Monday, October 21, 2013

Melayu Islam semakin ketinggalan?

Pemilihan kepimpinan UMNO 2013 sudah selesai dan keputusannya sudah diketahui. Namun tidak banyak yang hendak diulas tentang pemilihan pemimpin UMNO. Dari segi fizikal tidak banyak yang berubah. Orang Melayu memilih pemimpinnya dalam konteks UMNO bersandarkan dikondaktorkan. Tak payahlah nak bercakap tentang transformasi kerana isinya sama sahaja. Ini tak membimbangkan.

Perkara yang membimbangkan ialah sejauh manakah orang Melayu Islam semakin maju di negaranya sendiri? India muslim, Cina muslim dan muslim lain, program mereka lebih jelas. Sebagai contoh, saya difahamkan restoran India muslim (mamak) dibantu oleh persatuan India muslim dengan aktif sekali. Kalau nak membawa perubahan pada orang Melayu, sebenarnya UMNO mampu buat kerana parti itu menjadi tunjang atau tulang belakang kerajaan sekarang. Jika orang Melayu masih mundur, jangan salahkan PAS, PKR dan DAP(Pakatan Rakyat - PR) mahupun parti lain. PR masih belum menjadi kerajaan pusat. Jangan harapkan PR.
UMNO dan BN mempunyai sumber duit yang banyak kerana parti ini menjadi kerajaan. UMNO boleh melaksanakan agenda perubahan orang Melayu jika benar-benar mahu buat. Namun setelah 56 tahun merdeka orang Melayu masih ketinggalan khasnya dari segi ekonomi. Kita jangan berbangga sangat dengan beberapa tokoh korporat Melayu. Kita kena lihat orang Melayu secara keseluruhannya. Jumlah pemilikan tanah orang Melayu semakin berkurangan. Jumlah premis perniagaan masih tidak dikuasai oleh orang Melayu. Adakah hal ini didiamkan sahaja?

Mentaliti Melayu untuk menerima bantuan BRIM Rm500 atau banyak manapun tak akan mengubah kedudukan Melayu. Bantuan itu hanya untuk meringankan sedikit beban untuk persekolahan anak atau membeli barangan dapur.

Nasib orang Melayu semakin ketinggalan jika dibandingkan bangsa lain kecuali beberapa orang pemimpin atau korporat Melayu. Selain ketinggalan dalam ekonomi, Melayu juga semakin jauh dalam amalan Islam khasnya yang menyentuh soal akidah. Lebih banyak hiburan disajikan, lihat program tv dan pesta di negara ini. Sekadar sambutan Hari Raya, solat di masjid, program agama yang longgar masih belum mencukupi.



Friday, September 20, 2013

Makna perkataan poyo

Poyo adalah ringkasan daripada Bahasa Inggeris iaitu Proud of Your Own...

Poyo ialah perkataan bahasa pasar atau slanga Melayu boleh dikategorikan sebagai kata sifat. Perkataan itu sering digunakan dalam kalangan generasi moden terutama remaja Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia dalam perbualan sehari-hari.

Perkataan poyo ialah slanga yang baru dicipta sekitar 2000-an tidak terdapat di dalam Kamus Dewan dan setakat ini belum ada sebarang kajian akan asal-usulnya. Poyo juga belum mempunyai takrifan khusus dan tepat. Ia lebih kepada perkataan yang digunakan untuk menunjukkan seseorang itu tidak menyukai sifat tertentu atau kelakuan seseorang individu.

Namun begitu, berdasarkan penggunaannya, poyo bermaksud:

Seseorang yang mempunyai watak hambar, tidak asli atau 'original', sedikit menjengkelkan dan kebodoh-bodohan
Seseorang yang berwatakan luar dari norma orang biasa seperti merasakan diri-sendiri bagus, suka temberang dan bercakap luar dari kenyataan

Perkataan itu juga mempunyai persamaan dengan slanga bahasa Inggeris Amerika iaitu 'lame'.

Sunday, September 1, 2013

Berdasarkan, berdasar pada, bergantung kepada dan bergantung pada



1. Berdasarkan dan berdasar pada

2. Bergantung kepada dan bergantung pada



Saya kerap lihat atau dengar penggunaan berdasarkan, berdasarkan kepada, berdasar pada, bergantung kepada atau bergantung pada.

Lihat contoh ayat yang berikut:

1. Keputusan untuk melaksanakan projek itu dibuat berdasar pemintaan penduduk kampung.

2. Keputusan untuk melaksanakan projek itu dibuat berdasarkan pada permintaan penduduk kampung.

Kedua-dua ayat di atas salah kerana kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ber- perlu diikuti oleh kata sendi nama, manakala kata kerja tak transitif berpelengkap ber-…-kan tidak perlu diikuti oleh kata sendi nama.

Penggunaan yang betul adalah seperti yang berikut:

3. Keputusan untuk melaksanakan projek itu dibuat berdasar pada pemintaan penduduk kampung.

4. Keputusan untuk melaksanakan projek itu dibuat berdasarkan permintaan penduduk kampung.

Selain itu, kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ber- perlu diikuti oleh kata sendi nama pada (rujuk ayat 3), bukan kata sendi nama kepada.

Kenapakah perlu guna pada, bukan kepada?

Sebabnya ialah kata sendi nama pada digunakan sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang merujuk tempat bagi perbuatan (sesuatu kata kerja).

Kata sendi nama kepada digunakan di hadapan kata nama yang menyatakan maksud sasaran. Lihat contoh yang berikut:

- Surat itu hendak dikirim pada ayahnya. (salah)

- Surat itu hendak dikirim kepada ayahnya. (betul)



Rumusan:

- Bergantung pada, bukan bergantung kepada

- Berdasar pada, bukan berdasarkan kepada

- Berdasarkan … ( kata nama)

Saturday, August 31, 2013

Tanah tumpahnya darahku atau tanah tumpah darahku?


Ungkapan tanah tumpahnya darahku kurang sesuai berbanding dengan tanah tumpah darahku. Jika tidak silap, tanah tumpah darahku sudah lama digunakan. Apabila diubah tanah tumpahnya darahku dirasakan kurang sesuai dan tepat dari segi tatabahasa.

Tanah tumpahnya darahku agak lewah subjeknya kerana ungkapan asal ialah Malaysia tanah tumpahnya darahku. Tanah tumpahnya tidak sesuai menjadi subjek ayat. Tidak perlu ditambah 'nya' pada kata tumpah.

Ungkapan tanah tumpah darahku bermaksud Malaysia tanah tumpah darahku. Dalam tranformasi ayat tersebut, subjek Malaysia telah digugurkan dan predikat tanah tumpah darahku dikekalkan.

Analisis binaan ayat adalah seperti yang berikut:

Subjek - Malaysia

predikat ayat - tanah tumpah darahku.

Adakah ungkapan itu sudah dirujuk pada DBP(Dewan Bahasa dan Pustaka)? Saya tidak tahu pandangan DBP pula. Pihak yang berkenaan mungkin sudah merujuk DBP?

Thursday, August 29, 2013

Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu

Kemampuan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu masih terus dipertikaikan terutama golongan yang mengutamakan bahasa Inggeris termasuk bekas-bekas pemimpin negara ini, Malaysia. Tahap keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sangat rendah. Hal ini mendorong kebanyakan pemimpin tidak setuju pemansuhan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pendokong bahasa Melayu tidak pernah membantah penggunaan bahasa Inggeris untuk pelajar menimba ilmu. Kita juga mengakui ilmu sains dan matematik banyak ditulis dalam bahasa Inggeris pada peringkat antarabangsa.

Dalam konteks negara kita, bahasa Inggeris dipelajari dan digunakan untuk mendapatkan ilmu di samping bahasa Arab dan bahasa asing yang lain. Untuk tujuan penyebaran ilmu di dalam negara ini, sudah tentu bahasa Melayu yang paling sesuai. Jika kita gunakan bahasa Inggeris, penyebaran ilmu di dalam negara akan menjadi perlahan dan bermasalah. Saya difahamkan penyampaian ilmu sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu menghadapi banyak masalah, apatah lagi jika disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Ibu bapa yang berpelajaran tinggi mungkin tidak menghadapi masalah. Persoalannya, majoriti pelajar negara ini datang daripada keluarga yang bertahap pelajaran rendah atau sederhana. Mereka kekurangan kemudahan sokongan untuk menguasai ilmu berbanding golongan elit atau sosioekonomi yang baik.

Semasa saya melancong di Paris dan Korea, saya dapati sikap rakyat mereka lebih mengutamakan bahasa negara sendiri. Di Paris, pertanyaan dalam bahasa Inggeris tidak dilayan oleh pekedai. Saya terpaksa guna bahasa isyarat semasa hendak membeli roti di kedai. Di Seoul, Korea selatan, kakitangan restoran tidak ramai yang mahir bahasa Inggeris kecuali di kaunter.

Kita wajar memberi sokongan penggunaan bahasa Melayu untuk penyebaran ilmu di dalam negara kita. Negara kita tidak akan mundur jika bahasa Melayu digunakan oleh rakyat. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan. Bahasa Inggeris juga wajar dipelajari dan dimantapkan dalam kalangan rakyat.

Tuesday, August 20, 2013

PTPTN

Harap baca dulu - http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perkasa-ccris-kepada-peminjam-ptptn-tindas-belia-melayu

"Dah pinjam bayarlah!", antara kata yang sering kita dengar atau baca dalam media atau perbualan orang ramai. Semuanya kerana pilihan raya baru lepas dan PRU14 masih lama lagi. Bagi anak-anak orang kaya, anak menteri itu menteri ini, korporat memang mudah bercakap. Mereka tak perlukan PTPTN. Ada antara mereka tak bersekolah di Malaysia.

Hakikatnya, anak orang biasa - anak petani, nelayan, buruh, guru, polis, tentera, kerani, pemandu, terpaksa pinjam PTPTN. Majoriti anak Melayu. Kalau mereka ada duit banyak, tak payah ambil PTPTN. Apabila sudah bekerja, atau belajar 'baru nak hidup' terbeban dengan macam-macam yang nak kena bayar. Bayar kereta, beri duit kepada ibu bapa, sewa rumah, makan minum yang semakin mahal dan sebagainya.

Saya nasihatkan anda, jangan salahkan kerajaan. Sebab anda yang memilih kerajaan ini melalui pilihan raya. Mereka yang masih bersekolah tak mengundi, tapi ibu bapa anda mengundi untuk pilih kerajaan. Kerajaan mempunyai dasarnya untuk menjaga kepentingan rakyat dengan cara begitu: Nak belajar tinggi boleh. Tak ada duit ambil pinjaman. Lepas pinjam bayar.

Pada zaman sekarang, pendidikan adalah perniagaan. Pendidikan yang berteraskan ilmu semata-mata semakin menipis. Ini adalah sebahagian dari dasar yang dibentuk. Janganlah merungut. Bayarlah saja kerana semasa nak meminjam anda dah tahu syarat dan sistemnya. Anda tak banyak pilihan. Jika anda tak bayar, ada peraturan susulan yang akan mengikat anda. Dasar ini anda yang pilih... Tahniah jika anda sudah membayarnya.

Monday, August 12, 2013

Kesesakan ke simpang tol Pagoh



Jika anda pernah melalui jalan dari pekan Pagoh ke Muar, anda mungkin pernah mengalami keadaan sesak dan traffic jam terutama pada musim perayaan atau cuti umum. Foto di atas diambil pada Hari Raya ketiga tahun 2013 lalu. Saya difahamkan pada raya kedua lebih teruk lagi kerana sering diadakana majlis sambutan Hari Raya di Pekembar Pagoh. Kenderaan bergerak perlahan sejauh 2 hingga 3 kilometer hingga simpang nak masuk tol Pagoh. Kira-kira 100 meter sebelum tol Pagoh ialah simpang ke Panchor. Agak sukar kenderaan dari Panchor nak masuk jalan utama Pagoh-Muar. Saya mengambil masa lebih setengah jam untuk melepasi kawasan itu sahaja. Itu pun ada kawalan polis trafik.

Masalah ini berulang pada setiap tahun dan cuti umum. Jika hub pendidikan Pagoh siap kelak, saya percaya kesesakan itu akan berganda teruk. Apakah langkah mengatasi yang dibuat oleh pihak berkenaan? Adakah penduduk Pagoh berdiam diri menyaksikan kesesakan yang teruk walaupun mereka turut mengalaminya?

Wednesday, July 31, 2013

Oleh kerana atau oleh sebab

Dalam bahasa Melayu, penggunaan rangkai kata oleh kerana tidak tepat. Penggunaan yang betul ialah oleh sebab. Kata sendi oleh tidak boleh diikuti kata hubung kerana.

Kata sendi oleh hanya boleh diikuti dengan kata sebab. Kata sebab merupakan kata nama yang mewakili sesuatu perkara, situasi, konsep dan sebagainya.



Contoh yang betul:


Remaja perlu menghormati orang yang lebih tua, manakala orang tua pula wajarlah menyayangi remaja. Oleh sebab itu, remaja hendaklah diasuh sejak peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati orang tua.



Contoh yang salah:


Remaja perlu menghormati orang yang lebih tua, manakala orang tua pula wajarlah menyayangi remaja. Oleh kerana itu, remaja hendaklah diasuh sejak peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati orang tua.

Sunday, July 28, 2013

Terowong di bawah lebuh raya PLUS

Sebuah terowong di bawah lebuh raya PLUS di Kampung Sari Baru, Pagoh, Muar sudah lama wujud sejak adanya lebuh raya PLUS. Terowong itu panjangnya lebih kurang 50 meter menjadi laluan utama keluar masuk penduduk ke jalan utama Muar-Pagoh. Dari jalan utama kita akan lalu terowong dan kampung pertama yang ditemui ialah Kampung Sari Baru, diikuti Kampung Seri Makmur, Panjang Sari, Seri Meranti, Yukam atau Pangkalan Bukit dan Lubuk Bakul.
Pada masa ini penduduk semakin bertambah dari sehari ke sehari dan bilangan kenderaan semakin meningkat. Pada masa dulu penduduk rata-rata menaiki basikal dan sedikit motorsikal serta kereta.

Perkara yang terus menghairankan kita ialah saiz terowong masih tetap sama. Untuk makluman, terowong itu tidak boleh dilalui dua kereta sekali gus. Maksudnya, jika ada dua buah kereta, sebuah perlu tunggu untuk memberi laluan kereta lain, mana yang terdahulu. Lori yang jenis 6 tan memang tak boleh lalui terpaksa melalui estet Pangkalan Bukit.
Terowong ini mengundang bahaya bagi setiap orang yang lalu sangat berisiko tinggi. Sepatutnya penduduk meminta pihak kerajaan dan PLUS membina laluan atas (fly over) lebuh raya yang lebih selamat untuk kepentingan ramai.

Sikap penduduk yang bersabar lebih 20 tahun tanpa menggesa pihak yang bertanggung jawab mungkin menjadi faktor terowong itu tidak berubah hingga sekarang. Dahulu terowong itu berkongsi laluan kabel elektrik dan air. Adakah hal yang sama masih begitu? Saya tak pasti.

Penduduk di Kampung Sari Baru dan kampung berdekatan perlukan laluan yang selesa dan selamat. Alangkah beruntungnya penduduk Kuala Besut menerima limpahan projek lebih RM500 juta dalam sekelip mata yang dijanjikan oleh BN baru-baru ini kesan PRK 24 Julai 2013 berbanding dengan masalah penduduk di dalam kawasan Pagoh itu.

Sejak ibu meninggal dunia, dan bapa berpindah ke tempat lain, saya agak jarang pulang ke kampung asal kecuali Hari Raya atau menemui saudara mara yang masih mengenali saya. Sempena Hari Raya tahun ini 2013 saya teringatkan kampung asal. Rumah keluarga yang asal pun dah tak ada. Rakan sebaya pun semakin berkurangan kerana dimamah usia dan ramai yang sudah menghadap Allah.

Saturday, July 6, 2013

Perpaduan Melayu Islam mesti berteraskan Islam

Rampasan kuasa oleh pihak tentera Mesir daripada Presiden Morsi sangat mendukacitakan. Hal ini disebabkan presiden itu dipilih secara sah melalui proses demokrasi iaitu pilihan majoriti rakyat Mesir.

Dari segi pandangan umum, kejayaan dan penubuhan sebuah kerajaan rupanya perlu bergantung pada perpaduan orang Islam itu sendiri. Perpaduan orang Islam mesti dikukuhkan terlebih dahulu dan diikuti sokongan bukan Islam bagi menstabilkan sesebuah kerajaan.

Di dalam sesebuah negara yang majoriti penduduknya orang Islam, orang Islam sendiri tak mahu mengambil ajaran Islam sepenuhnya dalam urusan pentadbiran. Mereka menggunakan pendekatan cara Barat walaupun tak selari dengan Islam. Hanya urusan nikah kahwin ikut Islam. Solat, puasa, fardu haji, zakat,mandi wajib mahu ikut Islam. Tetapi apabila menyentuh hukum hudud tak mahu ikut Islam. Malah hukum yang ada di dalam al-Quran tidak dijelaskan kepada masyarakat dengan meluas. Kesannya, pengetahuan dan pemahaman orang Islam tentang hukum ini amat cetek. Apatah lagi orang bukan Islam...

Saya pernah berbual dan bertukar pendapat dengan rakan bukan Islam yang faham. Mereka menyokong pelaksanaan hukum hudud kerana ada kebaikan. Menurutnya, undang-undang dari Tuhan tentulah lebih baik dari undang-undang yang manusia buat.

Persoalannya, bagaimanakah nak mencapai perpaduan orang Islam? Perpaduan orang Islam boleh dicapai hanya dengan melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini. Selagi ada orang Islam termasuk pemerintah tak mahu mengambil semua dan melaksanakan perintah Allah, sukar nak lihat umat Islam bersatu padu. Oleh itu pilihlah cara hidup Islam sebagaimana nabi s.a.w lakukan.

Dalam konteks Melayu Islam di Malaysia, perpaduan boleh dicapai jika orang Melayu menggunakan landasan agama Islam. Landasan dan cara hidup lain tidak boleh menjamin keutuhan perpaduan. Ajaran Islam tidak boleh diambil sebahagian saja, manakala sebahagian yang lain tidak dipedulikan. Sebagai contoh hukum hudud, orang Melayu Islam masih takut membincangkannya apatah lagi melaksanakan. Tahnian kepada orang Islam di Aceh yang sudah melaksanakannya.

Orang Melayu Islam haruslah menjadi contoh kepada orang Islam lain - Cina Islam, India Islam termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak. Contoh yang perlu ditunjukkan ialah dalam mengamalkan ajaran Islam bukan saja dalam solat, puasa, nikah kahwin, menunaikan fardu haji, bermasyarakat. Bukan itu saja, Melayu Islam mesti berjaya dalam perniagaan, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Wednesday, June 19, 2013

Muar perlu ada airport

Sebuah airport( lapangan terbang) perlu diwujudkan di Muar. Lokasi yang sesuai ialah kawasan yang dekat dengan Kem Polis Bakri. Pembangunan Muar yang terletak di utara Johor sangat pesat dan penduduk juga bertambah dengan cepat.
Difahamkan airport yang digunakan oleh pihak Kem Polis di Bakri dimiliki oleh Jabatan Penerbangan Awam. Airport ini boleh diperbesar untuk kegunaan PDRM dan pesawat komersial. Pihak Airasia, Firefly atau Malindo boleh menjalankan perkhidmatan untuk domestik dan antarabangsa.
Mungkin ada yang menganggap cadangan ini tak logik kerana airport Senai dan Batu Berendam Melaka sudah ada. Namun saya berpendapat sudah sampai masanya Muar ada airport yang akan memberi kemudahan kepada penduduk termasuk Batu Pahat, Kluang dan Segamat. Untuk keselesaan rakyat, satu jalan baru perlu dibina dari Batu 11 Jalan Muar - Pagoh dekat estet Kim Kee terus ke airport itu yang berdekatan dengan Kem PDRM Bakri. Laluan ini mendekatkan jarak airport dengan lebuh raya PLUS melalui tol Pagoh. laluan ini tak perlu mengganggu trafik pekan Bukit Pasir mahupun bandar Muar.
Projek Hub Pendidikan di Pagoh apabila siap kelak sudah tentu memerlukan kemudahan pengangkutan udara yang berdekatan. Selain itu, bandar Muar sebagai Bandar Diraja memerlukan prasarana yang lebih banyak di samping merancakkan pembangunan ekonomi penduduk.

Thursday, June 6, 2013

Masalah dan bahaya jalan raya di Malaysia

Antara masalah dan bahaya jalan raya di Malaysia ialah paku atau skru bertabur di atas jalan raya.
Pihak berkuasa terutama polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) hendaklah bertindak terhadap orang tertentu yang menaburkan paku atau skru di jalan raya. Tayar yang bocor akibat tercucuk paku atau skru amat membahayakan pengguna jalan raya. Perbuatan menaburkan benda itu merupakan satu jenayah.
Ramai pengguna menghadapi masalah ini. Mungkin mereka melakukan jenayah ini ingin mencari keuntungan dengan cara yang mudah. Apabila tayar bocor dalam perjalanan, pengguna akan menghubungi bengkel kenderaan dan khidmat lori penunda diperlukan. Pengguna terpaksa menanggung kos yang dikenakan dan membahayakan kenderaan lain.
Pihak polis dan JPJ hendaklah mencari jalan mengesan pihak yang sengaja menabur paku atau skru itu. Orang ramai mahu agensi kerajaan bertindak kerana pengguna membayar insuran dan cukai jalan setiap tahun. Mereka wajar dilindungi ketika berada di jalan raya.

Saturday, June 1, 2013

Kempen boikot beli barangan dan tawaran Pakatan Rakyat

Sejak negara ini merdeka sudah 56 tahun, belum pernah kita lihat kempen boikot sesuatu produk benar-benar berkesan dan tidak menampakkan kejayaan. Apakah sebabnya tidak berkesan?
Terbaru ialah kempen boikot produk barangan orang Cina selepas PRU13 (Pilihan raya ke-13). Orang Cina sudah menguasai perniagaan barangan dan perkhidmatan di negara ini. Orang politik pun bergantung harap kepada orang Cina untuk bekalan barang. Banyak projek yang dibuat oleh BN(Barisan Nasional) kadang kala dilakukan oleh peniaga Cina dari segi bekalan barang, sumber bekalan dan sebagainya. Kadang kala projek itu mungkin 'dialibabakan'.
Kempen boikot sesuatu perniagaan yang diusahakan oleh rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan kaum lain tidak sesuai. Semua kaum di Malaysia saling memerlukan.
Perkara yang paling mustahak ialah kaji keperluan setiap kaum. Kurangnya sokongan orang Cina kepada BN bukan kerana nama parti. Orang Melayu khasnya di kawasan bandar dan pinggir bandar semakin kurang menyokong BN. Mereka lebih tertarik tawaran yang diberi oleh Pakatan Rakyat(PR).
Rakyat mahu rasuah dihapuskan, tol percuma, PTPTN percuma, harga minyak lebih rendah, harga kereta lebih rendah, harga air lebih rendah, Astro lebih murah, pendidikan percuma, bantuan kepada semua jenis sekolah dan AES dihapuskan.
Jika BN boleh menawarkan sama dengan PR itu, saya percaya sokongan kepada BN akan bertambah. Tetapi sesuatu yang sukar ditiru oleh BN ialah kehidupan pemimpin PR lebih sederhana. Lihat kediaman pemimpin PAS seperti Menteri Besar Kelantan. Sanggupkah pemimpin BN hidup sederhana macam pemimpin PR?

Saturday, May 11, 2013

Apa lagi yang rakyat mahu?

Selepas pilihan raya 2013 (PRU13) banyak soalan dibangkitkan oleh berbagai-bagai pihak. Pihak BN(Barisan Nasional) begitu seronok menang tetapi jumlah kerusi parlimen turun kepada 133. Pihak PR(Pakatan Rakyat) kurang senang kerana jangkaan menang tetapi hanya dapat 89 kerusi bertambah 7 kerusi berbanding PRU12 tahun 2008.

Saya lebih suka menyatakan apa lagi yang rakyat mahu? Sudah tentu rakyat mahu tidak ada rasuah, tidak ada penyelewengan pentadbiran, minyak turun harga, tol dihapuskan, PTPTN dihapuskan, harga kereta lebih murah, Astro lebih murah, harga air murah atau percuma, dan sebagainya.

Rakyat juga mahu keadaan harmoni, tidak ada sentimen perkauman, dan slogan perpaduan tidak hanya slogan dan nyanyian sahaja tetapi dipraktikkan. Masa sekarang dan akan datang bukan masanya kita memburukkan kaum lain atau bukan masanya menanamkan rasa benci kaum lain. Bagi saya tidak ada prasangka orang Cina menguasai Malaysia dan tidak ada usaha tindas Melayu. Kita perlu bersatu padu membina dan memajukan negara.

Thursday, May 2, 2013

Guru lama berasa kecewa

Saya diberitahu dan difahamkan guru-guru merasa kecewa yang sudah berkhidmat lebih 25 tahun masih dalam DG44 tidak banyak beza dari segi gaji dan gred dengan guru dah mencapai 8 tahun berkhidmat. Masalah ini bagi kes guru yang lepasan maktab kemudian menyambung belajar di universiti atau disebut PPPLD(Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma). Mereka berada pada gred DG44 dan apabila masuk DG48 nanti gaji mereka semakin rapat jurangnya apabila mencapai time based.

Bagi guru yang berkhidmat 5 tahun dan mendapat peluang menjadi guru Tingkatan 6, jarak gaji dengan guru yang arus perdana (bukan Tingkatan 6) lebih jauh jaraknya.

Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu menyemak semula hal ini. Saya tidak pasti sama ada hal ini sudah dalam tindakan pihak yang bertanggung jawab atau tidak. Jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan nanti, diharap perkara ini dikaji dan dinilai semula.

Monday, April 22, 2013

Orang kampung dulu, kini dan mungkin selamanya

Saya nak fokus pada orang kampung. Dalam konteks Malaysia, kehidupan di kampung agak sinonim dengan cara hidup sederhana, ala kadar, dan serba kekurangan pada sesetengah tempat. Corak dan gaya kehidupan seperti itu sangat menyeronokkan pemimpin politik yang menguasai kerajaan sejak negara kita merdeka hingga sekarang. Corak itu menjadi modal berkesinambungan untuk menawarkan pembangunan. Pembangunan yang hendak dibawa ke kampung menjadi impian orang kampung yang tak ada kesudahannya. Sebab itu pemimpin politik akan bertanding pilihan raya dengan memilih kawasan selamat iaitu kampung, luar bandar atau felda. Beranikah mereka bertanding di bandar?

Orang kampung sangat berbangga termasuk kawasan Felda dengan adanya jalan raya, elektrik, bekalan air, balai raya , masjid, bantuaan baja, bantuan persekolahan dan sebagainya. Tetapi mereka tak sedar itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada jumlah peruntukan. Hasil yang diperoleh para pemimpin politik serta proksinya jauh lebih besar.

Masalah sosial di kampung tak kurang hebatnya dengan masalah di bandar. Pembangunan yang ditabur ke kampung tidak selari dengan aspek rohani dan amalan Islam bagi orang Islam. Sekadar membina masjid, mengadakan sambutan maulid, program rutin agama seperti marhaban tidak membina jiwa Islam sebenar. Kita bukan nak lihat syiar Islam tetapi lebih dari itu ialah syariat Islam diterapkan dalam kehidupan orang kampung.

Pemikiran orang kampung dijauhkan daripada memahami konsep negara Islam, hukum hudud, dan ekonomi Islam yang luas. Penghayatan al-Quran dan Hadis hanya mengambil bahagian kecil atau yang disenangi para pemimpin politik.

Orang kampung kena berubah.Tak boleh selamanya berkeadaan demikian. Pilih pemimpin atau parti politik yang menjanjikan dasar pemerintahan berasaskan Quran dan Hadis untuk mentadbir negara ini. Pembangunan material, sosial, ekonomi ada terangkum dalam al-Quran dan hadis. jangan bimbang!

Thursday, March 28, 2013

Catatan melancong di Sydney, Australia

Semasa di Sydney, Australia pada 22-26 Mac 2013 saya sempat bertemu dengan chef Melayu sebuah restoran yang dipunyai oleh adik seorang Ketua Menteri (Malaysia). Selama ini hanya tahu dari mulut orang lain. Chef itu berasal dari Singapura. Beliau sudah menetap dan menjadi warganegara Australia hampir 40 tahun. Beliau sering pulang ke Perak kerana keluarga mertua di Perak. Katanya, beliau berhijrah untuk mencari penghidupan yang lebih baik. Beliau mempunyai banyak pengalaman sebagai chef di beberapa hotel di Johor dan Singapura sebelum berhijrah ke Australia.

Di hotel tempat saya menginap sepanjang di Sydney, ada seorang pemuda selaku pegawai di hotel itu berasal dari Pahang. Sudah 6 tahun menetap di Australia. Saya mengambil kesempatan bersembang dengannya. Dia fasih berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu (gaya sebutan Australia). Tawaran bekerja di Sydney diterima setelah permohonannya berjaya pada 6 tahun dahulu.

Saya difahamkan banyak hartanah di Sydney yang dimiliki oleh orang kenamaan dan tauke besar Malaysia. Hebat... belum sebut di Canberra, Perth, Melbourne dan tempat lain.

Saya dapati bangsa Cina sudah lama menetap di Sydney sama ada mereka Cina Malaysia, Indonesia dan lain-lain. Begitu juga kaum lain termasuk negara Arab. Mereka berhijrah untuk mencari rezeki dan masa depan yang lebih baik mengikut cita-cita masing-masing. Tahniah bagi mereka yang berjaya.

Bumi Allah ini luas dan wajar diterokai. Sempadan negara dan politik menyebabkan batasan hubungan walaupun kita bernaung di bawah langit yang sama.

Melancong ke Australia









Melancong ke bumi kanggaro memperlihatkan sesuatu kelainan dan pengalaman yang berbeza berbanding ke negara Barat atau Asia timur seperti China atau Korea. Lawatan ke Australia terkemudian dari lawatan ke beberapa negara Barat. Tak mengapa kerana kita merancang, Allah yang mengaturkan dan menentukan.

Bertolak dari KLIA pada malam 22 Mac 2013 dan sampai ke airport Sydney pada pagi 23 Mac 2013. Selama 8 jam dalam pesawat, lebih kurang masa jika kita Jeddah, Arab Saudi.

Saya dapat saksikan bangunan Opera seperti paruh burung. Di Sydney ada China Town. Kaum Cina sudah lama mempunyai petempatan di sana. Bangunan Market City, saya difahamkan telah dimiliki oleh pelabur Cina dari Singapura. Hampir 90% yang berniaga di Market City ialah kaum Cina. Berhampiran Market City saya melihat ada bangunan dicatatkan telah dibina tahun 1921. Malah ada yang lebih awal tarikh itu di China Town. Pemandu pelancong juga orang Cina berasal dari Indonesia. Orang Cina Indonesia juga mempunyai premis perniagaan seperti restoran.

Saya menemui seorang chef restoran muslim yang berasal dari Singapura. Isterinya berasal dari Perak. Katanya sudah hampir 40 tahun menetap di Australia dan sudah menjadi warganegara di negara itu. Katanya terdapat komuniti muslim di Sydney termasuk orang Melayu. Terdapat kuliah agama yang dijalankan oleh masjid di Sydney dan ada perjumpaan komuniti muslim. Saya ucapkan tahniah kepadanya sebab sanggup berhijrah ke rantau orang demi mencari penghidupan yang lebih baik. Katanya dia sering ke Malaysia khasnya ke Perak kerana keluarga isterinya ada di sana.

Penduduk Australia juga berbilang bangsa seperti Malaysia. Pada pandangan saya, orang Cina lebih ramai berbanding bangsa lain dan mereka aktif berniaga. Mereka berhijrah lebih awal.

Saya difahamkan banyak hartatanah seperti premis bangunan dimiliki oleh orang Malaysia. Antara yang disebut ialah bangunan milik adik kepada seorang Ketua Menteri dari Malaysia nilainya ratusan juta.

Australia terkenal dengan haiwan kanggora dan koala. Lawatan ke koala Park sangat bermakna kerana dapat 'beramah mesra' dengan haiwan itu. Anak saya memberikan sedikit roti. Wah, suka sangat haiwan itu. Rupanya haiwan ini suka roti. Masalahnya koala lebih banyak tidur kurang hiraukan pengunjung berbanding kanggaro.

Pemandangan di Harbour Darling sangat menarik terutama pada waktu malam. Hiasan lampu yang menyinari kawasan air, kapal-kapal, bot pelancong berlabuh dan aktiviti pernigaan yang tersusun sangat menarik.

Begitu juga pemandangan di Blue Moutain memberikan panorama alam semula jadi yang cantik. Kita boleh naik skyway macam kereta kabel(cabel car) di Langkawi. Kita dapat melihat pemandangan sekitar di Sydney.

Kalau tak silap di Sydney ada 10 buah masjid. Salah sebuah masjid yang saya singgah untuk solat ialah masjid al Malik Faisal berdekatan kawasan perumahan penduduk. Saya sempat membaca beberapa aktiviti yang dijalankan oleh masjid itu pada papan notisnya. Mereka juga sedang mengumpul dana untuk membantu pembinaan masjid dan madarasah lain untuk kegunaan umat Islam di sana. Baguslah.

Banyak perkara boleh diperkatakan tentang Sydney. Kita harus melihat perkara yang positif dulu. Kalau nak cari kelemahan atau masalah masyarakat memang ada di mana-mana negara. Orang malaysia perlu mengambil kesempatan dan belajar sesuatu dari Australia. Peluang berniaga tetap wujud dan harus direbut oleh generasi muda Malaysia. Janganlah kita memikirkan perkara yang remeh tetapi diperbesar seolah-olah perkara penting terutama dalam masyarakat Melayu. Hiburan yang keterlaluan masih menguasai masyarakat Melayu. Jika kita hanya duduk dalam negara, kita tak dapat membuka minda kita untuk belajar sesuatu.


Sunday, March 17, 2013

GURU BERKELULUSAN IJAZAH SARJANA DAN PHD

Perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan agar guru yang mempunyai kelayakan ijazah sarjana dan doktor falsafah(PhD) sudah lama dilakukan. Mereka berharap kerajaan memberikan dua atau tiga kenaikan gaji bagi pemegang ijazah itu. Mereka sudah memohon dengan menggunakan saluran yang betul iaitu melalui kesatuan guru. Kesatuan guru yang agak berusaha untuk membawa cadangan itu ialah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP) Malaysia. Kesatuan guru yang lain rasanya tidak boleh diharapkan sangat. Yang menyedihkan ada kalangan mereka masih tidak menjadi ahli mana-mana kesatuan guru. Saya harap guru menjadi ahli kesatuan guru khasnya KPPK.

Saya difahamkan usul itu sudah lama berada di peringkat JPA(Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia) dan dari dahulu sampai kini masih disimpan tanpa apa-apa perubahan. Saya tidak tahu dan tidak pasti sama ada KPPK masih aktif mengusulkan hal ini.

Apakah saluran lain yang boleh membantu golongan guru berkenaan? Setakat ini tidak ada pihak yang membantu, malah mereka dibidas kerana ijazah sarjana dan doktor falsafah tidak menjadi syarat pelantikan guru sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Syarat kelayakan tertinggi ialah ijazah sarjana muda atau bachelor. Perkara ini memang difahami oleh golongan guru.

Walau bagaimanapun, perubahan alam pendidikan dan kerjaya menuntut semua guru meningkatkan akademik untuk keperluan diri, masyarakat dan negara. Dunia pendidikan juga perlu selari dengan perkembangan semasa.

Tidak mengapalah jika pihak JPA tidak memberi maklum balas atau menolak permohonan mereka yang sudah lama ditunggu. Jika pimpinan Pakatan Rakyat sudi untuk membaca posting ini, diharapkan mungkin dapat menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk pemegang ijazah sarjana dan PhD daripada kalangan guru.


Saturday, March 16, 2013

Mukim Bakri masih kurang membangun

Mukim Bakri, Muar masih kekurangan projek pembangunan yang baru jika dibandingkan dengan Pagoh dan Tangkak. Di Pagoh,difahamkan kerajaan dalam proses membina hub universiti, sekolah berasrama penuh, pusat latihan pertanian dan berbagai-bagai lagi. Di Tangkak pula, sudah lama wujud Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran, Institut Perindustrian, Kolej Kemahiran Tinggi Mara(di Serom) dan bandar baru Tangkak.
Maktab Teknik Polis dan Pasukan Gerak Am (PGA) serta MRSM sudah lama wujud. Pulapol yang menumpang di kompleks Kem Polis Bakri khabarnya sudah pindah ke Segamat.
Ternyata Mukim Bakri semakin ketinggalan jika dibandingkan dengan mukim lain. Kerajaan perlu memberi perhatian dalam hal pembangunan mukim ini. Kewujudan kilang-kilang yang banyak di Bakri seperti Parit Ulu dan di kawasan Batu 8 hanya menyebabkan kebajiran pendatang asing bekerja saja. Lihat saja keadaan pekan Bakri terutama pada hari minggu.
Jika kerajaan wujudkan projek pembangunan baru, banyak faedah yang akan diperoleh penduduk Bakri. Penduduk tempatan boleh merancakkan peluang berniaga seperti kedai makan atau warung. Pembinaan kedai berhadapan MRSM terlalu sedikit dan peluang berniaga untuk orang tempatan masih kecil.
Kerajaan wajar menambah dan menempatkan institusi latihan di mukim Bakri sebagaimana pekan Tangkak. Institusi latihan seperti Maktab Perguruan, Kolej Matrikulasi, perubatan dan lain-lain dapat menarik kedatangan pelancong khasnya rakyat tempatan.

Saturday, February 23, 2013

Layanan kepada orang awam oleh klinik kesihatan kerajaan

Masalah yang agak kecil tapi masih berlaku di klinik kesihatan atau hospital kerajaan ialah masalah layanan yang sesuai kepada orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan. Beban tugas kakitangan bertambah dari semasa ke semasa disebabkan peningkatan orang awam yang datang untuk mendapatkan rawatan. Beban tugas juga disebabkan tuntutan khidmat masyarakat yang diarahkan kepada kakitangan klinik dan hospital atas permintaan orang politik terutama musim nak pilihan raya seperti sekarang hampir PRU13.

Saya mungkin antara orang yang menjadi mangsa keadaan itu. Pada Khamis 21 Feb 2013 pukul 3.15 petang ke klinik kesihatan Bakri, Muar. Apabila sampai giliran saya diambil tekanan darah, nurse (jururawat) bertugas memasangkan alat BP(tekanan darah). Setelah mengepam alat itu, dia tinggalkan saya dalam keadaan alat itu masih berfungsi. Nampaknya dia seperti sibuk menguruskan sesuatu di bilik lain, tak tahu apa urusannya. Kemudian datang kakitangan lain(lelaki) berpakaian coklat cair menanggalkan alat BP dan mencatatkan bacaan BP. Saya agak lelaki itu driver ambulans klinik berdasarkan warna baju yang dipakai. Selepas itu, barulah boleh jumpa doktor.

Sebelum itu ialah giliran anggota polis berpangkat lanskopral berdasarkan tanda pangkat pada pakaian. Dia mendapat layanan mesra dari nurse tadi. Nampak sangat layanan berpilih-pilih mengikut kedudukan atau status orang. Sudah menjadi kebiasaannya, saya berpakaian simple, berselipar, dan kalau boleh orang tak tahu status kita.


Begitulah keadaan yang dapat diperhatikan dan dialami. Mungkinkah kesibukan kakitangan klinik menjadikan kualiti layanan kepada orang awam yang tidak ada pangkat atau orang biasa menurun? Mungkin ini hanya persepsi saya.


Saya sering menasihati tiga orang anak (sebagai doktor di luar negara) apabila bertugas penuh dedikasi, bersabar dan memberi layanan yang saksama. Orang ramai yang datang memerlukan khidmat perubatan wajar dilayan dengan baik walaupun bertugas di luar Malaysia. Prinsipnya, mereka tak akan datang ke klinik dan hospital jika tak ada masalah kesihatan. Fikirkan nilai kemanusiaan dan tanggung jawab.

Tuesday, February 19, 2013

Saman ekor oleh polis trafik

Seorang kawan memberitahu dia kena saman ekor oleh polis trafik di Jalan Abdul Rahman, Muar sebulan lepas. Baru saja dapat notis saman(hari ini). Kesalahannya memandu 83 km/jam dan kawasan itu had laju 60 km/jam. Samannya RM150 . Lepas 2 minggu tak bayar naik RM200. Lepas sebulan RM300. Jalan Abdul Rahman, Muar bukan jalan yang sibuk sangat.

Pada masa ini mana ada kenderaan dipandu 60 km/jam terutama apabila tak banyak kenderaan. Pada masa itu nak ambil anak di sekolah, dah lewat. saman ekor mana tahu masalah orang.

Kesimpulan oleh kawan itu, pilihan raya ini nak undi PR(Pakatan Rakyat). BN(Barisan Nasional) zalim.

Sunday, February 17, 2013

Kehidupan ayam sudah berubah kini, apatah lagi manusia.

Seekor ayam terpaksa melupakan masa rehatnya pada waktu malam demi kelangsungan hidup dengan mencari rezeki walaupun bukan tabiatnya yang asal.

Pada waktu malam, ayam biasanya tidak aktif dan berehat di reban atau di pokok tertentu. Ayam itu tak mahu berehat dan tak mahu melepaskan peluang mencari makanan di sebuah warung di Parit Keroma Jalan Abdul Rahman, Bandar Maharani Bandar DiRaja Muar, Johor malam tadi. Ayam itu semakin berani dan mendekati pelanggan yang makan di warung. Tapi sukar ditangkap. Peribahasa Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mungkin dah tak sesuai lagi. Tambah lagi - Kais malam makan malam. kalau ayam itu boleh bercakap, haiwan itu akan mengatakan kos hidup sudah meningkat terpaksa kerja lebih.

Harga barang keperluan terus meningkat dengan mendadak telah menyebabkan kebanyakan orang melakukan dua kerja dalam sehari. Contoh, harga sup ekor RM7.00 semangkuk. Beras 5 kg sekampit sudah ada macam-macam harga. Paling rendah RM14 bagi 5 kg. Kualiti kehidupan semakin turun. Masa rehat berkurangan . Masa bersama keluarga juga semakin singkat.

Saturday, February 9, 2013

Ciri-ciri kerajaan yang hendak dipilih

Pilihan raya setiap lima tahun sekali memberi peluang rakyat mengundi parti mana yang hendak diundi. Parti yang menang majoriti akan menjadi kerajaan.

Ciri-ciri parti dan pemerintah yang hendak kita pilih:

1. Dasar parti hendaklah berasaskan al-Quran dan Hadis nabi

2. Memperjuangkan Islam, dakwah tetapi tidak menghalang amalan agama lain.

3. Mengutamakan kebajikan rakyat, bukan kelompok pemimpin

4. Bekerjasama dengan kaum dan penganut agama lain.

5. Pemimpin parti tidak mengambil bahagian dalam perniagaan.

6. Keperluan rakyat tidak diniagakan seperti pendidikan, kesihatan .

7. Tidak bekerjasama dengan pihak yang menentang Islam secara langsung dan tak langsung

8. Pemimpin perlu menjaga akhlak termasuk keluarganya, berpakaian menutup aurat bagi yang Islam, contohnya isteri dan anak-anaknya bertudung supaya menjadi role model kepada rakyat.

9. Tidak membenarkan orang asing membeli tanah di Malaysia

10. Kemajuan negara dan kepentingan kerohanian hendaklah selaras.

Friday, January 18, 2013

Soal jawab penyokong menjelang pilihan raya 2013

Jika kita rajin mengikuti perbualan orang ramai menjelang pilihan raya, berbagai-bagai pendapat dapat didengar. Pendapat itu biasanya lahir berdasarkan sokongan kepada parti masing-masing. Ikuti antara isi perbualan mereka. PR bagi penyokong Pakatan Rakyat, BN bagi penyokong Barisan Nasional.(Perhatian: Saja suka-suka nak kurangkan stress pilihan raya)

1. Kamera AES:
BN - Baguslah kerajaan adakan AES. Dapat kurangkan kemalangan jalan raya.
PR - AES menjadi sumber BN dapat duit melalui syarikat yang ditubuhkannya. Bukan nak kurangkan kemalangan jalan raya. Polis sudah ada unit trafik.

2. Saman trafik:
PR - makin banyak saman trafik kini.
BN - Dah kena saman, bayarlah. Siapa suruh pandu kereta laju. padan muka...

3. PTPTN :
PR - PTPTN akan dihapuskan jika PR memerintah kelak.
BN - Negara boleh brangkrap jika hapus PTPTN. Dalam dunia ni mana ada benda free. PTPTN mendorong pelajar belajar sungguh-sungguh. Jangan jadi bangsa harapkan subsidi.

4. Harga barang naik :
PR - Harga barang terus naik. Syarikat kroni yang menyebabkan harga melonjak. Rakyat tak banyak pilihan.
BN - Harga barang mana ada nak turun. Jangan beli barang yang mahal.

5. Parti mana yang akan menang:
PR - PR akan menang PRU 13. Sokongan makin meningkat. Isi Buku Jingga PR sangat bagus.
BN - BN akan menang lagi . Tak percaya, tengoklah. BN dah banyak buat pembangunan. Majoriti Melayu masih sokong BN. Melayu tak suka DAP yang berkawan dengan PAS.

6. Harga minyak petrol:
PR - Harga petrol turun jika PR menang PRU13.
BN - Negara akan muflis jika harga minyak diturunkan.

7. Pembangunan negara pesat:
BN - Malaysia pesat membangun, contoh Iskandar Malaysia.
PR - Pembangunan tak seimbang. Banyak kawasan masih mundur. Apa orang Johor dapat dari Iskandar Malaysia? Pemilikan hartanah asing meningkat. ... banyak lagi bahan perbualan orang ramai. Rumusannya: fikir sendiri.Buat pilihan.

Saturday, January 5, 2013

Merindui kampung atau desa

Mereka yang tinggal di bandar atau perantauan tetapi berasal dari kampung pasti akan teringat kampung halaman. Daya tarik untuk kembali ke kampung sangat kuat apatah lagi jika ibu bapa masih tinggal di kampung. Kembali ke kampung bukan untuk tinggal di kampung tetapi melihat suasana kampung atau desa. Mereka yang dibesarkan dan pernah tinggal di kampung sekurang-kurangnya hingga awal remaja pasti pernah mengecapi kehidupan dalam suasana kampung. Nostalgia atau kenangan hidup di kampung begitu kuat dan sentiasa menggamit kita serta rindu untuk pulang ke kampung. Ibu bapa yang tinggal di bandar tetapi pernah hidup di kampung akan berkonflik dengan anak-anak yang sudah biasa dengan kehidupan di bandar. Anak-anak tidak selesa dengan keadaan kampung yang banyak pokok, semak-samun dan keadaannya agak gelap dalam waktu malam. Berbeza dengan suasana bandar yang dihiasai dengan pelbagai lampu, pusat beli-belah, banyak kenderaan dan suasana yang meriah kerana ramai orang sibuk dengan urusan masing-masing. Mereka sudah menganggap bandar adalah 'kampung' mereka. Kampung sekarang sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan keadaan sebelum tahun 1980-an. Kemudahan jalan, lampu, dan pembangunan lain termasuk bandar baru mengubah wajah kampung. Keadaan rumah penduduk juga lebih selesa, besar, cantik dan kadang kala lebih baik daripada rumah di bandar yang sempit. Saya perhatikan pembangunan di kampung tidak banyak merosakkan kewujudan dan keaslian kampung terutama kampung yang majoritinya orang Melayu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menjadikan kampung lebih menarik. Kewujudan homestay atau rumah penginapan desa dapat menawarkan perkhidmatan kepada mereka menikmati kehidupan alam semula jadi kampung. Pohon kelapa, pisang,buah-buahan bermusim, ulam-ulaman dan sayuran boleh dinikmati oleh tetamu homestay. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, eloklah membawa keluarga merasai kehidupan desa yang permai. Terapi diri dengan melihat pohon-pohon ciptaan Allah boleh memberi kebahagiaan dan ketenangan.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...