Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Wednesday, August 1, 2012

Bersetuju dan tidak bersetuju

Dalam menjalani urusan harian dalam kehidupan, kita kadang kala bersetuju dengan pandangan orang lain dan kadang kala tidak setuju. Suasana persekitaran dan faktor lain menyebabkan kita setuju dengan keputusan yang dibuat hasil tolak ansur dan pertimbangan tertentu. Ada baiknya kita akur dan bersetuju bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan walaupun pandangan kita tidak dilarang oleh Islam.
Kita terpaksa bersetuju atas pandangan tidak setuju oleh orang lain. Orang lain tidak setuju dengan pandangan kita. Kenapa harus setuju untuk tidak bersetuju terhadap orang lain? Tidak mengapa buat sementara waktu kerana pihak yang tidak setuju perlu masa dan perlu diberi pemahaman yang jelas, bernas dan menyeluruh. Yang lebih penting Allah belum menjadikan mereka bersetuju dengan pandangan kita. Kita kena berusaha secara terus-terusan supaya mereka faham dan mendapat petunjuk daripada-Nya.
Tetapi ada masanya kita terpaksa tidak bersetuju untuk bersetuju atas sesuatu perkara. Hal ini banyak berlaku dalam persekitaran masyarakat kita. Program hiburan di media massa khasnya tv, masalah sosial dan sebagainya kita tidak bersetuju. Kita digambarkan bersetuju dengan suasana yang berlaku. Hal ini timbul kerana kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya. Kita bukan penguatkuasa dan bukan pembuat keputusan atas sesuatu dasar. Keupayaan kita ialah berdoa kepada Allah supaya Allah membukakan pintu hati mereka yang berkuasa menghentikan kerja mungkar atau tidak baik.
Apakah peluang kita untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan? Yang paling utama ialah anda diberi peluang menggunakan hak anda apabila tiba pilihan raya. Pilihlah pemimpin yang boleh menggunakan kuasa ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Friday, February 10, 2012

Guru dan doktor di Malaysia

Kalau diperhatikan ada dua kerjaya penting di Malaysia pada masa ini yang perlu diberi perhatian. Kerjaya lain bukan tidak penting. Mungkin orang lain akan meletakkan kerjaya lain lagi penting. Terpulanglah pada pertimbangan masing-masing. Saya lebih menekankan guru dan doktor yang bekerja di sektor awam.
Saya difahamkan masalah yang berlegar pada kerjaya tersebut perlu diberi perhatian kerajaan dengan segera. Antara kakitangan awam yang ada, guru merupakan yang paling ramai iaitu lebih 400 ribu orang. Kebajikan guru sebagai manusia biasa wajar dibantu dan diselesaikan. Wujudnya bandar baru, kawasan industri dan pembangunan kawasan menyebabkan banyak sekolah baru muncul. Timbul masalah penempatan guru. Suami dan isteri tidak dapat tinggal bersama. Emosi mereka sudah tentu terganggu. Sebagai manusia biasa, keutamaan hidup berkeluarga perlu diutamakan. Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran patut mengutamakan pertukaran guru yang sudah berkahwin.
Saya juga difahamkan doktor di hospital bertugas begitu lama. Katanya lebih 8 jam. Kadangkala lebih 24 jam. Saya jadi tak faham bagaimana nak suruh pesakit hidup sejahtera jika doktor pun kurang sejahtera. Adakah kualiti hidup meningkat?

Sunday, October 23, 2011

Merintis dan mencari titik perpaduan

Bukan mudah hendak merintis dan mencari titik perpaduan. Dalam sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, usaha mencari titik perpaduan bukanlah mudah. Perpaduan sesama kaum pun banyak masalahnya, apatah lagi antara kaum.
Usaha untuk merintis perpaduan sentiasa dicari dan digunakan. Melalui sukan, gotong-royong, kebudayaan termasuk seni, bahasa, aktiviti nasionalisme dan sebagainya sering digunakan untuk dijadikan alat perpaduan. Sudah banyak yang dibelanjakan dan dilakukan. Apakah hasrat itu sudah tercapai?
Kita jarang berbincang soal agama digunakan untuk mencapai perpaduan dalam sebuah negara. Islam dilihat mampu membawa perpaduan bukan saja dalam kalangan umat Islam, malah sebuah negara yang majmuk. Model yang tunjukkan oleh nabi Muhammad di Madinah sewajarnya dijadikan ikutan. Nabi tidak menidakkan hak penganut agama lain. Konsep dan amalan yang dilakukan oleh nabi itu dapat diterima oleh seluruh rakyat.
Kita tak perlu membuat teori baru. Sebagai umat Islam khasnya, ikrar untuk mengikuti amalan nabi dalam mengurus negara wajar dibuktikan.
Perpaduan yang ditunjukkan oleh nabi dapat membawa kesejahteraan dan kemakmuran sejagat. Kita tak perlu ragu-ragu.

Sunday, August 7, 2011

Masalah penguasaan Bahasa Inggeris

Masalah penguasaan Bahasa Inggeris(BI) masih menghantui pemimpin, guru, dan mereka yang cenderung pada BI. Perbincangannya seperti tidak ada kesudahan. Kita banyak membuang masa dalam hal ini. Masalah ini sentiasa kelihatan 'hidup' kerana wujud kumpulan atau pertubuhan yang mahu menonjolkan b.Inggeris lebih penting daripada Bahasa Melayu(BM). Mereka juga berusaha untuk menyedarkan masyarakat agar faham yang b.I akan membawa kemajuan kepada negara. Tanpa b.I negara ini tidak akan maju. Kehebatan b.I mesti ditonjolkan bagi mengatasi pejuang bM yang juga mahu BM terus kukuh di negara ini.
Satu hakikat yang payah diakui oleh pemimpin ialah kelemahan pelajar dalam b.I akibat persekitaran mereka itu sendiri. Mereka masih menyalahkan sistem pendidikan seperti maslah pengajaran, guru dan sekolah. Dasar bahasa itu dalam pengajaran, pembelajaran, kemudahan yang disediakan, kualiti tenaga pengajar, kaedah penilaian sebenarnya sudah sangat tinggi di Malaysia. Kalau tak percaya, tinjaulah di sekolah mahupun di universiti. Jika ada masalah, hanya perkara sampingan yang mudah diatasi, bukan dasar atau asas.
Persekitaran murid kita di Malaysia tidak mendorong atau memaksa mereka menggunakan BI. Masyarakat menggunakan bM dan bahasa ibunda masing-masing. Setelah bekerja pun mereka tidak perlu guna bI sepenuhnya. Di pasar, kedai, majlis dalam masyarakat, perjumpaan tidak memerlukan dan memaksa bahasa Inggeris. Contoh, kegiatan di kampung tak mungkin guna B.I atau membeli belah di pasar malam.
Dari segi faktor pekerjaan, tanpa menguasai bI dengan baik mereka masih mampu bekerja dengan baik. Tanpa bI mereka masih boleh dapat kerja, ada pendapatan malah ada bekas murid yang bergaji besar mengatasi mereka yang fasih bI. Sama juga dengan bM, mereka yang mahir bM masih mampu memperoleh pendapat yang lumayan.
Tahap penguasaan bI di negara tak perlu dirisaukan, biar proses itu berjalan macam biasa. Tak perlu panik. Tak perlu susah hati. Faktor persekitaran lebih kuat berbanding faktor di institusi pendidikan.
Selagi orang kita berfikir nak jadikan murid kita menguasai bahasa Inggeris macam orang Inggeris, kita akan terus pening kepala tak berkesudahan. Saya pun hairan pemikiran orang macam itu.
Saya bukan hebat sangat bI. Tetapi tak ada masalah bercakap dengan orang Britain. Mereka faham percakapan saya dan saya faham percakapan mereka. Cuma di Paris ada masalah, mereka tak suka bercakap Inggeris, saya pula tak tahu bahasa Peranchis. Pada hal mereka tahu bI. Tak apa itu sikap mereka. Kita datang ke Paris kena tahu bahasa mereka. Peranchis tetap maju, ramai pelancong luar. Keadaan sama di Beijing malah di Thailand. Kakitangan hotel tak mesti tahu bI dengan baik. Tapi awas, peniaga jalanan di menara Eifel, Paris tahu sikit-sikit bahasa Melayu. Begitu juga peniaga bazar di Beijing, mereka tahu bM. Begitu juga di Mekah dan Madinah.
Bagi mereka yang mahu anak menguasai bI macam orang UK, lebih baik tinggal beberapa lama di London. Kalau nak menguasai bI sama hebat dengan orang UK tapi duduk Malaysia baik lupakan saja hasrat anda.
Pergilah melancong , kita akan temui pengalaman berbahasa. Saya percaya anda akan semakin kuat sayang bahasa Melayu.

Tuesday, July 19, 2011

Lawatan ke negara Barat











Apakah yang mendorong saya melawat beberapa negara Barat khasnya negara Eropah? Negara yang menjadi pilihan tentulah United Kingdom(UK) atau dikenali Britain, Ireland, Peranchis(France) dan Ireland utara.
Britain mempunyai tanah jajahan yang luas suatu masa dulu di seluruh dunia termasuk Malaysia. Begitu juga dengan Perancis yang pernah menjajah Indochina dan negara lain kecuali Thailand yang berjiran dengan Malaysia. Ireland juga pernah dijajahnya. Rasa ingin tahu sangat kuat sebab-sebab sebuah negara yang dapat jajah negara lain. Tak puas rasanya hanya mendengar cerita orang dan membaca buku sejarah.
Setelah melawat UK, sedikit sebanyak dapat mengetahui orang British dan Perancis mampu menjajah negara lain. Bangsa yang kurang mementingkan hiburan, lebih banyak berfikir dan membaca bahan media kaya dengan pengetahuan. Di dalam bas, keretapi, kapal terbang mereka tak buang masa, banyak membaca. Kurang berbual kosong. Mereka suka berfikir dan mengkaji sesuatu. Begitu juga di Ireland. Air paip percuma. Susu segar ada subsidi. Puaslah minum susu.
Negara mereka juga bersih pada umumnya. Payah nak nampak sampah bertaburan, kecuali beberapa tempat di Paris, banyak juga contengan di tempat awam. Mungkin perbuatan orang asing di situ. Saya tak pasti. Pengangkutan awamnya cekap.
Tak nampak remaja merempit waktu malam atau hari minggu. Tapi tak tahulah kalau saya yang tak nampak.
Makanan di sana masih murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Makan tengah hari 4 orang di London hanya 14 pound. Kalau di Malaysia RM25. (Nota: jangan convert mata wang). Pemimpin dari Malaysia tak tahu hal ini sebab mereka tidak melancong atau melawat sebagai orang biasa macam saya. Mereka tak nampak kehidupan rakyat biasa di sana.
Bagi rakyat Malaysia, berkunjung ke Barat untuk mengetahui pelbagai perkara dengan mendalam dan ambil iktibar mana yang baik untuk ditiru di negara sendiri.
Bagi orang Islam, kita ke tanah suci mengerjakan haji dan umrah sebagai satu ibadah. Melawat negara lain juga perlu untuk mencari ilmu dan idea.
Kunjungan ke China khasnya Beijing juga membawa banyak faedah. China juga kaya dengan sejarah peradabannya. Kejayaan penduduknya perlu ditiru terutama umat Islam. Kita perlu memperluas minda dan perkongsian idea.
Selamat melancong...

Wednesday, February 23, 2011

Sebagai rakyat biasa...

Saman ekor:
Apakan daya, mau tak mau terpaksa bayar saman ekor kerana memandu melebihi 110km (catatan: 121km sejam) di lebuhraya. Kalau tidak nanti, kata pihak berkuasa tak boleh baharui road tax. Maklumlah kereta sendiri, bila-bila masa silap sikit kena saman, tak ada pengiring seperti VIP lain.

Harga barang:
Harga barang begitu tinggi. Minyak petrol, bawang, ikan, sayur dan lain-lain. Kalau tak beli tak dapat makan pula. Mau tak mau kena beli. Pendapatan tak banyak berubah. Kena jimat cermat. Dah habis idea nak berjimat, disuruh jimat juga...


Belanja anak sekolah:
Memang mahal. Tak usah cakap mahal.Terpaksa beli atas kehendak pihak berkenaan. Macam mana agaknya orang bergaji bawah RM500 nak belanja ?

Makanan harian:
Makan lempeng dengan sambal, sayur pegaga, nasi dengan ikan masin dan kadang kala makan daging kambing jika ada kenduri di kampung(makan free).

Sebagai rakyat biasa, hanya dapat tengok saja. Yang mampu hanya berdoa kepada Allah agar diberi rezeki.

Sunday, January 23, 2011

Guru dan doktor

Guru dan doktor merupakan profesion yang perlu dilihat secara mendalam di Malaysia pada masa ini. Jumlah sekolah yang banyak dan murid bertambah kadang kala tidak selari dengan jumlah guru di kebanyakan sekolah. Bebanan tugas guru semakin bertambah, tak pernah berkurangan. Tugas untuk akademik dan kokurikulum semakin banyak dan semua perubahan atas nama penambahbaikan. Tetapi perubahan itu bukan bertambah baik. Yang bertambah beban tugasnya. Elaun masih sama dengan kakitangan kerajaan yang lain.
Dalam konteks lain, anak-anak guru semakin tidak mendapat tempat untuk belajar di sekolah berasrama penuh terutama jika suami isteri berjawatan guru.

Bagi doktor pula, tekanan tugas datangnya daripada bilangan pesakit yang bertambah sedangkan bilangan doktor tidak banyak pertambahan. Kadangkala seorang doktor terpaksa bertugas lebih 12 jam sehari. Masa mereka bersama keluarga amat terbatas. Keselesaan tempat bertugas juga menjadi persoalan. Kebajikan doktor perlu dijaga kerana mereka juga adalah manusia biasa.
Kita yakin jika kebajikan doktor dijaga dengan baik, maka lebih ramai doktor akan kekal bertugas di hospital kerajaan. Soal gaji, elaun, peluang naik pangkat, peluang melanjutkan pelajaran, lebih banyak cuti rehat perlu diberi kepada doktor. Doktor juga manusia biasa. Bezanya mereka mempunyai ilmu perubatan yang lebih tinggi daripada orang lain.

Mereka yang bertanggung jawab sepatutnya mengambil tindakan untuk kebajikan guru dan doktor demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Saturday, November 27, 2010

Lelaki urus rumah tangga

Ketika hadir dalam satu majlis pagi tadi, saya sempat berbual panjang dengan seorang lelaki yang juga ayah kepada dua orang anak. Satu perkara yang agak menarik ialah dia tidak bekerja tapi berperanan mengurus rumah tangga jadi mr.mama. Saya berkata "Dalam seribu mungkin seorang lelaki macam awak". Isterinya bekerja di kilang mungkin ada pangkat tertentu dan mampu tanggung keluarga. Rutin hariannya, setelah hantar anak ke sekolah dan isteri bekerja, dia pergi joging dulu. Balik uruskan rumah. Petang ambil anak dan isteri balik kerja.

Memang susah nak cari orang macam dia pada zaman siber ini. Susah nak cari orang perempuan yang boleh tengok suami duduk rumah saja, apatah lagi tak bekerja. Berleterlah sepanjang hari kalau macam itu. Kebanyakan suami lebih suka sibuk di luar rumah daripada cuci baju, memasak di dapur, hantar dan ambil anak sekolah dan kemas rumah. Belanja ke pasar/pasar raya dan macam-macam lagi.

Yang penting katanya, isterinya bersetuju. Rumah, anak dan isteri terurus. Kedua-dua anaknya berjaya dalam UPSR, dapat 5A. Yang sulung dah tingkatan 2. Dia menjaga kebajikan anak dan urusan sekolah termasuk tuisyen.

Anda bagaimana?Sanggup ambil alih tugas isteri? Cuma yang pasti tak boleh ialah lahirkan anak ke dunia.

Friday, October 22, 2010

Pentingnya bonus

Saya lihat kakitangan awam Malaysia sangat mengharapkan bonus. Penjawat awam yang berpangkat tinggi mungkin tak mengharapkan bonus, elaun keraian dan khidmat awam sahaja sudah lebih daripada cukup. Yang berpangkat sederhana ke bawah terlalu mengharapkan bonus. Kenapa mengharap sangat?
Seorang rakan yang mempunyai lima orang anak bersekolah kena keluar duit lebih RM1000. Seorang anak yang bersekolah tadika saja memerlukan hampir Rm300. Bayangkan belanja untuk anak sekolah rendah dan menengah.
Dalam cuti sekolah yang bakal tiba, ibu bapa sudah merancang untuk bawa anak berjalan-jalan di dalam negeri, sekurang-kurangnya ke Kuala Lumpur. Tak kurang juga balik kampung untuk ziarah datuk/nenek. Juga menghadiri majlis perkahwinan sanak saudara tak kira di kampung dan bandar. Sudah menjadi amalan rakyat negara ini cuti sekolah yang agak singkat digunakan untuk mengadakan bermacam-macam majlis kenduri, hari keluarga dan sebagainya. Semua ini memerlukan wang untuk dibelanjakan. Sekadar beberapa contoh saja...
Bonus akan menggerakkan ekonomi negara kerana rakyat akan berbelanja. Para peniaga runcit, peniaga makanan, plaza tol, bengkel kenderaan, stesen minyak, pusat beli-belah semua dapat faedah. Rakyat yang bukan kakitangan kerajaan juga secara tak langsung akan dapat manfaat. Jika kakitangan kurang berbelanja, kesannya dapat dirasai rakyat negara ini. Mereka yang berpendapatan tinggi kurang berbelanja di dalam negara. Golongan sederhana dan ke bawah banyak membeli-belah di dalam negara.

Monday, November 9, 2009

Hujung tahun 2009

Kita kini berada dalam bulan November. Penghujung tahun macam-macam peristiwa akan berlaku. Selain banjir, tanah runtuh, musim tengkujuh, kita juga berhadapan gelora dalam masyarakat termasuk perkembangan politik dalam negara dan luar negara.

Apa saja yang berlaku biasanya disebabkan sikap manusia yang tak serik melakukan tindakan yang menjurus wujud masalah. Sebagai contoh masalah pencemaran yang sering dibangkitkan. Sikap tamak manusia yang mengejar keuntungan telah membelakangkan kesejahteraan orang lain. Projek perumahan yang dibina macam cendawan tidak mengambil kira kawasan penampan air, kawasan hijau dan lebih banyak membuang bukit atau tanah tinggi. Masalah ini berterusan hingga kini.

Apabila berlaku masalah seperti banjir dan tanah runtuh, biasanya yang salah orang ramai bukan pihak yang meluluskan projek tersebut. Kita mudah lupa keadaan banjir pada masa lalu seperti tahun 2006. Tak belajar apa-apa daripada peristiwa lalu.

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...