Sunday, November 11, 2012

Hudud dan kebebasan beragama

Semua orang ingin hidup senang dan kalau boleh nak kaya raya. Sebab itu ramai orang membincangkan persoalan kemajuan. Ramai orang bercakap kepentingan kemajuan dan pembangunan terutama kebendaan atau materialistik. Pemimpin kerajaan menguar-uarkan peranan kerajaan membangunkan negara selama 55 tahun lalu. Pembangunan yang ada sekarang, katanya hasil usaha kerajaan yang memerintah. Petani,pekebun dan nelayan diberikan bantuan dan prasana untuk memajukan mereka dan sekali gus meningkatkan pendapatan. Mereka diseru dan dikempen meninggalkan kaedah lama dan melakukan perubahan sebagai petani, pekebun dan nelayan. Penjawat awam juga diseru meningkatkan tahap profesionalisme dan keberhasilan masing-masing supaya negara dapat meningkatkan kemajuan. Sektor swasta diseru supaya memainkan peranan dalam membangunkan negara. Pendek kata, semua orang berminat dan memperkatakan pembangunan dan kemajuan, tetapi fokusnya materialistik. Penekanan pada pembangunan iman sangat kurang. Lihat saja program tv dan media cetak, kejayaan seseorang tokoh dipaparkan berhari-hari dengan pelbagai teknik yang menarik. Sebagai contoh, kejayaan ahli sukan digambarkan sebagai wira negara. Sambutan yang hebat, ganjaran wang dan material yang sangat lumayan diutamakan. Hiburan yang dipaparkan di tv juga sangat berlebih-lebihan malah tidak menampakkan usaha untuk meningkatkan iman penonton yang beragama Islam. Kehidupan artis digambarkan begitu hebat. Penonjolan material sangat ketara melebihi langkah mendekatkan diri kepada Allah. Membuka aurat, majlis perkahwinan malah pertunangan yang glamour memakan belanja puluhan ribu dan sebagainya, ditonjolkan begitu hebat. Adakah ini yang manusia muslim cari? Kehidupan manusia jika inginkan kesejahteraan dan mendapat keberkatan daripada Allah mesti dikawal oleh syariah Islam. Jika perkara ini dipandang ringan apatah lagi dipermainkan, saya percaya Allah akan memberikan balasan yang manusia tak menyangka akan berlaku sesuatu. Sebagai contoh, hukum hudud dan soal kebebasan beragama. Kedua-dua perkara ini ada dalam al-Quran dan umat Islam tidak perlu mempertikaikan lagi. Manusia diberikan kebebasan beragama, tetapi apabila mereka muslim atau sesudah memeluk Islam, mereka terikat dengan syariat Islam. Mereka wajib taat perintah Allah tanpa ragu-ragu. Mereka sudah tak bebas berbanding dengan orang yang belum Islam. Maksud tak bebas ialah mereka kena patuh perintah Allah, melakukan sunah nabi dan menjadi orang yang bertakwa. Sebagai analogi, orang tidak terikat dengan peraturan jalan raya. Tetapi apabila mereka memandu kenderaan di jalan raya, mereka kena patuh peraturan jalan raya. Oleh sebab itu, marilah kita bercita-cita hidup senang di dunia dan di akhirat, tak kira apa pangkat, jawatan dan status kita dengan mengamalkan perintah Allah sebagai orang Islam.

No comments:

Post a Comment

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...