Tuesday, November 1, 2016

TABUNG HAJI KEKURANGAN 3 BILION ?

Saya dedahkan di Parlimen pagi tadi bahawa Tabung Haji kekurangan RM3 bilion untuk membayar kembali deposit penabung sekiranya mereka mengeluarkan deposit serentak pada 31 Disember 2015. Saya jangkakan keadaan ini akan bertambah teruk dalam tahun 2016. Jangan maki, baca dahulu. Kalau setuju dengan analisa saya, mohon "share". Jangan bila nasi dah jadi bubur baru tertanya apa yang patut kita buat.

(Paparan penuh dengan penyata kewangan di http://rafiziramli.com/…/tabung-haji-kekurangan-rm3-bilion…/)

1 NOVEMBER 2016

TABUNG HAJI KEKURANGAN RM3 BILION SEKIRANYA PENDEPOSIT MENGELUARKAN SIMPANAN PADA 31 DISEMBER 2015

Semasa saya mula-mula mengulas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji sekitar Februari 2016 (iaitu ekoran surat dari Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia bocor), saya dituduh memfitnah Tabung Haji. Malah, saya juga telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dalam bulan April 2016 untuk menghadapi pertuduhan jenayah memfitnah Tabung Haji.

Minggu lalu, Tabung Haji telah mengedarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini iaitu 31 Disember 2015.

Berdasarkan angka-angka kewangan yang telah diaudit, saya telah melengkapkan analisa kedudukan Tabung Haji bagi tempoh 5 tahun (dari 2011 hingga 2015); terutamanya bagi mengenalpasti dua perkara berikut:

1. Berapakah perubahan simpanan bersih pendeposit (iaitu jumlah dana baru yang disimpan tolak simpanan yang dikeluarkan) bagi 2015 kerana selama ini kedudukan kewangan Tabung Haji yang dilihat kukuh adalah kerana pendeposit secara berterusan menambah simpanan di dalam Tabung Haji tanpa mengira prestasi kewangannya; dan

2. Keupayaan Tabung Haji untuk memulangkan kembali semua wang yang disimpan pendeposit pada 31 Disember 2015 sekiranya pendeposit Tabung Haji bertindak mengeluarkan kesemua wang itu sekaligus (sebagai kayu ukur keuntungan dan kebolehupayaan Tabung Haji berhadapan dengan risiko kewangan)

Analisa penyata pendapatan Tabung Haji bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan bahawa untung sebenar Tabung Haji setelah mengambil kira susutnilai saham-saham yang menjadi pelaburannya ialah RM450 juta sahaja (keuntungan tahun semasa RM3.535 bilion perlu ditolak susutnilai saham berjumlah RM3.09 bilion).

Saya juga sangat khuatir apabila analisa pergerakan dana pendeposit menunjukkan bahawa jumlah simpanan bersih bagi tahun 2015 merosot sebanyak 8%; sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2014 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6%. Selama ini, Tabung Haji berjaya membayar dividen yang dikira tinggi dan menyembunyikan kerugian besar pelaburannya kerana saban tahun simpanan bersih baru yang terus bertambah menenggelamkan kerugian-kerugian tersebut.

Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar kembali simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan dana simpanan sekaligus pada 31 Disember 2015, Tabung Haji kekurangan RM3 bilion untuk memulangkan simpanan-simpanan tersebut.

Saya juga mengunjurkan bahawa Tabung Haji berhadapan dengan kadar pengeluaran wang simpanan yang lebih drastik bagi tahun 2016 ekoran pelbagai pendedahan yang berlaku. Maka, saya mengunjurkan bahawa Tabung Haji mengalami penguncupan simpanan bersih bagi tahun 2016 yang menyebabkan kedudukan kewangannya lebih lemah bagi tahun 2016.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan interim enam bulan pertama Tabung Haji sehingga 30 Jun 2016 untuk mengesahkan perkara-perkara ini dan mencari jalan mengukuhkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:

Post a Comment

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...