Friday, February 20, 2009

Kenapa orang Melayu tak suka bahasa Melayu ?

Saya tidak boleh berbahasa Melayu sehinggalah belajar bahasa Melayu di sekolah rendah.Bahasa Melayu ialah bahasa kedua saya kerana bahasa pertama bahasa Jawa(Melayu keturunan Jawa). Rakan-rakan sering mengejek sebab tidak menguasai bahasa Melayu. Dari semasa ke semasa saya belajar bahasa Melayu dan cuba menguasai bahasa Melayu hingga mendapat keputusan cemerlang pada peringkat SPM. Keinginan menguasai bahasa Melayu diteruskan hingga peringkat Bacelor(Sarjana Muda), kemudian Sarjana (master).
Pada pengamatan saya, orang Melayu sebenarnya kurang menguasai bahasanya. Mereka boleh bercakap, tetapi banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Mereka yang benar-benar mahir tidak ramai walaupun mengaku diri orang Melayu.
Tenaga pengajar bahasa Melayu tulen di pusat pengajian tinggi pun masih didominasi oleh bukan penutur jati bahasa Melayu termasuk bukan Melayu. Kenapa terjadi demikian? Jawapannya mudah, orang Melayu tak suka bahasanya.
Dalam kalangan golongan menengah dan elit Melayu, mereka lebih senang bercakap bahasa Inggeris dengan anak-anak, adik-beradik, rakan atau orang lain. Nampak kekampungan kalau menggunakan bahasa Melayu. Sesetengahnya sekadar bahasa campur aduk Melayu-Inggeris. Golongan ini tak mesti cemerlang dalam pendidikan atau kerjaya. Ada yang belum pernah keluar negara atau naik kapal terbang tetapi sikap lebih Inggeris dari orang Inggeris. Sikap dan ukuran mereka, apa saja yang datang dari Barat semua bagus dan standard. Inilah penyakit orang Melayu!
Saya semakin kuat mencintai bahasa Melayu. Bahasa yang sudah menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia semakin di pinggir secara halus oleh orang Melayu sendiri, konon atas sebab membangunkan orang Melayu. Memang sedih.
Semasa melancong ke China dan utara Thailand, saya dapati rakyatnya mengekalkan budaya dan tradisi yang sangat hebat termasuk hal bahasa. Pelancong pun ramai. Saya tidak nampak pun negara itu makin miskin. China semakin maju dari segi pembangunan.Begitu juga Thailand yang kaya dengan kemajuan pertanian dan industri. Rakyatnya tak hebat penguasaan bahasa Inggeris berbanding Malaysia. Negara itu tetap dan terus membangun. Mereka tak pinggirkan nilai tradisi. Kita di Malaysia, sepatutnya orang Melayu menunjukkan contoh yang terbaik.Sayangilah bahasa Melayu, bahasa kebangsaan.

1 comment:

  1. Salam tuan, mari kita bergerak bersama-sama memartabatkan semula bahasa Melayu.

    ReplyDelete

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...