Saturday, January 5, 2013

Merindui kampung atau desa

Mereka yang tinggal di bandar atau perantauan tetapi berasal dari kampung pasti akan teringat kampung halaman. Daya tarik untuk kembali ke kampung sangat kuat apatah lagi jika ibu bapa masih tinggal di kampung. Kembali ke kampung bukan untuk tinggal di kampung tetapi melihat suasana kampung atau desa. Mereka yang dibesarkan dan pernah tinggal di kampung sekurang-kurangnya hingga awal remaja pasti pernah mengecapi kehidupan dalam suasana kampung. Nostalgia atau kenangan hidup di kampung begitu kuat dan sentiasa menggamit kita serta rindu untuk pulang ke kampung. Ibu bapa yang tinggal di bandar tetapi pernah hidup di kampung akan berkonflik dengan anak-anak yang sudah biasa dengan kehidupan di bandar. Anak-anak tidak selesa dengan keadaan kampung yang banyak pokok, semak-samun dan keadaannya agak gelap dalam waktu malam. Berbeza dengan suasana bandar yang dihiasai dengan pelbagai lampu, pusat beli-belah, banyak kenderaan dan suasana yang meriah kerana ramai orang sibuk dengan urusan masing-masing. Mereka sudah menganggap bandar adalah 'kampung' mereka. Kampung sekarang sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan keadaan sebelum tahun 1980-an. Kemudahan jalan, lampu, dan pembangunan lain termasuk bandar baru mengubah wajah kampung. Keadaan rumah penduduk juga lebih selesa, besar, cantik dan kadang kala lebih baik daripada rumah di bandar yang sempit. Saya perhatikan pembangunan di kampung tidak banyak merosakkan kewujudan dan keaslian kampung terutama kampung yang majoritinya orang Melayu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menjadikan kampung lebih menarik. Kewujudan homestay atau rumah penginapan desa dapat menawarkan perkhidmatan kepada mereka menikmati kehidupan alam semula jadi kampung. Pohon kelapa, pisang,buah-buahan bermusim, ulam-ulaman dan sayuran boleh dinikmati oleh tetamu homestay. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, eloklah membawa keluarga merasai kehidupan desa yang permai. Terapi diri dengan melihat pohon-pohon ciptaan Allah boleh memberi kebahagiaan dan ketenangan.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...