Showing posts with label Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat. Show all posts

Tuesday, March 6, 2012

Menentukan persepsi masyarakat Melayu

Persepsi sangat penting dalam mana-mana masyarakat. Kadangkala persepsi boleh mengatasi fakta dan menjadi pegangan untuk membuat keputusan dan arah pemikiran. Di Malaysia, masyarakat Melayu mempunyai persepsi tertentu. Persepsi itu menjadi penentu kewujudan sesebuah kerajaan sejak negara kita merdeka.
Parti dan pertubuhan yang mampu mengawal persepsi orang Melayu akan menentukan hala tuju negara. Persepsi orang Melayu perlu diurus dengan baik. Dalam hal ini, media terutama tv sangat besar pengaruhnya mempengaruhi persepsi Melayu.
Antara asas yang mengawal persepsi itu ialah:
- Islam mesti dipertahankan walaupun majoriti orang Melayu belum mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya.
- Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi pada hal golongan pemimpin Melayu lebih gemar berbahasa Inggeris.
- bidang perniagaan tidak menjadi dominasi kerana orang Melayu lebih ramai makan gaji dengan kerjaaan dan swasta.
- hiburan tak boleh ditinggalkan dengan menggunakan artis tertentu dan kini diselitkan dalam karnival masyarakat.
Bolehlah dipertimbangkan sama ada mahu mengubah persepsi atau mengekalkannya.
Pihak yang mampu mengawal persepsi orang Melayu mengikut rangka kerja mereka akan menjadikan mereka disokong.

Saturday, September 24, 2011

Warung atau warong di Malaysia

Kehidupan harian di Malaysia agak sukar hendak berpisah dengan makan di warung(atau warong). Tak kira apa tujuan kita ke warung, sama ada nak makan, jumpa kawan untuk berbual-bual atau apa saja. Kebanyakan mereka ke warung nak makan. Kenapa makan di warung menjadi pilihan?
Kebanyakan warung berada di tempat terbuka dan mudah dikunjungi. Mudah meletakkan kenderaan, suasana tak formal dan tak banyak larangan daripada tuan punya warung seperti nak merokok.
Terdapat juga warung yang menyediakan makanan ala hotel atau restoran yang standard. Namun kebanyakannya ala kadar saja, yang penting ada makanan, meja kerusi dan sebagainya. Soal kebersihan kadang kala kurang diutamakan. Makanan kegemaran rakyat biasa ada di warung seperti roti canai, pelbagai mi, pelbagai nasi terutama nasi lemak dan kuih-muih.
Jika kita berada di luar negara seperti London, Paris, Beijing dan sebagainya tak nampak warung sebagaimana di Malaysia. Kenapa ? Mungkin faktor cuaca menjadi faktor utama. Cuaca yang sangat sejuk menyebabkan orang ramai lebih suka duduk di rumah.
Cuaca yang agak panas di Malaysia membuatkan orang lebih suka berada di luar rumah. Lebih suka keluar waktu malam dan makan di warung. Lihat saja bilangan warung semakin bertambah khasnya di bandar kecil, pekan, kampung, kawasan taman perumahan. Sudah jadi satu budaya di Malaysia.
Persoalannya, bagaimanakah kewujudan warung boleh disusun, diselaraskan, bersih dan kemas?

Tuesday, August 30, 2011

Sambutan Hari Raya idulfitri

Hari raya puasa atau idulfitri pada hari ini disambut meriah di Malaysia. Amalan kunjung-mengunjung dan bermaafan antara satu dengan lain masih berterusan. Begitu juga tradisi balik kampung masih jelas diamalkan. Walau bagaimanapun mereka yang lahir di bandar seperti Kuala Lumpur, ibu bapanya sejak kecil tinggal dan menetap di bandar mungkin tak menyertai tradisi balik kampung. Bandar itulah 'kampung' mereka.
Satu perubahan yang agak ketara ialah mereka balik kampung mahu menziarahi ibu bapa dan saudara maranya tetapi menginap di hotel, resort atau homestay yang berhampiran dengan kampung mereka.
Mereka lebih memikirkan keselesaan berbanding suatu masa dulu. Kemampuan mempunyai kenderaan sendiri dan kewangan menjadi faktor utama perubahan tersebut. Daripada bersesak tidur di rumah saudara mara, kekurangan bilik, bilik air yang terpaksa dikongsi ramai menjadikan mereka memilih penginapan lain. Selain itu, tuntutan menutup aurat dalam kalangan sepupu atau saudara mara mahu dituruti atas kesedaran Islam. Perubahan ini tak dapat dielakkan walaupun memecahkan tradisi kunjung-mengunjung.

- Selamat Hari Raya.

Thursday, December 23, 2010

Persiapan persekolahan

Sesuatu yang biasa dilihat pada akhir tahun di Malaysia khasnya minggu akhir Disember ialah kesibukan ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, keluhan tidak dapat dielakkan. Bayangkan perbelanjaan untuk seorang anak sahaja tidak kurang RM500.
Bagi mereka yang kurang bersimpati akan mengatakan "Kenapa tak sedia dari awal ?" . Nak sedia awal macam mana? Kalau buat baju sekolah bulan Jun 2010, awal 2011 tak boleh pakai lagi. Badan anak-anak cepat membesar. Perlu beli baju lagi!
Kenaikan harga gula, petrol, gas dan sebagainya memberi kesan untuk membuat persiapan persekolahan. Mereka yang berpendapatan tinggi tidak ada masalah.
Saya ada mendengar keluarga yang ada anak OKU (Orang kurang upaya) bertambah satu lagi masalah. Contohnya wang membeli pampers perlu disediakan juga, di samping belanja sekolah.
Pendek kata bermacam-macam masalah dalam masyarakat wujud. Adakah para pemimpin sedar dan bertindak untuk mengatasi masalah itu?
Perbelanjaan untuk mengadakan pesta sambutan tahun baru 2011 di dataran Merdeka atau tempat lain lebih baik diberikan kepada golongan kurang mampu dan tahap sederhana. Untuk kakitangan kerajaan tahap rendah dan sederhana berikan bonus awal tahun.

Sunday, October 24, 2010

Masih ramai tidak ada rumah

Hidup bawah jambatan
Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini pasti tidak menyangka sebuah kolong di bawah jambatan yang mereka lalui di situ rupa-rupanya menjadi rumah kepada satu keluarga tiga beranak termasuk bayi mereka yang berusia setahun.
Bersama mereka ialah dua lelaki hidup yang turut merempat, Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 30, dari Sepang dan Tan Chee Wah, 44, dari Serdang, Selangor.

Ketua keluarga itu, Hazmain Abdul Jalil, 28, membawa isterinya, Siti Faezah Abu Bakar, 27, dan anak perempuan mereka, Siti Norafida ke bawah jambatan itu sejak empat bulan lalu selepas dihalau dari sebuah rumah kosong yang sebelum itu menjadi tempat mereka berlindung.
Kawasan yang menjadi 'rumah' mereka itu tidak berdinding hanya dilapik dengan kayu sementara untuk mendapatkan bekalan air, mereka terpaksa mencuri air dari paip berdekatan.

(Sumber: akhbar Kosmo! 24 Okt 2010)

Berita yang dipaparkan dalam akhbar di atas merupakan salah satu daripada beribu orang yang masih tak ada rumah. Sebagai orang Islam, bayangkanlah bagaimana mereka hendak solat dan melakukan ibadat lain?
Pihak yang berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pemimpin politik , NGO, pemimpin agama perlu memainkan peranan masing-masing. Di kawasan bandar perlu dibina perumahan bagi mereka yang kurang mampu. Dalam hal ini, persoalan yang sering timbul ialah adakah mereka benar-benar tak mampu, ingin menarik perhatian ramai atau tidak ada pekerjaan khusus sehingga sukar memperoleh rumah?
Yang pasti projek perumahan untuk orang ramai perlu diperbanyakkan. Penduduk makin bertambah, permintaan tempat tinggal juga bertambah.

Friday, April 30, 2010

Menyatukan masyarakat Islam Malaysia

Apakah langkah atau cara yang paling baik untuk menyatukan masyarakat Islam di Malaysia? Soalan ini sering ditimbulkan dalam majlis tertentu, media malah perbincangan umum.

Langkah yang paling bijak, terbaik dan berkesan ialah menggunakan Islam sebagai agama yang menyatukan umat Islam khasnya di Malaysia. Tidak ada cara lain yang terbaik!

Kita teliti jika cara lain dijadikan asas:

1.Bahasa

Bahasa Melayu diakui menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam perlembagaan dan atas kertas memanglah begitu. Tidak payah pertikaikan. Praktiknya belum tentu. Penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas. Banyak pihak termasuk tokoh dalam kalangan orang Melayu tak mahir bercakap bahasa sendiri apatah lagi menerima bahasa ini sebagai bahasa utama.Belum tentu menyokong penuh penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ilmu. Lihat saja melalui media sudah kita nampak masalah ini. Bagaimana nak dijadikan ikutan kaum lain atau masyarakat bawahan?



2.Budaya

Budaya yang ditonjolkan lebih memihak atau berfokus pada hiburan, bukan penyatuan masyarakat. Unsur nak menyatukan masyarakat hanya sampingan. Setiap kaum menonjolkan kehebatan budaya mereka. Acuan budaya berasaskan seronok saja, tidak berpaksi akhlak. Bagaimana nak menyatukan masyarakat Islam?



3.Ekonomi

Kemajuan ekonomi masih mencerminkan pencapaian kaum, bukan masyarakat Islam.



4.Sukan

Sukan hanya untuk menonjolkan kejayaan individu/ahli sukan dan pencapaian negara di mata dunia. Sukan dijadikan bidang perniagaan oleh syarikat yang mengaut keuntungan. Tidak mengarah penyatuan masyarakat Islam.



5.Perayaan utama

Setiap kali perayaan lebih menekankan 'majlis makan-makan' dan pertemuan kawan-kawan baru dan lama.

Oleh yang demikian, ajaran Islam mesti dijadikan asas atau teras perpaduan masyarakat. Nilai perpaduan Islam juga sudah lama diterima oleh bukan Islam.

Friday, July 24, 2009

Impian atau angan-angan

Semua orang mempunyai angan-angan. Kadang kala sudah jadi cita-cita. Ada yang ingin menjadi tokoh politik, PM, menteri dan pemimpin tertentu. Dari segi minat, ada yang berhasrat mendaki gunung tertinggi di dunia, belayar keliling dunia, dan macam-macam.

Banyak halangan yang terpaksa ditempoh untuk mencapai hasrat itu. Kita sepatutnya bersedia mencari dan memberikan peluang pekerjaan untuk kalangan yang memerlukan. Golongan yang mampu patut membuka kilang, memberi perkhidmatan dan sebagainya asalkan dapat menyediakan peluang pekerjaan. Perkara ini mungkin sukar dan menjadi angan-angan saja.

Jika diusahakan secara bertahap, mempunyai modal yang baik insya-Allah akan berjaya. Golongan ibu tunggal, Orang kurang upaya, anak yatim harus dibela dengan memberikan peluang kerja tanpa mengharapkan bantuan ahli perniagaan asing. Begitu juga para remaja yang mempunyai kelayakan dan berkelakuan baik tetapi masih menganggur. Selamat berfikir.

Tuesday, June 2, 2009

Program cuti sekolah

Setiap kali cuti persekolahan, banyak program yang dijalankan atau diadakan di seluruh negara. Program itu diadakan untuk mengisi kecenderungan masyarakat dalam musim cuti ini. Program hiburan tidak ketinggalan diadakan dan kadang kala diselitkan dalam program lain seperti karnival pendidikan, kesihatan dan sebagainya termasuk Jomheboh.
Masyarakat Melayu sangat memberi sambutan program yang berunsur hiburan.Kaum lain mungkin datang tapi untuk berniaga. Banyaklah wang dibelanjakan sambil berhibur. Melihat keadaan itu, seolah-olah masyarakat kita hidup gembira, tidak ada kesusahan, tidak ada kemiskinan, dan tak ada apa-apa yang susah.
Walau bagaimanapun keadaan sebenar sangat berlainan jika kita meneliti realiti hidup masyarakat. Kegawatan ekonomi ada yang menyebabkan orang hilang pekerjaan. Seorang penebar roti canai yang saya kenali menceritakan kisah jirannya yang diberhentikan kerja, isterinya pula lumpuh. Dia mengumpulkan makanan yang berbaki di kedai makan untuk diberikan kepada jirannya itu. Cerita ini hanyalah satu masalah dalam beribu masalah dalam masyarakat.
Ada baiknya jika kita ada lebihan wang lebih baik berikan terus kepada golongan yang
sangat memerlukan dalam masyarakat tanpa melalui pihak lain.

Saturday, March 14, 2009

Rumah Nik Nur Madihah


Saturday, March 14, 2009
INIKAH ISTANA KEJAYAAN?
Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan dua hari lalu.

Menurut Utusan Malaysia, Nik Nur Madihah -- Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan -- dan keluarganya tinggal di rumah usang ini.

Saya menitis air mata melihat gambar ini. Sewaktu kecil dulu, inilah lebih kurang keadaan rumah di mana saya dibesarkan. Cukup daif.

Alhamdulillah, pendidikan telah mengeluarkan saya dari kitaran kemiskinan. Dulu ayah bekerja sebagai penebang tebu, ibu pula setiap hari mengambil upah di sawah. Saya tahu erti kemiskinan -- ada hari-hari di mana saya dan adik hanya minum air kosong saja sebelum tidur; tanpa nasi dan lauk.

Bukan sedikit air mata ibu mengalir sewaktu membesarkan saya ... Terima kasih, ayah. Terima kasih, ibu.

Petikan laman blog: http://bongkarsauh.blogspot.com

Ulasan:
Setelah 52 tahun merdeka, ramai lagi kehidupan masyarakat yang memerlukan bantuan. Bukan tak mahu berusaha, tetapi tahap kemampuan seseorang berbeza. Sepatutnya perbelanjaan mengadakan berbagai-bagai pesta, karnival, jomheboh dan sebagainya lebih baik disalurkan untuk golongan yang memerlukan. Sambutan tahun baru, sambutan hari raya yang mewah dan macam-macam lagi tak perlu sangat diadakan. Jangan kira apa fahaman politik seseorang itu. Mereka juga rakyat Malaysia yang sah, perlu dibantu terutama daripada korporat, kalangan ahli politik yang hidup mewah dan syarikat GLC yang untung berjuta. Bayangkan gaji ada seorang Pengarah urusan GLC RM425,000 sebulan. Lumayan tak?

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...