Monday, September 10, 2012

Bahasa rojak dalam bahasa Melayu

Seorang remaja Melayu ditanya sebab-sebab tidak hadir majlis rumah terbuka sempena Hari Raya semalam. Jawabnya ada trial(disebut trayel). Saya tidak faham dan kurang jelas minta dia ulang. Ada trial katanya. Saya dah faham apabila teringat dan dikaitkan dengan peperiksaan Percubaan SPM yang sudah 2 minggu berlangsung. Sekadar satu contoh...
Remaja semakin tidak menggunakan istilah bahasa Melayu. Apabila bercakap bahasa Melayu mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris. Dalam keadaan yang lain pula, mereka bercakap bahasa Inggeris memasukkan kata bahasa Melayu. Akibatnya jadi bahasa cacamarba atau bahasa rojak. Sebenarnya kedua-dua bahasa tidak dikuasai dengan baik.
Pelaksanaan PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) memberi kesan penguasaan bahasa remaja cacamarba. Majoriti remaja juga kurang menguasai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Saya yakin hanya 5 % remaja yang menguasainya dan itu pun dibantu ibu bapa mereka yang kebanyakannya berpelajaran tinggi.
Jika anak-anak Melayu sebagai penutur jati dan pewaris bahasa Melayu kurang berkemahiran bahasa Melayu, apakah kita mampu mempertahankan kehebatan bahasa Melayu di negara ini? Janganlah kita bersandar harapan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jangan bermimpi. Hanya 5 % saja yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan ini kumpulan cemerlang yang akan melahirkan golongan profesional seperti doktor dan jurutera yang belajar di luar negara.
Dalam tinjauan saya, mereka yang belajar di luar negara akan bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik walaupun kadang kala terlupa istilah dalam bahasa Melayu. Apabila mereka berinteraksi dengan orang Barat mereka akan bertutur bahasa Inggeris dengan baik mengikut slang negara itu, contohnya UK, Ireland, dan US(United State).
Sebaliknya, mereka yang belajar atau bekerja di dalam negara ini, akan bercakap bahasa Inggeris campur bahasa Melayu dalam satu ayat. Mungkin mereka nak tunjukkan mereka tahu bahasa Inggeris. Jadilah bahasa rojak. Hal ini berkaitan dengan faktor sikap.
Sikap orang Melayu terhadap bahasanya akan menjadikan bahasa Melayu kurang dihormati dan dipandang rendah. Sebab itu ada orang Melayu menyatakan orang Melayu tak akan maju tanpa menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Pada hal bidang kerjanya tak ada kaitan dengan dunia antarabangsa.
Orang Melayu sepatutnya menguasai bahasa Melayu dengan baik. Bahasa Inggeris dipelajari sebagai tambahan saja. Penyebaran ilmu dalam negara harus menggunakan bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh rakyat keseluruhan. Mereka terdiri daripada rakyat biasa, bukan elit, bukan bangsawan, melakukan kerja biasa, anak kakitangan kerajaan, pekerja bawahan dan sebagainya. Kebanyakan tinggal di dalam Malaysia, tak pernah pijak bumi Barat, makan minum di Malaysia kecuali takdir Tuhan dalam keadaan tertentu anda menjadi seorang profesional.
Jika anda menjadi seorang usahawan atau pengurus syarikat, anda akan berpeluang melancong ke bandar-bandar utama di seluruh dunia. Anda akan berpeluang untuk bertutur bahasa Inggeris dengan lebih luas, bukan sekadar di Kuala Lumpur saja.
Saya pernah bertemu seorang remaja Cina di airport Dublin pada Jun 2012. Apabila saya tahu dia berasal dari Malaysia, perbualan kami terus bertukar dalam bahasa Melayu. Dia tidak ada masalah. Dia bersikap positif.



Saturday, September 1, 2012

Hentian Serdang tiada surau

Sudah agak lama tak masuk ke Kuala Lumpur. Kunjungan ke rumah kakak menyebabkan saya ke Kuala Lumpur. Rasanya dah lebih 3 tahun tak masuk ke KL, apatah lagi berhenti di Hentian Serdang. Hentian Serdang ini menitipkan nostalgia sewaktu belajar di UPM dulu. UPM waktu itu dikenali Universiti Pertanian Malaysia. Bagus nama ini tapi telah dibuang. Hentian ini menjadi destinasi penting apabila turun dari bas ekspres dari selatan. Sambil menunggu rakan untuk ke kampus, saya sering berhenti di hentian itu dan minum di gerai. Gerai itu masih wujud hingga kini. Semasa berhenti sebentar di hentian Serdang dan minum di sebuah gerai pagi tadi, saya mendengar pertanyaan seorang wanita menggunakan dialek Kelantan. Dia bertanyakan surau atau bilik solat kepada pekerja Indonesia di gerai makan. Kata pekerja itu, surau tidak ada di Hentian itu. Wanita itu nampak kecewa. Saya beritahu surau ada di hujung bangunan kedai itu. Pekerja Indonesia itu membalas, dulu ada kini sudah tutup. Saya pernah menggunakan surau itu untuk bersolat.
Jika benar tak ada surau, pihak Plus perlu meneliti dan mewujudkan surau semula untuk kemudahan orang ramai menghadap Allah. Orang begitu ramai berbanding dulu dan majoriti orang Islam. Kemudahan lain begitu banyak, surau tak boleh diketepikan. Pekerja banyak orang Islam, di manakah mereka bersolat?
Teringat saya semasa ke Korea baru-baru ini. Airport Incheon, Seoul ada kemudahan surau untuk orang Islam. Begitu juga airport di London seperti Stansted ada surau disediakan.

Tuesday, August 28, 2012

Lesen memandu perlulah bayar sekali saja

Cadangan lesen memandu dibayar sekali saja untuk seumur hidup adalah sangat baik. Bagi mereka yang tidak bersetuju, buatlah pembaharuan lesen memandu setiap tahun di JPJ(Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia).
Pada masa ini bukan mudah memperbaharui lesen memandu. Jika anda tidak bawa lesen pendua yang dah tamat tempohnya, anda akan kecewa untuk memperbaharui lesen memandu walaupun anda bawa lesen asal. Anda tidak boleh menggunakan no. IC sebagai rujukan pada hal anda sudah lebih 25 tahun mempunyai lesen memandu yang saban tahun diperbaharui.
Jika hilang lesen pendua tersebut, isi borang dan bayar RM20 untuk dapatkan lesen pendua yang seterusnya. Saya ada pengalaman dalam hal ini.


Monday, August 27, 2012

Pengurusan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia perlu perubahan

Saya tidak dapat memperbaharui lesen memandu isteri saya yang telah tamat tempoh di Jabatan Pengangkutan Jalan caw Muar hari ini 27 Ogos 2012 pukul 3.10 petang di kaunter 8. Kerani yang bertugas mengatakan saya tidak membawa lesen pendua yang sudah tamat tempoh yang lepas. Saya hanya membawa lesen memandu pertama (yang asal).
Terasa membuang masa dan kecewa setelah menunggu giliran 30 orang di depan saya tidak dapat menyelesaikan urusan.
Sebagai orang awam yang sesekali membaharui lesen memandu, peraturan yang 'cerewet' itu sangat menyusahkan kerana orang awam tidaklah tahu semua peraturan.
Saya meminta JPJ memudahkan urusan membaharui lesen memandu dengan menggunakan rujukan no. kad pengenalan saja sebagai rekod.
Pada pendapat saya, urusan ini sebenarnya mudah dan tidak perlu cerewet. Banyak institusi lain seperti bank dan sebagainya, hanya perlukan no. KP(ic) jika kita tak bawa dokumen lain. Rrekod pemandu ada dalam sistem mereka. Ini baru satu contoh berurusan dengan jabatan kerajaan. Belum sebut lagi jabatan lain.
Mungkin benar pendapat orang, pengurusan di Malaysia ketinggalan 20 tahun ke belakang dalam serba-serbi. Penggunaan IT tidak bermakna kita lebih maju daripada negara lain. Sikap pengurus sangat penting bagi memudahkan urusan orang awam.
Saya percaya kalau jabatan kerajaan mempelajari pengurusan di Korea, London, Paris, Dublin (sekadar menyebut beberapa buah bandar) mereka akan memahami urusan yang cekap. Saya mempunyai sedikit pengalaman berurusan dengan mereka semasa melawat beberapa negara luar.

Sunday, August 19, 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri kepada semua umat Islam khasnya pembaca blog ini. Cara sambutan hari raya sepatutnya menonjolkan ibadat kepada Allah, bukan mempamerkan sikap menunjuk-nunjuk atau menjauhkan diri dari iman. Dalam kita bercuti ini, program tv di Malaysia lebih banyak menyiarkan hiburan semata-mata yang kurang nilai akademik dan nilai keimanan. Pihak media mengutamakan program popular dan ada nilai komersial. Memang benar kita perlu bergembira menyambut Idulfitri, bukan menonton program yang menitiskan air mata. Kegembiraan tidak dihalang, tetapi biarlah berpada-pada dan dapat meningkatkan iman. Oleh hal yang demikian, penonton program tv perlu berhati-hati terutama kanak-kanak perlu menjauhkan diri dari program yang rendah nilai keimanannya. Peranan orang di sekeliling sangat penting dan ibu bapa kena memantaunya.

Wednesday, August 1, 2012

Bersetuju dan tidak bersetuju

Dalam menjalani urusan harian dalam kehidupan, kita kadang kala bersetuju dengan pandangan orang lain dan kadang kala tidak setuju. Suasana persekitaran dan faktor lain menyebabkan kita setuju dengan keputusan yang dibuat hasil tolak ansur dan pertimbangan tertentu. Ada baiknya kita akur dan bersetuju bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan walaupun pandangan kita tidak dilarang oleh Islam.
Kita terpaksa bersetuju atas pandangan tidak setuju oleh orang lain. Orang lain tidak setuju dengan pandangan kita. Kenapa harus setuju untuk tidak bersetuju terhadap orang lain? Tidak mengapa buat sementara waktu kerana pihak yang tidak setuju perlu masa dan perlu diberi pemahaman yang jelas, bernas dan menyeluruh. Yang lebih penting Allah belum menjadikan mereka bersetuju dengan pandangan kita. Kita kena berusaha secara terus-terusan supaya mereka faham dan mendapat petunjuk daripada-Nya.
Tetapi ada masanya kita terpaksa tidak bersetuju untuk bersetuju atas sesuatu perkara. Hal ini banyak berlaku dalam persekitaran masyarakat kita. Program hiburan di media massa khasnya tv, masalah sosial dan sebagainya kita tidak bersetuju. Kita digambarkan bersetuju dengan suasana yang berlaku. Hal ini timbul kerana kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya. Kita bukan penguatkuasa dan bukan pembuat keputusan atas sesuatu dasar. Keupayaan kita ialah berdoa kepada Allah supaya Allah membukakan pintu hati mereka yang berkuasa menghentikan kerja mungkar atau tidak baik.
Apakah peluang kita untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan? Yang paling utama ialah anda diberi peluang menggunakan hak anda apabila tiba pilihan raya. Pilihlah pemimpin yang boleh menggunakan kuasa ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Saturday, July 7, 2012

Mencari persefahaman Melayu, bangsa dan Islam

Pas dan Umno dilihat lebih banyak mendekati dan ada hubungan yang kukuh dengan orang Melayu dan Islam. Tidak dinafikan peranan parti politik lain dalam hal ini seperti PKR. Umno dan BN memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Pas memperjuangkan kepentingan umat manusia dan negara berasaskan Quran dan hadis. Tujuan Pas pula ialah
  • Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
  • Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bolehkah parti ini mencari titik persefahaman demi kepentingan Melayu, bangsa dan Islam? Kepentingan Melayu, bangsa/kaum lain dan Islam di Malaysia perlu digalas bersama dan mewujudkan kerjasama untuk membangunkan negara. Dalam konteks ini, tujuan Pas itu begitu mudah iaitu melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredaan Allah, di samping menjaga kedaulatan negara. Bolehkah UMNO menerima tujuan itu? Sepatutnya tidak ada masalah kerana kepentingan agama dan negara juga menjadi hasrat Umno.

Saya percaya jika Umno dapat melaksanakan dan menerima tujuan Pas itu, tidak perlulah lagi orang Melayu dan Islam berada dalam pelbagai parti. Yang penting dasar dan pelaksanaannya berpandukan Quran dan Hadis. Kaum Melayu boleh menjadi contoh kepada kaum lain jika mereka mengamalkan Islam, bukan sahaja pada sembahyang, menunaikan haji, puasa, zakat, perkahwinan semata-mata .

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...