Friday, December 30, 2011

Penghujung Tanah Besar Benua Asia

Di manakah letaknya penghujung tanah besar benua Asia? Bukan penghujung benua Asia. Tempatnya ialah Tanjung Piai, Pontian, Johor. Rakyat Malaysia khasnya penduduk negeri Johor masih ramai yang tidak tahu.
Minggu lepas melawat ke sana. Sudah lebih 15 tahun tak ke Pontian. Kukup juga agak dikenali di Pontian kerana merupakan pekan yang menjadi pintu masuk feri ke Indonesia. Pekan kukup terlalu sesak khasnya hari Ahad. Sukar hendak mencari tempat letak kereta yang sesuai. Keadaan jalan yang sempit menuju ke jeti agak kurang selesa, apatah lagi dijadikan dua hala. Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah trafik di pekan Kukup.
Keadaan Tanjung Piai kelihatan kurang ceria. Kurang terurus. Bagi saya hanya ada satu tempat makan yang selesa iaitu restoran Tanjung Piai Resort. Oleh sebab tak ada pilihan lain yang menarik saya sekeluarga makan di situ. Makanannya biasa saja.
Saya perlu membawa anak saya ke situ untuk memberikan pengetahuan am dan geografi tentang penghujung tanah besar Asia. Rasa tak patut tak jejak Pontian kerana semua daerah di Johor sudah dijejaki. Ditambah pula semua bandar utama di Malaysia termasuk Kota Kinabalu dan Kucing dan dilawati, malah Indonesia, Thai, London, Paris, Dublin, Belfast juga dah dilawati.
Tanjung Piai mampu menarik pelancong jika pihak kerajaan dan agensinya melakukan sesuatu.

Saturday, December 24, 2011

Bahan binaan dan keperluan persekolahan

Keperluan rakyat bukan setakat barang makanan dan rawatan kesihatan. Kewujudan kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia masih jauh mencukupi untuk memenuhi keperluan harian masyarakat.
Bahan binaan rumah dan keperluan persekolahan anak-anak tidak terlepas daripada dibebani kenaikan harganya. Untuk membina sebuah rumah yang agak selesa pada masa ini kosnya melebihi RM100,000. Tidak termasuk kos tanah. Bahan binaan seperti besi, simen, batu-bata naik harga dengan mendadak. Walaupun simen dikawal harganya, masih dilihat tinggi bagi rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
Begitu juga barang keperluan persekolahan. Pakaian, buku dan alat tulis yang lain semakin meningkat harganya. Menjelang sesi persekolahan, keperluan itu perlu disediakan.
Kerajaan perlu meneliti dan mengambil tindakan yang berkesan untuk mengatasi masalah harga bahan binaan dan keperluan persekolahan.

Thursday, December 15, 2011

Perpaduan atas nama Melayu dan Islam

Ramai orang politik dan ahli NGO di Malaysia sudah popular dan mudah popular apabila menimbulkan isu perpaduan orang Melayu dan Islam. Perkara ini amat menarik perhatian orang Melayu.
Perbincangan ini tidak dapat lari daripada menyentuh politik kepartian kerana orang Melayu berada dalam tiga parti utama Pas, Umno dan Pkr. Usaha untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu parti sahaja iaitu Umno sudah lama dilakukan. Orang Melayu dicadangkan berada dalam Umno saja. Kenapa belum berjaya?
Oleh sebab itu, saya berpendapat dan mencadangkan tukar strategi lain iaitu orang Melayu berada dalam Pas saja kalau betul-betul ingin bersatu padu. Saya yakin perkara ini akan selesai dan tidak berlaku pecah belah masyarakat Melayu.
Orang politik yang bercakap nak menyatukan dan memperjuangkan perpaduan Melayu berteraskan Islam dengan meninggalkan Pas hanyalah nak popular dan menonjolkan diri. Kita boleh lupakan Pas kalau Pas bergerak tidak berpandukan Quran dan Hadis,
Saya harap pandangan ini dapat diterima oleh pemimpin politik di Malaysia.

Friday, December 9, 2011

Angan-angan untuk perpaduan rakyat Malaysia

Sudah agak lama tak berangan-angan. Kadangkala berangan-angan itu suatu keperluan. Semua rakyat Malaysia inginkan rakyat bersatu padu terutama gesaan pemimpin politik. UMNO dah lama mengajak PAS bergabung. Dasar PAS dan UMNO jauh berbeza. Parti itu mengakui mahu memperjuangkan Islam. PAS meletakkan al-Quran, hadis, kias, ijmak ulama sebagai asas perjuangannya. UMNO menjadikan nasionalisme dan kepentingan membela Melayu sebagai asas perjuangannya.
Gabungan PAS dan UMNO dah lama dibincangkan tapi tak mungkin jadi kenyataan. Saya mencadangankan lebih baik Pas dan Umno bergabung. Mansuhkan Umno dan bergabung dengan Pas, wujudkan satu parti saja iaitu Pas.
Alasannya? Majoriti ahli parti itu adalah Melayu Islam. Sudah tentu gabungan itu menjadi lebih kuat. Kalau Islam menjadi teras perjuangan, hal-hal lain yang berkaitan dengan pendidikan, budaya, ekonomi dan hubungan dengan kaum lain mudah diuruskan dengan baik. Islam tidak meminggirkan kaum dan penganut agama lain. Hanya orang yang ada niat jahat saja yang tak mahu Islam.

Friday, December 2, 2011

Tanda PRU semakin hampir

Sudah menjadi kebiasaan sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) setiap lima tahun. Semakin hampir PRU, semakin banyak pihak jadi 'gila'. Pemimpin politik, penyokong dan media menonjolkan sesuatu untuk menarik sokongan undi daripada rakyat.
Dalam usaha menarik sokongan, strategi menyerang pihak lawan sangat dikhuatiri akan menimbulkan elemen perpecahan dalam kalangan rakyat terutama menyentuh soal kaum dan agama. Selepas PRU, elemen itu belum tentu reda dengan mudah, mungkin terkesan secara berpanjangan.
Sepatutnya, pemimpin politik mengutamakan tawaran atau rancangan/program untuk kebaikan rakyat yang hendak ditawarkan. Mereka tak perlu menyentuh personaliti negatif, kelemahan kaum dan memburukkan orang lain. Isu yang kecil dan kurang penting tak perlu dibangkitkan.
Antara yang boleh dikemukakan ialah:
1. keperluan harian - usaha untuk meningkatkan barang keperluan rakyat, kurangkan import.
2. kenaikan harga barang - apakah cara untuk mengatasi kenaikan mendadak harganya?
3. petani, nelayan, pekebun - apakah cara nak bantu mereka supaya taraf hidup mereka meningkat?
4. kakitangan awam - skim perkhidmatan mereka perlu diteliti semula. Jangan bandingkan dengan negara yang lebih mundur dengan Malaysia.
5. kakitangan swasta - apakah usaha membantunya? Kebanyakannya masih susah walaupun mereka rakyat Malaysia. Contoh: tukang sapu di pejabat bergaji RM450 sebulan. Bayangkan bagaimana nak hidup?

Buatlah analisis sendiri.Cubalah simpati dengan rakyat biasa,

Sunday, November 13, 2011

Meneliti perubahan orang Melayu

Orang Melayu yang macam mana akan kita lihat 10 atau 20 atau 50 tahun lagi? Masih ada tak orang Melayu yang berjati diri Melayu seperti sekarang atau 20 tahun yang lalu?
Perubahan sikap dan mentaliti sesuatu bangsa memang tak dapat dibendung. Orang Melayu semakin bersikap terbuka dalam banyak perkara. Bersikap terbuka memang baik dan sentiasa dituntut dalam membina perubahan. Sikap terbuka yang semakin bahaya apabila menerima sesuatu perubahan yang bertentangan dengan Islam. Mereka cuba merasionalkan pandangan supaya diterima oleh manusia majoriti.
Rasionalisme yang berhubung dengan kehidupan sesama manusia masih boleh diterima. Merasionalkan prinsip Islam tidak dapat diterima apatah lagi berkaitan dengan hukum hakam Islam. Sebagai contoh, pelaksanaan hukum hudud cuba dirasionalkan dengan alasan masyarakat majmuk tidak sesuai dilaksanakan. Mereka cuba mengambil pendekatan logik untuk merasionalkan sesuatu. Mereka mengatakan kalau hudud dilaksanakan habislah tangan orang Islam kena potong. Habislah orang Islam kena rejam dengan batu kerana berzina. Soal cara pelaksanaan dan maslahat hukum itu diasingkan dengan logik sendiri.
Menutup aurat:
Jika diamati dalam media seperti tv dan akhbar, golongan yang tidak menutup aurat terutama wanita ditonjolkan dan sering mengambil bahagian dalam sesuatu program. Mereka menjadi model wanita yang berjaya. Seolah-olah digambarkan wanita yang menutup aurat tidak berjaya. Hal ini sekadar satu contoh berbanding dengan amalan lain dalam kehidupan seharian.
Mentaliti begitu sangat bahaya dalam mendidik orang Melayu.
Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Asas Islam menjadi nadi penting dan akan melenyapkan Melayu jika dicabut asas itu.

Thursday, November 3, 2011

PPSMI dan nasib bahasa Melayu

Kementerian Pelajaran mengambil keputusan yang tepat dengan mengekalkan keputusan muktamad memansuhkan PPSMI(Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Orang Melayu memang dalam dilema kerana ada yang menentang dan ada yang menyokong PPSMI. Kaum lain memerhatikan dan meneliti tindakan orang Melayu dalam hal ini. Sebagai rakyat Malaysia mereka akan menyokong keputusan majoriti orang Melayu yang mahu mengekalkan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar pendidikan di negara ini.
Saya yakin majoriti orang Melayu masih sayang bahasanya. Untuk menunjukkan sayang bahasa Melayu, bukan setakat 'cakap di mulut saja', tetapi perlu peranan dan pelaksanaannya. Peranan dalam sistem pendidikan sangat besar.
Saya juga yakin orang Melayu tak akan mundur jika menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sains dan Matematik. Selain itu, orang Melayu tak akan hebat dan maju macam orang Barat jika menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Nasib bahasa Melayu di tanah airnya sendiri memang begitu, tak dipercayai oleh segelintir orang Melayu. Kononnya bahasa Melayu menjadi penghalang kemajuan ekonomi, sosial dan sebagainya.
Saya sudah berjalan ke China, Indonesia, Thailand, United Kingdom(U.K), France(Perancis), Saudi Arabia, Ireland. Rakyat mereka memberikan peranan utama pada bahasa sendiri berbanding bahasa asing. Tak nampak negara itu jadi mundur.
Percayalah orang Melayu akan mundur jika meletakkan bahasa Melayu pada tahap kedua selepas bahasa Inggeris. Kesannya pada aspek lain seperti budaya, pemikiran, sikap dan sebagainya sangat besar yang akan meruntuhkan orang Melayu sendiri. Lihat contoh pada nabi Muhammad. Allah mengizinkan nabi membangunkan bangsa Arab menggunakan bahasa Arab, bukan bahasa lain. Majukan kaum itu dengan menggunakan bahasa kaum itu sendiri(pesanan dalam al-Quran). Jangan lawan al-Quran dan contohi nabi Muhammad.

Friday, October 28, 2011

Hukum hudud dan syiar Islam

Isu 1
Sesetengah orang berpendapat bahawa menekankan syiar Islam lebih utama daripada membincangkan hukum hudud. Mereka berkata soal hukum hudud hanya 5% daripada kandungan ahkam(hukum hakam) dalam al-Quran. Perkara lain lebih banyak dibincangkan:pendidikan, perniagaan, pertanian, urus niaga, soal rezeki dan sebagainya.
Pada saya, apa-apa saja yang disebut dalam al-Quran dan hadis semua penting. Jangan kira peratusan. Penggunaan peratus pada urusan manusia boleh digunakan.
Adakah kita nak mengira peratusan dalam perkara yang wajib - solat, puasa Ramadan, fardu haji dan zakat fitrah? Solat 5 waktu dalam sehari mengambil masa tak sampai setengah jam daripada 24 jam sehari. Puasa Ramadan hanya sebulan daripada setahun. Menunaikan fardu haji wajib satu kali saja sepanjang hidup seseorang, kali kedua dan seterusnya adalah sunat(bagi orang yang mampu).
Sebagai contoh, orang yang tidak solat lima waktu masih hidup macam biasa. Pada pandangan umum seperti tak ada apa-apa kesan buruk. Itu hanya penilaian manusia pada satu-satu masa. Apakah hidupnya tenang dan bahagia? Andainya orang yang dah selesai solat, tiba-tiba depan mata ada duit RM100 tunai, saya yakin semua orang nak solat dan tak mahu tinggalkan solat.
Begitu juga hukum Allah yang lain seperti hudud. Hukum ini akan mengawal kehidupan manusia yang sejahtera dan damai.
Oleh hal yang demikian, suruhan Allah perlu dilaksanakan. Perkara yang menjadi persoalan ialah cara melaksanakannya.

Isu 2
Ada juga orang berpendapat hukum hudud tak adil bagi orang Islam dalam masyarakat majmuk yang berbilang agama dan kaum.
Hukum Allah tak boleh dinilai dengan akal manusia semata-mata. Manusia tak akan mampu mentafsir dengan baik. Manusia itu sendiri ciptaan-Nya.
Sistem perbankkan Islam suatu ketika dulu ditentang banyak pihak. Tetapi kini diterima oleh banyak pihak termasuk orang bukan Islam. Mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa Ramadan, zakat fitrah, fardu haji hanya diwajibkan pada orang Islam. Bolehkah kita berkata tak adil?
Kita kena yakin bahawa setiap suruhan Allah ada hikmahnya. Yang tak adil itu pada penilaian manusia saja. Kalau dilihat tak adil di dunia, tunggulah di akhirat kelak. Pelaksanaan hukum adalah untuk mengawal tingkah laku manusia. Orang yang ada fikiran nak buat jahat saja yang takut hukuman Allah. Kalau suruhan Allah tak dilaksanakan, apatah lagi menentang, tunggulah bencana yang Allah turunkan.

Sunday, October 23, 2011

Merintis dan mencari titik perpaduan

Bukan mudah hendak merintis dan mencari titik perpaduan. Dalam sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, usaha mencari titik perpaduan bukanlah mudah. Perpaduan sesama kaum pun banyak masalahnya, apatah lagi antara kaum.
Usaha untuk merintis perpaduan sentiasa dicari dan digunakan. Melalui sukan, gotong-royong, kebudayaan termasuk seni, bahasa, aktiviti nasionalisme dan sebagainya sering digunakan untuk dijadikan alat perpaduan. Sudah banyak yang dibelanjakan dan dilakukan. Apakah hasrat itu sudah tercapai?
Kita jarang berbincang soal agama digunakan untuk mencapai perpaduan dalam sebuah negara. Islam dilihat mampu membawa perpaduan bukan saja dalam kalangan umat Islam, malah sebuah negara yang majmuk. Model yang tunjukkan oleh nabi Muhammad di Madinah sewajarnya dijadikan ikutan. Nabi tidak menidakkan hak penganut agama lain. Konsep dan amalan yang dilakukan oleh nabi itu dapat diterima oleh seluruh rakyat.
Kita tak perlu membuat teori baru. Sebagai umat Islam khasnya, ikrar untuk mengikuti amalan nabi dalam mengurus negara wajar dibuktikan.
Perpaduan yang ditunjukkan oleh nabi dapat membawa kesejahteraan dan kemakmuran sejagat. Kita tak perlu ragu-ragu.

Friday, October 14, 2011

Berdoa di Mekah dan Madinah

Pada masa ini umat Islam sudah mula berkumpul di Madinah dan Mekah. Mereka ke sana bertujuan untuk menunaikan ibadat haji dan umrah. Bukan semua orang dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci itu. Mereka yang dapat ke sana merupakan orang terpilih menjadi tetamu Allah. Mekah dan Madinah ialah tempat paling terbaik di dunia berbading Kuala Lumpur, London,Paris, Beijing, Dublin, Medan, Chiangmai atau tempat lain yang belum dapat saya jejakkan kaki. Pergilah sana untuk tujuan ibadat bukan untuk melancong atau jalan-jalan saja. Bagi mereka yang belum berpeluang hendaklah berusaha dan berdoa moga Allah memanggil ke sana.
Suatu perkara yang sering saya fikirkan, apakah yang umat Islam mohon melalui berdoa di tanah suci? Doa yang lumrah barangkali ialah mohon kesejahteraan, dijauhkan bencana, umat bersatu padu, murahkan rezeki(ekonomi), dapat datang lagi ke tanah suci, dapat haji mabrur dan sebagainya.
Adakah umat Islam berdoa supaya Allah menjaga akidah umat Islam dan undang-undang Islam dilaksanakan di dunia khasnya negara yang umat Islamnya ramai?
Sewajarnya umat Islam berdoa untuk memohon hudud dapat dilaksanakan di negara masing-masing, bukan Islam dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaannya dan umat Islam dapat meningkatkan keimanan.
Adakah pimpinan jemaah haji menjelaskan perkara ini? Atau hanya mengharapkan ganjaran pahala beribadat di tanah suci? Kalau hanya ini tujuannya, amat sempitkan niat dan tujuan ke tanah suci padahal sudah menjadi tetamu Allah. Harap janganlah setakat itu saja.

Saturday, October 1, 2011

Wajib taati perintah Allah

Islam merupakan agama yang membawa keselamatan, kesejahteraan, kekayaan, dan keadilan kepada seluruh manusia, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Setiap orang Islam wajib mengakui kebaikan Islam ini.
Setiap perintah Allah wajib ditaati dalam melaksanakan urusan di dunia dan jalan menuju akhirat. Masalah yang sering timbul ialah manusia cenderung menentang perintah Allah terutama dalam perkara-perkara yang bertujuan larangan. Larangan itu pula menyekat keseronokan pelakuan manusia, kuatlah penentangan itu. Dicari dan difikir alasan untuk mengelakkan larangan Allah.
Sebab itulah Allah menyatakan hukum hudud. Semua orang yang duduk di bawah langit yang sama, di Barat mahupun di Timur, apa saja pegangan politik, apa saja jawatan - guru, pasukan keselamatan, nelayan, bisnes dan sebagainya asalkan orang itu Islam wajib menerima dan tak boleh menolak hukum ini. Hukum ini untuk kebaikan bukan untuk kemusnahan. Hukum Allah mengatasi hukum yang dibuat oleh manusia.
Allah akan memberikan rahmat kepada manusia yang menerima apatah lagi melaksanakan perintah-Nya. Mereka yang menolaknya, Allah akan menjauhkan rahmat pula. Kalau ada orang yang tidak bersedia melaksanakannya, lebih baik diam daripada mempertikaikannya. Lebih bahaya jika berkempen untuk mempertikaikannya. Mohon dijauhkan azab daripada Allah.

Saturday, September 24, 2011

Warung atau warong di Malaysia

Kehidupan harian di Malaysia agak sukar hendak berpisah dengan makan di warung(atau warong). Tak kira apa tujuan kita ke warung, sama ada nak makan, jumpa kawan untuk berbual-bual atau apa saja. Kebanyakan mereka ke warung nak makan. Kenapa makan di warung menjadi pilihan?
Kebanyakan warung berada di tempat terbuka dan mudah dikunjungi. Mudah meletakkan kenderaan, suasana tak formal dan tak banyak larangan daripada tuan punya warung seperti nak merokok.
Terdapat juga warung yang menyediakan makanan ala hotel atau restoran yang standard. Namun kebanyakannya ala kadar saja, yang penting ada makanan, meja kerusi dan sebagainya. Soal kebersihan kadang kala kurang diutamakan. Makanan kegemaran rakyat biasa ada di warung seperti roti canai, pelbagai mi, pelbagai nasi terutama nasi lemak dan kuih-muih.
Jika kita berada di luar negara seperti London, Paris, Beijing dan sebagainya tak nampak warung sebagaimana di Malaysia. Kenapa ? Mungkin faktor cuaca menjadi faktor utama. Cuaca yang sangat sejuk menyebabkan orang ramai lebih suka duduk di rumah.
Cuaca yang agak panas di Malaysia membuatkan orang lebih suka berada di luar rumah. Lebih suka keluar waktu malam dan makan di warung. Lihat saja bilangan warung semakin bertambah khasnya di bandar kecil, pekan, kampung, kawasan taman perumahan. Sudah jadi satu budaya di Malaysia.
Persoalannya, bagaimanakah kewujudan warung boleh disusun, diselaraskan, bersih dan kemas?

Friday, September 16, 2011

Suasana pada bulan Syawal

Kemeriahan sambutan idulfitri sangat meriah di Malaysia dan masih berterusan walaupun sudah masuk minggu ketiga. Rumah terbuka dan marhaban masih diadakan. Sempena rumah terbuka dan marhaban, jamuan atau hidangan yang disajikan sungguh lazat. Memang seronok bukan saja budak-budak malah golongan tua juga.
Dalam sehari kadangkala lebih 3 majlis rumah terbuka dihadiri. Tuan rumah juga gembira kerana majlis yang diadakan mendapat sambutan daripada para tetamu. Sudah menjadi kebiasaan, tuan rumah menyediakan juadah yang sedap seperti sate, lontong, laksa dan sebagainya. Terdapat juga majlis yang diadakan oleh pertubuhan, persatuan atau institusi tertentu. Keadaan ini berterusan hingga melewati bulan berikutnya, seperti tahun sebelumnya. Agaknya kalau bulan syawal itu tiga bulan, maka selama itu sambutan hari raya akan diadakan.

Apakah faktor yang mendorong orang ramai giat mengadakan atau menghadiri majlis hari raya?
Untuk tujuan memupuk silaturahim, rasanya sudah kurang tepat. Tetamu datang, bersalam dengan tuan rumah kemudian makan. Lepas makan, jumpa tuan rumah , salam, dan balik. Tak ada perbualan, kecuali yang ada hubungan rapat saja.

Apakah hal ini menunjukkan tanda rakyat kita sudah berubah budayanya, sudah senang- lenang? Mereka tidak ada masalah kewangan? Mereka sanggup berbelanja sakan demi menyambut kelangsungan hari raya. Nasib baiklah syawal sebulan. Bayangkan kalau bulan syawal 3 bulan atau lebih.

Tuesday, August 30, 2011

Sambutan Hari Raya idulfitri

Hari raya puasa atau idulfitri pada hari ini disambut meriah di Malaysia. Amalan kunjung-mengunjung dan bermaafan antara satu dengan lain masih berterusan. Begitu juga tradisi balik kampung masih jelas diamalkan. Walau bagaimanapun mereka yang lahir di bandar seperti Kuala Lumpur, ibu bapanya sejak kecil tinggal dan menetap di bandar mungkin tak menyertai tradisi balik kampung. Bandar itulah 'kampung' mereka.
Satu perubahan yang agak ketara ialah mereka balik kampung mahu menziarahi ibu bapa dan saudara maranya tetapi menginap di hotel, resort atau homestay yang berhampiran dengan kampung mereka.
Mereka lebih memikirkan keselesaan berbanding suatu masa dulu. Kemampuan mempunyai kenderaan sendiri dan kewangan menjadi faktor utama perubahan tersebut. Daripada bersesak tidur di rumah saudara mara, kekurangan bilik, bilik air yang terpaksa dikongsi ramai menjadikan mereka memilih penginapan lain. Selain itu, tuntutan menutup aurat dalam kalangan sepupu atau saudara mara mahu dituruti atas kesedaran Islam. Perubahan ini tak dapat dielakkan walaupun memecahkan tradisi kunjung-mengunjung.

- Selamat Hari Raya.

Friday, August 19, 2011

Semua orang nak maju

Kalau ditanya semua orang yang kita jumpa, tidak ada orang yang waras fikiran mahu mengatakan tak mahu maju. Semua orang nak maju sama ada mereka ada pelajaran atau tidak. Tak kira dia orang Melayu atau bukan Melayu.
Anggapan orang Melayu yang mahu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebagai mahu undur ke belakang atau memundurkan bangsa Melayu sebagai tak betul.
Orang Melayu yang mahu bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa ilmu dalam mempelajari sains dan matematik untuk memajukan Melayu juga tak tepat.
Pendek kata semua orang tak mahu mundur. Bahasa sebagai alat untuk mempelajari sesuatu ilmu dan menyebarkannya dalam kalangan bangsanya. Sebagai contoh, Islam tak mudah berkembang di Malaysia jika menggunakan bahasa Arab pada hal al-Quran itu menggunakan bahasa Arab.
Sudah berpuluh tahun sains dan matematik dipelajari menggunakan bahasa Melayu tak ada masalah. Yang timbul masalah hanya segelintir orang Melayu yang mahu ilmu itu diajar dalam bahasa Inggeris. Mereka tak percaya bahasa Melayu mampu digunakan dalam subjek itu.Cubalah sendiri jadi guru di sekolah, ajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Lakukan sendiri. Jangan hanya baca kajian orang lain.
Ramai beranggapan bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa. Berapa peratus orang Malaysia yang ada hubungan antarabangsa? Tak semua negara menggunakan bahasa Inggeris. Di Paris mereka tak layan kita jika bahasa Inggeris digunakan. Nak tanya telur dan roti dalam bahasa Inggeris cuma diketawakan.
Kita perlu sedar, anak-anak Melayu hidup dalam persekitaran budaya dan berbahasa Melayu. Golongan ini menjadi majoriti di negara kita. Kena lihat realitinya.

Sunday, August 7, 2011

Masalah penguasaan Bahasa Inggeris

Masalah penguasaan Bahasa Inggeris(BI) masih menghantui pemimpin, guru, dan mereka yang cenderung pada BI. Perbincangannya seperti tidak ada kesudahan. Kita banyak membuang masa dalam hal ini. Masalah ini sentiasa kelihatan 'hidup' kerana wujud kumpulan atau pertubuhan yang mahu menonjolkan b.Inggeris lebih penting daripada Bahasa Melayu(BM). Mereka juga berusaha untuk menyedarkan masyarakat agar faham yang b.I akan membawa kemajuan kepada negara. Tanpa b.I negara ini tidak akan maju. Kehebatan b.I mesti ditonjolkan bagi mengatasi pejuang bM yang juga mahu BM terus kukuh di negara ini.
Satu hakikat yang payah diakui oleh pemimpin ialah kelemahan pelajar dalam b.I akibat persekitaran mereka itu sendiri. Mereka masih menyalahkan sistem pendidikan seperti maslah pengajaran, guru dan sekolah. Dasar bahasa itu dalam pengajaran, pembelajaran, kemudahan yang disediakan, kualiti tenaga pengajar, kaedah penilaian sebenarnya sudah sangat tinggi di Malaysia. Kalau tak percaya, tinjaulah di sekolah mahupun di universiti. Jika ada masalah, hanya perkara sampingan yang mudah diatasi, bukan dasar atau asas.
Persekitaran murid kita di Malaysia tidak mendorong atau memaksa mereka menggunakan BI. Masyarakat menggunakan bM dan bahasa ibunda masing-masing. Setelah bekerja pun mereka tidak perlu guna bI sepenuhnya. Di pasar, kedai, majlis dalam masyarakat, perjumpaan tidak memerlukan dan memaksa bahasa Inggeris. Contoh, kegiatan di kampung tak mungkin guna B.I atau membeli belah di pasar malam.
Dari segi faktor pekerjaan, tanpa menguasai bI dengan baik mereka masih mampu bekerja dengan baik. Tanpa bI mereka masih boleh dapat kerja, ada pendapatan malah ada bekas murid yang bergaji besar mengatasi mereka yang fasih bI. Sama juga dengan bM, mereka yang mahir bM masih mampu memperoleh pendapat yang lumayan.
Tahap penguasaan bI di negara tak perlu dirisaukan, biar proses itu berjalan macam biasa. Tak perlu panik. Tak perlu susah hati. Faktor persekitaran lebih kuat berbanding faktor di institusi pendidikan.
Selagi orang kita berfikir nak jadikan murid kita menguasai bahasa Inggeris macam orang Inggeris, kita akan terus pening kepala tak berkesudahan. Saya pun hairan pemikiran orang macam itu.
Saya bukan hebat sangat bI. Tetapi tak ada masalah bercakap dengan orang Britain. Mereka faham percakapan saya dan saya faham percakapan mereka. Cuma di Paris ada masalah, mereka tak suka bercakap Inggeris, saya pula tak tahu bahasa Peranchis. Pada hal mereka tahu bI. Tak apa itu sikap mereka. Kita datang ke Paris kena tahu bahasa mereka. Peranchis tetap maju, ramai pelancong luar. Keadaan sama di Beijing malah di Thailand. Kakitangan hotel tak mesti tahu bI dengan baik. Tapi awas, peniaga jalanan di menara Eifel, Paris tahu sikit-sikit bahasa Melayu. Begitu juga peniaga bazar di Beijing, mereka tahu bM. Begitu juga di Mekah dan Madinah.
Bagi mereka yang mahu anak menguasai bI macam orang UK, lebih baik tinggal beberapa lama di London. Kalau nak menguasai bI sama hebat dengan orang UK tapi duduk Malaysia baik lupakan saja hasrat anda.
Pergilah melancong , kita akan temui pengalaman berbahasa. Saya percaya anda akan semakin kuat sayang bahasa Melayu.

Tuesday, July 19, 2011

Lawatan ke negara Barat











Apakah yang mendorong saya melawat beberapa negara Barat khasnya negara Eropah? Negara yang menjadi pilihan tentulah United Kingdom(UK) atau dikenali Britain, Ireland, Peranchis(France) dan Ireland utara.
Britain mempunyai tanah jajahan yang luas suatu masa dulu di seluruh dunia termasuk Malaysia. Begitu juga dengan Perancis yang pernah menjajah Indochina dan negara lain kecuali Thailand yang berjiran dengan Malaysia. Ireland juga pernah dijajahnya. Rasa ingin tahu sangat kuat sebab-sebab sebuah negara yang dapat jajah negara lain. Tak puas rasanya hanya mendengar cerita orang dan membaca buku sejarah.
Setelah melawat UK, sedikit sebanyak dapat mengetahui orang British dan Perancis mampu menjajah negara lain. Bangsa yang kurang mementingkan hiburan, lebih banyak berfikir dan membaca bahan media kaya dengan pengetahuan. Di dalam bas, keretapi, kapal terbang mereka tak buang masa, banyak membaca. Kurang berbual kosong. Mereka suka berfikir dan mengkaji sesuatu. Begitu juga di Ireland. Air paip percuma. Susu segar ada subsidi. Puaslah minum susu.
Negara mereka juga bersih pada umumnya. Payah nak nampak sampah bertaburan, kecuali beberapa tempat di Paris, banyak juga contengan di tempat awam. Mungkin perbuatan orang asing di situ. Saya tak pasti. Pengangkutan awamnya cekap.
Tak nampak remaja merempit waktu malam atau hari minggu. Tapi tak tahulah kalau saya yang tak nampak.
Makanan di sana masih murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Makan tengah hari 4 orang di London hanya 14 pound. Kalau di Malaysia RM25. (Nota: jangan convert mata wang). Pemimpin dari Malaysia tak tahu hal ini sebab mereka tidak melancong atau melawat sebagai orang biasa macam saya. Mereka tak nampak kehidupan rakyat biasa di sana.
Bagi rakyat Malaysia, berkunjung ke Barat untuk mengetahui pelbagai perkara dengan mendalam dan ambil iktibar mana yang baik untuk ditiru di negara sendiri.
Bagi orang Islam, kita ke tanah suci mengerjakan haji dan umrah sebagai satu ibadah. Melawat negara lain juga perlu untuk mencari ilmu dan idea.
Kunjungan ke China khasnya Beijing juga membawa banyak faedah. China juga kaya dengan sejarah peradabannya. Kejayaan penduduknya perlu ditiru terutama umat Islam. Kita perlu memperluas minda dan perkongsian idea.
Selamat melancong...

Saturday, July 2, 2011

Monday, June 20, 2011

London, Dublin, Paris, Belfast



Pada 25 Mei lalu, dari KLIA lebih 13 jam sampailah di London. Ketika sampai di London, suhu pada waktu senja 16 d.c(darjah celcius). Banyak tempat yang sempat dilawati seperti Trafalgar, Istana Buckingham, jambatan London dan sebagainya. Tak lupa juga pengalaman naik keretapi bawah tanah. Setelah puas makan makanan barat, dapat makan di restoran Malaysian Hall, terubat juga rasa masakan Melayu. Makan di London lebih murah dari di Malaysia. 4 orang makan tengah hari hanya 14 pound. Kalau di Malaysia RM25.00(note: Jangan convert duit Malaysia, ikut tempatan).


Petang 27 Mei bertolak ke Dublin,Ireland naik Ryanair. Dari Dublin ke Galway naik bas dua tingkat ke rumah anak saya. Galway merupakan bandar yang tenang, tidak begitu sibuk macam Kuala Lumpur(KL) mahupun Johor Bahru, bandar pelancongan dan menghadap lautan Atlantik.
Pada 30 Mei terbang ke Paris, menginap di hotel selama 4 malam. Kota ini agak sibuk, banyak juga kaum pendatang. banyak pula motorsikal macam Kuala Lumpur. Keretapi bawah tanah terlalu padat penumpang, agak kurang selesa berbanding kota London. Stesen bas di Paris bagi penumpang yang nak ke airport Beauvais sangat teruk. Tak ada tempat duduk bagi penumpang yang nak naik bas ke airport. Tak ada tandas pulak!

Pada 2 Jun 2011 balik ke Dublin semula. Banyak bersiar-siar di Galway. Pada 4 Jun ke Belfast. Shopping di 2 outlet. Barang memang murah. Beg tangan wanita berjenama dan original pula hanya 5 pound saja. Kalau di KL harga lebih RM100.00.

Banyak tempat menarik di Belfast. Paling mengujakan di Giant Causeway yang merupakan world heritage. Pantainya ada batu 6 segi, unik sungguh. Tapi suhunya 8 d.c. Ini musim panas, kalau musim sejuk lagi sejuk!

Pada 6 Jun bertolak balik dari Dublin ke London. Dari London pukul 5.30 ptg waktu London dan sampai KLIA pukul 1.30 tgh waktu Malaysia.
Banyak perkara yang tak dapat dicatatkan di sini. Jauh berjalan luas pandangan, banyak pengalaman. Saya dapat melihat kebesaran Allah. Di bawah langit yang sama ada di KL, London, Dublin, Paris atau Belfast. Tetapi bumi, bangsa, bahasa, makanan, cuaca dan sebagainya berbeza. Ambil yang positif.

Orang putih rajin membaca buku tapi kalau ditanya boleh menerangkan dengan mesra, contoh tempat atau jalan yang kita tak tahu.
Banyak kali saya nak melintas jalan, kenderaan berhenti dan saya melintas jalan dengan baik.
Demikianlah yang sempat dicatatkan...

Saturday, June 4, 2011

Galway, Ireland



Sewaktu catatan ini dibuat, saya masih di bandar Galway, Ireland. Bandar ini merupakan bandar pelancongan yang menarik. Suasana yang tenang dan kurang berserabut amat sesuai untuk dilawati, malah diduduki berbanding Paris dan London. Suhu sekarang 16 darjah celcius. waktu malam 10 darjah celcius.Udaranya nyaman.
Kedudukan Galway di tepi laut menghadap Atlantik sangat menarik dan tidak membosankan. Pada setiap pagi Jumaat, ramai pelancong datang ke bandar ini. Ragam kehidupan penduduknya yang sibuk berniaga dapat kita lihat dan mereka tidak sombong kepada pelancong. Di shop street terdapat pemuzik jalanan. Yang amat menarik bagi saya ialah pemain piano klasik yang berusia lebih 50 tahun. Tidak jauh dari situ ada 4 pemuda yang menyanyi sambil main alat muzik. Orang yang melalui jalan ini ada yang berjalan sambil menyanyi.
Galway juga banyak tempat menarik, antaranya ialah Cliff of Moher. Tempat ini menarik kerana tebing tinggi yang dihempas ombak lautan Atlantik sangat cantik pemandangannya.
Esok nak ke Belfast.



Wednesday, May 4, 2011

Sifat negatif orang Melayu

Sejak zaman kesultanan Melaka hingga sekarang, tiga sifat negatif Melayu ialah hasad dengki, fitnah dan tidak mahu bersatu.
Sifat atau perangai ini begitu ketara terhadap orang yang berilmu, mampu memimpin dan berpendapatan tinggi.
Jika mereka berpegang sungguh-sungguh pada ajaran Islam dan menghayatinya, sifat negatif itu boleh dikurangkan walaupun sukar dihapuskan.
Mereka sekadar membaca Quran tapi tidak berpegang pada isi Quran. Kebanyakan membaca sekadar memenuhi kehendak sesuatu majlis atau program tertentu.
Masalah lain yang sukar dikikis ialah suka pada hiburan yang tertentu dan keterlaluan.
Sampai bilakah masalah ini akan berterusan?

Sunday, April 17, 2011

Ekonomi orang Melayu kini

Banyak seruan yang meminta orang Melayu mengukuhkan kedudukan ekonomi di negara ini, Malaysia. Sejak merdeka hingga sekarang seruan itu masih kuat kedengaran terutama dalam akhbar, tv dan ceramah. Orang politik kerajaan paling banyak menyeru hal ini. Memang betul orang Melayu perlu kukuhkan ekonomi. Masalahnya, bagaimana atau apa caranya? Kita tak menafikan ada segelintir Melayu yang berjaya dalam dunia korporat. Tapi segelintir saja. Kebanyakan Melayu makan gaji, baik dengan kerajaan atau swasta. Bila nak berniaga? Nak berniaga apa? Sekadar buka warung makan, jual pisang goreng tepi jalan atau jual kuih di pasar malam? (Maaf, bukan nak menghina mereka yang berniaga itu). Yang jadi guru, doktor, kerani, polis dan sebagainya macam mana nak berniaga? Mereka makan gaji. Hujung minggu ada yang masih bertugas. Yang tak bertugas menyertai pula aktiviti masyarakat seperti gotong-royong, majlis agama, riadah, kenduri kahwin dan macam-macam. Tak kurang juga yang suka masuk pasar raya untuk bersiar-siar atau membeli-belah. Bila nak kukuhkan ekonomi? Mereka bergaji tetap. Bayar rumah, kereta, belanja sekolah anak, makan, tinggal berapa duitnya? Setiap tahun mengharapkan bonus untuk tambah pendapatan. Betulkah seruan itu? Atau hanya untuk mengisi ucapan orang politik? Kaum lain memang betul-betul berniaga. Banyak kemudahan mereka dapat. Lihat gedung perniagaan di bandar mahupun pekan. Pembelinya adalah orang Melayu. Siapakah pemimpin yang boleh merubah sikap dan pemikiran Melayu?

Friday, April 1, 2011

Menjadi pemimpin

Untuk menjadi pemimpin, seseorang itu perlu cemerlang khasnya dari segi mentaliti, peribadi dan ilmu. Kalau bakal pemimpin dilihat berdasarkan popular, memang susahlah kesannya. Hendak dilihat popular bukannya susah. Disebabkan latar belakang keluarga dan kebendaan, dia mudah dikenali dalam masyarakat atau negara.
Jika ayahnya seorang wakil rakyat atau berjawatan tinggi maka mudahlah dikenali untuk popular. Kalau ayahnya seorang petani, pekebun, berniaga kecil laluannya sangat sukar.
Orang yang mengejar jawatan dan pangkat, dia bukanlah pemimpin yang baik. Dia berjaya kerana dapat menyingkirkan orang lain.
Sepatutnya seseorang memegang jawatan apabila orang ramai melantiknya. Sistem memilih pemimpin wajar mencontohi pelantikan saidina Abu Bakar yang dilantik menjadi khalifah.
Pilihlah pemimpin yang bersikap merendah diri, tinggi ilmu agamanya, berkelulusan dalam bidang tertentu, pentingkan kebajikan. Dia tidak mengejar jawatan, tetapi 'jawatan' yang mengejar dia melalui kehendak orang ramai. Jawatan itu adalah amanah, bukan hak peribadi.

Wednesday, March 16, 2011

Bahasa Melayu masih terbukti berperanan luas

Bahasa Melayu yang juga dikenali sebagai bahasa Malaysia di Malaysia sudah lama berperanan sebagai alat perpaduan, penyebaran ilmu dan dakwah. Penyebaran Islam dan usaha dakwah tidak akan berkesan dan menyeluruh jika menggunakan bahasa lain terutama dalam kalangan orang Melayu.
Walaupun al-Quran dan Hadis menggunakan bahasa Arab, tetapi penyebaran ilmu dari sumber itu tetap menggunakan bahasa Melayu.
Kenapa kitab sesuatu agama itu hendak disebarkan menggunakan bahasa Melayu? Pada hal sudah ada dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Jawapannya mudah difahami, iaitu bahasa Melayu digunakan dengan meluas di negara ini termasuk orang Melayu. Anda boleh berfikir siapakah sasaran mereka? Mereka sudah lama mengintai peluang.
Dalam perniagaan, mereka menggunakan bahasa Inggeris supaya orang Melayu tidak menguasai bidang perniagaan. Mereka tahu orang Melayu ramai tak mahir bahasa Inggeris. Benarkah perniagaan yang besar mesti menggunakan bahasa Inggeris untuk lebih maju?
Begitu juga pengajaran Sains dan Matematik perlu menggunakan bahasa Melayu. Bahasa lain gagal mendedahkan ilmu itu dalam kalangan orang Melayu.
Demikianlah besarnya peranan bahasa Melayu yang orang Melayu sendiri tidak mengakuinya.

Friday, March 11, 2011

Mengundi dalam pilihan raya

Saya mencadangkan pengundian dalam pilihan raya dilakukan secara online(dalam talian). Mereka boleh mengundi di rumah, pejabat dan tempat bekerja. Bagi pengundi yang tidak ada kemudahan internet, SPR boleh menyediakan lokasi untuk mengundi di sesuatu tempat juga secara talian.
Pengundi perlu mendaftar terlebih dahulu dengan SPR. Semua pengundi diberikan nombor PIN. Bagi mereka yang tidak mahir penggunaan internet, kesan jari boleh digunakan untuk pengenalan diri. Nama pengundi boleh dipaparkan di laman web SPR untuk semakan awal oleh orang awam.
Perkara ini dapat mengurangkan kos pilihan raya dan mengurangkan masalah lain seperti soal keselamatan.

Wednesday, February 23, 2011

Sebagai rakyat biasa...

Saman ekor:
Apakan daya, mau tak mau terpaksa bayar saman ekor kerana memandu melebihi 110km (catatan: 121km sejam) di lebuhraya. Kalau tidak nanti, kata pihak berkuasa tak boleh baharui road tax. Maklumlah kereta sendiri, bila-bila masa silap sikit kena saman, tak ada pengiring seperti VIP lain.

Harga barang:
Harga barang begitu tinggi. Minyak petrol, bawang, ikan, sayur dan lain-lain. Kalau tak beli tak dapat makan pula. Mau tak mau kena beli. Pendapatan tak banyak berubah. Kena jimat cermat. Dah habis idea nak berjimat, disuruh jimat juga...


Belanja anak sekolah:
Memang mahal. Tak usah cakap mahal.Terpaksa beli atas kehendak pihak berkenaan. Macam mana agaknya orang bergaji bawah RM500 nak belanja ?

Makanan harian:
Makan lempeng dengan sambal, sayur pegaga, nasi dengan ikan masin dan kadang kala makan daging kambing jika ada kenduri di kampung(makan free).

Sebagai rakyat biasa, hanya dapat tengok saja. Yang mampu hanya berdoa kepada Allah agar diberi rezeki.

Friday, February 18, 2011

Budak sekolah dahulu dan sekarang

"Budak sekolah sekarang tak macam budak sekolah dulu". Kata-kata ini sering kali kita dengar dalam masyarakat. Budak dahulu lebih kreatif, tahan lasak dan lebih berdikari. Buatlah kajian jika kurang percaya.
Kenapa agaknya berlaku perubahan ketara? Mereka disantak dengan pelbagai tugasan(homework) hingga kekurangan masa untuk beriadah. Bukan sahaja tugasan, jadual mereka padat kerana menghadiri kelas tuisyen pada malam dan hujung minggu.
Mereka juga wajib menjalani aktiviti kokurikulum akibat tekanan nak dapat 10% markah kokurikulum. Berapa banyak jawatan yang nak disandang dalam persatuan atau kelab ? Berapa banyak permainan atau sukan yang boleh mereka capai? Contoh, pasukan bola sepak ada 11 orang pemain saja berbanding jumlah budak sekolah yang nak menyertai.
Sebenarnya, banyak pembaziran wang, tenaga, kemahiran yang sedang berlaku sekarang. Daripada memaksa budak sekolah aktif kokurikulum yang tak menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan, lebih baik fikirkan idea lain yang lebih sesuai.
Budak remaja sepatutnya diberi kemahiran yang boleh mendatangkan faedah untuk masa depan. Salurkan minat mereka dalam bentuk kemahiran, bukan setakat main bola, berlari, sukan yang menjamin masa depan. Adakah semua perancang pendidikan nak melahirkan pemain macam Misbun Sidek, Mokhtar Dahari, atau Rabuan Pit?
Didik mereka dengan kemahiran untuk hidup di dunia dan akhirat. Yang minat masak, ajar masak. Yang minat binaan, ajar cara membina rumah. Yang minat mengarang, ajar mereka jadi pengarang. Yang minat pertanian, ajar mereka berkebun secara moden, dan sebagainya. Kemahiran ini lebih bermakna untuk diri, keluarga dan negara.
Kurikulum pendidikan kita kurang berfokus. Ada subjek kemahiran hidup hanya untuk peperiksaan saja. Kurang penekanan, dan setakat 'jangan tidak saja'. Buat ada-ada saja.
Kurikulum sepatutnya dibuat untuk keperluan masa depan remaja sekolah. Mesti ada fokus.

Saturday, February 12, 2011

Kuala Selangor-Sungai Besar

Hari ini saya ke pekan sungai Besar atas suatu urusan keluarga. Dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke sungai Besar, Sabak Bernam, kelihatan banyak gerai di tepi jalan menjual hasil pertanian terutama pisang, mangga harum manis dan jagung. Seronok melihatnya. Saya tak pasti bekalan pisang, mangga dan jagung itu dapat daripada mana. Mungkin petani atau pekebun kawasan itu yang menghasilkannya?
Kali terakhir melalui jalan itu ialah pada tahun 1988. Pekan Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekichan dan Sungai Besar sudah banyak perubahan. Ada juga yang menjual mentarang dan sup belut. Ingin nak mencuba dan menikmatinya, masa tak mengizinkan.
Beberapa gerai juga mengiklankan nasi ambang. Sebagai penggemar nasi ambang, singgahlah di Restoran Nasi Ambang Campur di Taman Nilam, Tanjung Karang. Sedap nasi ambangnya. Macam di Johor juga. Pandai orang Jawa Tanjung Karang buat nasi ambang. Tapi harganya masih agak mahal RM5.50 jika dibandingkan dengan di Muar, Johor satu set RM3.50 hingga RM4.00. Pekedai di Tanjung Karang perlu kaji balik harganya.

Sunday, January 30, 2011

Hujan di selatan semenanjung

Ketika catatan ini dibuat, hujan masih begitu lebat di selatan semenanjung Malaysia khususnya di Muar dan Segamat. Hujan ini turun sejak Jumaat lalu tetapi Sabtu dan Ahad (30 Januari 2011) begitu lebat siang malam. Apakah hujan kali ini merupakan rahmat, dugaan atau balasan kepada semua penduduk? Hanya Allah yang tahu.
Air di parit dan sungai sudah mula melimpah dan menggenangi kawasan rendah. Mohon pada Allah agar tidak ada bencana besar melanda penduduk.
Faktor cuaca sahaja tidak mencukupi untuk mentafsir hujan lebat. Bala dari Allah tidak mengira sesiapa dan tempatnya terhadap manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi ini. Manusia biasanya lalai mengerjakan suruhan-Nya. Lebih banyak melawan suruhan Allah. Cubalah periksa diri sendiri, pemimpin, separa ulama dan sebagainya. Lebih banyak berhibur daripada ingat Tuhan. Kebanyakan hiburan digiatkan. Bukan tak boleh berhibur, tapi adakah hiburan itu mengikut sunah nabi dan al-Quran?

Oleh itu patuhlah ajaran Allah dan berdoa agar Allah tidak murka. Jauhkan daripada segala bencana.

Sunday, January 23, 2011

Guru dan doktor

Guru dan doktor merupakan profesion yang perlu dilihat secara mendalam di Malaysia pada masa ini. Jumlah sekolah yang banyak dan murid bertambah kadang kala tidak selari dengan jumlah guru di kebanyakan sekolah. Bebanan tugas guru semakin bertambah, tak pernah berkurangan. Tugas untuk akademik dan kokurikulum semakin banyak dan semua perubahan atas nama penambahbaikan. Tetapi perubahan itu bukan bertambah baik. Yang bertambah beban tugasnya. Elaun masih sama dengan kakitangan kerajaan yang lain.
Dalam konteks lain, anak-anak guru semakin tidak mendapat tempat untuk belajar di sekolah berasrama penuh terutama jika suami isteri berjawatan guru.

Bagi doktor pula, tekanan tugas datangnya daripada bilangan pesakit yang bertambah sedangkan bilangan doktor tidak banyak pertambahan. Kadangkala seorang doktor terpaksa bertugas lebih 12 jam sehari. Masa mereka bersama keluarga amat terbatas. Keselesaan tempat bertugas juga menjadi persoalan. Kebajikan doktor perlu dijaga kerana mereka juga adalah manusia biasa.
Kita yakin jika kebajikan doktor dijaga dengan baik, maka lebih ramai doktor akan kekal bertugas di hospital kerajaan. Soal gaji, elaun, peluang naik pangkat, peluang melanjutkan pelajaran, lebih banyak cuti rehat perlu diberi kepada doktor. Doktor juga manusia biasa. Bezanya mereka mempunyai ilmu perubatan yang lebih tinggi daripada orang lain.

Mereka yang bertanggung jawab sepatutnya mengambil tindakan untuk kebajikan guru dan doktor demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Tuesday, January 11, 2011

Kepelbagaian sumber antara negara

Sudah ditakdirkan Tuhan Malaysia memang sebuah negara yang bertuah mempunyai pelbagai sumber alam semula jadi yang lebih hebat daripada negara lain. Yang negara lain tak ada, di Malaysia ada. Malaysia ada minyak, galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan pelbagai jenis, air yang banyak,dan hujan sepanjang tahun. Muka buminya yang bergunung-ganang, bukit bukau, pantai, laut, lembah dan sebagainya menjadikan negara ini lebih hebat. Tak ada gunung berapi, belum ada gempa bumi yang dahsyat dan kemarau atau banjir yang teruk seperti negara lain. Makanan pun banyak dan enak. Penduduknya berbilang kaum dan budaya menambah lagi 'kekayaan' negara ini. Memang permai dan indah negara ini.

Persoalannya, bagaimanakah sumber itu dimanfaatkan? Adakah sumber itu memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat?

Sebagai rakyat biasa, pemimpin sepatutnya bijak menguruskan semua sumber yang ada untuk dinikmati rakyat keseluruhannya. Berdasarkan semua sumber itu, wajarlah semua harga barangan paling rendah harganya di dunia. Salji tak ada tak apa sebab salji bukan barang keperluan utama. Barang yang tak ada di negara ini ada alternatifnya.

Mengurus semua sumber secara bijak sangat penting. Minda pemimpin sepatutnya kelas pertama. Pemimpin dari parti apa sekalipun wajar memikirkan hala tuju negara untuk kepentingan rakyat. Utamakan kebajikan rakyat. Kenaikan harga barang akan memberi kesusahan kepada rakyat sama ada kakitangan kerajaan atau bekerja sendiri. Fikirkanlah.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...