Sunday, November 28, 2010

Pengkalan Balak dan Port Dickson









Cuti hujung minggu ini Ahad 28 Nov 2010 dipenuhi dengan mengunjungi pantai Pengkalan Balak, Melaka. Sengaja memilih lokasi ini kerana sudah lebih 10 tahun tidak ke situ. Saya menyusuri pantai menghala ke padang kemunting hingga ke Ismah Resort kemudian berpatah balik semula. Berhenti di tepi pantai berhampiran beberapa warong makan.


Cadangan nak membenarkan anak mandi terpaksa ditarik balik. Pantainya agak kotor. Kelihatan air kumbahan warong dan tandas mengalir ke laut dengan jelas. Tapi masih ada orang mandi di pantai, mungkin berjiwa tak kisah atau dah biasa atau tak ada pilihan agaknya.


Warong di situ bertambah dengan banyaknya berbanding 15 tahun dulu. Kelihatan tak terurus, tidak ceria dan hajat nak makan tengah hari terpaksa ditahan seleranya. Saya fikir kerajaan negeri Melaka perlu buat sesuatu. Berbincanglah dengan penduduk dan pengusaha gerai. Pengunjung memang ramai. Mungkin modal dan khidmat nasihat perlu diberikan. Mereka perlu diberi peluang untuk menambah pendapatan atau menjadikannya peluang pekerjaan.


Rumah penginapan/chalet kelihatan tidak ceria. Binaannya begitu rendah dan kurang kemas. Ini juga perlu diberi perhatian. Hasrat nak menginap dibatalkan. Kerajaan negeri Melaka amat wajar beri perhatian kawasan itu, bukan setakat Air Keroh, Dataran Pahlawan. Pantai Pengkalan Balak merupakan kawasan perkelahan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, bukan rakyat bawahan sahaja. Apakah faktor itu menjadi alasan untuk tidak dibangunkan? Kebanyakan rumah penginapan dibina oleh orang kampung di situ.


Saya terus ke Port Dickson. Sudah agak lama tak ke Pantai Port Dickson. Singgah di Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan. Sepi saja, hanya pengawal keselamatan yang ada di pondoknya. Hasrat nak menginap di situ juga gagal. Pengawal memberi tahu bilik kosong masih belum berkemas sebab semalam(Sabtu) baru tamat kursus.Pekerja tak sempat kemas. Hai... semua pekerja cuti agaknya. "Memang resort itu tak mahu duit pengunjung!," keluh saya pada isteri dan anak.


Saya ke Tanjung Biru(Blue lagoon) dekat Tanjung Tuan, merupakan salah satu pantai Port Dickson. Ramai pengunjung pada hari Ahad. Sudah ada bilik air yang baru berbanding dulu. Yang sedih pantainya masih kotor. Kumbahan disalurkan terus hampir dengan kawasan orang ramai manda-mandi dan berkhemah. Pihak yang berkenaan perlu memikirkan cara lain yang lebih baik supaya pantai lebih bersih. Masalah parking kenderaan juga agak kritikal. Ini perlu diatasi kerana kekurangan tempat.

Saya mengambil keputusan untuk pulang tanpa menginap di mana-mana penginapan.




Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...