Tuesday, October 7, 2014

Sikap orang Melayu ketika berniaga

Ramai orang Melayu menjalankan perniagaan makanan dengan membuka warung dan kedai makan. Warung dan kedai makan itu diusahakan sendiri dengan cara menyewa atau memiliki tapak perniagaan sendiri. Saya ingin menyentuh perniagaan makanan di kedai yang disewa oleh pihak Majlis daerah, Majlis Perbandaran atau institusi tertentu seperti gerai MARA dan sebagainya.
Gerai itu biasanya dibina di lokasi yang strategik dengan sewa yang berpatutan. Gerai makan lebih mendapat sambutan terutama pada hujung minggu. Pelanggan biasanya penduduk tempatan atau luar daerah.
Sikap peniaga Melayu pada hujung minggu berubah berbanding dengan hari biasa. Kemesraan dengan pelanggan yang sudah biasa makan tidak seperti hari biasa. Pelanggan yang datang awal dibiarkan menunggu lama. Jika kita bertanyakan sesuatu, mereka jawab sambil lewa saja. Oleh sebab menunggu terlalu lama, lebih baik pita beredar.
Mungkin peniaga berfikir, hilang satu pelanggan, beratus pelanggan datang. Sebabnya faktor hujung minggu ramai pelanggan.
Sikap peniaga yang demikian, sombong dan kurang mesra diyakini akan menyebabkan pelanggan akan berkurangan pada jangka masa panjang terutama dalam kalangan penduduk tempatan.

Friday, June 27, 2014

Masalah remaja dan langkah mengatasinya

Remaja terutama remaja Melayu banyak membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Sebahagian mereka masih bersekolah, manakala sebahagian tidak bersekolah atau bekerja tidak sepenuh masa. Mereka lebih suka aktiviti yang bebas, tidak terikat dengan peraturan dan mereka yang merancangnya. Jika mereka diminta terlibat dengan aktiviti yang dirancang oleh pihak bertanggung jawab, mungkin mereka tidak berminat. Sebab itu program belia, Rakan Muda, Rakan Masjid atau yang diaturkan hanya disertai remaja yang tidak bermasalah. Program itu tidak mencapai sasaran. Remaja masih terus bermasalah.
Namun, jika program hiburan seperti konsert yang disertai artis luar dan dalam negara, ramai yang datang. Remaja suka hiburan. Masalahnya, hiburan yang disediakan oleh penganjur lebih banyak membawa mereka pada nilai negatif seperti maksiat, dadah dan gejala sosial yang lain.
Masalah remaja boleh diatasi jika ibu bapa sentiasa berwaspada tentang aktiviti mereka. Ibu bapa perlu lebih banyak masa bersama mereka. Jangan biarkan rakan mereka yang mengatur jadual masa cuti atau aktiviti harian mereka. Ibu bapa perlu mengenal pasti siapa rakan mereka. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar. Jika rakan mereka berakhlak, melakukan akktiviti yang baik, anak-anak tidak mungkin terlibat dengan kegiatan negatif.

Sunday, May 18, 2014

Kebaikan makan buah tembikai



Ibnu Abbas berkata: "Makanlah tembikai kerana di dalamnya ada kebaikan.Ianya makanan, minuman perangsang kepada pertumbuhan gigi,sebagai pewangi,pembersih pundi kencing, menambahkan air tulang belakang, menghindarkan sejuk dan pembersihan kulit."

Satu hari telah dihadiahkan buah tembikai Taif kepada Rasulullah SAW .Nabi menciumnya dan bersabda: "Makanlah ini dengan gigi kamu, kerana ini adalah antara perkara yang halal di atas bumi. Jusnya adalah rahmat dari Allah dan kemanisannya dari syurga."

Rasulullah berada bersama beberapa sahabat pada suatu hari dan bersabda: "Allah merahmati orang yang memberi kita makan dengan buah tembikai ini". Kemudian bangun Sayidina Ali k.w bangun mendapatkan beberapa buah tembikai tambahan.Rasulullah SAW dan sahabat terus memakannya.

Baginda bersabda "Allah akan melimpahkan rahmat kepada orang yang memberi kita, yang memakannya sekarang dan kepada sesiapa yang memakannya dari golongan umatku dari sekarang hinggalah kepada hari kebangkitan."

Begitulah hebatnya khasiat dan kelebihan buah tembikai. Dari segi faktanya, memakan buah tembikai sebelum makan membersihkan usus dan menghindarkan penyakit.

Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit.

Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dalam kalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan.

Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh.Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.
sumber: jawiherb.

Monday, March 31, 2014

Melancong ke Jepun

Saya melancong ke Jepun pada 21-27 Mac 2014 yang lalu. Pada masa yang sama tempoh pencarian pesawat MAS MH370 yang hilang masih terus berjalan oleh pihak kerajaan Malaysia bersama negara lain. Saya menaiki flight MH052 pukul 2350 dari KLIA dan tiba di airport Kansai, Osaka pukul 0635 pagi waktu Osaka. Suhu 6 darjah celcius. Saya balik ke tanah air pada 27 Mac 2014 dari airport Narita, Tokyo dan tiba di KLIA pukul 1705 ptg. Suhu di KLIA waktu itu 33 djh celcius.
Saya ingin mengimbas lawatan ini dari sudut yang lain. Jepun sebuah negara yang bersih pernah saya lawati berbanding beberapa negara lain. Sukar kita nak lihat sampah bersepah-sepah. Tidak melihat air ludah bersepah, hingus atau najis binatang. Kalaulah majoriti rakyatnya Islam, saya yakin Jepun menjadi model negara Islam terbersih di dunia. Islam mengutamakan kebersihan, dan kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
Ketika saya berada di Tokyo Disneyland, saya berbual dengan seorang tour guide agensi pelancongan luar Jepun. Katanya, dia pernah meludah di laman disneyland itu suatu masa dulu. Selepas itu datang seorang cleaner membersihkan air ludahnya. Melihat perkara itu dia berasa sangat malu kerana perlakuan negara asalnya terbawa ke Jepun.
Tour guide menceritakan perihal seorang pelancong luar dimarahi pemandu bas Jepun. Pelancong itu merokok dalam bas dan membuat puntung rokok sesuka hati. Pelancong itu jawab 'Ini bukan negara saya, ikut suka sayalah'. Patutlah keadaan negaranya kotor jika begitulah sikapnya.
Pendakwah Islam terutama bangsa Turki sangat gigih menjalankan kerja dakwah. Ini terbukti dengan penubuhan pusat kebudayaan Islam dan sebuah masjid utama di Tokyo dikenali sebagai Tokyo Camii Mosque. Saya dan rakan lain singgah dan solat di masjid itu. Papan tanda masjid itu ditulis dalam bahasa Turki, English, Jepun di samping bahasa Arab. Kedapatan penduduk Jepun datang bersolat termasuk dua wanita muda bersama anak yang berumur kira-kira 1 dan 3 tahun. Masjid itu begitu cantik, tegap dan hebat binaannya.
Kalau melihat teknologinya tak payahlah cerita... mereka lebih ke depan berbanding negara kita. Banyak benda mereka dah gunakan tapi tak ada mungkin belum sampai ke Malaysia.
Saya melawat taman tema, kesan sejarah, dan bandar rayanya yang kemas dan moden. Osaka, Kyoto, Gunung Fuji, Tokyo dan Narita dapat dikunjungi. Sempat naik kereta api laju di Hamamatsu.
Banyak orang sudah melawat Jepun. Persoalannya, adakah kita mengambil dan mengamalkan hal-hal positif apabila berada di negara sendiri, Malaysia?

Saturday, January 25, 2014

Semakin minimum menonton tv

Saya semakin minimum untuk menonton tv sama ada saluran tv RTM, TV3 atau Astro. Kadang kala langsung tak tengok tv. Jika ada program berbentuk majalah atau laporan aktiviti kehidupan rakyat biasa di kampung bolehlah memberi sedikit tumpuan. Mengapa tidak tertarik untuk menonton tv termasuk drama dan siaran berita?
Laporan dan berita tentang masalah sosial hampir menguasai tv di Malaysia. Saya tidak tahu apakah paparan yang meluas itu untuk menunjukkan tindakan penguat kuasa seperti PDRM, Kastam, Jabatan Agama Islam, imigresen di Malaysia hebat atau 'buat kerja'? Paparan ini dilakukan hampir saban malam khasnya Berita Perdana pukul 8 malam.
Program drama juga membawa mesej yang hampir sama. Nilai akhlak yang terpuji hanya perkara sampingan. Penonjolan cerita dan watak yang bertentangan dengan nilai Melayu Islam semakin ketara. Mereka yang tidak prihatin mungkin tak perasan hal ini. Cuba anda teliti pada setiap drama. Saya menjadi 'malas' menonton drama Melayu.

Yang pasti permasalahan itu timbul setelah pilihan raya berlalu. Pilihan raya akan datang masih jauh. Ketika rakyat bergelut dengan tekanan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, media memainkan peranan cuba mengalih perhatian rakyat. Kebanyakan orang Melayu suka hiburan dan berita sensasi serta gosip. Minda mereka dialihkan arah daripada berbicara soal kenaikan kos sara hidup kepada soal lain yang mereka suka. Mereka tidak akan tahu kesan penarikan subsidi, kesan kenaikan harga minyak dan GST. Yang penting mereka puas hati dapat BRIM.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...