Monday, January 26, 2009

Pengalaman menunai fardu haji




Sewaktu kapal terbang Saudi Airline mendarat di lapangan terbang antarabangsa Madinah pada 22 Disember 2004, saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana selamat sampai. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi waktu Arab Saudi. Keletihan dalam perjalanan selama lebih kurang 8 jam setengah dari KLIA bertukar menjadi lebih cergas dan gembira. Bukannya mudah untuk menjadi tetamu Allah, sampai di tanah suci Madinah dan Mekah.
Setelah sampai di hotel dan semua urusan beres, saya dah tak sabar nak ke masjid Nabawi. Masjid itu terletak di depan hotel tempat menginap. Kebetulan bertemu rakan lama yang sudah sampai dua hari lebih awal. Saudara Abdul Rahman membawa saya ke masjid. Dia menunjukkan pintu masuk utama, Raudah dan makam nabi serta para sahabat nabi. Masjid Nabi sungguh menarik seni binaannya, kawasannya luas dan selesa.
Masuk hari keempat 26 Dis 2004 terdengar berita Tsunami melanda Aceh dan Malaysia. Jamaah haji dari Aceh menceritakan peristiwa termasuk kehilangan rumah dan saudara-mara mereka.
Selain itu, saya dan jemaah lain sempat melawat Bukit Uhud, Kilang kurma, masjid Qiblatain, masjid Quba, dan beberapa tempat lain yang mempunyai kesan sejarah Islam.
Pada masa tertentu, jemaah Malaysia suka membeli belah di kedai yang banyak sekitar masjid. Pekedai sangat suka kerana jemaah Malaysia suka shopping. Tak pasti apa tujuan mereka banyak membeli barangan. Alasan yang sering dinyatakan ialah untuk sanak saudara, anak cucu, kawan-kawan elok beli di Madinah dan poskan awal sebelum ke Mekah.
Lapan hari berada di Madinah terasa sangat sekejap.Alhamdulillah, saya dan isteri dapat mengerjakan solat lima waktu selama 8 hari di masjid Nabawi. Rasa tenang berada di masjid itu amat saya kagumi. Hari kelapan, suhu di Madinah sudah 10 darjah celcius. Makin sejuk.
Jemaah bertolak ke Mekah dengan menaiki bas pukul 10 malam. Pihak Tabung Haji sudah mengingatkan supaya niat Umrah sebaik bertolak ke Madinah. Kami berhenti di masjid Bir Ali lebih kurang 10 km dari Madinah. Kami meneruskan perjalanan ke Mekah. Batuk dan selesema saya makin menjadi-jadi ditambah cuaca yang sangat sejuk. Tuala kecil sentiasa bersama saya.Dugaan daripada Allah...
Kami berhenti di beberapa hentian kecil sepanjang perjalanan dan melalui entah berapa kali pemeriksaan imigresen. Satu peristiwa yang tak boleh lupa apabila saya dilantik ketua jemaah dalam bas itu. Terkejut. Apabila naik bas semula, saya dapat tau dilantik ketua. Tanya isteri siapa yang lantik. Bermula dengan pemandu bas itu orang Arab Mesir. Dia tanya isteri saya siapa yang duduk di sebelah isteri saya, dialah mudir. Dia angguk. Katanya itulah mudir. Isteri saya tak tau makna mudir. Saya katakan kepadanya mudir maknanya ketua. Kalau di sekolah dipanggil pengetua/guru besar. Saya geleng kepala.
Kami sampai di Mekah pada waktu subuh. Selepas check in, solat subuh dan sarapan, berehat sebentar. Hampir 10 pagi, saya dan isteri serta kawan ke masjidil Haram. Syukurlah dapat sampai dan melihat Kaabah. Sebab sebelum sampai ke tanah suci memang ada terdengar cerita ada jemaah tak dapat lihat kaabah padahal dah depan mata, sedangkan orang lain dapat melihatnya. Kami terus solat sunat dan kemudian tawaf.
Selepas, solat asar saya dan isteri mahu melakukan sa’i. Dalam mencari pintu masuk ke Safa, isteri saya menyuruh saya bertanya pegawai Tabung Haji Malaysia. Saya tak bertanya, saya yakin pintu safa sudah tak jauh. Lepas itu dia, terpisah dengan tiba-tiba dalam sekelip mata. Saya tercari-cari tapi tak jumpa.Hairan. Saya teruskan kerja sa’i hingga selesai. Apabila sampai hotel dia sudah berada di hotel. Memang dalam al-Quran, semasa mengerjakan kerja haji dan umrah kita hendaklah bersabar, jangan bersungut, apatah lagi berbalah.
Sepanjang berada di Mekah, makanan yang paling saya suka ialah kari kaki kambing makan dengan roti arab(macam roti Nan). Biasanya makan sarapan selepas solat subuh.
Ada 5 jemaah sebilik dengan saya di Hotel Ehwah(Maktab 85). Pernah beberapa hari keenam orang termasuk saya sakit. Maaf kata, dah macam wad hospital. Seorang pakcik dari Kelantan rasanya 2 kali dimasukkan ke hospital di Mekah.Umurnya lebih kurang 70 tahun. (catatan: khabarnya pak cik itu meninggal dunia selepas kembali ke Malaysia. Saya sangat sedih apabila terkenang kebaikannya. Dia tukang rumah kampung di kampungnya, isterinya guru mengaji al-Quran di kampung. Kumpul duit dapat menunaikan fardu haji).
Kami sempat menunaikan umrah sunat semasa di Mekah.
Sehari sebelum wukuf, selepas solat Asar kami bertolak ke Arafah. Sebaik meninggalkan hotel dan lengkap dengan pakaian ihram kami berniat haji. Dalam perjalanan itu, saya tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata. Sangat terharu. Laungan labaikallah humalakabaik ... oleh jamaah dalam perjalanan itu.
Selama di Arafah,Muzalifah dan Mina banyaklah dugaan. Yang sukar dilupakan apabila melihat hujan lebat dan banjir di Mina. Memang luar biasa, sebab bumi di sana jarang hujan. Terdapat khemah yang dibanjiri air hingga paras pinggang. Alhamdulillah, khemah yang saya duduki berada di tempat yang agak tinggi.
Saya dan isteri melontar jamrah selepas solat subuh (kecuali hari ketiga sebelum dan sesudah subuh) bersama kaum kerabat saudara Esa dari Serting, Negeri Sembilan. Memang agak sesak waktu itu, tapi Allah permudahkan. Saudara Esa sudah kali kedua menunaikan fardu Haji dan kali ini membawa ibunya. Pengalamannya membolehkan urusan melontar berjalan lancar.

Hari berikutnya, jemaah kembali ke Mekah. Kemudian kami melakukan tawaf dan sa'i haji. Selesailah kerja haji. Sambil menunggu pulang, kami melakukan solat di majidil Haram atau masjid berhampiran yang dikenali masjid kucing. Selanjutnya, tawaf wida sebelum ke madinatu Hujaj dan ke lapang terbang Jeddah untuk kembali ke Malaysia.

Kalau Allah izinkan memanglah ingin sangat menunaikan haji dan umrah lagi. Dapat beribadat, berdoa dan ziarah di sana. Mudah-mudahan. Itulah tempat yang paling terbaik di dunia, ada kelainan yang tersurat dan tersirat. Pengalaman saya melancong keluar negara amat berbeza dengan kota suci Mekah dan Madinah. Allah sangat berkuasa.


2 comments:

  1. Alhamdullilah..kr berjaya menjejakkan kaki ke tanah suci.Mudah2an satu ketika nanti saya juga akan kesampaian untuk berada di sana. hmm..tak de ke gambar2..sepanjang berada di sana untuk dikongsi bersama?

    ReplyDelete
  2. anjung69,
    mudah-mudahan dapat sampai ke tanah suci. itulah tempat paling terbaik di dunia. Saya sudah sampai ke beberapa negara luar malaysia, tak sama dengan tanah suci. Tenang di jiwa walaupun sibuk pada fizikal.wassalam.

    ReplyDelete

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...