Friday, December 31, 2010

Sambutan tahun baru 2011

Dua jam lagi sambutan tahun baru akan diadakan khasnya di Malaysia. Memang begitulah acara saban tahun diadakan di setiap negeri, daerah dan peringkat negara seperti di Dataran Merdeka. Siapakah kaum yang berduyun-duyun pergi ke tempat tersebut? Jawabnya ramai orang dah tahu iaitu orang Melayu terutama golongan muda. Mereka juga diberi hiburan yang menyeronokkan seperti persembahan oleh artis. Tak tahulah nak dihalakan ke mana anak-anak Melayu itu. Yang pasti berhibur.

Sepatutnya semua pihak terutama para pemimpin juga para ulama apabila meluluskan sesuatu program mesti berasaskan sekurang-kurangnya perkara yang berikut:
1. Adakah program itu dapat meningkatkan iman?
2. Adakah program itu tidak ada unsur maksiat?
3. Bolehkah program itu mengurangkan gejala sosial ke tahap minimum?

Mungkin pihak penganjur lebih menilai unsur perniagaan dan hiburan melebihi tujuan lain.

Thursday, December 23, 2010

Persiapan persekolahan

Sesuatu yang biasa dilihat pada akhir tahun di Malaysia khasnya minggu akhir Disember ialah kesibukan ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, keluhan tidak dapat dielakkan. Bayangkan perbelanjaan untuk seorang anak sahaja tidak kurang RM500.
Bagi mereka yang kurang bersimpati akan mengatakan "Kenapa tak sedia dari awal ?" . Nak sedia awal macam mana? Kalau buat baju sekolah bulan Jun 2010, awal 2011 tak boleh pakai lagi. Badan anak-anak cepat membesar. Perlu beli baju lagi!
Kenaikan harga gula, petrol, gas dan sebagainya memberi kesan untuk membuat persiapan persekolahan. Mereka yang berpendapatan tinggi tidak ada masalah.
Saya ada mendengar keluarga yang ada anak OKU (Orang kurang upaya) bertambah satu lagi masalah. Contohnya wang membeli pampers perlu disediakan juga, di samping belanja sekolah.
Pendek kata bermacam-macam masalah dalam masyarakat wujud. Adakah para pemimpin sedar dan bertindak untuk mengatasi masalah itu?
Perbelanjaan untuk mengadakan pesta sambutan tahun baru 2011 di dataran Merdeka atau tempat lain lebih baik diberikan kepada golongan kurang mampu dan tahap sederhana. Untuk kakitangan kerajaan tahap rendah dan sederhana berikan bonus awal tahun.

Sunday, November 28, 2010

Pengkalan Balak dan Port Dickson









Cuti hujung minggu ini Ahad 28 Nov 2010 dipenuhi dengan mengunjungi pantai Pengkalan Balak, Melaka. Sengaja memilih lokasi ini kerana sudah lebih 10 tahun tidak ke situ. Saya menyusuri pantai menghala ke padang kemunting hingga ke Ismah Resort kemudian berpatah balik semula. Berhenti di tepi pantai berhampiran beberapa warong makan.


Cadangan nak membenarkan anak mandi terpaksa ditarik balik. Pantainya agak kotor. Kelihatan air kumbahan warong dan tandas mengalir ke laut dengan jelas. Tapi masih ada orang mandi di pantai, mungkin berjiwa tak kisah atau dah biasa atau tak ada pilihan agaknya.


Warong di situ bertambah dengan banyaknya berbanding 15 tahun dulu. Kelihatan tak terurus, tidak ceria dan hajat nak makan tengah hari terpaksa ditahan seleranya. Saya fikir kerajaan negeri Melaka perlu buat sesuatu. Berbincanglah dengan penduduk dan pengusaha gerai. Pengunjung memang ramai. Mungkin modal dan khidmat nasihat perlu diberikan. Mereka perlu diberi peluang untuk menambah pendapatan atau menjadikannya peluang pekerjaan.


Rumah penginapan/chalet kelihatan tidak ceria. Binaannya begitu rendah dan kurang kemas. Ini juga perlu diberi perhatian. Hasrat nak menginap dibatalkan. Kerajaan negeri Melaka amat wajar beri perhatian kawasan itu, bukan setakat Air Keroh, Dataran Pahlawan. Pantai Pengkalan Balak merupakan kawasan perkelahan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, bukan rakyat bawahan sahaja. Apakah faktor itu menjadi alasan untuk tidak dibangunkan? Kebanyakan rumah penginapan dibina oleh orang kampung di situ.


Saya terus ke Port Dickson. Sudah agak lama tak ke Pantai Port Dickson. Singgah di Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan. Sepi saja, hanya pengawal keselamatan yang ada di pondoknya. Hasrat nak menginap di situ juga gagal. Pengawal memberi tahu bilik kosong masih belum berkemas sebab semalam(Sabtu) baru tamat kursus.Pekerja tak sempat kemas. Hai... semua pekerja cuti agaknya. "Memang resort itu tak mahu duit pengunjung!," keluh saya pada isteri dan anak.


Saya ke Tanjung Biru(Blue lagoon) dekat Tanjung Tuan, merupakan salah satu pantai Port Dickson. Ramai pengunjung pada hari Ahad. Sudah ada bilik air yang baru berbanding dulu. Yang sedih pantainya masih kotor. Kumbahan disalurkan terus hampir dengan kawasan orang ramai manda-mandi dan berkhemah. Pihak yang berkenaan perlu memikirkan cara lain yang lebih baik supaya pantai lebih bersih. Masalah parking kenderaan juga agak kritikal. Ini perlu diatasi kerana kekurangan tempat.

Saya mengambil keputusan untuk pulang tanpa menginap di mana-mana penginapan.




Saturday, November 27, 2010

Lelaki urus rumah tangga

Ketika hadir dalam satu majlis pagi tadi, saya sempat berbual panjang dengan seorang lelaki yang juga ayah kepada dua orang anak. Satu perkara yang agak menarik ialah dia tidak bekerja tapi berperanan mengurus rumah tangga jadi mr.mama. Saya berkata "Dalam seribu mungkin seorang lelaki macam awak". Isterinya bekerja di kilang mungkin ada pangkat tertentu dan mampu tanggung keluarga. Rutin hariannya, setelah hantar anak ke sekolah dan isteri bekerja, dia pergi joging dulu. Balik uruskan rumah. Petang ambil anak dan isteri balik kerja.

Memang susah nak cari orang macam dia pada zaman siber ini. Susah nak cari orang perempuan yang boleh tengok suami duduk rumah saja, apatah lagi tak bekerja. Berleterlah sepanjang hari kalau macam itu. Kebanyakan suami lebih suka sibuk di luar rumah daripada cuci baju, memasak di dapur, hantar dan ambil anak sekolah dan kemas rumah. Belanja ke pasar/pasar raya dan macam-macam lagi.

Yang penting katanya, isterinya bersetuju. Rumah, anak dan isteri terurus. Kedua-dua anaknya berjaya dalam UPSR, dapat 5A. Yang sulung dah tingkatan 2. Dia menjaga kebajikan anak dan urusan sekolah termasuk tuisyen.

Anda bagaimana?Sanggup ambil alih tugas isteri? Cuma yang pasti tak boleh ialah lahirkan anak ke dunia.

Monday, November 22, 2010

Semakin banyak warung Melayu

Jika kita berjalan di pekan kecil atau bandar kecil Malaysia terdapat banyak warung(bahasa Melayu Indonesia -warong). Jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pada amnya, keadaan warung itu terlalu simple , kurang ceria dan kurang memuaskan. Apakah makna atau erti semua ini? Apakah yang tersirat di sebalik kewujudan warung itu?
Kebanyakan pemilik/pengusahanya bumiputera khususnya orang Melayu. Benarkah mereka sudah ada kesedaran untuk berniaga? Terdapat warung yang wujudnya tak sampai setahun, kemudian sunyi sepi, dah tutup.
Sebelum membuka perniagaan warung makan, dahulunya mereka buat apa atau apa pekerjaannya?
Dalam beberapa temu bual dengan pengusahanya, mereka pernah menjadi askar, pemandu lori, kerja makan gaji seperti kerani dan sebagainya. Ada juga yang masih bekerja sebagai pembantu am pejabat, tukang kebun atau kakitangan awam peringkat bawahan. Bekerja untuk mencari pendapatan lebih memang bagus tetapi adakah alasan itu yang sebenar?
Keadaan ini sepatutnya diberi perhatian pihak yang berkenaan. Tempat berniaga yang sesuai, selesa dan wajar patut disediakan kepada mereka. Ada yang minat sungguh tetapi tidak mampu menyewa bangunan hingga lebih RM500 di kawasan taman perumahan. Sampai bilakah orang Melayu berniaga secara tak tersusun dan sepatutnya sudah upgrade berbanding tahun 1970an dulu? Jauh sekali jika mereka nak menyewa di KLCC atau menara 100 tingkat. Nak menyewa di bangunan/premis milik MARA belum tentu mampu.
Majlis agama Islam atau baitulmal yang mempunyai dana dari wang zakat wajar membantu dengan menyediakan tempat mereka berniaga. Kasihan mereka!

Saturday, November 13, 2010

Di sebalik letusan gunung berapi


Letusan gunung Merapi di Jawa Tengah baru-baru ini mempunyai makna yang tersirat. Di sebalik letusan gunung berapi atau sebarang bencana banjir, kemarau, jerebu termasuk Tsunami sepatutnya memberi kesedaran kepada manusia khasnya penduduk yang tinggal tempat bencana itu berlaku.

Kajian sains, geografi atau apa saja keilmuan tidak dapat menyelesaikan persoalan dan masalah yang berlaku. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Adakah manusia mentaati suruhan Allah yang sebenar? Bukan sekadar sembahyang, puasa dan mengadakan majlis perkahwinan mengikut Islam saja. Adakah manusia khususnya umat Islam menjaga akidahnya?

Sebagai umat Islam, kita tidak boleh mengatakan penjaga gunung berapi marah, dewa gunung mengamuk atau tidak memberi persembahan tertentu. Islam tidak menyuruh umatnya takut gunung, lantaran dikaitkan dengan penjaganya yang dianggap berkuasa seperti jin, hantu dan dewa. Kononnya untuk memujuk penjaga gunung itu dibuatkan upacara tertentu dan memberi habuan dalam bentuk makanan dan sebagainya.

Manusia mesti takutkan Allah saja. Bukan gunung, laut atau kuasa lain. Taat perintah dan kerjakan suruhannya. Solat hajat untuk memohon perlindungan daripada Allah.
Sumber gambar: boston.com

Monday, November 8, 2010

Semasa di pejabat Imigeresen

Sewaktu berurusan di pejabat imigresen Muar siang tadi kelihatan terlalu ramai orang yang berurusan. Selepas cuti Depavali, hari ini Isnin ramai yang mengambil peluang membuat urusan masing-masing. Pejabat tersebut menyediakan perkhidmatan fotostat dan ambil gambar untuk orang ramai. Bayaran Rm 10.00 bagi 4 keping gambar dan satu salinan fotostat 20 sen sahaja.
Apabila berurusan dengan Pejabat Imigresen, kita memang kena bersedia untuk bersabar. Bersabar dan terus bersabar. Tempoh masa berurusan dari pukul 3.00 hingga 5.30 ptg. Urusannya: anak mahu memperbaharui pasport antarabangsa. Saya pun tak tahu macam mana urusan boleh menjadi lebih cepat beres. Rasanya perlu ada satu kaunter khas untuk menyemak semua permohonan sebelum mengambil nombor giliran.
Mungkin ada baiknya pejabat imigresen menyediakan tea corner (kenakan sedikit bayaran bagi yang ingin minum) sambil orang ramai menunggu bukan sekadar tengok tv.

Saya terdengar bacaan ayat suci al-Quran yang agak perlahan, masih jelas, mungkin datangnya dari tempat pekerja fotostat itu. Rasanya bacaan Quran para imam Masjidil Haram Mekah. Tidak mengganggu orang ramai, justeru memberi ketenangan.

Dalam masa menunggu itu, sempat berbual dengan seorang lelaki Cina yang usianya hampir 60 tahun. Dia menceritakan pengalamannya bekerja di luar negara. Pernah petik buah kiwi di New Zealand tahun 70an dulu. Gajinya lumayan. Hampir RM30.00 sejam. Katanya,ramai rakyat Malaysia bekerja di luar negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, U.K dan lain-lain. Faktor gaji dan kemudahan lain menjadi daya penarik utama mereka bekerja. Banyak pengalamannya ingin saya dengar tapi masa tidak mengizinkan. Penguasaan bahasa Melayunya agak baik.

Wednesday, November 3, 2010

Hasad dengki kalangan Melayu

Salah satu perangai orang Melayu ialah tidak suka melihat mahupun mendengar kejayaan orang lain terutama kalangan orang Melayu. Rasanya sejak wujud dunia Melayu sampai kini perangai itu masih wujud, seolah-olah sudah sebati. Mengapa orang Melayu tidak berperangai sedemikian dengan kaum lain?
Pegangan pada ajaran agama Islam cuma mengendurkan sedikit perangai itu. Golongan yang teguh pada ajaran Islam saja yang kurang berperangai buruk begitu. Lihat saja dalam berpolitik. Perlakuan mengata, hasad dengki begitu kuat dalam berpolitik. Perbezaan pendapat sepatutnya diterima oleh semua pihak.
Sudah 53 tahun negara merdeka. Politik yang dinaungi majoriti orang Melayu seharusnya mendidik orang Melayu ke arah kebaikan, tidak hasad dengki dan kata mengata khasnya melalui media. Sepatutnya parti politik mencari jalan terus memajukan pemikiran Melayu. Pemikiran Melayu mesti berasaskan ajaran Islam. Pemikiran Melayu bersendikan budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam. Melayu mesti berfikiran positif, tidak memencilkan orang Melayu yang tidak sependapat.
Makin ramai orang Melayu yang terpelajar dan berkelulusan tinggi. Idea dan tenaga mereka mesti dimanfaatkan. Kita juga perlu berkongsi idea dengan kaum lain yang membawa kebaikan, keadilan dan kesejahteraan. Bumi Malaysia sudah ditakdirkan Allah didiami oleh pelbagai kaum. Hasad dengki mesti dihapuskan untuk kemajuan orang Melayu.

Friday, October 29, 2010

Nadi orang Melayu

Islam, Bahasa Melayu, dan kemajuan ekonomi menjadi nadi orang Melayu di Malaysia. Kalau salah satu ini ditinggalkan orang Melayu tak akan ke mana-mana. Kalau salah satu lemah, akan rosaklah masa depan orang Melayu. Kalau ada unsur-unsur yang merosakkan nadi tersebut, juga akan musnah orang Melayu.
Sehubungan dengan itu, Islam mesti diutamakan dan menjadi wadah kehidupan, cara hidup dan asas penting orang Melayu. Islam mesti menjadi amalan menyeluruh bukan sekadar sembahyang, puasa, nikah kahwin, menunaikan fardu haji, dan majlis agama seperti musabaqah dan maulid nabi. Sebab itu, mewujudkan lebih banyak kelab malam di negara ini tidak menjadi asas amalan beragama. Bolehkah orang Islam dilarang masuk ke kelab malam? Ada larangan atau tidak? Dalam konteks ini, hasil pendapatan daripada kemasukan pelancong tidak membawa keberkatan kepada negara. Jumlah kelab malam sekarang rasanya sudah mencukupi untuk orang bukan Islam.
Meletakkan kepentingan bahasa Inggeris melebihi bahasa Melayu akan merendah status bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu mesti berada lebih atas daripada bahasa Inggeris sama ada kedudukan mahupun kepentingannya.
Ekonomi pula, orang Melayu makin mundur atau maju? Kerajaan dan agensinya perlu membantu ekonomi orang Melayu. Bantuan perlu dalam bentuk modal dan ilmu. Bukanlah selama ini tak ada bantuan, tetapi perlu dihebatkan lagi. Orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Sunday, October 24, 2010

Masih ramai tidak ada rumah

Hidup bawah jambatan
Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini pasti tidak menyangka sebuah kolong di bawah jambatan yang mereka lalui di situ rupa-rupanya menjadi rumah kepada satu keluarga tiga beranak termasuk bayi mereka yang berusia setahun.
Bersama mereka ialah dua lelaki hidup yang turut merempat, Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 30, dari Sepang dan Tan Chee Wah, 44, dari Serdang, Selangor.

Ketua keluarga itu, Hazmain Abdul Jalil, 28, membawa isterinya, Siti Faezah Abu Bakar, 27, dan anak perempuan mereka, Siti Norafida ke bawah jambatan itu sejak empat bulan lalu selepas dihalau dari sebuah rumah kosong yang sebelum itu menjadi tempat mereka berlindung.
Kawasan yang menjadi 'rumah' mereka itu tidak berdinding hanya dilapik dengan kayu sementara untuk mendapatkan bekalan air, mereka terpaksa mencuri air dari paip berdekatan.

(Sumber: akhbar Kosmo! 24 Okt 2010)

Berita yang dipaparkan dalam akhbar di atas merupakan salah satu daripada beribu orang yang masih tak ada rumah. Sebagai orang Islam, bayangkanlah bagaimana mereka hendak solat dan melakukan ibadat lain?
Pihak yang berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pemimpin politik , NGO, pemimpin agama perlu memainkan peranan masing-masing. Di kawasan bandar perlu dibina perumahan bagi mereka yang kurang mampu. Dalam hal ini, persoalan yang sering timbul ialah adakah mereka benar-benar tak mampu, ingin menarik perhatian ramai atau tidak ada pekerjaan khusus sehingga sukar memperoleh rumah?
Yang pasti projek perumahan untuk orang ramai perlu diperbanyakkan. Penduduk makin bertambah, permintaan tempat tinggal juga bertambah.

Friday, October 22, 2010

Pentingnya bonus

Saya lihat kakitangan awam Malaysia sangat mengharapkan bonus. Penjawat awam yang berpangkat tinggi mungkin tak mengharapkan bonus, elaun keraian dan khidmat awam sahaja sudah lebih daripada cukup. Yang berpangkat sederhana ke bawah terlalu mengharapkan bonus. Kenapa mengharap sangat?
Seorang rakan yang mempunyai lima orang anak bersekolah kena keluar duit lebih RM1000. Seorang anak yang bersekolah tadika saja memerlukan hampir Rm300. Bayangkan belanja untuk anak sekolah rendah dan menengah.
Dalam cuti sekolah yang bakal tiba, ibu bapa sudah merancang untuk bawa anak berjalan-jalan di dalam negeri, sekurang-kurangnya ke Kuala Lumpur. Tak kurang juga balik kampung untuk ziarah datuk/nenek. Juga menghadiri majlis perkahwinan sanak saudara tak kira di kampung dan bandar. Sudah menjadi amalan rakyat negara ini cuti sekolah yang agak singkat digunakan untuk mengadakan bermacam-macam majlis kenduri, hari keluarga dan sebagainya. Semua ini memerlukan wang untuk dibelanjakan. Sekadar beberapa contoh saja...
Bonus akan menggerakkan ekonomi negara kerana rakyat akan berbelanja. Para peniaga runcit, peniaga makanan, plaza tol, bengkel kenderaan, stesen minyak, pusat beli-belah semua dapat faedah. Rakyat yang bukan kakitangan kerajaan juga secara tak langsung akan dapat manfaat. Jika kakitangan kurang berbelanja, kesannya dapat dirasai rakyat negara ini. Mereka yang berpendapatan tinggi kurang berbelanja di dalam negara. Golongan sederhana dan ke bawah banyak membeli-belah di dalam negara.

Monday, October 11, 2010

Bahasa Melayu dan bulannya

Seperti yang sudah diketahui umum, bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pewujudan bulan bahasa itu mengingatkan kita kepentingan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sebenarnya, mengamalkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat lebih penting daripada sambutan bulan bahasa yang bersifat program bermusim.
Sejauh manakah amalan bahasa kebangsaan menjadi pegangan rakyat terutama pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan serta swasta? Kita bimbang sikap positif terhadap bahasa Melayu hanya ada dalam sanubari rakyat biasa sahaja. Pihak atasan terutama pemimpin lebih cenderung berbahasa asing terutama bahasa Inggeris. Sektor swasta pula seolah-olah dimanjakan dan dibiarkan menggunakan bahasa Inggeris macamlah syarikat itu berada di luar Malaysia. Petang tadi saya menelefon pejabat utama kereta jenama terkenal buatan Jerman di Kuala Lumpur. Pegawai yang menjawabnya langsung tidak menyebut walau satu kata dalam bahasa Melayu. Saya bercakap dalam bahasa Melayu , dia tetap jawab dalam bahasa Inggeris. Bermakna dia faham bahasa Melayu. Saya faham bahasa Inggerisnya, tapi sengaja saya tak mahu bercakap bahasa Inggeris. Ini baru satu syarikat. Syarikat lain bagaimana, fikirlah.

Kerajaan dan NGO bahasa patut mencari jalan tentang pengisian ke arah mengamalkan bahasa Melayu di negara ini. Sekadar menganjurkan bulan bahasa tidak cukup. Bulan bahasa sepatutnya diadakan pada awal tahun atau paling lewat Februari. Bulan Oktober sudah lewat, hujung tahun tak sesuai. Anak-anak kita pula sibuk menghadapi peperiksaan akhir. Pada hal generasi muda adalah sasaran program bulan bahasa. Mereka akan menjadi pengamal dan pewaris/penggerak penggunaan bahasa kebangsaan. Langkah menjadikan bulan Oktober sebagai bulan bahasa perlu difikirkan semula.

Thursday, September 30, 2010

Bertemu kawan lama

Pada Sabtu lepas (25 Sept 2010) tak disangka bertemu kawan lama sewaktu menghadiri sebuah majlis di Muar yang dihadiri TPM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin. Memang sudah terlalu lama tidak hadir apa-apa majlis besar terutama yang dihadiri pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan.
Terasa sebak yang ditahan-tahan apabila bertemu kawan itu. Kami masih mengenali walau sudah lebih 20 tahun tak bertemu.
Dia masih meneruskan kerjaya sebagai wartawan. Dulu dengan Utusan Malaysia/Melayu, tapi kini dengan Bernama. Suatu masa dulu kami sama-sama menjadi wartawan(pemberita). Saya mewakili Berita Harian secara sambilan. Hadir dalam kebanyakan majlis terutama politik.
Kami terpisah apabila saya mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke UPM, dan seterusnya ke UKM peringkat sarjana. Saya juga mengambil keputusan tidak mahu aktif dalam politik sehingga kini. Akan datang tak tahulah. Rasanya lebih baik teruskan perniagaan.
Pertemuan singkat itu menyingkap nostalgia lama. Sebak rasanya mengenangkan keadaan. Saya membuat rumusan ringkas - kerjaya guru, doktor dan wartawan lebih kurang sama nasibnya andainya kita berada dalam tahap tertentu. Wartawan menjadi alat pihak yang ingin melonjak naik, dan belum tentu pihak itu ingat kita apabila sudah berjaya. Wartawan akan dimarahi jika pihak tertentu kurang puas hati dan berasa seronok jika tulisannya menyenangkan orang tertentu.
Pertemuan yang singkat itu sekadar menyorot nostalgia lama tanpa apa-apa keputusan. Masa amat terbatas. Itulah takdir Allah dengan pertemuan tak dijangka... Hanya Allah yang tahu segalanya.

Saturday, August 28, 2010

SANTAI DULU

Hidup di dunia ini perlu santai. Tak perlu risau sangat atau sentiasa memikirkan apa akan berlaku macam orang politik berfikir. Apabila kita santai, kita akan berasa tenang, dan aman damai.
Manusia biasanya tak akan duduk diam, akan buat sesuatu. Hal itu tak salah. Yang jadi masalah biasanya sesuatu perbuatan akan menyusahkan orang lain. Jika perlakuan itu tidak menyusahkan orang lain, teruskanlah.
Dalam keadaan santai kita dapat bertenang sambil melihat alam sekeliling tentang kebesaran Tuhan. Kita terasa kecil dan lemah berbanding kuasa-Nya.
Manusia tidak duduk diam, akan menjadi rakus seolah-olah dunia ini dia punya. Lihat pada pemimpin jika dia berkuasa, negara kuasa besar atau kumpulan yang rasa mereka hebat.
Santai bukan bermaksud kita tak perlu usaha dan duduk rehat saja. Kita berusaha mengikut kemampuan, tak susahkan orang lain. Hasilnya memberi manfaat kepada diri dan pihak lain. Lihat pada pekebun atau petani yang bercucuk tanam, hasilnya bukan saja dimakan manusia tetapi juga haiwan. Makmurkan bumi ini.

Sunday, August 8, 2010

Pembeli masih tak kisah halal haram

Sudah lama tak ke pasar raya yang terkenal. Rasanya sudah setahun. Tempat yang sangat kurang minat berkunjung. Dalam keadaan agak terpaksa,dua minggu lepas, sewaktu menemani isteri ke pasar raya, saya melalui bahagian jualan ayam. Saya perhatikan ramai pembelinya orang Melayu. Pekerjanya orang Bangladesh dan Indonesia. Ayam itu dipotong mengikut bahagiannya menggunakan mesin pemotong. Macam potong tile(jubin) rumah. Ada bahagian kepak, kaki, dada, dan sebagainya.
Agak hairan juga nampak pembeli tak banyak tanya. Mereka yakin sangat daging itu halal. Banyak juga persoalan timbul. Halal ke daging itu? Siapa yang sembelih? Prosesnya di mana? Tak ada dokumen pemantauan daripada Jabatan Agama Islam. Ini pasar raya terkenal. Apatah lagi pasar raya sederhana, bagaimana?

Kalau beli juga terasa macam makan bangkai. Sebagai pengguna kena prihatin. Tak boleh yakin melulu.

Friday, May 14, 2010

Tabung Kebajikan Islam Nasional

Sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan tabung kebajikan Islam nasional di peringkat pusat untuk membantu golongan susah dan miskin di dalam negara. Kewujudan jabatan kebajikan masyarakat dan badan kebajikan yang banyak di seluruh negara masih belum mencukupi. Sebuah jawatankuasa patut ditubuhkan di peringkat pusat yang ahlinya terdiri daripada orang Islam yang mewakili parti(kerajaan dan pembangkang), profesional dan ulama.
Orang ramai yang ingin menderma atau memberi sumbangan dalam bentuk wang boleh salurkan terus ke tabung ini.
Saya cadangkan Bank Islam dan Bank Rakyat boleh menjadi agensi yang menyimpan wang sumbangan daripada orang ramai.
Kebajikan orang Islam perlu diurus dengan baik. Soal rumah, pendidikan, kesihatan, sumber pekerjaan hendaklah diutamakan.

Friday, April 30, 2010

Menyatukan masyarakat Islam Malaysia

Apakah langkah atau cara yang paling baik untuk menyatukan masyarakat Islam di Malaysia? Soalan ini sering ditimbulkan dalam majlis tertentu, media malah perbincangan umum.

Langkah yang paling bijak, terbaik dan berkesan ialah menggunakan Islam sebagai agama yang menyatukan umat Islam khasnya di Malaysia. Tidak ada cara lain yang terbaik!

Kita teliti jika cara lain dijadikan asas:

1.Bahasa

Bahasa Melayu diakui menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam perlembagaan dan atas kertas memanglah begitu. Tidak payah pertikaikan. Praktiknya belum tentu. Penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas. Banyak pihak termasuk tokoh dalam kalangan orang Melayu tak mahir bercakap bahasa sendiri apatah lagi menerima bahasa ini sebagai bahasa utama.Belum tentu menyokong penuh penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ilmu. Lihat saja melalui media sudah kita nampak masalah ini. Bagaimana nak dijadikan ikutan kaum lain atau masyarakat bawahan?



2.Budaya

Budaya yang ditonjolkan lebih memihak atau berfokus pada hiburan, bukan penyatuan masyarakat. Unsur nak menyatukan masyarakat hanya sampingan. Setiap kaum menonjolkan kehebatan budaya mereka. Acuan budaya berasaskan seronok saja, tidak berpaksi akhlak. Bagaimana nak menyatukan masyarakat Islam?



3.Ekonomi

Kemajuan ekonomi masih mencerminkan pencapaian kaum, bukan masyarakat Islam.



4.Sukan

Sukan hanya untuk menonjolkan kejayaan individu/ahli sukan dan pencapaian negara di mata dunia. Sukan dijadikan bidang perniagaan oleh syarikat yang mengaut keuntungan. Tidak mengarah penyatuan masyarakat Islam.



5.Perayaan utama

Setiap kali perayaan lebih menekankan 'majlis makan-makan' dan pertemuan kawan-kawan baru dan lama.

Oleh yang demikian, ajaran Islam mesti dijadikan asas atau teras perpaduan masyarakat. Nilai perpaduan Islam juga sudah lama diterima oleh bukan Islam.

Saturday, March 6, 2010

Orang Islam perlu berniaga

Dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia, orang Islam hendaklah berniaga. Nak berniaga apa? Bukankah keperluan umat Islam sudah banyak disediakan di pasaran?
Persoalan halal haram masih menjadi masalah. Hampir 95% keperluan umat Islam disediakan oleh orang bukan Islam. Pengguna Islam merungut masalah barang itu halal atau haram khasnya barang makanan.
Pengguna Islam tidak boleh menyalahkan bukan Islam sepenuhnya jika timbul masalah. Mereka mungkin tahu batasan haram tapi tidak menjiwainya. Jiwa Islam tak ada.
Pengeluaran produk/barangan bukan setakat tidak ada unsur najis, bangkai atau daging babi. Pengeluaran barangan mesti ada doanya, bacaan kalimah Allah dan sebagainya. Paling minimum ada membaca bismillah...Urusan ini hanya boleh dilakukan oleh orang Islam. Sanggupkah kita makan hasil makanan orang tak solat atau tak mandi wajib? (Sekadar satu contoh).
Oleh sebab itu, orang Islam wajib berniaga. Barang untuk orang Islam sepatutnya disediakan oleh orang Islam kecuali jika orang Islam tidak ada kepakaran dalam pengeluaran itu.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...