Thursday, August 29, 2013

Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu

Kemampuan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu masih terus dipertikaikan terutama golongan yang mengutamakan bahasa Inggeris termasuk bekas-bekas pemimpin negara ini, Malaysia. Tahap keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sangat rendah. Hal ini mendorong kebanyakan pemimpin tidak setuju pemansuhan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pendokong bahasa Melayu tidak pernah membantah penggunaan bahasa Inggeris untuk pelajar menimba ilmu. Kita juga mengakui ilmu sains dan matematik banyak ditulis dalam bahasa Inggeris pada peringkat antarabangsa.

Dalam konteks negara kita, bahasa Inggeris dipelajari dan digunakan untuk mendapatkan ilmu di samping bahasa Arab dan bahasa asing yang lain. Untuk tujuan penyebaran ilmu di dalam negara ini, sudah tentu bahasa Melayu yang paling sesuai. Jika kita gunakan bahasa Inggeris, penyebaran ilmu di dalam negara akan menjadi perlahan dan bermasalah. Saya difahamkan penyampaian ilmu sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu menghadapi banyak masalah, apatah lagi jika disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Ibu bapa yang berpelajaran tinggi mungkin tidak menghadapi masalah. Persoalannya, majoriti pelajar negara ini datang daripada keluarga yang bertahap pelajaran rendah atau sederhana. Mereka kekurangan kemudahan sokongan untuk menguasai ilmu berbanding golongan elit atau sosioekonomi yang baik.

Semasa saya melancong di Paris dan Korea, saya dapati sikap rakyat mereka lebih mengutamakan bahasa negara sendiri. Di Paris, pertanyaan dalam bahasa Inggeris tidak dilayan oleh pekedai. Saya terpaksa guna bahasa isyarat semasa hendak membeli roti di kedai. Di Seoul, Korea selatan, kakitangan restoran tidak ramai yang mahir bahasa Inggeris kecuali di kaunter.

Kita wajar memberi sokongan penggunaan bahasa Melayu untuk penyebaran ilmu di dalam negara kita. Negara kita tidak akan mundur jika bahasa Melayu digunakan oleh rakyat. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan. Bahasa Inggeris juga wajar dipelajari dan dimantapkan dalam kalangan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...