Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

Saturday, September 1, 2012

Hentian Serdang tiada surau

Sudah agak lama tak masuk ke Kuala Lumpur. Kunjungan ke rumah kakak menyebabkan saya ke Kuala Lumpur. Rasanya dah lebih 3 tahun tak masuk ke KL, apatah lagi berhenti di Hentian Serdang. Hentian Serdang ini menitipkan nostalgia sewaktu belajar di UPM dulu. UPM waktu itu dikenali Universiti Pertanian Malaysia. Bagus nama ini tapi telah dibuang. Hentian ini menjadi destinasi penting apabila turun dari bas ekspres dari selatan. Sambil menunggu rakan untuk ke kampus, saya sering berhenti di hentian itu dan minum di gerai. Gerai itu masih wujud hingga kini. Semasa berhenti sebentar di hentian Serdang dan minum di sebuah gerai pagi tadi, saya mendengar pertanyaan seorang wanita menggunakan dialek Kelantan. Dia bertanyakan surau atau bilik solat kepada pekerja Indonesia di gerai makan. Kata pekerja itu, surau tidak ada di Hentian itu. Wanita itu nampak kecewa. Saya beritahu surau ada di hujung bangunan kedai itu. Pekerja Indonesia itu membalas, dulu ada kini sudah tutup. Saya pernah menggunakan surau itu untuk bersolat.
Jika benar tak ada surau, pihak Plus perlu meneliti dan mewujudkan surau semula untuk kemudahan orang ramai menghadap Allah. Orang begitu ramai berbanding dulu dan majoriti orang Islam. Kemudahan lain begitu banyak, surau tak boleh diketepikan. Pekerja banyak orang Islam, di manakah mereka bersolat?
Teringat saya semasa ke Korea baru-baru ini. Airport Incheon, Seoul ada kemudahan surau untuk orang Islam. Begitu juga airport di London seperti Stansted ada surau disediakan.

Sunday, August 19, 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri 2012

Selamat menyambut Hari Raya Idulfitri kepada semua umat Islam khasnya pembaca blog ini. Cara sambutan hari raya sepatutnya menonjolkan ibadat kepada Allah, bukan mempamerkan sikap menunjuk-nunjuk atau menjauhkan diri dari iman. Dalam kita bercuti ini, program tv di Malaysia lebih banyak menyiarkan hiburan semata-mata yang kurang nilai akademik dan nilai keimanan. Pihak media mengutamakan program popular dan ada nilai komersial. Memang benar kita perlu bergembira menyambut Idulfitri, bukan menonton program yang menitiskan air mata. Kegembiraan tidak dihalang, tetapi biarlah berpada-pada dan dapat meningkatkan iman. Oleh hal yang demikian, penonton program tv perlu berhati-hati terutama kanak-kanak perlu menjauhkan diri dari program yang rendah nilai keimanannya. Peranan orang di sekeliling sangat penting dan ibu bapa kena memantaunya.

Friday, September 16, 2011

Suasana pada bulan Syawal

Kemeriahan sambutan idulfitri sangat meriah di Malaysia dan masih berterusan walaupun sudah masuk minggu ketiga. Rumah terbuka dan marhaban masih diadakan. Sempena rumah terbuka dan marhaban, jamuan atau hidangan yang disajikan sungguh lazat. Memang seronok bukan saja budak-budak malah golongan tua juga.
Dalam sehari kadangkala lebih 3 majlis rumah terbuka dihadiri. Tuan rumah juga gembira kerana majlis yang diadakan mendapat sambutan daripada para tetamu. Sudah menjadi kebiasaan, tuan rumah menyediakan juadah yang sedap seperti sate, lontong, laksa dan sebagainya. Terdapat juga majlis yang diadakan oleh pertubuhan, persatuan atau institusi tertentu. Keadaan ini berterusan hingga melewati bulan berikutnya, seperti tahun sebelumnya. Agaknya kalau bulan syawal itu tiga bulan, maka selama itu sambutan hari raya akan diadakan.

Apakah faktor yang mendorong orang ramai giat mengadakan atau menghadiri majlis hari raya?
Untuk tujuan memupuk silaturahim, rasanya sudah kurang tepat. Tetamu datang, bersalam dengan tuan rumah kemudian makan. Lepas makan, jumpa tuan rumah , salam, dan balik. Tak ada perbualan, kecuali yang ada hubungan rapat saja.

Apakah hal ini menunjukkan tanda rakyat kita sudah berubah budayanya, sudah senang- lenang? Mereka tidak ada masalah kewangan? Mereka sanggup berbelanja sakan demi menyambut kelangsungan hari raya. Nasib baiklah syawal sebulan. Bayangkan kalau bulan syawal 3 bulan atau lebih.

Saturday, July 2, 2011

Monday, June 20, 2011

London, Dublin, Paris, Belfast



Pada 25 Mei lalu, dari KLIA lebih 13 jam sampailah di London. Ketika sampai di London, suhu pada waktu senja 16 d.c(darjah celcius). Banyak tempat yang sempat dilawati seperti Trafalgar, Istana Buckingham, jambatan London dan sebagainya. Tak lupa juga pengalaman naik keretapi bawah tanah. Setelah puas makan makanan barat, dapat makan di restoran Malaysian Hall, terubat juga rasa masakan Melayu. Makan di London lebih murah dari di Malaysia. 4 orang makan tengah hari hanya 14 pound. Kalau di Malaysia RM25.00(note: Jangan convert duit Malaysia, ikut tempatan).


Petang 27 Mei bertolak ke Dublin,Ireland naik Ryanair. Dari Dublin ke Galway naik bas dua tingkat ke rumah anak saya. Galway merupakan bandar yang tenang, tidak begitu sibuk macam Kuala Lumpur(KL) mahupun Johor Bahru, bandar pelancongan dan menghadap lautan Atlantik.
Pada 30 Mei terbang ke Paris, menginap di hotel selama 4 malam. Kota ini agak sibuk, banyak juga kaum pendatang. banyak pula motorsikal macam Kuala Lumpur. Keretapi bawah tanah terlalu padat penumpang, agak kurang selesa berbanding kota London. Stesen bas di Paris bagi penumpang yang nak ke airport Beauvais sangat teruk. Tak ada tempat duduk bagi penumpang yang nak naik bas ke airport. Tak ada tandas pulak!

Pada 2 Jun 2011 balik ke Dublin semula. Banyak bersiar-siar di Galway. Pada 4 Jun ke Belfast. Shopping di 2 outlet. Barang memang murah. Beg tangan wanita berjenama dan original pula hanya 5 pound saja. Kalau di KL harga lebih RM100.00.

Banyak tempat menarik di Belfast. Paling mengujakan di Giant Causeway yang merupakan world heritage. Pantainya ada batu 6 segi, unik sungguh. Tapi suhunya 8 d.c. Ini musim panas, kalau musim sejuk lagi sejuk!

Pada 6 Jun bertolak balik dari Dublin ke London. Dari London pukul 5.30 ptg waktu London dan sampai KLIA pukul 1.30 tgh waktu Malaysia.
Banyak perkara yang tak dapat dicatatkan di sini. Jauh berjalan luas pandangan, banyak pengalaman. Saya dapat melihat kebesaran Allah. Di bawah langit yang sama ada di KL, London, Dublin, Paris atau Belfast. Tetapi bumi, bangsa, bahasa, makanan, cuaca dan sebagainya berbeza. Ambil yang positif.

Orang putih rajin membaca buku tapi kalau ditanya boleh menerangkan dengan mesra, contoh tempat atau jalan yang kita tak tahu.
Banyak kali saya nak melintas jalan, kenderaan berhenti dan saya melintas jalan dengan baik.
Demikianlah yang sempat dicatatkan...

Saturday, February 12, 2011

Kuala Selangor-Sungai Besar

Hari ini saya ke pekan sungai Besar atas suatu urusan keluarga. Dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke sungai Besar, Sabak Bernam, kelihatan banyak gerai di tepi jalan menjual hasil pertanian terutama pisang, mangga harum manis dan jagung. Seronok melihatnya. Saya tak pasti bekalan pisang, mangga dan jagung itu dapat daripada mana. Mungkin petani atau pekebun kawasan itu yang menghasilkannya?
Kali terakhir melalui jalan itu ialah pada tahun 1988. Pekan Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekichan dan Sungai Besar sudah banyak perubahan. Ada juga yang menjual mentarang dan sup belut. Ingin nak mencuba dan menikmatinya, masa tak mengizinkan.
Beberapa gerai juga mengiklankan nasi ambang. Sebagai penggemar nasi ambang, singgahlah di Restoran Nasi Ambang Campur di Taman Nilam, Tanjung Karang. Sedap nasi ambangnya. Macam di Johor juga. Pandai orang Jawa Tanjung Karang buat nasi ambang. Tapi harganya masih agak mahal RM5.50 jika dibandingkan dengan di Muar, Johor satu set RM3.50 hingga RM4.00. Pekedai di Tanjung Karang perlu kaji balik harganya.

Sunday, January 30, 2011

Hujan di selatan semenanjung

Ketika catatan ini dibuat, hujan masih begitu lebat di selatan semenanjung Malaysia khususnya di Muar dan Segamat. Hujan ini turun sejak Jumaat lalu tetapi Sabtu dan Ahad (30 Januari 2011) begitu lebat siang malam. Apakah hujan kali ini merupakan rahmat, dugaan atau balasan kepada semua penduduk? Hanya Allah yang tahu.
Air di parit dan sungai sudah mula melimpah dan menggenangi kawasan rendah. Mohon pada Allah agar tidak ada bencana besar melanda penduduk.
Faktor cuaca sahaja tidak mencukupi untuk mentafsir hujan lebat. Bala dari Allah tidak mengira sesiapa dan tempatnya terhadap manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi ini. Manusia biasanya lalai mengerjakan suruhan-Nya. Lebih banyak melawan suruhan Allah. Cubalah periksa diri sendiri, pemimpin, separa ulama dan sebagainya. Lebih banyak berhibur daripada ingat Tuhan. Kebanyakan hiburan digiatkan. Bukan tak boleh berhibur, tapi adakah hiburan itu mengikut sunah nabi dan al-Quran?

Oleh itu patuhlah ajaran Allah dan berdoa agar Allah tidak murka. Jauhkan daripada segala bencana.

Monday, November 22, 2010

Semakin banyak warung Melayu

Jika kita berjalan di pekan kecil atau bandar kecil Malaysia terdapat banyak warung(bahasa Melayu Indonesia -warong). Jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pada amnya, keadaan warung itu terlalu simple , kurang ceria dan kurang memuaskan. Apakah makna atau erti semua ini? Apakah yang tersirat di sebalik kewujudan warung itu?
Kebanyakan pemilik/pengusahanya bumiputera khususnya orang Melayu. Benarkah mereka sudah ada kesedaran untuk berniaga? Terdapat warung yang wujudnya tak sampai setahun, kemudian sunyi sepi, dah tutup.
Sebelum membuka perniagaan warung makan, dahulunya mereka buat apa atau apa pekerjaannya?
Dalam beberapa temu bual dengan pengusahanya, mereka pernah menjadi askar, pemandu lori, kerja makan gaji seperti kerani dan sebagainya. Ada juga yang masih bekerja sebagai pembantu am pejabat, tukang kebun atau kakitangan awam peringkat bawahan. Bekerja untuk mencari pendapatan lebih memang bagus tetapi adakah alasan itu yang sebenar?
Keadaan ini sepatutnya diberi perhatian pihak yang berkenaan. Tempat berniaga yang sesuai, selesa dan wajar patut disediakan kepada mereka. Ada yang minat sungguh tetapi tidak mampu menyewa bangunan hingga lebih RM500 di kawasan taman perumahan. Sampai bilakah orang Melayu berniaga secara tak tersusun dan sepatutnya sudah upgrade berbanding tahun 1970an dulu? Jauh sekali jika mereka nak menyewa di KLCC atau menara 100 tingkat. Nak menyewa di bangunan/premis milik MARA belum tentu mampu.
Majlis agama Islam atau baitulmal yang mempunyai dana dari wang zakat wajar membantu dengan menyediakan tempat mereka berniaga. Kasihan mereka!

Thursday, September 30, 2010

Bertemu kawan lama

Pada Sabtu lepas (25 Sept 2010) tak disangka bertemu kawan lama sewaktu menghadiri sebuah majlis di Muar yang dihadiri TPM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin. Memang sudah terlalu lama tidak hadir apa-apa majlis besar terutama yang dihadiri pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan.
Terasa sebak yang ditahan-tahan apabila bertemu kawan itu. Kami masih mengenali walau sudah lebih 20 tahun tak bertemu.
Dia masih meneruskan kerjaya sebagai wartawan. Dulu dengan Utusan Malaysia/Melayu, tapi kini dengan Bernama. Suatu masa dulu kami sama-sama menjadi wartawan(pemberita). Saya mewakili Berita Harian secara sambilan. Hadir dalam kebanyakan majlis terutama politik.
Kami terpisah apabila saya mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke UPM, dan seterusnya ke UKM peringkat sarjana. Saya juga mengambil keputusan tidak mahu aktif dalam politik sehingga kini. Akan datang tak tahulah. Rasanya lebih baik teruskan perniagaan.
Pertemuan singkat itu menyingkap nostalgia lama. Sebak rasanya mengenangkan keadaan. Saya membuat rumusan ringkas - kerjaya guru, doktor dan wartawan lebih kurang sama nasibnya andainya kita berada dalam tahap tertentu. Wartawan menjadi alat pihak yang ingin melonjak naik, dan belum tentu pihak itu ingat kita apabila sudah berjaya. Wartawan akan dimarahi jika pihak tertentu kurang puas hati dan berasa seronok jika tulisannya menyenangkan orang tertentu.
Pertemuan yang singkat itu sekadar menyorot nostalgia lama tanpa apa-apa keputusan. Masa amat terbatas. Itulah takdir Allah dengan pertemuan tak dijangka... Hanya Allah yang tahu segalanya.

Tuesday, October 20, 2009

Haiwan peliharaan

Hubungan manusia dengan haiwan sukar nak dipisahkan. Haiwan diperlukan oleh manusia bukan sahaja sebagai sumber makanan, tetapi juga memberi hiburan dengan melihat telatahnya. Kita seronok melihat haiwan yang jinak seperti kucing dan arnab. Memelihara haiwan yang tidak berbahaya boleh dijadikan hobi untuk mengisi masa terutama kanak-kanak dan remaja. Utamakan haiwan yang boleh dimakan termasuk ikan.

Kewujudan haiwan menjadikan kita insaf betapa cantik dan hebatnya ciptaan
Allah. Haiwan memerlukan manusia, dan manusia juga perlukan haiwan dalam keadaan tertentu.

Thursday, October 8, 2009

Hari Raya

SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA PEMBACA YANG MEMBACA BLOG INI.

MOGA DIKUATKAN IMAN, MURAHKAN REZEKI DAN MENJADIKAN ISLAM PANDUAN HIDUP.

Wednesday, August 5, 2009

BULAN OGOS BULAN KEMERDEKAAN

Sama sedar atau tidak, kita sudah berada dalam bulan Ogos. Bulan ini mengingatkan kita tentang kemerdekaan negara yang disambut saban tahun. Hidup dalam negara yang makmur ini sangat bertuah jika kita bandingkan negara lain. Kemajuan begitu pesat negara ini khususnya aspek pembangunan sangat hebat.
Walau bagaimanapun kemudahan jalan raya yang semakin baik masih tidak seiring dengan jumlah kenderaan yang ada di jalan raya. Saiz jalan nampak tak banyak berubah. Ke mana-mana kita pergi, jalan raya semakin sesak. Sepatutnya kita sudah mempunyai jalan bertingkat-tingkat macam rumah pangsa di bandar utama selain Kuala Lumpur. Keadaan sesak menjadikan pengguna tak selesa. Tak tahulah apa akan jadi 10 tahun akan datang. Perkara ini perlu difikirkan dan diselesaikan.

Friday, July 17, 2009

Nikmat yang diberi.

Kadang kala agak sukar mencari waktu yang sesuai dan lapang untuk menulis dalam blog. Apabila ada sedikit waktu lapang, mood pula tak ada. Banyak idea nak ditulis tapi masa tak ada atau tak sempat. Segala-galanya Allah yang menentukan. Idea, masa dan mood dipinjamkan oleh Allah buat beberapa waktu. Amat berharga sekiranya kita dikurniakan nikmat tersebut dan kita dapat salurkan untuk tatapan ramai.
Persoalannya, manusia sering tak menghargai nikmat yang diberi. Dalam keadaan sihat kita sering lupa memanfaatkan kesihatan untuk kebaikan. Kita sering memburu sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Kadang kala dibuat kononnya untuk organisasi, jabatan atau institusi.
Biasanya manusia segera buat sesuatu untuk mengejar pangkat dan kedudukan. Tekanan kepada orang lain untuk melonjakkan pencapaian atas arahan pihak atasan menjadi keutamaan. Orang di bawah sering menghadapi masalah akibat hambatan tugas yang semakin bertambah yang berpunca dari tujuan kecil atau perkara mudah. Budaya kerja semakin tak sihat walaupun atas nama ISO 9001, KMK, dan sebagainya.
Manusia sering muhasabah apabila ditimpa sesuatu penyakit atau sesuatu masalah tak kira pangkat seseorang. Sepatutnya dalam usaha mencapai kejayaan, kita tak sepatutnya mengambil langkah menekan orang lain apatah lagi menyusahkan orang lain.

Sunday, June 21, 2009

Suasana panas

Dalam beberapa hari lalu, suhu politik Malaysia agak tinggi. Isu yang timbul memanaskan suhu sama ada oleh parti memerintah mahupun pembangkang. Keadaan panas itu ditambah dengan tahap suhu yang agak panas dan peralihan monsun barat daya kepada timur laut. Kadang kala panas dan hujan.

Sebagai rakyat biasa, kita berharap semua pihak terutama pemimpin dapat mengawal keadaan. Kita mahu suasana yang harmoni, urusan harian berjalan baik dan dapat beribadah dengan lebih baik.

Isu ekonomi, isu politik, kesihatan dan pendidikan mengambil tempat dan mencuri tumpuan umum dalam kalangan rakyat. Rasanya semua isu dan masalah akan segera selesai jika pihak yang melaksanakannya berasaskan kepentingan negara dan rakyat.

Walau bagaimanapun, dalam membincangkan pelbagai perkara yang serius, media tv khususnya mengalih pandangan dengan mengajak sebahagian rakyat pada hiburan semata-mata. Manusia memang perlu hiburan. Malangnya hiburan itu mengajak minda kepada unsur ke belakang seperti cerita seram, hantu dan sebagainya. Hiburan yang berasaskan budaya Barat mengambil ruang yang luas. Nampaknya kita semakin mendidik masyarakat jauh daripada nilai akhlak yang baik. Hal ini belum lagi melihat pada saluran atau media massa yang lain.

Persoalannya, apakah peranan kita?

Monday, May 4, 2009

Ke mana bantuan?

Apabila menyaksikan paparan oleh media massa tentang kesusahan orang ramai seperti kemiskinan, kesan sesuatu bencana dan sebagainya, kita tertanya-tanya adakah pihak yang berwajib dan berkenaan tahu sepenuhnya masalah itu? Sering kali didedahkan bantuan yang diterima tidak mencukupi. Penerima masih mengharapkan bantuan daripada pihak lain.
Bagi orang Islam, peruntukan daripada jabatan agama, wang zakat, dan berbagai-bagai sumber sepatutnya cukup untuk membantu golongan yang susah itu. Tidak dinafikan wang derma atau sumbangan orang ramai juga banyak dan boleh disalurkan. Selain itu, NGO juga banyak yang membantu kewangan dan sumber lain.
Badan korprat dan GLC (syarikat berkepentingan kerajaan) seperti TNB, Telekom pula mengaut keuntungan mencecah bilion ringgit. Syarikat ini mampu untuk membantu.
Persoalannya, wang bantuan ke mana, disalurkan untuk apa, dan sampaikah sasaran? Melihat pada aspek fizikal, jelas menunjukkan badan kebajikan, agensi kerajaan berbelanja agak mewah. Bangunan sering diubahsuai dengan bentuk baru, mewah, eksklusif walaupun keadaan yang lama masih baik. Lihat saja contoh bangunan TNB dan Telekom. Tak membazir? Renungkanlah.

Monday, March 23, 2009

Harga sebatang tiang dan gerai di lebuh raya

Sesekali kita nak bercakap-cakap tentang lebuh raya negara kita. Bayaran tol bukan sahaja mahal, harga sebatang tiang pun mahal. Akibat kemalangan di lebuh raya dan melanggar satu batang tiang papan tanda hentian sebelah Pedas-Linggi pada tahun lalu, PLUS menuntut bayaran RM8,600.00. Mahal atau tak? Tuntutan dibuat oleh sebuah syarikat lain yang dilantik pihak berkenaan. Persepsi awal harganya tak sampai RM500.
Walaupun boleh dibayar oleh syarikat insuran kereta saya, tetapi akhirnya saya kena bayar dengan melalui NCD yang balik kadar asal.
Selama ini saya hanya mendengar orang lain bercerita pengalaman sendiri. Sebatang pokok bunga berharga lebih RM1,000 jika kenderaan kita melanggarnya. Mungkin orang lain ada pengalaman yang boleh dikongsi bersama.
* * *

Berhati-hati membeli makanan di gerai, lebuh raya. Ramai tak sedar dan tak perasan gerai milik bukan Islam. Orang Islam membeli makanan kerana melihat pekerjanya pakai tudung. Setelah membeli makanan dan duduk barulah ternampak pemilik gerai adalah bukan Islam bila terpandang nama pemilik. Mungkinkah strategi yang dibenarkan PLUS meletakkan pekerja Islam bagi membolehkan orang Islam membelinya? Nama pemilik begitu kecil dan tulisannya pula hitam.Ramai tak sedar.
Sepatutnya PLUS mesti bezakan dengan jelas. Terserahlah kepada pembeli nak beli atau tidak. Jangan guna strategi yang mengelirukan. Kepada pengguna, berhati-hatilah... Siapakah yang menjamin makanan itu halal?

Saturday, March 21, 2009

Orang kita nak cari apa?

Perjalanan menggunakan lebuh raya pada masa ini tidak menjanjikan suatu perjalanan yang lancar, bergantung pada keadaan dan situasi. Saya sengaja memilih hari bekerja untuk ke utara(Perak)atas urusan keluarga.Menginap satu malam sahaja. Setiap kali berehat di hentian begitu ramai orang, nak letak kereta pun kadang kala ambil masa. Kelihatan ramai orang Melayu, hanya satu atau dua keluarga India dan Cina di celah-celah ratusan orang Melayu.
Orang Melayu nak cari apa agaknya? Mungkin cuti sekolah ambil peluang melancong atau jalan-jalan saja. Mungkin juga seperti saya ada urusan keluarga. Yang pasti, peluang memiliki kenderaan sendiri membolehkan orang bergerak dengan mudah. Ramai yang makan gaji ditambah musim cuti sekolah, mereka membawa anak melancong. Sudah tentu mereka ada wang untuk dibelanjakan.
Bimbang juga apabila difikirkan adakah mereka benar-benar perlu melancong atau jalan-jalan berbanding aktiviti lain. Masyarakat Cina lebih banyak berniaga. Sebab itu sukar mereka hendak berjalan-jalan meninggalkan perniagaan.
Kalau orang Melayu ramai berniaga dan tak melancong atau berjalan-jalan, siapa pula nak penuhkan lebuh raya? Siapa nak jadi pembeli? Adakah orang Melayu jadi pengguna dan pembeli sahaja? Fikirlah...

* * *

Singgah sekejap di Bandar Baru Bangi, masuk ke UKM(Universiti Kebangsaan Malaysia)untuk solat Jumaat. Rasanya sudah 10 tahun tak solat di masjid UKM khususnya sesudah tamat pengajian sarjana di situ. Tak seperti dulu. Silingnya sudah banyak yang berlubang. Keadaan masjid kurang ceria. Khatib yang membaca khutbah tak seperti dahulu. Temanya bagus tentang dakwah. Cuma pendekatan dan penyampaian kurang penghayatan. Tak berapa menusuk pada jiwa kita. Memang tak macam dulu.Adakah UKM sudah ketandusan khatib? Itu sahajakah stok yang ada, yang lain tak lulus tapisan? Kupasan khutbah perlulah menarik jemaah. Suara dan nada khatib juga penting. Pada jemaah kini mungkin sesuai, atau saya yang sudah ketinggalan trend cara berkhutbah di masjid UKM?

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...