Sunday, December 23, 2012

Burung layang-layang di R dan R Macap, Johor.

Jika kita berhenti di R dan R (rehat dan rawat) Macap, Johor lebuh raya utara selatan arah utara, kelihatan banyak burung layang-layang berteduh di bawah bumbung tempat parking bas di situ. Mungkin menumpang tidur sepanjang malam menggantikan pokok sebagai rumah asaslnya. Gambar ini diambil pada kira-kira pukul 10 malam. Tempat tinggalnya lebih moden tetapi tak semestinya lebih baik. Cahaya lampu menerangi tempat menginapnya dan nasib baik tak kena bayar bil elektrik.

Sunday, December 2, 2012

Universal Studio, Singapura(Singapore)

Universal Studio di pulau sentosa, Singapura (Singapore) menyediakan surau untuk pengunjung Islam bersolat. Masalahnya surau itu terlalu kecil berukuran kira-kira 8 kaki lebar X 8 kaki panjang dan ada satu paip untuk berwuduk(ambil air sembahyang).Ukuran surau bagi wanita juga sama dan dalam satu bangunan serta laluan yang sama. Tempatnya tidak strategik, tersorok. Bangunannya macam rumah kotai di projek perumahan yang belum siap. Yang nak bersolat terlalu ramai. Pengunjung Islam lebih 60 %. Bagi yang belum pergi ke sana, saya nasihatkan lebih baik jangan pergi. Tak ada nilai Islam yang boleh kita pelajari. Ada replika egypt bukan bermakna bukti nilai Islam. Saya tak tahu gambaran sebenar sebelum ke sana pada Sabtu 1 Dec 2012 lepas. Tak berbaloi. Saya terlupa nak search di mana-mana website tentang Universal Studio Singapura(USS)sebelum ke sana. Saya fikir tempat ini mempamerkan bahan-bahan atau perkara-perkara untuk meningkatkan ilmu kita walaupun saya tahu bukan memberi fokus pada budaya Islam. Umat Islam tidak sesuai mengunjungi tempat itu. Seolah-olah kita berada di kota London atau kota Paris. Saya tak terasa berada di Singapura. Saya ingin melihat wajah Singapura masa ini berbanding dahulu. Kali terakhir melawat pulau itu pada tahun 1984. Saya berpendapat kerajaan Singapura wajar menempatkan nilai tempatan Singapura dari segi ekonomi, politik, budaya dan sebagainya untuk memberi gambaran kepada pelawat. Mungkin matlamat USS yang utama ialah memberikan hiburan kepada pelawat. Saya memilih tempat yang silap sebenarnya.

Sunday, November 18, 2012

Melancong ke luar negara, belajarlah sesuatu

Rakyat Malaysia amat digalakkan melancong ke luar negara jika tak berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara, bertugas dan sebagainya. Sebagai orang Islam, kewajipan menunaikan fardu haji memang dituntut sebelum nak melancong ke tempat lain. Ada orang Islam sudah berkali-kali menunaikan fardu haji dan umrah. Saya tidak menafikan kebaikan beribadah itu. Walau bagaimanapun, kita haruslah meluaskan pandangan dan pengalaman dengan melihat negara lain jika kita mampu. Bumi Allah sangat luas dan kita harus melawatinya untuk belajar sesuatu sama ada geografi, budaya dan kemajuan rakyat sesebuah negara itu. Jika kita ke China khasnya bandar Beijing, kita dapat melihat gambaran masyarakat negara itu secara keseluruhannya. Sungguh ramai orang Islam di sana. Negara itu juga kaya dengan nilai sejarah dan budaya. Jika kita ke Korea selatan khasnya Seoul, kita melihat kegigihan rakyat membangunkan Korea dalam aspek ekonomi, sains, tanpa meninggalkan nilai budaya. Begitu juga Thailand dan Indonesia. Jika kita ke Barat khasnya United Kingdom, kita akan memahami sebab negara itu mampu menjadi penjajah suatu ketika dulu. Malaysia juga pernah dijajahnya. Saya suka melihat kesan sejarah seperti binaan seni binanya termasuk jambatan London dan medan Trafalgar. Saya juga kagum dengan ketegasan rakyat Perancis menggunakan bahasanya walaupun berjiran dengan United Kingdom. Semua orang tahu bahasa Inggeris bahasa antarabangsa. Saya sangat selesa dengan suasana di negara Ireland. Keadaan bandarnya agak tenang jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Pencemaran juga hampir tak terasa dan sungai serta tasiknya bersih. Pejuang Islam terdahulu dan sahabat nabi mengetuai rombongan ke luar dari bumi Mekah untuk berdakwah, berniaga dan sebagainya. Dengan cara itu Islam dapat dikembangkan ke seluruh dunia. Bagaimanakah kalau para sahabat nabi tidak mahu keluar dari bumi Mekah, bolehkah Islam berkembang? Kita perlu meluaskan pandangan supaya pemikiran kita tak jumud. Kita perlu melihat kekuasaan Allah mewujudkan bumi ini.

Sunday, November 11, 2012

Hudud dan kebebasan beragama

Semua orang ingin hidup senang dan kalau boleh nak kaya raya. Sebab itu ramai orang membincangkan persoalan kemajuan. Ramai orang bercakap kepentingan kemajuan dan pembangunan terutama kebendaan atau materialistik. Pemimpin kerajaan menguar-uarkan peranan kerajaan membangunkan negara selama 55 tahun lalu. Pembangunan yang ada sekarang, katanya hasil usaha kerajaan yang memerintah. Petani,pekebun dan nelayan diberikan bantuan dan prasana untuk memajukan mereka dan sekali gus meningkatkan pendapatan. Mereka diseru dan dikempen meninggalkan kaedah lama dan melakukan perubahan sebagai petani, pekebun dan nelayan. Penjawat awam juga diseru meningkatkan tahap profesionalisme dan keberhasilan masing-masing supaya negara dapat meningkatkan kemajuan. Sektor swasta diseru supaya memainkan peranan dalam membangunkan negara. Pendek kata, semua orang berminat dan memperkatakan pembangunan dan kemajuan, tetapi fokusnya materialistik. Penekanan pada pembangunan iman sangat kurang. Lihat saja program tv dan media cetak, kejayaan seseorang tokoh dipaparkan berhari-hari dengan pelbagai teknik yang menarik. Sebagai contoh, kejayaan ahli sukan digambarkan sebagai wira negara. Sambutan yang hebat, ganjaran wang dan material yang sangat lumayan diutamakan. Hiburan yang dipaparkan di tv juga sangat berlebih-lebihan malah tidak menampakkan usaha untuk meningkatkan iman penonton yang beragama Islam. Kehidupan artis digambarkan begitu hebat. Penonjolan material sangat ketara melebihi langkah mendekatkan diri kepada Allah. Membuka aurat, majlis perkahwinan malah pertunangan yang glamour memakan belanja puluhan ribu dan sebagainya, ditonjolkan begitu hebat. Adakah ini yang manusia muslim cari? Kehidupan manusia jika inginkan kesejahteraan dan mendapat keberkatan daripada Allah mesti dikawal oleh syariah Islam. Jika perkara ini dipandang ringan apatah lagi dipermainkan, saya percaya Allah akan memberikan balasan yang manusia tak menyangka akan berlaku sesuatu. Sebagai contoh, hukum hudud dan soal kebebasan beragama. Kedua-dua perkara ini ada dalam al-Quran dan umat Islam tidak perlu mempertikaikan lagi. Manusia diberikan kebebasan beragama, tetapi apabila mereka muslim atau sesudah memeluk Islam, mereka terikat dengan syariat Islam. Mereka wajib taat perintah Allah tanpa ragu-ragu. Mereka sudah tak bebas berbanding dengan orang yang belum Islam. Maksud tak bebas ialah mereka kena patuh perintah Allah, melakukan sunah nabi dan menjadi orang yang bertakwa. Sebagai analogi, orang tidak terikat dengan peraturan jalan raya. Tetapi apabila mereka memandu kenderaan di jalan raya, mereka kena patuh peraturan jalan raya. Oleh sebab itu, marilah kita bercita-cita hidup senang di dunia dan di akhirat, tak kira apa pangkat, jawatan dan status kita dengan mengamalkan perintah Allah sebagai orang Islam.

Thursday, November 8, 2012

Panorama Sentral, Melaka

Panorama Sentral yang terletak di kawasan Sungai Rambai, Melaka menjadi hentian rehat di lebuh AMJ. Lebuh AMJ ialah lebuh raya antara Melaka dengan Johor menjadi laluan penting ke Johor melalui daerah Muar. Nama Panorama Sentral tidak sesuai dan tidak ada identiti tempatan(Melaka). Jika tidak ada nama lain, namakan saja Hentian Rehat Sungai Rambai supaya mudah dikenali. Tidak pasti sebab dinamakan panorama sentral. Apakah perkara yang nak disentralkan di Melaka, setelah ada Melaka sentral, Pudu sentral dan sebagainya. Jika tujuannya nak menarik pelancong asing, rasanya kurang tepat. Pelancong asing tak nampak berkunjung ke situ. Tidak perlu nak gunakan bahasa Inggeris yang dimelayukan iaitu sentral. Di negara Ireland, lebuh rayanya juga ada hentian rehat. Saya terpandang papan tanda Green apple untuk kawsan rehat termasuk restoran,bilik air, kedai cendera mata dan berbagai-bagai keperluan lain. Sangat kemas dan suasananya menarik. Mereka menggunakan nama buah-buahan sebagai satu identiti tempatan. Bahasa dan pemikiran sebahagian masyarakat kita masih dipengaruhi Barat, tetapi Barat tidak terpengaruh dengan kita. Itu sebagai satu contoh, belum dibicarakan aspek lain yang banyak.

Wednesday, October 24, 2012

Cabaran pada bahasa Melayu kini

Sejauh manakah bahasa Melayu akan terus kukuh dan mantap di negara ini, Malaysia? Persoalan ini sering ditimbulkan apabila cabaran pada bahasa Melayu terus dihadapinya. Apakah cabaran pada bahasa ini? Jika dahulu akhbar bercetak menjadi alat dominan untuk memainkan peranan menyebarkan maklumat kepada penutur dan pengguna bahasa Melayu, kini peranan itu semakin luas diambil oleh media alternatif seperti blog, facebook, twiter dan sebagainya. Pengguna bahasa lebih mudah dan selesa dengan laman sosial melalui internet(laman sesawang). Apakah peranan akhbar bercetak sudah menurun pengaruh dan peranannya? Kewujudan media massa secara online(atas talian) amat besar pengaruhnya kepada orang ramai. Tindakan yang pantas menyalurkan maklumat pasti menjadi pilihan pengguna umumnya terutama golongan muda yang celik teknologi maklumat(IT). Pejuang bahasa Melayu dan pencintanya harus melihat perkara ini dengan pandangan yang positif. Pejuang bahasa juga perlu menguasai IT dan menggunakannya sebagai saluran menyebarkan maklumat terkini.Kita tidak dapat menolak perkembangan dan kemajuan media ini. Golongan muda lebih banyak menggunakan bahasa asing khasnya bahasa Inggeris kerana bahasa media sosial umumnya adalah bahasa Inggeris. Bagaimanakah cara untuk menarik golongan muda supaya terus menggunakan bahasa Melayu di samping menggunakan bahasa Inggeris? Kita harus menerima permasalahan ini sebagai satu cabaran untuk menjadikan bahasa Melayu mendapat tempat dalam media IT. Generasi muda memberi cabaran keutuhan bahasa Melayu kerana mereka makin memperlahankan minat seperti mana penggunaan bahasa ini dalam hubungan komunikasi mereka. Mereka lebih cenderung menggunakan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa Melayu masih ada hubungan nadi dengan orang Melayu. Dalam hal ini, sejauh manakah orang Melayu terutama generasi muda mempunyai sikap minat terhadap bahasanya? Generasi muda akan meneruskan amalan menggunakan bahasa Melayu. Jika mereka semakin tipis kecenderungan pada bahasa Melayu, siapakah lagi yang akan mewarisi sebagai pengguna dan penutur jati bahasa itu?

Tuesday, October 9, 2012

Masalah guru lepasan diploma (PPPLD) yang perlu tindakan segera

Guru yang dulu dikenali sebagai guru kategori DG41,44 dan 48 lepasan diploma(PPPLD)sebelum SBPA(Saraan Baru Perkhidmatan Awam) ialah guru yang lulusan maktab perguruan, kemudian melanjutkan pelajaran ke universiti hingga mendapat ijazah. Kumpulan guru ini kebanyakannya sudah berkhidmat lebih 20 tahun. Apabila kerajaan membuat perubahan gred mereka mengikut kaedah time based, mereka berpeluang berubah gred. Kaedah 7 + 3 digunakan iaitu 9 tahun sebagai guru PPPLD dinilai 3 tahun ditambah kepada 7 tahun sebagai guru berijazah untuk layak ke DG41, 44 atau 48. Masalah yang timbul ialah ramai guru yang mempunyai tempoh sebagai PPPLD 10, 12, 14, 16,18 tahun dan sebagainya? Mereka mempunyai baki masa sebagai PPPLD yang tidak digunakan atau diberi nilai. Adakah JPA dan Kementerian Pelajaran sedar perkara ini? Kesatuan guru KPPK sudah dimaklumkan perkara ini. Diharap JPA(Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Pelajaran mengambil tindakan dan jangan terlepas pandang kerana kesannya sangat mendalam. Guru tersebut lambat naik gred kerana baki tempoh PPPLD tidak digunakan. Kerajaan sepatutnya mengambil kira semua tempoh PPPLD. Sebagai contoh, Cikgu Ahmad merupa guru PPPLD selama 15 tahun. Cikgu Ahmad sudah mengambil 3 tahun bagi 9 tahun PPPLD. Beliau sudah naik gred dari DG41 ke DG44 menggunakan kaedah 7+3. Baki 6 tahun (nilai 2 tahun) sepatutnya boleh dilanjutkan untuk naik gred DG44 ke DG48. Perkara ini perlu diimplementasikan untuk guru DG48 ke DG52 yang masih ada baki tempoh PPPLD. Melalui e-operasi dan e-pangkat dalam portal Kementerian Pelajaran, masalah ini dapat dikesan dan diambil tindakan yang segera.

Wednesday, October 3, 2012

Tambah bonus sempena Depavali

Nampaknya pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan Malaysia terikat dengan sempena perayaan kaum atau agama dan musim baru penggal persekolahan. Namun begitu, kerajaan masih belum pernah memberi bonus sempena Depavali. kerajaan perlu menimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena perayaan Depavali. Pemberian bonus sangat berfaedah kepada rakyat untuk membolehkan mereka berbelanja sempena perayaan. Walaupun saya bukan keturunan India,saya percaya cuti sempena perayaan Depavali akan digunakan rakyat untuk bercuti, melancong, balik kampung, mengadakan majlis kenduri, membeli-belah dan sebagainya. Hal ini juga dapat menggerakkan ekonomi negara kerana ramai yang dapat faedah.

Sunday, September 30, 2012

Sikap berpura-pura

Sikap manusia mudah berpura-pura terutama apabila ada kepentingan untuk dirinya. Dalam kehidupan harian,manusia akan menyokong kumpulan atau pihak yang berusaha untuk meningkatkan keimanan masyarakat. Tetapi apabila di belakang atau di luar konteks ini mereka akan memburukkkan usaha itu. Mereka menyokong kumpulan yang menentang pula. Dia tak mahu kepentingan dirinya tergugat dari segi pangkat, pendapatan dan keunggulan yang menjadi perhatian masyarakat.

Monday, September 24, 2012

Sayur pucuk paku pakis



Kadang kala kita berasa jemu dengan masakan atau makanan yang ada masa ini. Apatah lagi makanan segera. Masakan sekarang banyak lemak, berminya, dan pedas. Banyak majlis yang diadakan menyajikan masakan yang berlemak. Masyarakat sekarang mampu menyediakan atau menghidangkan makanan yang mahal tetapi tidak sihat seperti nasi beriani atau nasi minyak. Jauh beza masakan kita dengan sesetengah bangsa di dunia, contohnya masakan Korea selatan. Penggunaan minyak yang kurang, banyak dipanggang dan direbus menjadikan masakan mereka kurang berlemak.
Teringat pula semasa zaman kanak-kanak atau tinggal di kampung, banyak sumber hasil sekitar kampung seperti pucuk paku pakis jenis merah. Pucuk paku ini enak dimasak tumis air, atau direbus atau masak lemak dengan sedikit santan kelapa.Campur bawang putih, merah, ikan bilis ditumbuk.  Lauknya ikan bilis hitam yang digoreng dengan sedikit minyak.
Saya akan mengulangi masakan ini jika berkesempatan dapat mengambil pucuk paku pakis di kampung sehingga sekarang. Pasar tani juga ada menjualnya.
Kenangan dahulu sentiasa timbul apabila makan sayur itu bersama nasi panas. Arwah ibu sering masak sayur itu. Tak mampu membeli sayur sawi, kobis, dan sayur lain yang datang secara komersial lain.

Monday, September 10, 2012

Bahasa rojak dalam bahasa Melayu

Seorang remaja Melayu ditanya sebab-sebab tidak hadir majlis rumah terbuka sempena Hari Raya semalam. Jawabnya ada trial(disebut trayel). Saya tidak faham dan kurang jelas minta dia ulang. Ada trial katanya. Saya dah faham apabila teringat dan dikaitkan dengan peperiksaan Percubaan SPM yang sudah 2 minggu berlangsung. Sekadar satu contoh...
Remaja semakin tidak menggunakan istilah bahasa Melayu. Apabila bercakap bahasa Melayu mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris. Dalam keadaan yang lain pula, mereka bercakap bahasa Inggeris memasukkan kata bahasa Melayu. Akibatnya jadi bahasa cacamarba atau bahasa rojak. Sebenarnya kedua-dua bahasa tidak dikuasai dengan baik.
Pelaksanaan PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) memberi kesan penguasaan bahasa remaja cacamarba. Majoriti remaja juga kurang menguasai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Saya yakin hanya 5 % remaja yang menguasainya dan itu pun dibantu ibu bapa mereka yang kebanyakannya berpelajaran tinggi.
Jika anak-anak Melayu sebagai penutur jati dan pewaris bahasa Melayu kurang berkemahiran bahasa Melayu, apakah kita mampu mempertahankan kehebatan bahasa Melayu di negara ini? Janganlah kita bersandar harapan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jangan bermimpi. Hanya 5 % saja yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan ini kumpulan cemerlang yang akan melahirkan golongan profesional seperti doktor dan jurutera yang belajar di luar negara.
Dalam tinjauan saya, mereka yang belajar di luar negara akan bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik walaupun kadang kala terlupa istilah dalam bahasa Melayu. Apabila mereka berinteraksi dengan orang Barat mereka akan bertutur bahasa Inggeris dengan baik mengikut slang negara itu, contohnya UK, Ireland, dan US(United State).
Sebaliknya, mereka yang belajar atau bekerja di dalam negara ini, akan bercakap bahasa Inggeris campur bahasa Melayu dalam satu ayat. Mungkin mereka nak tunjukkan mereka tahu bahasa Inggeris. Jadilah bahasa rojak. Hal ini berkaitan dengan faktor sikap.
Sikap orang Melayu terhadap bahasanya akan menjadikan bahasa Melayu kurang dihormati dan dipandang rendah. Sebab itu ada orang Melayu menyatakan orang Melayu tak akan maju tanpa menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Pada hal bidang kerjanya tak ada kaitan dengan dunia antarabangsa.
Orang Melayu sepatutnya menguasai bahasa Melayu dengan baik. Bahasa Inggeris dipelajari sebagai tambahan saja. Penyebaran ilmu dalam negara harus menggunakan bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh rakyat keseluruhan. Mereka terdiri daripada rakyat biasa, bukan elit, bukan bangsawan, melakukan kerja biasa, anak kakitangan kerajaan, pekerja bawahan dan sebagainya. Kebanyakan tinggal di dalam Malaysia, tak pernah pijak bumi Barat, makan minum di Malaysia kecuali takdir Tuhan dalam keadaan tertentu anda menjadi seorang profesional.
Jika anda menjadi seorang usahawan atau pengurus syarikat, anda akan berpeluang melancong ke bandar-bandar utama di seluruh dunia. Anda akan berpeluang untuk bertutur bahasa Inggeris dengan lebih luas, bukan sekadar di Kuala Lumpur saja.
Saya pernah bertemu seorang remaja Cina di airport Dublin pada Jun 2012. Apabila saya tahu dia berasal dari Malaysia, perbualan kami terus bertukar dalam bahasa Melayu. Dia tidak ada masalah. Dia bersikap positif.



Saturday, September 1, 2012

Hentian Serdang tiada surau

Sudah agak lama tak masuk ke Kuala Lumpur. Kunjungan ke rumah kakak menyebabkan saya ke Kuala Lumpur. Rasanya dah lebih 3 tahun tak masuk ke KL, apatah lagi berhenti di Hentian Serdang. Hentian Serdang ini menitipkan nostalgia sewaktu belajar di UPM dulu. UPM waktu itu dikenali Universiti Pertanian Malaysia. Bagus nama ini tapi telah dibuang. Hentian ini menjadi destinasi penting apabila turun dari bas ekspres dari selatan. Sambil menunggu rakan untuk ke kampus, saya sering berhenti di hentian itu dan minum di gerai. Gerai itu masih wujud hingga kini. Semasa berhenti sebentar di hentian Serdang dan minum di sebuah gerai pagi tadi, saya mendengar pertanyaan seorang wanita menggunakan dialek Kelantan. Dia bertanyakan surau atau bilik solat kepada pekerja Indonesia di gerai makan. Kata pekerja itu, surau tidak ada di Hentian itu. Wanita itu nampak kecewa. Saya beritahu surau ada di hujung bangunan kedai itu. Pekerja Indonesia itu membalas, dulu ada kini sudah tutup. Saya pernah menggunakan surau itu untuk bersolat.
Jika benar tak ada surau, pihak Plus perlu meneliti dan mewujudkan surau semula untuk kemudahan orang ramai menghadap Allah. Orang begitu ramai berbanding dulu dan majoriti orang Islam. Kemudahan lain begitu banyak, surau tak boleh diketepikan. Pekerja banyak orang Islam, di manakah mereka bersolat?
Teringat saya semasa ke Korea baru-baru ini. Airport Incheon, Seoul ada kemudahan surau untuk orang Islam. Begitu juga airport di London seperti Stansted ada surau disediakan.

Tuesday, August 28, 2012

Lesen memandu perlulah bayar sekali saja

Cadangan lesen memandu dibayar sekali saja untuk seumur hidup adalah sangat baik. Bagi mereka yang tidak bersetuju, buatlah pembaharuan lesen memandu setiap tahun di JPJ(Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia).
Pada masa ini bukan mudah memperbaharui lesen memandu. Jika anda tidak bawa lesen pendua yang dah tamat tempohnya, anda akan kecewa untuk memperbaharui lesen memandu walaupun anda bawa lesen asal. Anda tidak boleh menggunakan no. IC sebagai rujukan pada hal anda sudah lebih 25 tahun mempunyai lesen memandu yang saban tahun diperbaharui.
Jika hilang lesen pendua tersebut, isi borang dan bayar RM20 untuk dapatkan lesen pendua yang seterusnya. Saya ada pengalaman dalam hal ini.


Monday, August 27, 2012

Pengurusan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia perlu perubahan

Saya tidak dapat memperbaharui lesen memandu isteri saya yang telah tamat tempoh di Jabatan Pengangkutan Jalan caw Muar hari ini 27 Ogos 2012 pukul 3.10 petang di kaunter 8. Kerani yang bertugas mengatakan saya tidak membawa lesen pendua yang sudah tamat tempoh yang lepas. Saya hanya membawa lesen memandu pertama (yang asal).
Terasa membuang masa dan kecewa setelah menunggu giliran 30 orang di depan saya tidak dapat menyelesaikan urusan.
Sebagai orang awam yang sesekali membaharui lesen memandu, peraturan yang 'cerewet' itu sangat menyusahkan kerana orang awam tidaklah tahu semua peraturan.
Saya meminta JPJ memudahkan urusan membaharui lesen memandu dengan menggunakan rujukan no. kad pengenalan saja sebagai rekod.
Pada pendapat saya, urusan ini sebenarnya mudah dan tidak perlu cerewet. Banyak institusi lain seperti bank dan sebagainya, hanya perlukan no. KP(ic) jika kita tak bawa dokumen lain. Rrekod pemandu ada dalam sistem mereka. Ini baru satu contoh berurusan dengan jabatan kerajaan. Belum sebut lagi jabatan lain.
Mungkin benar pendapat orang, pengurusan di Malaysia ketinggalan 20 tahun ke belakang dalam serba-serbi. Penggunaan IT tidak bermakna kita lebih maju daripada negara lain. Sikap pengurus sangat penting bagi memudahkan urusan orang awam.
Saya percaya kalau jabatan kerajaan mempelajari pengurusan di Korea, London, Paris, Dublin (sekadar menyebut beberapa buah bandar) mereka akan memahami urusan yang cekap. Saya mempunyai sedikit pengalaman berurusan dengan mereka semasa melawat beberapa negara luar.

Sunday, August 19, 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri kepada semua umat Islam khasnya pembaca blog ini. Cara sambutan hari raya sepatutnya menonjolkan ibadat kepada Allah, bukan mempamerkan sikap menunjuk-nunjuk atau menjauhkan diri dari iman. Dalam kita bercuti ini, program tv di Malaysia lebih banyak menyiarkan hiburan semata-mata yang kurang nilai akademik dan nilai keimanan. Pihak media mengutamakan program popular dan ada nilai komersial. Memang benar kita perlu bergembira menyambut Idulfitri, bukan menonton program yang menitiskan air mata. Kegembiraan tidak dihalang, tetapi biarlah berpada-pada dan dapat meningkatkan iman. Oleh hal yang demikian, penonton program tv perlu berhati-hati terutama kanak-kanak perlu menjauhkan diri dari program yang rendah nilai keimanannya. Peranan orang di sekeliling sangat penting dan ibu bapa kena memantaunya.

Wednesday, August 1, 2012

Bersetuju dan tidak bersetuju

Dalam menjalani urusan harian dalam kehidupan, kita kadang kala bersetuju dengan pandangan orang lain dan kadang kala tidak setuju. Suasana persekitaran dan faktor lain menyebabkan kita setuju dengan keputusan yang dibuat hasil tolak ansur dan pertimbangan tertentu. Ada baiknya kita akur dan bersetuju bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan walaupun pandangan kita tidak dilarang oleh Islam.
Kita terpaksa bersetuju atas pandangan tidak setuju oleh orang lain. Orang lain tidak setuju dengan pandangan kita. Kenapa harus setuju untuk tidak bersetuju terhadap orang lain? Tidak mengapa buat sementara waktu kerana pihak yang tidak setuju perlu masa dan perlu diberi pemahaman yang jelas, bernas dan menyeluruh. Yang lebih penting Allah belum menjadikan mereka bersetuju dengan pandangan kita. Kita kena berusaha secara terus-terusan supaya mereka faham dan mendapat petunjuk daripada-Nya.
Tetapi ada masanya kita terpaksa tidak bersetuju untuk bersetuju atas sesuatu perkara. Hal ini banyak berlaku dalam persekitaran masyarakat kita. Program hiburan di media massa khasnya tv, masalah sosial dan sebagainya kita tidak bersetuju. Kita digambarkan bersetuju dengan suasana yang berlaku. Hal ini timbul kerana kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya. Kita bukan penguatkuasa dan bukan pembuat keputusan atas sesuatu dasar. Keupayaan kita ialah berdoa kepada Allah supaya Allah membukakan pintu hati mereka yang berkuasa menghentikan kerja mungkar atau tidak baik.
Apakah peluang kita untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan? Yang paling utama ialah anda diberi peluang menggunakan hak anda apabila tiba pilihan raya. Pilihlah pemimpin yang boleh menggunakan kuasa ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Saturday, July 7, 2012

Mencari persefahaman Melayu, bangsa dan Islam

Pas dan Umno dilihat lebih banyak mendekati dan ada hubungan yang kukuh dengan orang Melayu dan Islam. Tidak dinafikan peranan parti politik lain dalam hal ini seperti PKR. Umno dan BN memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Pas memperjuangkan kepentingan umat manusia dan negara berasaskan Quran dan hadis. Tujuan Pas pula ialah
  • Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
  • Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bolehkah parti ini mencari titik persefahaman demi kepentingan Melayu, bangsa dan Islam? Kepentingan Melayu, bangsa/kaum lain dan Islam di Malaysia perlu digalas bersama dan mewujudkan kerjasama untuk membangunkan negara. Dalam konteks ini, tujuan Pas itu begitu mudah iaitu melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredaan Allah, di samping menjaga kedaulatan negara. Bolehkah UMNO menerima tujuan itu? Sepatutnya tidak ada masalah kerana kepentingan agama dan negara juga menjadi hasrat Umno.

Saya percaya jika Umno dapat melaksanakan dan menerima tujuan Pas itu, tidak perlulah lagi orang Melayu dan Islam berada dalam pelbagai parti. Yang penting dasar dan pelaksanaannya berpandukan Quran dan Hadis. Kaum Melayu boleh menjadi contoh kepada kaum lain jika mereka mengamalkan Islam, bukan sahaja pada sembahyang, menunaikan haji, puasa, zakat, perkahwinan semata-mata .

Tuesday, June 26, 2012

Beza perkataan baru dan baharu

Perkataan baru membawa maksud yang berikut:
i. belum ada sebelumnya, belum lama wujud atau dikeluarkan,contoh kereta baru
ii. belum pernah atau belum lama dilaksanakan, contoh cara baru
iii. belum digunakan lagi atau dipakai lagi
iv. belum lama berlaku atau menjadi, contoh peristiwa baru, kakitangan baru
v. masih segar, contoh sayur baru
vi. moden, contoh model baru
vii. belum begitu lama, contoh kami baru sampai
viii. sesudah, contoh baru ditegur sudah menangis
ix.pada masa tertentu, contoh selepas diterangkan baru kami sedar
x.tidak terjejas atau kelihatan masih cantik, contoh nampak baru

Antara contoh ayat yang menggunakan perkataan baru adalah seperti yang berikut:

i. Mereka baru sahaja menikmati jamuan.
ii. Dia baru tiba dari kampung.
iii. Majlis itu baru sahaja selesai.

Perkataan baharu pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan lama atau buruk seperti yang berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi pembentukan kata, baru tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu baru-baru seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi pertandingan deklamasi sajak.
Kata baharu boleh menerima awalan teR- menjadi terbaharu, awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui' bermaksud membaiki supaya menjadi baharu.


Dari segi makna, baharu juga boleh bermaksud belum buruk.Contohnya, pakaian itu masih baharu.
Kadang-kadang baharu juga dipendekkan menjadi baru dalam percakapan harian. Walau bagaimanapun, penggunaannya secara lisan tidak digalakkan.

Friday, June 22, 2012

Kebesaran Allah ada di mana-mana

Saya teringat sajak Di bawah langit yang sama karya Lim Swee Tin mengungkapkan semua manusia berada di bawah langit yang sama. Pemisahnya ialah sempadan negara akibat perbezaan politik, budaya, ideologi dan sebagainya. Allah maha besar dan berkuasa menjadikan manusia berbangsa-bangsa, pelbagai warna kulit, pelbagai bahasa, budaya dan pemikiran.
Keadaan geografi juga berbeza.Iklimnya ada empat musim dan ada yang tropika, sederhana, sejuk dan panas.Suhu di Malaysia agak panas, siang kadang kala mencapai 32 djh celcius, malam 24 darjah celcius. Semasa saya ke south Korea pada Mac 2012 lalu, beberapa tempat negara itu masih bersalji(snow). Udara yang sejuk menyebabkan manusia perlu menutup muka, seluruh badan dan berbaju tebal, Sama keadaannya apabila pergi ke Eropah seperti London ketika masa sejuk. Kalau keadaan panas seperti Malaysia mungkin ramai yang dedah aurat. Allah suruh tutup aurat, tapi ramai yang engkar, maka disejukkan suhu negara itu. Di Malaysia ramai yang sedar perlunya menutup aurat, jadi suhunya panas taklah melampau sangat. Tapi masih ramai yang tak mahu dengan alasan panas. Tunggulah jika Allah sejukkan sampai ada salji.
Kalau kita berfikir dengan mendalam ternayata hal itu ada hikmahnya. Tanda kebesaran Allah sangat jelas bagi orang yang mahu fikir dan mengambil panduan.

Sunday, June 10, 2012

Catatan perjalanan ke Ireland

Setelah beberapa hari pulang dari Ireland, barulah ada kesempatan untuk membuat catatan perjalanan ke negara itu. Perjalanan ke Ireland bukanlah kali pertama, tetapi setiap kali perjalanan sudah tentu kita akan mengutip pengalaman yang berbeza. Pengalaman itu dianggap penting bagi orang lain yang akan melancong ke Ireland pada masa akan datang.
Saya bersama isteri, adik bertolak dari KLIA pada 27 Mei 2012. Saya menaiki flight Virgin Australia dan transit di Abu Dhabi. Sepatutnya naik Eitihad airways, tetapi semasa check in diberitahu kena naik Virgin Australia.
Sampai di Abu Dhabi pukul 11.20 malam waktu sana. Pukul 1.20 pagi barulah boarding ke Dublin. Flight bertolak pukul 2.20 pagi ke Dublin. Sampai Dublin pukul 7.30 pagi waktu Dublin. Pada keseluruhannya, dari KLIA Malaysia ke airport Dublin mengambil masa 21 jam. Anak sudah sedia menunggu di terminal. Naik keretanya terus ke bandar Galway selama 3 jam.
Galway sebuah bandar di barat Ireland, tidak begitu sibuk. Keadaannya begitu tenang.Trafik tak begitu sibuk. Kami sempat shopping di pusat beli-belah, agak seronok dan tak begitu ramai orang, selesa macam di Belfast, U.K.Tak bising dan hiruk-pikuk berbanding Kuala Lumpur, Beijing, Seoul, Medan Indonesia mahupun Chiangmai, Thailand. Kiri kanan jiran anak saya merupakan rumah-rumah banglow didiami oleh orang putih Ireland. Mereka sungguh ramah mesra, kadang kala terasa lebih mesra daripada orang Melayu yang dikatakan bangsa yang peramah.Semasa dalam perjalanan dari KLIA ke Dublin, ada satu group orang Melayu yang saya temui, mungkin satu keluarga. Mereka seolah-olah tak mahu berinteraksi atau bertegur sapa. Tak tahulah sebabnya, mungkin tak mahu diganggu atau berada di luar Malaysia perangai pun berubah.
Selama seminggu berada di Galway. Bagi saya suhu masih sejuk, siang 16 djh cel, malam 10 djh cel. Kadang kala hujan renyai menambah kesejukan. Kalau bulan Disember lebih sejuk daripada masa itu. Masa begitu singkat. Sempat juga buat aqiqah cucu. sembelih kambing dan buat jamuan. Ramai kawan anak datang. Ada pelajar Malaysia, doktor, dan chef yang dah 12 tahun tinggal di Ireland. Suasananya meriah. Esoknya, masa untuk balik Malaysia dah sampai. Terasa mahu tinggal lebih lama di Galway. Santai dan relax.
Anak menghantar ke airport Dublin pada awal pagi. Masa menunggu untuk boarding, sempat berbual dengan seorang pemuda Cina. Pada mulanya, kami berbual dalam bahasa Inggeris, tetapi bila tahu dia berasal dari Melaka, Malaysia, perbualan itu serta merta bertukar dalam bahasa Melayu Dia agak ramah tapi dah kurang lancar bahasa Melayu. Dia pelajar perubatan di Dublin. Ayahnya doktor di hospital swasta, Melaka.
Semasa dah hampir boarding, seorang pemuda datang mendekati saya dan isteri untuk bertanya khabar. Dia pelajar perubatan di Dublin, berasal dari Kelantan, Malaysia. Sikapnya sangat menghormati orang tua tapi 3 kawannya hanya pandang dari jauh walaupun berasal dari Malaysia.
Semasa transit di Abu Dhabi, dapat tempat duduk berdepan dengan seorang lelaki Arab. Melalui perbualaan, dia orang Syria. Di tangannya memegang rokok, minta mancis. Saya beritahu saya tak merokok. Saya tunjukkan bilik merokok yang disediakan. Saya ingatkan nanti kena saman kalau merokok tak kena tempat di airport itu.
Flight Eitihad selamat sampai di KLIA pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.

Tuesday, June 5, 2012

Kebajikan rakyat Ireland

Semalam sampai di Malaysia, pulang dari Ireland setelah melawat anak dan cucu. Masa agak terbatas, tetapi ingin mencatat sesuatu dalam blog. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kita tentang negara itu dalam soal kebajikan.
 Saya difahamkan negara itu memberikan pendidikan percuma dari peringkat rendah hingga universiti. Ireland juga memberikan bantuan wang kepada anak yang lahir hingga berumur 16 tahun lebih 100 euro(hampir RM500) setiap bulan. Bagi bayi (baby) yang baru lahir hingga umur 7 tahun  akan diberikan rawatan percuma.
Negara itu juga memberikan bekalan air paip percuma. Tak perlu bersusah payah beli filter/penapis air. Air sudah bersih kerana dah bertapis.
Kepada rakyat Malaysia, saya berharap dapat berkunjung ke Ireland untuk melihat dan merasai aspek kebajikan di negara itu.

Monday, May 28, 2012

Sanggup berhijrah cari rezeki

Sewaktu membuat catatan ini, saya berada di bandar Galway, Ireland. Semasa dalam flight dari Abu Dhabi ke Dublin, saya bertemu seorang chef yang bekerja di Ireland berasal dari Pontian, Johor, Malaysia. Sudah 12 tahun berada di Ireland. Pasti banyak pengalaman menarik yang boleh dikongsi bersama. Sayangnya, kesempatan nak bersembang lama agak terbatas.
Kesanggupannya berhijrah dari Malaysia ke negara lain untuk mencari rezeki bersama keluarga sangatlah dikagumi. Tak semua orang sanggup berkorban begitu. Ramai orang yang lebih suka tinggal di dalam negara sendiri kerana sudah biasa dan lebih selesa berbanding hidup di negara asing yang banyak cabaran. Khabarnya ada beberapa orang lain yang bekerja sepertinya. Tahniah!.

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya.Menjadi guru memerlukan komitmen yang tinggi. Tidak semua orang mampu menggalas tugas sebagai guru.Dari semasa ke semasa tugas guru makin mencabar dan lebih berat. Kalau dulu guru balik pukul 1 tengah hari, kini ada yang balik pukul 3 petang, 5 petang malah sebelah malam ada yang datang ke sekolah untuk mengadakan kelas tambahan.
Walau apa keadaan, guru jangan lupa kebajikan diri. Tumpuan kepada keluarga tidak boleh diabaikan. Kebajikan keluarga juga menjadi tanggungjawab utama.

Wednesday, May 9, 2012

Perpaduan Melayu

Bercakap tentang perpaduan orang Melayu memang mudah. Perpaduan melayu hanya dilihat pada program saja seperti gotong-royong, kegiatan seni, hiburan dan politik. Sebenarnya perpaduan tidak boleh dirujuk pada program saja , tapi yang penting tujuan program dan asas/dasar program itu. Program orang Melayu hanya untuk seronok saja, mendengar ceramah tokoh tertentu, persembahan artis, jamuan dan bersurai.Sebab itu orang Melayu seronok dengan program hiburan dan makan.
Sudah bertahun-tahun orang Melayu hanya jadi penonton pada kegiatan ekonomi kaum lain. Kedai, pejabat, pasar raya dan pusat kewangan tidak dimiliki Melayu. Melayu hanya bekerja, bukan pemilik. Jika ada yang dimiliki orang Melayu pun hanya orang tertentu saja. Siapakah yang patut bertanggungjawab dalam perkara ini? Tentulah kerajaan yang sedia ada kerana mereka ada kuasa politik dan pentadbiran.
Jika orang Melayu diurus mengikut ajaran Islam, mereka boleh setanding dengan kaum lain. Islam mengajar umatnya kukuh ekonomi dan akhlak.
Orang Melayu tak boleh diasak dengan cerita seks dan hantu sebagaimana dalam media massa di negara ini. Asakan itu menyebabkan orang Melayu ketinggalan pemikirannya macam sebelum merdeka. 

Friday, April 27, 2012

Berniaga perlu serius

Aktiviti orang Islam khasnya orang Melayu semakin jauh daripada bidang perniagaan. Orang Melayu semakin banyak terlibat dalam aktiviti sosial. Perhatikan seluruh negara. Aktiviti ramai seperti berbasikal atas nama rekreasi, lumba motorsikal, lumba kereta, mendaki bukit dan gunung, memancing dan sebagainya melibatkan penyertaan orang Melayu yang begitu ramai dan dipublisitikan. Apakah tujuan aktiviti ini diwujudkan dengan begitu aktif sekali?
Semakin hampir pilihan raya aktiviti sosial itu begitu banyak dan setiap minggu diadakan. Pada masa dulu aktiviti ini tertumpu di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kini hampir semua bandar ada aktiviti itu dan begitu rancak sekali. Melihat pada aktiviti itu banyak belanja dikeluarkan oleh penganjur. Orang bukan Islam dan bukan Melayu kurang terlibat dengan aktiviti itu.
Sepatutnya kerajaan dan badan-badan yang berkaitan dengan kerajaan termasuk GLC (syarikat yang berkaitan dengan kerajaan) membuat aktiviti yang berciri perniagaan kepada orang Islam khasnya Melayu. Berniaga itu satu sunah nabi. Kaum yang menjauhkan aktiviti perniagaan dalam orientasi kehidupannya akan ketinggalan berbanding kaum lain.
Walaupun ada unsur perniagaan dalam karnival, pesta, ekspo tetapi elemennya untuk memenuhi pengunjung saja bukan bersifat mendidik. Sekadar jual air minum, kerepek, makanan segera tidak mendorong orang Melayu bersifat serius dan simple dalam perniagaan berbanding kaum Cina dan India.  Melayu semakin enjoy dalam bersosial dan dalam urusan ekonomi hanya jadi penonton dan pembeli.
Kerajaan perlu melihat isu ini secara menyeluruh dan mengutamakan keseimbangan pembahagian ekonomi negara ini bukan membawa orang Melayu berhibur sepanjang tahun dan menjadi penonton ekonomi. Orang Islam khasnya Melayu masih perlu dibantu dan dibimbing.

Saturday, April 14, 2012

Melayu semakin jauh untuk bersatu padu

Melihat suasana dalam negara yang semakin hampir pilihan raya umum ke-13, secara umumnya, rasanya orang Melayu semakin sukar untuk bersatu padu. Sesama mereka saling memfitnah, sama ada dalam ceramah, tv, akhbar, blog dan laman web. Orang yang difitnah dan dicaci-maki adalah orang Melayu. Penggunaan media internet dan tv memudahkan kerja yang sengaja dirancang. Mereka mengambil ilmuan agama dan ada gelaran profesor supaya pandangannya diterima masyarakat. Kerja-kerja ini sangat merugikan orang Melayu.
Sepatutnya mereka memberi pandangan berdasarkan hujah yang ada fakta, bukan berdasarkan emosi. Sebagai contoh, jika kita tak setuju dengan golongan yang mahu mansuhkan PTPTN(maksudnya pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),  berikan hujah bahawa PTPTN tidak membebankan pelajar. Berikan statistik sumber kewangan pelajar tidak negatif walaupun selepas menangung bayaran PTPTN. Saya suka melihat hujah yang realistik dan ada fakta yang jelas. Bukan mengatakan orang lain tidak bertanggung jawab kepada negara apabila mahu memansuhkan PTPTN. Saya percaya semua orang cinta akan negara ini, ingin melihat negara ini maju dan rakyat berpelajaran. Tidak ada orang termasuk bukan Melayu yang mahu negara ini mundur.
Sepatutnya Melayu perlu bersatu dalam apa jua isu. Perbezaan pendapat boleh diselesaikan melalui perbincangan. Kerajaan yang memerintah wajar membawa rakyat bersatu padu khasnya orang Melayu. Program yang sedia ada lebih banyak membawa hiburan kepada orang Melayu dan tidak membawa orang Melayu berjaya dalam perniagaan. Perpaduan orang Melayu hendaklah diasaskan  dengan mengamalkan ajaran Islam, bahasa Melayu, nilai tradisi yang baik dan perniagaan.Kaedah lain kurang berkesan.
Saya lihat orang Cina di Beijing, orang south Korea, orang Inggeris di London, orang Ireland, orang Perancis di Paris, orang Arab di Mekah dan Madinah, selain orang Thai dan warga Indonesia di Indonesia ikatan perpaduan mereka berorientasikan nilai tradisi, perniagaan dan agamanya.

Tuesday, April 3, 2012

Sekelumit kenangan di south Korea


Dalam keadaan sekarang memang agak sukar meluangkan masa menghadap laptop untuk mencatatkan sesuatu. Pada kesempatan ini, saya teringat beberapa perkara penting dalam pemerhatian sewaktu ke south Korea pada 12 hingga 17 Mac 2012 lalu.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Korean airline kerana mereka menggunakan bahasa Melayu apabila menyampaikan sebarang pengumuman selain bahasa Korea dan bahasa Inggeris. Nampaknya mereka ambil peduli bahasa Melayu kerana ramai orang Malaysia dalam penerbangan sama ada Kuala Lumpur- Seoul, dan Seoul-Kuala Lumpur(KLIA). Terima kasih kepada Korean Airline.
Selain itu, saya dan ahli rombongan sangat berbangga dan terima kasih kerana Incheon airport di Seoul ada surau untuk muslim beribadat khasnya bersembahyang dengan selesa. Dalam surau itu disediakan sejadah dan al-Quran. Namun diharapkan pihak pengurusan airport itu dapat menyediakan tempat berwuduk. Orang Islam terpaksa ke bilik air/toilet yang agak jauh untuk berwuduk( ambil air sembahyang).
Kedai atau restoran untuk muslim sangat kurang di Korea termasuk di airportnya. Perkara ini sepatutnya diambil perhatian oleh ahli perniagaan Islam di seluruh dunia supaya membuka kedai makan yang halal. Saya dapati banyak orang Islam datang ke Korea sebagai pelancong. Mungkin juga pelajar Islam dari serata dunia yang belajar di Seoul dapat belajar sesuatu iaitu mengambil daya usaha membuka perniagaan di Korea. Contohi orang Korea yang banyak membuka restoran di Malaysia.

Sunday, March 18, 2012

Bercuti di Seoul, Korea.



Sebaik pulang daripada bercuti di Seoul, south Korea, rasanya tak sabar hendak mencatat sesuatu dalam blog walaupun tidak banyak masa yang terluang. Sebabnya, ada sesuatu yang perlu diberitahu kepada orang lain terutama mereka yang belum pernah ke Korea. Banyak perkara yang boleh diceritakan seperti salji, sejarah, budaya dan penduduknya.
Sukar untuk orang Islam mencari restoran muslim, tidak seperti di Beijing. Makanan halal amat menjadi masalah. Apabila berada di kawasan yang langsung tak ada restoran muslim, makanan yang dibawa sendiri seperti roti jadi juadah. Terpaksa makan di restoran umum dengan memilih masakan tanpa daging. Kalau tak makan, lapar pula.
Saya difahamkan hanya ada satu masjid di seoul. Saya sempat singgah dan bersolat di masjid itu. Di sekitar masjid barulah nampak beberapa kedai muslim yang dimiliki orang Turki, Pakistan dan sebagainya. Masuk restoran India muslim makan kari ayam, ayam tanduri, nasi, dan roti nan.
Orang Islam sewajarnya mengambil peluang membuka perniagaan di Korea, terutama usahawan Islam dari Malaysia. Saya lihat banyak pelancong Islam dari seluruh dunia datang ke Korea selatan. Sektor pelancongan Korea diberi penekanan dan maju.
Bagi mereka yang ingin melancong ke Korea selatan, masa yang agak sesuai ialah bulan Mac. Kita masih berpeluang menikmati salji dan penghujung musim sejuk sebelum musim bunga. Anda perlu membawa pakaian tebal untuk dipakai di kawasan yang sejuk terutama luar bandar raya Seoul. Kita pasti tidak akan melepaskan peluang ke Nami Island tempat lokasi drama Winter Sonata dan Mount Soerakan. Kedua-dua kawasan ini agak sejuk, bersalji dan boleh menikmati pemandangan alam semula jadi yang menarik.
 

Tuesday, March 6, 2012

Menentukan persepsi masyarakat Melayu

Persepsi sangat penting dalam mana-mana masyarakat. Kadangkala persepsi boleh mengatasi fakta dan menjadi pegangan untuk membuat keputusan dan arah pemikiran. Di Malaysia, masyarakat Melayu mempunyai persepsi tertentu. Persepsi itu menjadi penentu kewujudan sesebuah kerajaan sejak negara kita merdeka.
Parti dan pertubuhan yang mampu mengawal persepsi orang Melayu akan menentukan hala tuju negara. Persepsi orang Melayu perlu diurus dengan baik. Dalam hal ini, media terutama tv sangat besar pengaruhnya mempengaruhi persepsi Melayu.
Antara asas yang mengawal persepsi itu ialah:
- Islam mesti dipertahankan walaupun majoriti orang Melayu belum mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya.
- Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi pada hal golongan pemimpin Melayu lebih gemar berbahasa Inggeris.
- bidang perniagaan tidak menjadi dominasi kerana orang Melayu lebih ramai makan gaji dengan kerjaaan dan swasta.
- hiburan tak boleh ditinggalkan dengan menggunakan artis tertentu dan kini diselitkan dalam karnival masyarakat.
Bolehlah dipertimbangkan sama ada mahu mengubah persepsi atau mengekalkannya.
Pihak yang mampu mengawal persepsi orang Melayu mengikut rangka kerja mereka akan menjadikan mereka disokong.

Wednesday, February 22, 2012

Harga barang melonjak tinggi

Jika kita makan di kedai atau di warung kini, kenaikan harga begitu tinggi. Sebagai contoh, makan nasi putih, ikan sekeping(yang dipotong), teh 0, sedikit sayur harganya ialah RM6. Kebanyakan kedai makan sudah mencatatkan harga lauk ikut harga pasaran sama ikan atau daging. Bermaksud harganya tidak tetap, boleh berubah secara tiba-tiba.
Apakah yang menjadi punca harganya cepat melonjak tinggi? Alasan yang diberi ialah peniaga makanan mendapat bahan mentah yang harganya tinggi.
Sebagai pengguna, kita terpaksa membayar makanan dengan harga yang tinggi kerana tiada pilihan lain. Pendapatan kita tak banyak berubah. Setengah orang pendapatannya tak berubah sedangkan harga makanan makin meningkat. Siapa nak disalahkan?
Kerajaan sepatutnya menjadi pembekal bahan mentah melalui agensinya di seluruh negara. Pihak kerajaan jangan sekadar memantau harga di pasaran. Mampukan dipantau?
Jangan lantik syarikat tertentu untuk membekalkan bahan mentah untuk dibeli orang ramai kecuali jika kerajaan tidak ada kepakaran dalam aspek tertentu.
Jika harga bahan mentah hanya ditentukan oleh pasaran semata-mata, banyak pihak swasta akan ambil kesempatan. Yang susah ialah rakyat biasa dan berpendapatan tetap seperti makan gaji.
Bekalan makanan perlu dikawal dan mesti sampai kepada sasaran pembeli terutama rakyat biasa.

Friday, February 10, 2012

Guru dan doktor di Malaysia

Kalau diperhatikan ada dua kerjaya penting di Malaysia pada masa ini yang perlu diberi perhatian. Kerjaya lain bukan tidak penting. Mungkin orang lain akan meletakkan kerjaya lain lagi penting. Terpulanglah pada pertimbangan masing-masing. Saya lebih menekankan guru dan doktor yang bekerja di sektor awam.
Saya difahamkan masalah yang berlegar pada kerjaya tersebut perlu diberi perhatian kerajaan dengan segera. Antara kakitangan awam yang ada, guru merupakan yang paling ramai iaitu lebih 400 ribu orang. Kebajikan guru sebagai manusia biasa wajar dibantu dan diselesaikan. Wujudnya bandar baru, kawasan industri dan pembangunan kawasan menyebabkan banyak sekolah baru muncul. Timbul masalah penempatan guru. Suami dan isteri tidak dapat tinggal bersama. Emosi mereka sudah tentu terganggu. Sebagai manusia biasa, keutamaan hidup berkeluarga perlu diutamakan. Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran patut mengutamakan pertukaran guru yang sudah berkahwin.
Saya juga difahamkan doktor di hospital bertugas begitu lama. Katanya lebih 8 jam. Kadangkala lebih 24 jam. Saya jadi tak faham bagaimana nak suruh pesakit hidup sejahtera jika doktor pun kurang sejahtera. Adakah kualiti hidup meningkat?

Friday, February 3, 2012

Menguruskan cabaran dan penyelesaian

Sudah ditakdirkan Tuhan, masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk. Tidak ada kaum yang boleh hidup sendiri tanpa mengaitkan kaum yang lain. Kita tidak menafikan wujud cabaran dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Selain cabaran ekonomi dan politik, amalan agama tidak mudah diuruskan jika kita tak berhati-hati.
Dalam menguruskan cabaran, banyak pihak yang mengambil kesempatan menggunakan agama untuk tujuan politik. Golongan inilah sebenarnya yang menimbulkan cabaran. Perlu difahami bahawa tidak ada orang Islam yang mahu umatnya tidak mengamalkan ajaran Islam. Bezanya hanya kaedah atau cara pelaksanaannya.
Orang Islam sepatutnya tidak memburukkan orang Islam lain. Apabila seseorang pemimpin itu dipecat daripada partinya, dia akan memburukkan pemimpin parti yang memecatnya atau tokoh lain yang dianggap punca dia dipecat.
Kenapa tidak difikirkan cara atau jalan untuk bersatu padu, bukan memburukkan orang lain sesama Islam?
Ternyata banyak pemimpin belum matang dan sentiasa mencari jalan untuk popular. Bukan mencari jalan perdamaian atau penyelesaian orang Islam.
Sebab itu apabila memilih pemimpin, cari orang yang tidak ego, berpegang pada ajaran Islam, merendah diri, berkhidmat untuk orang lain.

Wednesday, January 25, 2012

Setiap kali Tahun Baru Cina...

Setiap kali Tahun Baru Cina, masalah yang sama berulang. Kita menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan binaan, barangan runcit, alat ganti kenderaan dan lain-lain. Kedai yang kebanyakannya dimiliki orang Cina tutup kerana cuti Tahun Baru Cina. Walaupun orang Melayu yang berniaga, tapi sumber bahan mentah datangnya dari pembekal dan pemborong Cina.
Bukan salah Tahun Baru Cina. Bukan juga salah orang Cina. Masalahnya orang Melayu dan kaum lain tak berniaga dari awal sumber, pengeluar, pembekal, pekilang, pengimport hingga peringkat penggunaan. Orang Melayu hanya jadi pengguna. Kalau orang Cina tak berniaga memang semua jadi terhenti. Alasan mudah: cuti Tahun Baru Cina. Masalah ini sudah berpuluh-puluh tahun berlaku dan disedari banyak pihak. Sebaliknya jika orang Melayu dan kaum lain yang Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, masalah bekalan barang tak timbul kerana orang Cina berniaga.
Kerajaan sepatutnya berbuat sesuatu untuk keperluan rakyat. Hal ini bukan masalah perkauman. Semua kaum saling memerlukan dan saling membantu. Perkara ini dilihat sebagai masalah rakyat. Orang Melayu perlu berniaga untuk memenuhi keperluan kaumnya tanpa menjejaskan peluang kaum lain. Jika orang Melayu berniaga, kaum lain juga dapat faedah. Persoalannya, orang Melayu masih tak mampu berniaga seperti orang Cina kerana masalah modal dan ilmu.
Oleh sebab itu, kerajaan perlu membantu untuk orang Melayu jadi pembekal, pemborong, pengeluar dan peruncitan. Bukan setakat jadi pengguna saja. Syarikat GLC boleh membantu dan memainkan peranan awal, seperti Petronas, Bernas dan sebagainya. Felda, Mara dan agensi lain wajar memainkan peranan aktif.

Sunday, January 22, 2012

Makanan dulu

Makanan sekarang begitu banyak, mewah, lazat dan pelbagai jenis. Asam pedas, ikan keli masak lemak, bubur caca dan teh tarik mudah ditemui di kedai makan khas di Malaysia. Sewaktu sampai di kota London, saya mencari-cari makanan itu. Akhirnya dapat makan di restoran Malaysian Hall. Yang tak jumpa ialah pengat pisang, pengat ubi dan pengat keladi di kota London. Sesiapa yang tahu boleh cadangkan. Rasanya di Beijing pun saya tak jumpa. Yang ada keledek rebus dijual oleh penjaja jalanan. Masakan pengat tak dapat lupa kerana mengingatkan diri ini semasa kecil. Tak banyak pilihan. Sekali sekala dapat makan nasi panas dengan tempe bakar. Nak goreng tak ada minyak masak. Kadang kala tempe bakar dilenyek dengan sedikit lada jadilah sambal tempe. Ada lagi ke makanan ini?
Pengat memang sedap sama ada pisang, ubi dan keladi. Ditambah pula dengan bau daun pandan segar dan gula melaka yang lemak manis. Sukar menemuinya di kedai makan kini. Generasi muda banyak yang tak tahu, malah perkataan pengat pun begitu asing.
Makanan sekarang pun mahal akibat kenaikan kos barangan. Kenapa barangan itu jadi mahal pada hal keluaran tempatan. Adakah kerana kenaikan harga minyak dan bahan api saja?
Kenaikan harga barang yang selari dengan kenaikan gaji yang tak seberapa seolah-olah kita tak naik gaji.

Saturday, January 14, 2012

Bertemu kawan lama

Sudah ditakdirkan Allah dapat bertemu kawan lama yang sudah 36 tahun tak jumpa. Sama-sama belajar di UTM pada tahun 1975 dalam program Perancang Bandar dan wilayah. Pada masa itu UTM terletak di Jalan Gurney, kini Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Kini UTM berada di Skudai, Johor Bahru.
Pertemuan dengan seorang kawan membawa lebih banyak pertemuan kawan lain. Tengah hari tadi dapat menghadiri majlis perkahwinan anak sdr.Ghafar di dewan Dato Keramat, Kuala Lumpur. Dapat juga jumpa Sdr Zaki. Mereka semua dah jadi pegawai tinggi kerajaan. Sudah Jusa C. Tahniah. Ada juga dah bergelar Datuk, tapi tak sempat jumpa kerana saya perlu pulang awal atas urusan lain pula.
Pertemuan dengan kawan lama membuka banyak lembaran nostalgia. Kawasan Dato Keramat, Jalan Gurney dan sekitarnya tidak asing bagi pelajar UTM. Banyak perubahan dan pembangunan di situ kini.
Sebagai pelajar(mahasiswa) yang mengambil program Perancang Bandar dan wilayah perlu banyak berbelanja membeli alatan belajar. Semuanya mahal. Duit tak cukup. Benar seperti sdr.Zaki, duit di tangan cuma ada 0.15 sen. Pernah saya langsung tak ada duit.
Pernah juga bapa saya mengirim RM10. Seorang kawan pinjam rm5. Saya bagi kerana dia pun tak ada duit. Tinggal baki rm5 untuk kegunaan sebulan. Biasiswa yang kecil memang tak cukup. Kebanyakan mereka yang belajar sampai bergraduan dapat sokongan adik beradik lain. Keluarga saya tak mampu.
Selepas setahun, saya terpaksa berhenti dan keluar dari UTM bersama sdr.Selamat.
Keputusan cemerlang dalam SPM belum menjamin kita melanjutkan pelajaran pada masa itu. Selepas keluar dari UTM, masing-masing membawa haluan sendiri. Setelah 36 tahun, dapat bertemu semula dengan wajah yang sudah kelihatan tua tapi nampak masih bertenaga. Terima kasih kepada kawan-kawan yang masih mengingati saya. Barulah tahu tak semua kawan meneruskan bidang kerjaya Perancang Bandar dan Wilayah walaupun ada yang menamatkan pengajian dengan cemerlang di UTM. Salam utk kawan-kawan.
Jika kawan-kawan terbaca catatan ini bolehlah emel kepada saya: pandanresort@gmail.com, website: pandanresort.weebly.com atau facebook: Seri Pandan.

Saturday, January 7, 2012

Mencari pemimpin yang baik

Apa saja yang berlaku di mana-mana negara termasuk Malaysia berpunca dari pemimpin dan kepimpinannya.
Siapakah orang yang boleh dijadikan pemimpin di Malaysia terutama jawatan PM?
1. Berilmu dan berpegang pada ajaran agama.
Pemimpin mesti mempunyai ilmu yang tinggi sama ada profesional mahupun bidang agama. Orang itu tidak semestinya ada PhD. Seorang profesional dan berpegang pada ajaran agama boleh dipilih jadi pemimpin. Boleh jadi imam sembahyang, baca khutbah dan boleh mentafsir beberapa ayat Quran dengan baik. Bijak berpidato yang dengan idea yang bernas.

2. Mempunyai keluarga
Pemimpin sebaiknya datang daripada keluarga yang baik, mengamalkan ajaran Islam, ahli keluarganya menutup aurat terutama isteri dan anak-anak. Latar belakang keluarga juga sebaiknya bukan dari keluarga bangsawan. Mereka perlu tahu dan mengalami susah payah rakyat bawahan seperti nelayan, pekebun, pekerja bawahan dan sebagainya.

3. Tidak sombong dan sentiasa merendah diri
Pemimpin tidak perlu menunjukkan kemewahan diri dan keluarganya. Dia sentiasa merendah diri, bermesra dan menunjukkan suka berkomunikasi dengan baik.

4. Menjaga kepentingan partinya
Di Malaysia, pemimpin dilahirkan melalui sesebuah parti politik. Ramai orang politik apabila bermasalah dengan partinya akan terus menyerang partinya siang malam asalkan dapat perhatian di media massa. Pemimpin yang baik sentiasa berbincang dengan rakan dalam partinya dan sentiasa bersama walau dalam keadaan susah dan senang. Sentiasa cari jalan penyelesaian. Dia nak tunjukkan lebih hebat dari tokoh lain. Dia nak tunjuk lebih alim dan sangat menjaga akidah orang Islam. Cara begitu tak kena dalam konsep kesatuan idea dan jamaah.

5. Mengutamakan kebajikan
Pemimpin yang baik mengutamakan mesti kebajikan rakyat. Bukan mengutamakan hiburan untuk rakyat. Kebajikan golongan pelajar mesti diutamakan kerana pelajar akan menjadi pewaris generasi negara ini. Pelajar mesti diberikan peluang mengalami pengalaman lain, bukan dari buku dan nota kuliah, bukan setakat lulus peperiksaan di universiti saja.

sekian.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...