus di universiti-universiti—untuk serius menyelidik dan menelaah bahasa-bahasa Melayu kuno.

Ketika menyampaikan makalah ini, beliau yang merangkap pensyarah sains matematik UKM, menyebut beberapa keistimewaan pengetahuan Melayu kuno. Ini termasuklah, keperluan kita untuk mendapatkan kembali buku-buku Funan yang dihadiahkan kepada kerajaan China pada 546M. Ketika itu, Paramartha dan Gunaratna dari kerajaan Funan telah pun dihantar untuk membawa 240 buah karya pengetahuan bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China, malah sebelum itu sudah ada 76 buah lagi buku dalam Bahasa Sanskrit dan Kunlun yang diterjemahkan ke dalam bahasa China oleh sarjana Melayu Funan. Justeru, tugas yang patut dilakukan sekarang ialah untuk mencari kembali buku-buku tersebut, kemudiannya menyaring kepenggunaan bahasanya, lalu ditarik segala ilmu-ilmu yang terkandung dalam karya-karya tersebut.

Di samping itu, beliau yang kini merancang untuk membentuk pasukan penyelidik kajian Melayu kuno turut memaklumkan bahawa Atisa, seorang agamawan besar Buddha, yang pernah menuntut ilmu di Sumatera, di bawah bimbingan Dharmakirti pada abad ke-11M, lalu kemudiannya membawa ilmu dari Alam Melayu tersebut untuk merevolusi agama Buddha di Tibet. Sesuai dengan tradisi keilmuan, Atisa juga telah menerjemahkan banyak buku-buku dari Tamadun Melayu, mithalnya kitab agung Buddha dalam Bahasa Melayu iaitu Tripatika, ke dalam Bahasa China. Soalnya di sini, apakah memang benar kita tandus sarjana sendiri, dan tidak mempunyai longgokan pengetahuan sendiri? Atau barangkali kita sudah terlalu selesa untuk mendeduktifkan segala-galanya pada sejarah Islam semata?

Selain dari itu, beliau yang juga penyelidik bersekutu INSPEM (UPM) turut mengemukakan fakta bahawa di antara sempadan Greek dan Albania, terdapat rumpun Melayu Champa yang mendiami di perbatasan tersebut, yang mana mereka ini mungkin dibawa ke sana oleh para penjajah bagi tujuan pemindahan pengetahuan yang terdapat di Alam Melayu. Kehadiran bangsa Chameria ini, boleh menimbulkan satu hipotesis, bahawa sebenarnya terdapat hubungan lama antara Tamadun Melayu dengan beberapa Negara Eropah Timur. Namun, sudah tentu, suatu penyelidikan mendalam haruslah digarap untuk mengesahkan hipotesis ini.

Sebenarnya, dari ketiga-tiga kertas akademik ini, dengan insaf sekali menunjukkan bahawa betapa kurangnya kesungguhan kita dalam merayakan khazanah sendiri. Jika dalam tamadun lain sudah begitu giat mengkaji tamadun-tamadun kuno mereka, seperti Yunani, Farsi, Eropah, dll, tetapi sayangnya para penyelidik tanahair kita nampaknya lebih gemar terhenti pada ´kegemilangan´ tamadun Melayu-Islam semata, tanpa berusaha untuk pergi lebih jauh lagi. Hakikatnya, kajian kuno ini seharusnya dapat menambah-nilai kepada pengetahuan kita yang sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang sarat ilmunya—sama ada dari sudut sejarah, falsafah ataupun tamadunnya.

Justeru, tanpa mengembalikan semula kekuasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, maka bukan sahaja impian untuk melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu akan gagal, tetapi cita-cita untuk meraikan hadharah sendiri juga turut musnah! Akhirnya, Bahasa Melayu hanya bertaraf pasar, kerana kita lebih lazim menggunakan Bahasa Inggeris untuk berwacana sesama kita. Lantas, mengenang keadaan ini, maka tidaklah wajar untuk dibentuk sebarang anugerah bagi kesarjanaan Melayu, kerana yang berhak menerima panggilan sarjana Melayu hanyalah mereka yang sudi berkarya dalam Bahasa Melayu, iaitu sekurang-kurangnya berkarya secara seimbang di samping karya-karyanya dalam bahasa-bahasa lain.

Jelas, mesej ini selari dengan apa yang dikeluhkan oleh Shaharir Mohammad Zain sewaktu seminar ini, bahawa ´sarjana´ kita yang demikian ramai berkubu di universiti-universiti sekarang hanya lebih berminat berkarya—secara bergaya—dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi memandang rendah kegiatan peterjemahan dan penulisan dalam bahasa sendiri. Sewajarnya, sarjana kita dewasa ini harus belajar dari para sarjana Melayu silam, seperti Ahmad al-Fathani, yang bukan sahaja berkarya dalam bahasa Melayu dan Arab secara seimbang, tetapi turut menguasai bahasa Urdu dan Farsi dengan fasehnya. Hanya sikap inilah yang boleh menekalkan Bahasa Melayu bila berdepan dengan arus globalisasi yang deras melanda mutakhir ini.

Friday, March 27, 2009

Makan ayam

Hidangan lauk daging ayam sangat popular dalam masyarakat kita. Masyarakat Melayu pula sering mengadakan majlis jamuan, hari keluarga, kenduri-kendara dan macam-macam program dan majlis yang menggunakan ayam sebagai menu utama.
Industri ternakan dan pengeluaran ayam mengaut keuntungan ratusan juta kesan permintaan ayam yang tinggi. Masyarakat Cina dan India pula sangat kurang makan ayam kerana jarang mereka mengadakan majlis seperti orang Melayu.
Apabila isu ayam tidak halal timbul ramai yang rasa loya, rasa nak muntah. Rasanya sudah beratus kilogram ayam masuk dalam badan kita.
Sebenarnya isu ini bukan perkara baru. Masyarakat mudah lupa. Tauke ayam lebih mementingkan keuntungan akibat keghairahan dan permintaan tinggi terhadap ayam. Peduli apa halal dan haram! Pemantauan pihak berkuasa pun jarang-jarang atau apabila ada aduan. Alasannya kakitangan penguatkuasa kurang.
Pengguna Islam sebenarnya patut menyalahkan diri sendiri. Mereka mudah terpengaruh dengan harga ayam yang rendah di pasar raya. Kalau harga ayam rendah tentulah ada apa-apa faktor. Jika tidak, jangan harap harga boleh diturunkan.
Bekalan makanan ayam yang murah dari negara jiran bagaimana? Banyak pendapat mengatakan dedak diperbuat dari usus babi(khinzir). Kos memproses ayam boleh dikurangkan dengan seorang pekerja menyembelih 5000 ekor dalam masa dua jam. Bayangkan, bolehkah? Untuk membolehkan ayam mati cepat, mudah saja. Masukkan ayam dalam air yang dialirkan arus elektrik supaya ayam tak meronta-ronta dan cepat mati.
Menyedari persoalan itu, maka ayam organik dikeluarkan. Syarikat HPA(Herba Penawar al Wahida)iaitu syarikat milik orang Islam telah menternak dan memasarkan ayam ini. Ayam ini makan dedak yang dibuat sendiri dengan menggunakan bahan daun mambu, jagung, habbatus sauda dan herba lain. Daun mambu berfungsi menggantikan vaksin biasa dalam ayam konvensional(dalam pasaran biasa). Ayam keluaran Hpa diproses mengikut syariat Islam. Ayam ini kurang lemak, tak bau hanyir, ada herba dan rasanya sedap. Yang penting juga suci, halal dan berkhasiat, tidak membahayakan kesihatan. Lawati website - http://www.hpa.com.my/
untuk maklumat lanjut.

Wednesday, March 25, 2009

Mesyuarat agung PIBG: Apakah silapnya?

Pada masa ini dalam bulan Mac banyak sekolah mengadakan mesyuarat agung PIBG. Saban tahun masalah yang sering timbul ialah kehadiran ibu bapa sangat kurang menggalakkan terutama ibu atau bapa kaum Cina yang anaknya bersekolah menengah. Sebuah sekolah yang muridnya lebih kurang 1500 orang, kehadiran ibu bapa hanya sekitar 100 orang. Banyak cara dilakukan untuk menarik sokongan dan kehadiran ibu bapa,seperti mengadakan cabutan bertuah tetapi masih kurang berjaya. Apakah silapnya?
Pada pandangan saya, ibu bapa Cina banyak yang berniaga atau bekerja sendiri. Mereka berasa rugi jika hadir mesyuarat PIBG lebih dua jam. Siapa yang hendak gantikan masa dengan pendapatan?
Mungkin kita beranggapan mereka terlalu mementing wang ringgit, tidak utamakan sekolah tempat anaknya belajar. Adakah mereka tak utamakan pelajaran anak sendiri? Sebaliknya adakah ibu bapa yang hadir sangat mengutamakan pelajaran anak?
Pengisian majlis PIBG dan Penyampaian hadiah pula mengambil masa yang terlalu lama. Persembahan pelajar yang pelbagai, ucapan yang banyak dan agak lama turut meresahkan ibu bapa yang hadir. Kadang kala jamuan yang diberikan kurang berbaloi, contoh air mineral dan dua keping kuih untuk ibu bapa yang duduk dalam majlis lebih 3 jam. Bagi mereka yang tak ada kerja penting dan suka bermajlis-majlis memang rasa seronok.
Sudah sampai masanya mesyuarat PIBG dan perjalanannya perlu mencari pendekatan yang lain, lebih menarik dan tak banyak menggunakan masa. Masyarakat sekarang mahu sesuatu yang ringkas, padat dan bermanfaat,utamakan yang penting bukan retorik dan tak banyak membuang masa.

Monday, March 23, 2009

Harga sebatang tiang dan gerai di lebuh raya

Sesekali kita nak bercakap-cakap tentang lebuh raya negara kita. Bayaran tol bukan sahaja mahal, harga sebatang tiang pun mahal. Akibat kemalangan di lebuh raya dan melanggar satu batang tiang papan tanda hentian sebelah Pedas-Linggi pada tahun lalu, PLUS menuntut bayaran RM8,600.00. Mahal atau tak? Tuntutan dibuat oleh sebuah syarikat lain yang dilantik pihak berkenaan. Persepsi awal harganya tak sampai RM500.
Walaupun boleh dibayar oleh syarikat insuran kereta saya, tetapi akhirnya saya kena bayar dengan melalui NCD yang balik kadar asal.
Selama ini saya hanya mendengar orang lain bercerita pengalaman sendiri. Sebatang pokok bunga berharga lebih RM1,000 jika kenderaan kita melanggarnya. Mungkin orang lain ada pengalaman yang boleh dikongsi bersama.
* * *

Berhati-hati membeli makanan di gerai, lebuh raya. Ramai tak sedar dan tak perasan gerai milik bukan Islam. Orang Islam membeli makanan kerana melihat pekerjanya pakai tudung. Setelah membeli makanan dan duduk barulah ternampak pemilik gerai adalah bukan Islam bila terpandang nama pemilik. Mungkinkah strategi yang dibenarkan PLUS meletakkan pekerja Islam bagi membolehkan orang Islam membelinya? Nama pemilik begitu kecil dan tulisannya pula hitam.Ramai tak sedar.
Sepatutnya PLUS mesti bezakan dengan jelas. Terserahlah kepada pembeli nak beli atau tidak. Jangan guna strategi yang mengelirukan. Kepada pengguna, berhati-hatilah... Siapakah yang menjamin makanan itu halal?

Saturday, March 21, 2009

Orang kita nak cari apa?

Perjalanan menggunakan lebuh raya pada masa ini tidak menjanjikan suatu perjalanan yang lancar, bergantung pada keadaan dan situasi. Saya sengaja memilih hari bekerja untuk ke utara(Perak)atas urusan keluarga.Menginap satu malam sahaja. Setiap kali berehat di hentian begitu ramai orang, nak letak kereta pun kadang kala ambil masa. Kelihatan ramai orang Melayu, hanya satu atau dua keluarga India dan Cina di celah-celah ratusan orang Melayu.
Orang Melayu nak cari apa agaknya? Mungkin cuti sekolah ambil peluang melancong atau jalan-jalan saja. Mungkin juga seperti saya ada urusan keluarga. Yang pasti, peluang memiliki kenderaan sendiri membolehkan orang bergerak dengan mudah. Ramai yang makan gaji ditambah musim cuti sekolah, mereka membawa anak melancong. Sudah tentu mereka ada wang untuk dibelanjakan.
Bimbang juga apabila difikirkan adakah mereka benar-benar perlu melancong atau jalan-jalan berbanding aktiviti lain. Masyarakat Cina lebih banyak berniaga. Sebab itu sukar mereka hendak berjalan-jalan meninggalkan perniagaan.
Kalau orang Melayu ramai berniaga dan tak melancong atau berjalan-jalan, siapa pula nak penuhkan lebuh raya? Siapa nak jadi pembeli? Adakah orang Melayu jadi pengguna dan pembeli sahaja? Fikirlah...

* * *

Singgah sekejap di Bandar Baru Bangi, masuk ke UKM(Universiti Kebangsaan Malaysia)untuk solat Jumaat. Rasanya sudah 10 tahun tak solat di masjid UKM khususnya sesudah tamat pengajian sarjana di situ. Tak seperti dulu. Silingnya sudah banyak yang berlubang. Keadaan masjid kurang ceria. Khatib yang membaca khutbah tak seperti dahulu. Temanya bagus tentang dakwah. Cuma pendekatan dan penyampaian kurang penghayatan. Tak berapa menusuk pada jiwa kita. Memang tak macam dulu.Adakah UKM sudah ketandusan khatib? Itu sahajakah stok yang ada, yang lain tak lulus tapisan? Kupasan khutbah perlulah menarik jemaah. Suara dan nada khatib juga penting. Pada jemaah kini mungkin sesuai, atau saya yang sudah ketinggalan trend cara berkhutbah di masjid UKM?

Tuesday, March 17, 2009

Jangan hanya pandai cakap sahaja

Isu PPSMI
Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak boleh diserahkan tanggungjawab itu kepada guru saja. Mereka yang menyokong dasar itu diteruskan hendaklah membantu pelajar, bukan sekadar menyokong dengan kata-kata sahaja. Pemimpin dan golongan yang menyokong dasar ini sebenarnaya hanya 'pandai cakap' sahaja.
Saya harap dan meminta pemimpin tersebut tampil ke sekolah memberi ucapan dalam bahasa Inggeris, bukan dalam bahasa Melayu. Pemimpin sama ada menteri, wakil rakyat dan kumpulan yang menyokong perlu wajib adakan program dalam bahasa Inggeris di sekolah. Beban tugas guru di sekolah dalam kurikulum dan kokurikulum banyak menghalang pelaksanaan dan keberkesanan PPSMI.
Setiap kali pemimpin datang ke sekolah merasmikan acara tertentu seperti merasmikan Hari Penyampaian Hadiah, Mesyuarat Agung PIBG dan sebagainya tidak berkomunikasi dan berucap dalam bahasa Inggeris. Mereka sekadar menyatakan pendirian menyokong PPSMI. Cara ini tidak sesuai dan tidak berkesan.
Pemimpin perlu memberi penerangan dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan pelajar. Jika mereka mahir dalam bidang sains dan matematik, bertambah baguslah ilmu itu dapat dikongsi bersama guru dan pelajar.
Begitu juga para pegawai Kementerian Pelajaran perlu memainkan peranan dengan menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris kepada pelajar.
Para pemimpin di segenap peringkat perlu menunjukkan teladan menguasai bahasa Inggeris apabila mereka berpendirian menyokong PPSMI. Begitu juga dalam perhimpunan politik termasuk persidangan parti, konvensyen dan seminar yang dianjurkan oleh mereka. Majlis yang mereka adakan pada masa ini masih menggunakan bahasa Melayu termasuk mesyuarat bahagian dan persidangan agung parti. Jika mereka lakukan pelajar dan rakyat keseluruhan akan nampak mereka benar-benar mempraktikan dasar yang mereka buat sendiri, bukan meletakkan beban pada guru atau pensyarah di institusi pengajian sahaja.
Bagi saya, pengalaman belajar dari sekolah rendah hingga peringkat sarjana di universiti dalam bahasa Melayu tidak menjadi beban membuat rujukan dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris dipelajari sebagai satu subjek dan bahasa kedua masih boleh membantu dalam membuat rujukan. Apabila melancong, tidak ada masalah bercakap dalam bahasa Inggeris dengan rakyat luar negara. Membina blog dan laman web sendiri serta mengemas kini juga boleh dibuat walaupun bahasa dalam internet adalah bahasa Inggeris. Saya mempunyai 3 laman web yang mengisi beberapa bidang ilmu untuk dikongsi bersama dengan pembaca. Adakah mereka yang menyokong dasar bahasa Inggeris mampu membina laman web sendiri? Adakah mereka ini hebat bahasa Inggerisnya? Anda sudah melancong ke luar negara dan berkomunikasi dengan orang Barat?
Kesimpulannya,manusia diukur pada takwanya kepada Tuhan, bukan kebendaan atau penguasaan hebat bahasa Inggeris.Sebab itu nabi mengajar umatnya dengan bahasa kaumnya, bukan bahasa asing (rujuk al-Quran). Penyampaian ilmu lebih mudah dan kaumnya boleh maju. Islam dapat berkembang.

Monday, March 16, 2009

Maulidur Rasul

Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal. Berbagai-bagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini.


Membesarkan Maulidur Rasul dan hubungannya dengan bahasa

SETIAP tahun pada 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia terutama di negara kita akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. atau dikenali Maulidur Rasul dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Baginda merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T setelah nabi-nabi yang terdahulu. Hari keputeraan Rasulullah S.A.W. ini patut dibesarkan untuk memuliakan Baginda dan sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W.

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W., kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.Jika bernazar sesuatu hendaklah dalam rangka tujuan yang baik dan mampu ditunaikan. Jangan bernazar pada perlakuan yang bertentangan dengan Islam.

Pembalasan Allah S.W.T. terhadap kebaikan begitu cepat sehingga terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.T. akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah." Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi S.A.W., maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga." Begitu pula As-Sirri As Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi S.A.W. sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah S.A.W."

Keberkatan mengadakan majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya, termasuk orang yang menyediakan makanan dan minuman jemaah atau yang hadir.

Jalalaludin As-Sayuti berkata: "Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi S.A.W, nescaya Allah S.W.T akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila dia mati, Allah S.W.T akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar Kerajaan-Nya."

Beliau berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi S.A.W melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis Maulid Nabi S.A.W itu."
Demikianlah beberapa hadis, pandangan para sahabat dan ulama tentang maulid nabi.

Ulasan:
Pada setiap majlis yang diadakan jangan membazir sama ada makanan yang mewah, masa dan peruntukannnya. Sesuatu majlis biarlah sederhana tetapi penuh penghayatan. Saya hampir tak pernah dengar penceramah agama menghuraikan cara nabi Muhamad menyebarkan Islam membangunkan umatnya, menggunakan bahasa apa? Nabi menggunakan ibunda kaumnya iaitu bahasa Arab. Bukan bahasa asing. Oleh sebab itu, kalau nak contohi nabi, gunakan bahasa Melayu untuk membangunkan Malaysia. Jangan harap orang Melayu dan rakyat negara ini nak maju jika gunakan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris.Gunakan bahasa kebangsaan.

Saturday, March 14, 2009

Rumah Nik Nur Madihah


Saturday, March 14, 2009
INIKAH ISTANA KEJAYAAN?
Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan dua hari lalu.

Menurut Utusan Malaysia, Nik Nur Madihah -- Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan -- dan keluarganya tinggal di rumah usang ini.

Saya menitis air mata melihat gambar ini. Sewaktu kecil dulu, inilah lebih kurang keadaan rumah di mana saya dibesarkan. Cukup daif.

Alhamdulillah, pendidikan telah mengeluarkan saya dari kitaran kemiskinan. Dulu ayah bekerja sebagai penebang tebu, ibu pula setiap hari mengambil upah di sawah. Saya tahu erti kemiskinan -- ada hari-hari di mana saya dan adik hanya minum air kosong saja sebelum tidur; tanpa nasi dan lauk.

Bukan sedikit air mata ibu mengalir sewaktu membesarkan saya ... Terima kasih, ayah. Terima kasih, ibu.

Petikan laman blog: http://bongkarsauh.blogspot.com

Ulasan:
Setelah 52 tahun merdeka, ramai lagi kehidupan masyarakat yang memerlukan bantuan. Bukan tak mahu berusaha, tetapi tahap kemampuan seseorang berbeza. Sepatutnya perbelanjaan mengadakan berbagai-bagai pesta, karnival, jomheboh dan sebagainya lebih baik disalurkan untuk golongan yang memerlukan. Sambutan tahun baru, sambutan hari raya yang mewah dan macam-macam lagi tak perlu sangat diadakan. Jangan kira apa fahaman politik seseorang itu. Mereka juga rakyat Malaysia yang sah, perlu dibantu terutama daripada korporat, kalangan ahli politik yang hidup mewah dan syarikat GLC yang untung berjuta. Bayangkan gaji ada seorang Pengarah urusan GLC RM425,000 sebulan. Lumayan tak?

Thursday, March 12, 2009

Penggunaan kata justeru

Justeru
Penggunaan justeru tidak tepat kerana sering ditulis atau digunakan pada awal ayat. Justeru dianggap sebagai penanda wacana dan sama makna dengan oleh itu. Makna justeru ialah kebetulan, tepat atau kena benar. Justeru juga bermakna malahan atau bahkan.
Contoh penggunaan justeru yang salah:
i) Banjir kilat sering melanda bandar raya Kuala Lumpur. Justeru itu, kerajaan akan mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasi banjir kilat itu.
ii) Banjir kilat sering melanda bandar raya Kuala Lumpur. Justeru, kerajaan akan mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasi banjir kilat itu.

Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis. Ayat di atas sepatutnya diubah seperti yang berikut:

Banjir kilat sering melanda bandar raya Kuala Lumpur. Oleh sebab itu, kerajaan akan mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasi banjir kilat itu.

Contoh yang betul:
Rakyat bukan sahaja perlu berjimat-cermat ketika kemelesetan ekonomi malah perlu merancang perbelanjaan harian mereka.
Dalam ayat di atas, kata malah tidak boleh diganti dengan justeru.

Tuesday, March 10, 2009

Kompleks beli-belah

Kompleks membeli-belah atau kompleks beli-belah?
Frasa nama kompleks membeli-belah bermaksud kompleks yang melakukan kerja membeli-belah, sedangkan maksud sebenarnya ialah :
tempat tumpuan orang ramai untuk membeli-belah. Bentuk yang betul ialah kompleks beli-belah. Contoh lain:
1. medan letak kereta, bukan medan meletak kereta

Walau bagaimanapun, pusat memancing dianggap betul kerana tempat untuk melakukan kerja memancing ikan dan sebagainya. Pusat pancing pula bermaksud tempat jualan alat pancing.

Sunday, March 8, 2009

Pemikiran Melayu lambat berubah

Apabila melihat pelbagai isu yang timbul di negara ini, satu rumusan yang boleh dibuat ialah pemikiran orang Melayu lambat berubah ke arah yang lebih maju. Isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris(PPSMI) merupakan langkah undur ke belakang. Ini bukan kemajuan, tapi kemunduran kerana kita mematikan bahasa Melayu secara perlahan-lahan.Bagaimana kalau orang Melayu sendiri tak mahu bahasanya menjadi bahasa ilmu hendak minta orang lain menghormati bahasa Melayu? Pada hal bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kebangsaan dan kaum lain tak ada masalah.
Kita lihat soal makanan pula. Sudah banyak ditimbulkan makanan yang tak halal orang Islam termasuk Melayu tak boleh makan. Tapi promosi makanan terlalu hebat mengaburi mata orang Melayu. Tanpa usul periksa yang agak mendalam dan terlalu memandang pada jenama, orang Melayu Islam makan. Restoran berjenama, bungkusan makanan, tawaran harga yang rendah dan sebagainya menjadi daya tarikan orang Melayu membelinya. Kadang kala kerana hendak glamour Melayu sanggup ketepikan soal haram. Makanan yang halal tak diberi perhatian malah dihina pula.
Dalam hal pakaian pun sama juga. Pakaian yang ada jenama, ketat yang menonjolkan susuk badan, singkat hingga nampak perut, dipakai anak-anak Melayu. Ibu bapa seperti memberi sokongan apabila turut memberi wang atau idea pembelian, pemakaian dan cara menggayakan pakaian itu.
Dalam masalah disiplin dan aktiviti yang timbul belakangan ini, ibu bapa lebih banyak menyerahkan soal ini kepada pihak sekolah. Hal mendidik anak-anak wajarlah ibu bapa paling bertanggung jawab. Sekolah bukan kilang mengeluarkan manusia. Sekolah sepatutnya hanya menyampaikan isi dan mengembangkan pelajaran. Mengharapkan sekolah melakukan semua urusan adalah silap.
*Sikap dan pemikiran orang Melayu sepatutnya segera berubah. Tanpa pemimpin yang baik, berakhlak dan bijak agak payah orang Melayu nak berubah segera.Hal ini demikian kerana "orang tak bijak memimpin orang yang bijak".

Friday, March 6, 2009

PPSMI dan sunah nabi

Kita akan menyambut maulidur rasul pada Isnin depan 9 Mac 2009. Dalam negara Malaysia pula sedang hangat isu PPSMI(Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris).
Sudah banyak diperkatakan bahawa umat nabi Muhamad s.a.w hendaklah menghayati peribadi dan perjuangan nabi mengembangkan Islam. Sambutan yang hebat diadakan baik di kampung, bandar atau peringkat nasional. Pelbagai jamuan, ceramah dan program lain diadakan. Persoalannya, sejauh mana orang Islam melaksanakan dan menghayati amalan dan peribadi mulia nabi?
Dalam isu PPSMI, sepatutnya pihak berwajib mencontohi cara nabi. Nabi memajukan rakyatnya menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Arab. Walaupun bahasa Yunani dan bahasa lain sudah pun mempunyai tamadun tersendiri, nabi tak gunakan bahasa asing. Kita pasti sumber kemajuan bukan ada pada budaya dan di tanah Arab saja.
Nabi lebih bijak dengan menggunakan bahasa ibunda Arab. Islam juga dapat dikembangkan kepada seluruh dunia Arab. Langkah nabi tak silap. Kemajuan dapat dikembangkan dengan mudah dan meluas.Jika sunah nabi diketepikan, tunggulah akibatnya.
Di negara kita, bahasa Melayu sudah lama digunakan sebelum dan selepas merdeka. Tak ada masalah. Yang jadi masalah sikap orang Melayu yang menganggap orang Melayu tak akan maju tanpa menguasai bahasa Inggeris.
Sungguh menghairankan mereka yang menyokong PPSMI pun bukan mahir sangat bahasa Inggeris, tak pernah ke luar negara dan hanya di Malaysia saja. Terdapat juga yang mahir bahasa Inggeris tapi sangat berbangga lebih Inggeris dari British!
Alasan yang sumber kemajuan dalam bahasa Inggeris pun tak dapat diterima. Saya pun bukan mahir sangat bahasa Inggeris, tapi boleh membina laman web dan blog yang sudah pasti bahasa komputer bahasa Inggeris. Bahan rujukan boleh kita baca. Tak ada masalah.
Apabila melancong ke luar negara saya boleh berkomunikasi dengan penduduk luar dalam bahasa Inggeris. Mereka boleh faham. Di dalam negara, kita bercakap dalam bahasa Melayu kerana bahasa itu lebih difahami rakyat negara ini.
Penguasaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran bahasa Inggeris di Tingkatan 5 sekolah menengah sebagai asas sudah mencukupi. Kita jangan dera pelajar dengan pembelajaran yang keterlaluan atau memaksa mereka. Bahasa Melayu mesti diutamakan sebagai bahasa kebangsaan dan milik semua kaum, kemudian barulah bahasa kedua yang lain.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...