Sunday, November 18, 2012

Melancong ke luar negara, belajarlah sesuatu

Rakyat Malaysia amat digalakkan melancong ke luar negara jika tak berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara, bertugas dan sebagainya. Sebagai orang Islam, kewajipan menunaikan fardu haji memang dituntut sebelum nak melancong ke tempat lain. Ada orang Islam sudah berkali-kali menunaikan fardu haji dan umrah. Saya tidak menafikan kebaikan beribadah itu. Walau bagaimanapun, kita haruslah meluaskan pandangan dan pengalaman dengan melihat negara lain jika kita mampu. Bumi Allah sangat luas dan kita harus melawatinya untuk belajar sesuatu sama ada geografi, budaya dan kemajuan rakyat sesebuah negara itu. Jika kita ke China khasnya bandar Beijing, kita dapat melihat gambaran masyarakat negara itu secara keseluruhannya. Sungguh ramai orang Islam di sana. Negara itu juga kaya dengan nilai sejarah dan budaya. Jika kita ke Korea selatan khasnya Seoul, kita melihat kegigihan rakyat membangunkan Korea dalam aspek ekonomi, sains, tanpa meninggalkan nilai budaya. Begitu juga Thailand dan Indonesia. Jika kita ke Barat khasnya United Kingdom, kita akan memahami sebab negara itu mampu menjadi penjajah suatu ketika dulu. Malaysia juga pernah dijajahnya. Saya suka melihat kesan sejarah seperti binaan seni binanya termasuk jambatan London dan medan Trafalgar. Saya juga kagum dengan ketegasan rakyat Perancis menggunakan bahasanya walaupun berjiran dengan United Kingdom. Semua orang tahu bahasa Inggeris bahasa antarabangsa. Saya sangat selesa dengan suasana di negara Ireland. Keadaan bandarnya agak tenang jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Pencemaran juga hampir tak terasa dan sungai serta tasiknya bersih. Pejuang Islam terdahulu dan sahabat nabi mengetuai rombongan ke luar dari bumi Mekah untuk berdakwah, berniaga dan sebagainya. Dengan cara itu Islam dapat dikembangkan ke seluruh dunia. Bagaimanakah kalau para sahabat nabi tidak mahu keluar dari bumi Mekah, bolehkah Islam berkembang? Kita perlu meluaskan pandangan supaya pemikiran kita tak jumud. Kita perlu melihat kekuasaan Allah mewujudkan bumi ini.

Sunday, November 11, 2012

Hudud dan kebebasan beragama

Semua orang ingin hidup senang dan kalau boleh nak kaya raya. Sebab itu ramai orang membincangkan persoalan kemajuan. Ramai orang bercakap kepentingan kemajuan dan pembangunan terutama kebendaan atau materialistik. Pemimpin kerajaan menguar-uarkan peranan kerajaan membangunkan negara selama 55 tahun lalu. Pembangunan yang ada sekarang, katanya hasil usaha kerajaan yang memerintah. Petani,pekebun dan nelayan diberikan bantuan dan prasana untuk memajukan mereka dan sekali gus meningkatkan pendapatan. Mereka diseru dan dikempen meninggalkan kaedah lama dan melakukan perubahan sebagai petani, pekebun dan nelayan. Penjawat awam juga diseru meningkatkan tahap profesionalisme dan keberhasilan masing-masing supaya negara dapat meningkatkan kemajuan. Sektor swasta diseru supaya memainkan peranan dalam membangunkan negara. Pendek kata, semua orang berminat dan memperkatakan pembangunan dan kemajuan, tetapi fokusnya materialistik. Penekanan pada pembangunan iman sangat kurang. Lihat saja program tv dan media cetak, kejayaan seseorang tokoh dipaparkan berhari-hari dengan pelbagai teknik yang menarik. Sebagai contoh, kejayaan ahli sukan digambarkan sebagai wira negara. Sambutan yang hebat, ganjaran wang dan material yang sangat lumayan diutamakan. Hiburan yang dipaparkan di tv juga sangat berlebih-lebihan malah tidak menampakkan usaha untuk meningkatkan iman penonton yang beragama Islam. Kehidupan artis digambarkan begitu hebat. Penonjolan material sangat ketara melebihi langkah mendekatkan diri kepada Allah. Membuka aurat, majlis perkahwinan malah pertunangan yang glamour memakan belanja puluhan ribu dan sebagainya, ditonjolkan begitu hebat. Adakah ini yang manusia muslim cari? Kehidupan manusia jika inginkan kesejahteraan dan mendapat keberkatan daripada Allah mesti dikawal oleh syariah Islam. Jika perkara ini dipandang ringan apatah lagi dipermainkan, saya percaya Allah akan memberikan balasan yang manusia tak menyangka akan berlaku sesuatu. Sebagai contoh, hukum hudud dan soal kebebasan beragama. Kedua-dua perkara ini ada dalam al-Quran dan umat Islam tidak perlu mempertikaikan lagi. Manusia diberikan kebebasan beragama, tetapi apabila mereka muslim atau sesudah memeluk Islam, mereka terikat dengan syariat Islam. Mereka wajib taat perintah Allah tanpa ragu-ragu. Mereka sudah tak bebas berbanding dengan orang yang belum Islam. Maksud tak bebas ialah mereka kena patuh perintah Allah, melakukan sunah nabi dan menjadi orang yang bertakwa. Sebagai analogi, orang tidak terikat dengan peraturan jalan raya. Tetapi apabila mereka memandu kenderaan di jalan raya, mereka kena patuh peraturan jalan raya. Oleh sebab itu, marilah kita bercita-cita hidup senang di dunia dan di akhirat, tak kira apa pangkat, jawatan dan status kita dengan mengamalkan perintah Allah sebagai orang Islam.

Thursday, November 8, 2012

Panorama Sentral, Melaka

Panorama Sentral yang terletak di kawasan Sungai Rambai, Melaka menjadi hentian rehat di lebuh AMJ. Lebuh AMJ ialah lebuh raya antara Melaka dengan Johor menjadi laluan penting ke Johor melalui daerah Muar. Nama Panorama Sentral tidak sesuai dan tidak ada identiti tempatan(Melaka). Jika tidak ada nama lain, namakan saja Hentian Rehat Sungai Rambai supaya mudah dikenali. Tidak pasti sebab dinamakan panorama sentral. Apakah perkara yang nak disentralkan di Melaka, setelah ada Melaka sentral, Pudu sentral dan sebagainya. Jika tujuannya nak menarik pelancong asing, rasanya kurang tepat. Pelancong asing tak nampak berkunjung ke situ. Tidak perlu nak gunakan bahasa Inggeris yang dimelayukan iaitu sentral. Di negara Ireland, lebuh rayanya juga ada hentian rehat. Saya terpandang papan tanda Green apple untuk kawsan rehat termasuk restoran,bilik air, kedai cendera mata dan berbagai-bagai keperluan lain. Sangat kemas dan suasananya menarik. Mereka menggunakan nama buah-buahan sebagai satu identiti tempatan. Bahasa dan pemikiran sebahagian masyarakat kita masih dipengaruhi Barat, tetapi Barat tidak terpengaruh dengan kita. Itu sebagai satu contoh, belum dibicarakan aspek lain yang banyak.

Wednesday, October 24, 2012

Cabaran pada bahasa Melayu kini

Sejauh manakah bahasa Melayu akan terus kukuh dan mantap di negara ini, Malaysia? Persoalan ini sering ditimbulkan apabila cabaran pada bahasa Melayu terus dihadapinya. Apakah cabaran pada bahasa ini? Jika dahulu akhbar bercetak menjadi alat dominan untuk memainkan peranan menyebarkan maklumat kepada penutur dan pengguna bahasa Melayu, kini peranan itu semakin luas diambil oleh media alternatif seperti blog, facebook, twiter dan sebagainya. Pengguna bahasa lebih mudah dan selesa dengan laman sosial melalui internet(laman sesawang). Apakah peranan akhbar bercetak sudah menurun pengaruh dan peranannya? Kewujudan media massa secara online(atas talian) amat besar pengaruhnya kepada orang ramai. Tindakan yang pantas menyalurkan maklumat pasti menjadi pilihan pengguna umumnya terutama golongan muda yang celik teknologi maklumat(IT). Pejuang bahasa Melayu dan pencintanya harus melihat perkara ini dengan pandangan yang positif. Pejuang bahasa juga perlu menguasai IT dan menggunakannya sebagai saluran menyebarkan maklumat terkini.Kita tidak dapat menolak perkembangan dan kemajuan media ini. Golongan muda lebih banyak menggunakan bahasa asing khasnya bahasa Inggeris kerana bahasa media sosial umumnya adalah bahasa Inggeris. Bagaimanakah cara untuk menarik golongan muda supaya terus menggunakan bahasa Melayu di samping menggunakan bahasa Inggeris? Kita harus menerima permasalahan ini sebagai satu cabaran untuk menjadikan bahasa Melayu mendapat tempat dalam media IT. Generasi muda memberi cabaran keutuhan bahasa Melayu kerana mereka makin memperlahankan minat seperti mana penggunaan bahasa ini dalam hubungan komunikasi mereka. Mereka lebih cenderung menggunakan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa Melayu masih ada hubungan nadi dengan orang Melayu. Dalam hal ini, sejauh manakah orang Melayu terutama generasi muda mempunyai sikap minat terhadap bahasanya? Generasi muda akan meneruskan amalan menggunakan bahasa Melayu. Jika mereka semakin tipis kecenderungan pada bahasa Melayu, siapakah lagi yang akan mewarisi sebagai pengguna dan penutur jati bahasa itu?

Tuesday, October 9, 2012

Masalah guru lepasan diploma (PPPLD) yang perlu tindakan segera

Guru yang dulu dikenali sebagai guru kategori DG41,44 dan 48 lepasan diploma(PPPLD)sebelum SBPA(Saraan Baru Perkhidmatan Awam) ialah guru yang lulusan maktab perguruan, kemudian melanjutkan pelajaran ke universiti hingga mendapat ijazah. Kumpulan guru ini kebanyakannya sudah berkhidmat lebih 20 tahun. Apabila kerajaan membuat perubahan gred mereka mengikut kaedah time based, mereka berpeluang berubah gred. Kaedah 7 + 3 digunakan iaitu 9 tahun sebagai guru PPPLD dinilai 3 tahun ditambah kepada 7 tahun sebagai guru berijazah untuk layak ke DG41, 44 atau 48. Masalah yang timbul ialah ramai guru yang mempunyai tempoh sebagai PPPLD 10, 12, 14, 16,18 tahun dan sebagainya? Mereka mempunyai baki masa sebagai PPPLD yang tidak digunakan atau diberi nilai. Adakah JPA dan Kementerian Pelajaran sedar perkara ini? Kesatuan guru KPPK sudah dimaklumkan perkara ini. Diharap JPA(Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Pelajaran mengambil tindakan dan jangan terlepas pandang kerana kesannya sangat mendalam. Guru tersebut lambat naik gred kerana baki tempoh PPPLD tidak digunakan. Kerajaan sepatutnya mengambil kira semua tempoh PPPLD. Sebagai contoh, Cikgu Ahmad merupa guru PPPLD selama 15 tahun. Cikgu Ahmad sudah mengambil 3 tahun bagi 9 tahun PPPLD. Beliau sudah naik gred dari DG41 ke DG44 menggunakan kaedah 7+3. Baki 6 tahun (nilai 2 tahun) sepatutnya boleh dilanjutkan untuk naik gred DG44 ke DG48. Perkara ini perlu diimplementasikan untuk guru DG48 ke DG52 yang masih ada baki tempoh PPPLD. Melalui e-operasi dan e-pangkat dalam portal Kementerian Pelajaran, masalah ini dapat dikesan dan diambil tindakan yang segera.

Wednesday, October 3, 2012

Tambah bonus sempena Depavali

Nampaknya pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan Malaysia terikat dengan sempena perayaan kaum atau agama dan musim baru penggal persekolahan. Namun begitu, kerajaan masih belum pernah memberi bonus sempena Depavali. kerajaan perlu menimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena perayaan Depavali. Pemberian bonus sangat berfaedah kepada rakyat untuk membolehkan mereka berbelanja sempena perayaan. Walaupun saya bukan keturunan India,saya percaya cuti sempena perayaan Depavali akan digunakan rakyat untuk bercuti, melancong, balik kampung, mengadakan majlis kenduri, membeli-belah dan sebagainya. Hal ini juga dapat menggerakkan ekonomi negara kerana ramai yang dapat faedah.

Sunday, September 30, 2012

Sikap berpura-pura

Sikap manusia mudah berpura-pura terutama apabila ada kepentingan untuk dirinya. Dalam kehidupan harian,manusia akan menyokong kumpulan atau pihak yang berusaha untuk meningkatkan keimanan masyarakat. Tetapi apabila di belakang atau di luar konteks ini mereka akan memburukkkan usaha itu. Mereka menyokong kumpulan yang menentang pula. Dia tak mahu kepentingan dirinya tergugat dari segi pangkat, pendapatan dan keunggulan yang menjadi perhatian masyarakat.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...