Monday, October 11, 2010

Bahasa Melayu dan bulannya

Seperti yang sudah diketahui umum, bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pewujudan bulan bahasa itu mengingatkan kita kepentingan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sebenarnya, mengamalkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat lebih penting daripada sambutan bulan bahasa yang bersifat program bermusim.
Sejauh manakah amalan bahasa kebangsaan menjadi pegangan rakyat terutama pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan serta swasta? Kita bimbang sikap positif terhadap bahasa Melayu hanya ada dalam sanubari rakyat biasa sahaja. Pihak atasan terutama pemimpin lebih cenderung berbahasa asing terutama bahasa Inggeris. Sektor swasta pula seolah-olah dimanjakan dan dibiarkan menggunakan bahasa Inggeris macamlah syarikat itu berada di luar Malaysia. Petang tadi saya menelefon pejabat utama kereta jenama terkenal buatan Jerman di Kuala Lumpur. Pegawai yang menjawabnya langsung tidak menyebut walau satu kata dalam bahasa Melayu. Saya bercakap dalam bahasa Melayu , dia tetap jawab dalam bahasa Inggeris. Bermakna dia faham bahasa Melayu. Saya faham bahasa Inggerisnya, tapi sengaja saya tak mahu bercakap bahasa Inggeris. Ini baru satu syarikat. Syarikat lain bagaimana, fikirlah.

Kerajaan dan NGO bahasa patut mencari jalan tentang pengisian ke arah mengamalkan bahasa Melayu di negara ini. Sekadar menganjurkan bulan bahasa tidak cukup. Bulan bahasa sepatutnya diadakan pada awal tahun atau paling lewat Februari. Bulan Oktober sudah lewat, hujung tahun tak sesuai. Anak-anak kita pula sibuk menghadapi peperiksaan akhir. Pada hal generasi muda adalah sasaran program bulan bahasa. Mereka akan menjadi pengamal dan pewaris/penggerak penggunaan bahasa kebangsaan. Langkah menjadikan bulan Oktober sebagai bulan bahasa perlu difikirkan semula.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...