Saturday, February 21, 2009

Melancong ke Beijing, China



Apabila membaca tulisan tentang politik yang hangat sejak akhir-akhir ini; soal derhaka kepada sultan, penyelewengan kuasa, pentadbiran negeri,dan berbagai-bagai lagi hal yang menarik, minda kita kena rehat sekejap dengan melihat perkara lain.Antaranya termasuklah aktiviti melancong di luar negara. Ingin sembang melancong ke China dulu, ada masa nanti cerita negara lain pula.
Sebenarnya saya lebih suka duduk di rumah membaca buku, baca al-Quran dan tafsirnya daripada berjalan-jalan. Mungkin ramai tak percaya, supermarket Giant, Tesco dan lain-lain belum pernah sampai walaupun tak jauh dari rumah. Suasana bising, terlalu ramai orang, berbelanja konon cari barang murah, memang tak minat. Berurusan di luar rumah kerana tugas atau urusan yang perlu saja, masa lain duduk rumah.
Rasa ingin tahu tentang masyarakat, budaya, sejarah dan sebagainya tak dapat elak, kena melancong. Misalnya, saya suka meneliti pelbagai makanan tradisi masyarakat Sabah semasa berkunjung di pasar Filipino, Kota Kinabalu. Begitu juga barangan antik atau tradisi kaum di Sarawak di deretan gerai tepi Sungai Sarawak.Kita tangguhkan perkara ini dulu.
Saya melancong ke China pada 17-21 Dis 2007 bersama Utas Travel. Kami bertolak dari KLIA pukul 12.30 malam dengan flight MAS dan sampai di bandar raya Beijing pukul 6.30pagi.Waktu Beijing sama dengan Malaysia.Suhu waktu hujung tahun sangat sejuk, 5 darjah celcius. Salji sudah turun. Banyak pelancong asing di Beijing.
Pemandu pelancong bernama Anwar beragama Islam, warga China(tak ingat nama Cinanya). China mempunyai penduduk 1.5 bilion. Penduduk Islamnya lebih ramai. Anwar pandai berbahasa Melayu, lancar, tahu peribahasa, pantun. Dia mengambil pengajian bahasa Melayu di universiti Beijing. Tapi sebutan bahasa Cina tak macam Cina Malaysia, berunsur bahasa Rusia. Mungkin Beijing dekat tanah besar Rusia, pengaruh bahasa tak dapat dielakkan.
Acara harian yang diatur sangat padat. Pagi keluar hotel, malam balik semula hotel. Tempat yang menarik minat saya ialah medan Tienanmen, tempat berlangsung pelbagai acara negara China. Sangat luas. Medan ini dikawal tentera sepanjang masa.
Kami dibawa ke istana lama maharaja dikenali sebagai Probiden City. Luasnya lebih kurang 4 km persegi. Istana ini menempat 3,000 gundek dan ribuan bilik. Berjalan 1/2 km pun dah penat. Keliling istana ada sungai yang lebar.Air sungai beku. Istana dan sungai digali dengan tenaga manusia. Bayangkan betapa sukar dan lama nak siapkan.
Kami juga dibawa ke Summer Palace(istana musim panas) yang mempunyai tasik sangat luas. Tapi waktu itu air tasik beku. Boleh jalan-jalan atasnya. Kata pemandu pelancong, istana dan tasik dibina dengan tenaga manusia.Tanpa jentera.
Satu lagi tempat menarik ialah kubu bawah tanah dibina penghujung tahun 1960an semasa China berkrisis(perang dingin) dengan Barat. Jumlah panjang kubu berterowong itu 5,000 km, boleh menghubungi tempat strategik di Beijing dan tempat lain. Juga digali guna tenaga manusia.Lebih kurang ukurannya lebar 3 meter dan tinggi 4 meter, boleh muat sebuah kereta untuk lalui.Di dalamnya ada kedai kain sutera,cenderamata, nak main badminton pun boleh dan macam-macam ada. Hebat.Macam tak percaya, tapi begitulah.
Tempat lain ialah tempat beli-belah. kilang Sutera,jade, kristal, manik, kain,teh dan sebagainya. Saya tak minat nak cerita.Batu jade kalau silap pemikiran,iktikad boleh syirik, kalau percaya membawa tuah dan nasib. Orang perempuan memang seronok shopping.
Kami juga dibawa ke Tembok Besar(Great wall).Panjangnya 6,000km. Dibina merentasi gunung-ganang. Saya hanya mampu naik 2 stage saja.Ditambah tiupan angin kuat, sejuk dan bersalji. Memang hebat. Katanya berjuta mati orang yang membinanya.
Kami melawat masjid tertua,berusia lebih 1,000 tahun- masjid Nuiju.Pandangan luar kita lihat macam bangunan tokong, tetapi masjid. Dapat kita lihat, Islam diterima dan dianuti di China. Budaya dan tradisi yang tidak bertentangan dengan Islam dikekalkan termasuk tulisan Cina. Pelancong asing termasuk saya nak lihat nilai dan tradisi mereka. Saya fikir orang Barat pun nak lihat unsur tersebut. Kalau mereka ambil budaya Barat, tak perlulah orang Barat bersusah-susah datang ke China.Berbeza dengan Malaysia, orang Melayu tinggalkan tulisan jawi dan pinggirkan bahasa Melayu.
Bandar raya Beijing sangat kurang motorsikal, saya nampak tiga buah. Tak nampak merempit. Mungkin digunakan pegawai bandar raya.Penguatkuasa naik basikal. Basikal dan kereta cukup banyak. Bas dalam bandar menggunakan tenaga elektrik.Kurang pencemaran. Kata Anwar(pemandu pelancong), anjing sangat kurang. Anjing bersiar-siar bersama tuannya diikat pada tali.Bawa beg plastik kalau berak, tuannya pungut sendiri. Mesti ikut jadual bawa anjing, jika tidak, kena saman.
Waktu malam suhu jatuh sampai minus(- 5 darjah celcius).Sangat sejuk.Terpaksa pakai baju tebal dan sarung tangan.
Makanan tak ada masalah, banyak restoran Islam. Masakannya sedap. Sekali makan ada 8 jenis sayur.Lauk juga banyak.
Enam hari berada di Beijing, banyak cerita yang nak diceritakan. Tapi itulah yang dapat dipaparkan.

Friday, February 20, 2009

Kenapa orang Melayu tak suka bahasa Melayu ?

Saya tidak boleh berbahasa Melayu sehinggalah belajar bahasa Melayu di sekolah rendah.Bahasa Melayu ialah bahasa kedua saya kerana bahasa pertama bahasa Jawa(Melayu keturunan Jawa). Rakan-rakan sering mengejek sebab tidak menguasai bahasa Melayu. Dari semasa ke semasa saya belajar bahasa Melayu dan cuba menguasai bahasa Melayu hingga mendapat keputusan cemerlang pada peringkat SPM. Keinginan menguasai bahasa Melayu diteruskan hingga peringkat Bacelor(Sarjana Muda), kemudian Sarjana (master).
Pada pengamatan saya, orang Melayu sebenarnya kurang menguasai bahasanya. Mereka boleh bercakap, tetapi banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Mereka yang benar-benar mahir tidak ramai walaupun mengaku diri orang Melayu.
Tenaga pengajar bahasa Melayu tulen di pusat pengajian tinggi pun masih didominasi oleh bukan penutur jati bahasa Melayu termasuk bukan Melayu. Kenapa terjadi demikian? Jawapannya mudah, orang Melayu tak suka bahasanya.
Dalam kalangan golongan menengah dan elit Melayu, mereka lebih senang bercakap bahasa Inggeris dengan anak-anak, adik-beradik, rakan atau orang lain. Nampak kekampungan kalau menggunakan bahasa Melayu. Sesetengahnya sekadar bahasa campur aduk Melayu-Inggeris. Golongan ini tak mesti cemerlang dalam pendidikan atau kerjaya. Ada yang belum pernah keluar negara atau naik kapal terbang tetapi sikap lebih Inggeris dari orang Inggeris. Sikap dan ukuran mereka, apa saja yang datang dari Barat semua bagus dan standard. Inilah penyakit orang Melayu!
Saya semakin kuat mencintai bahasa Melayu. Bahasa yang sudah menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia semakin di pinggir secara halus oleh orang Melayu sendiri, konon atas sebab membangunkan orang Melayu. Memang sedih.
Semasa melancong ke China dan utara Thailand, saya dapati rakyatnya mengekalkan budaya dan tradisi yang sangat hebat termasuk hal bahasa. Pelancong pun ramai. Saya tidak nampak pun negara itu makin miskin. China semakin maju dari segi pembangunan.Begitu juga Thailand yang kaya dengan kemajuan pertanian dan industri. Rakyatnya tak hebat penguasaan bahasa Inggeris berbanding Malaysia. Negara itu tetap dan terus membangun. Mereka tak pinggirkan nilai tradisi. Kita di Malaysia, sepatutnya orang Melayu menunjukkan contoh yang terbaik.Sayangilah bahasa Melayu, bahasa kebangsaan.

Wednesday, February 18, 2009

Orang Melayu tak sayang bahasanya

Apabila berbicara tentang penerimaan PPSMI(Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris), hujah yang diberikan adalah berdasarkan persepsi atau tanggapan bukan hasil kajian yang tepat. Mereka menyatakan golongan yang menolak penggunaan bahasa Inggeris tidak patut kerana lulusan luar negara. Lulusan luar negara tetapi membantah PPSMI kerana sedar bahasa Inggeris hanya dalam konteks hubungan luar, dan mencari ilmu. Itu saja. Pengalaman mereka menunjukkan negara luar tidak perlu menggunakan bahasa asing untuk urusan dalam negara. Bahasa kebangsaan mesti diletakkan tempat pertama, barulah bahasa lain kedua, ketiga dan seterusnya.
Pelajar yang belajar di luar negara adalah golongan yang mampu dan terpilih yang menguasai bahasa Inggeris walaupun belajar dalam bahasa pengantar bahasa Melayu semasa di Malaysia.
Terdapat juga persepsi bahawa mereka yang menolak PPSMI kerana tak mahir bahasa Inggeris. Itu pun tak tepat. Banyak profesional yang bijak berbahasa Inggeris tetapi menolak PPSMI kerana sayang bahasa Melayu. Lihat saja nasib tulisan jawi. Golongan yang menyokong dasar tersebut kebanyakan orang Melayu.
Negara sudah 52 tahun merdeka, orang Melayu tak sayang bahasa dan budayanya!

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...