Monday, August 12, 2013

Kesesakan ke simpang tol Pagoh



Jika anda pernah melalui jalan dari pekan Pagoh ke Muar, anda mungkin pernah mengalami keadaan sesak dan traffic jam terutama pada musim perayaan atau cuti umum. Foto di atas diambil pada Hari Raya ketiga tahun 2013 lalu. Saya difahamkan pada raya kedua lebih teruk lagi kerana sering diadakana majlis sambutan Hari Raya di Pekembar Pagoh. Kenderaan bergerak perlahan sejauh 2 hingga 3 kilometer hingga simpang nak masuk tol Pagoh. Kira-kira 100 meter sebelum tol Pagoh ialah simpang ke Panchor. Agak sukar kenderaan dari Panchor nak masuk jalan utama Pagoh-Muar. Saya mengambil masa lebih setengah jam untuk melepasi kawasan itu sahaja. Itu pun ada kawalan polis trafik.

Masalah ini berulang pada setiap tahun dan cuti umum. Jika hub pendidikan Pagoh siap kelak, saya percaya kesesakan itu akan berganda teruk. Apakah langkah mengatasi yang dibuat oleh pihak berkenaan? Adakah penduduk Pagoh berdiam diri menyaksikan kesesakan yang teruk walaupun mereka turut mengalaminya?

Wednesday, July 31, 2013

Oleh kerana atau oleh sebab

Dalam bahasa Melayu, penggunaan rangkai kata oleh kerana tidak tepat. Penggunaan yang betul ialah oleh sebab. Kata sendi oleh tidak boleh diikuti kata hubung kerana.

Kata sendi oleh hanya boleh diikuti dengan kata sebab. Kata sebab merupakan kata nama yang mewakili sesuatu perkara, situasi, konsep dan sebagainya.



Contoh yang betul:


Remaja perlu menghormati orang yang lebih tua, manakala orang tua pula wajarlah menyayangi remaja. Oleh sebab itu, remaja hendaklah diasuh sejak peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati orang tua.



Contoh yang salah:


Remaja perlu menghormati orang yang lebih tua, manakala orang tua pula wajarlah menyayangi remaja. Oleh kerana itu, remaja hendaklah diasuh sejak peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat menghormati orang tua.

Sunday, July 28, 2013

Terowong di bawah lebuh raya PLUS

Sebuah terowong di bawah lebuh raya PLUS di Kampung Sari Baru, Pagoh, Muar sudah lama wujud sejak adanya lebuh raya PLUS. Terowong itu panjangnya lebih kurang 50 meter menjadi laluan utama keluar masuk penduduk ke jalan utama Muar-Pagoh. Dari jalan utama kita akan lalu terowong dan kampung pertama yang ditemui ialah Kampung Sari Baru, diikuti Kampung Seri Makmur, Panjang Sari, Seri Meranti, Yukam atau Pangkalan Bukit dan Lubuk Bakul.
Pada masa ini penduduk semakin bertambah dari sehari ke sehari dan bilangan kenderaan semakin meningkat. Pada masa dulu penduduk rata-rata menaiki basikal dan sedikit motorsikal serta kereta.

Perkara yang terus menghairankan kita ialah saiz terowong masih tetap sama. Untuk makluman, terowong itu tidak boleh dilalui dua kereta sekali gus. Maksudnya, jika ada dua buah kereta, sebuah perlu tunggu untuk memberi laluan kereta lain, mana yang terdahulu. Lori yang jenis 6 tan memang tak boleh lalui terpaksa melalui estet Pangkalan Bukit.
Terowong ini mengundang bahaya bagi setiap orang yang lalu sangat berisiko tinggi. Sepatutnya penduduk meminta pihak kerajaan dan PLUS membina laluan atas (fly over) lebuh raya yang lebih selamat untuk kepentingan ramai.

Sikap penduduk yang bersabar lebih 20 tahun tanpa menggesa pihak yang bertanggung jawab mungkin menjadi faktor terowong itu tidak berubah hingga sekarang. Dahulu terowong itu berkongsi laluan kabel elektrik dan air. Adakah hal yang sama masih begitu? Saya tak pasti.

Penduduk di Kampung Sari Baru dan kampung berdekatan perlukan laluan yang selesa dan selamat. Alangkah beruntungnya penduduk Kuala Besut menerima limpahan projek lebih RM500 juta dalam sekelip mata yang dijanjikan oleh BN baru-baru ini kesan PRK 24 Julai 2013 berbanding dengan masalah penduduk di dalam kawasan Pagoh itu.

Sejak ibu meninggal dunia, dan bapa berpindah ke tempat lain, saya agak jarang pulang ke kampung asal kecuali Hari Raya atau menemui saudara mara yang masih mengenali saya. Sempena Hari Raya tahun ini 2013 saya teringatkan kampung asal. Rumah keluarga yang asal pun dah tak ada. Rakan sebaya pun semakin berkurangan kerana dimamah usia dan ramai yang sudah menghadap Allah.

Saturday, July 6, 2013

Perpaduan Melayu Islam mesti berteraskan Islam

Rampasan kuasa oleh pihak tentera Mesir daripada Presiden Morsi sangat mendukacitakan. Hal ini disebabkan presiden itu dipilih secara sah melalui proses demokrasi iaitu pilihan majoriti rakyat Mesir.

Dari segi pandangan umum, kejayaan dan penubuhan sebuah kerajaan rupanya perlu bergantung pada perpaduan orang Islam itu sendiri. Perpaduan orang Islam mesti dikukuhkan terlebih dahulu dan diikuti sokongan bukan Islam bagi menstabilkan sesebuah kerajaan.

Di dalam sesebuah negara yang majoriti penduduknya orang Islam, orang Islam sendiri tak mahu mengambil ajaran Islam sepenuhnya dalam urusan pentadbiran. Mereka menggunakan pendekatan cara Barat walaupun tak selari dengan Islam. Hanya urusan nikah kahwin ikut Islam. Solat, puasa, fardu haji, zakat,mandi wajib mahu ikut Islam. Tetapi apabila menyentuh hukum hudud tak mahu ikut Islam. Malah hukum yang ada di dalam al-Quran tidak dijelaskan kepada masyarakat dengan meluas. Kesannya, pengetahuan dan pemahaman orang Islam tentang hukum ini amat cetek. Apatah lagi orang bukan Islam...

Saya pernah berbual dan bertukar pendapat dengan rakan bukan Islam yang faham. Mereka menyokong pelaksanaan hukum hudud kerana ada kebaikan. Menurutnya, undang-undang dari Tuhan tentulah lebih baik dari undang-undang yang manusia buat.

Persoalannya, bagaimanakah nak mencapai perpaduan orang Islam? Perpaduan orang Islam boleh dicapai hanya dengan melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini. Selagi ada orang Islam termasuk pemerintah tak mahu mengambil semua dan melaksanakan perintah Allah, sukar nak lihat umat Islam bersatu padu. Oleh itu pilihlah cara hidup Islam sebagaimana nabi s.a.w lakukan.

Dalam konteks Melayu Islam di Malaysia, perpaduan boleh dicapai jika orang Melayu menggunakan landasan agama Islam. Landasan dan cara hidup lain tidak boleh menjamin keutuhan perpaduan. Ajaran Islam tidak boleh diambil sebahagian saja, manakala sebahagian yang lain tidak dipedulikan. Sebagai contoh hukum hudud, orang Melayu Islam masih takut membincangkannya apatah lagi melaksanakan. Tahnian kepada orang Islam di Aceh yang sudah melaksanakannya.

Orang Melayu Islam haruslah menjadi contoh kepada orang Islam lain - Cina Islam, India Islam termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak. Contoh yang perlu ditunjukkan ialah dalam mengamalkan ajaran Islam bukan saja dalam solat, puasa, nikah kahwin, menunaikan fardu haji, bermasyarakat. Bukan itu saja, Melayu Islam mesti berjaya dalam perniagaan, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Wednesday, June 19, 2013

Muar perlu ada airport

Sebuah airport( lapangan terbang) perlu diwujudkan di Muar. Lokasi yang sesuai ialah kawasan yang dekat dengan Kem Polis Bakri. Pembangunan Muar yang terletak di utara Johor sangat pesat dan penduduk juga bertambah dengan cepat.
Difahamkan airport yang digunakan oleh pihak Kem Polis di Bakri dimiliki oleh Jabatan Penerbangan Awam. Airport ini boleh diperbesar untuk kegunaan PDRM dan pesawat komersial. Pihak Airasia, Firefly atau Malindo boleh menjalankan perkhidmatan untuk domestik dan antarabangsa.
Mungkin ada yang menganggap cadangan ini tak logik kerana airport Senai dan Batu Berendam Melaka sudah ada. Namun saya berpendapat sudah sampai masanya Muar ada airport yang akan memberi kemudahan kepada penduduk termasuk Batu Pahat, Kluang dan Segamat. Untuk keselesaan rakyat, satu jalan baru perlu dibina dari Batu 11 Jalan Muar - Pagoh dekat estet Kim Kee terus ke airport itu yang berdekatan dengan Kem PDRM Bakri. Laluan ini mendekatkan jarak airport dengan lebuh raya PLUS melalui tol Pagoh. laluan ini tak perlu mengganggu trafik pekan Bukit Pasir mahupun bandar Muar.
Projek Hub Pendidikan di Pagoh apabila siap kelak sudah tentu memerlukan kemudahan pengangkutan udara yang berdekatan. Selain itu, bandar Muar sebagai Bandar Diraja memerlukan prasarana yang lebih banyak di samping merancakkan pembangunan ekonomi penduduk.

Thursday, June 6, 2013

Masalah dan bahaya jalan raya di Malaysia

Antara masalah dan bahaya jalan raya di Malaysia ialah paku atau skru bertabur di atas jalan raya.
Pihak berkuasa terutama polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) hendaklah bertindak terhadap orang tertentu yang menaburkan paku atau skru di jalan raya. Tayar yang bocor akibat tercucuk paku atau skru amat membahayakan pengguna jalan raya. Perbuatan menaburkan benda itu merupakan satu jenayah.
Ramai pengguna menghadapi masalah ini. Mungkin mereka melakukan jenayah ini ingin mencari keuntungan dengan cara yang mudah. Apabila tayar bocor dalam perjalanan, pengguna akan menghubungi bengkel kenderaan dan khidmat lori penunda diperlukan. Pengguna terpaksa menanggung kos yang dikenakan dan membahayakan kenderaan lain.
Pihak polis dan JPJ hendaklah mencari jalan mengesan pihak yang sengaja menabur paku atau skru itu. Orang ramai mahu agensi kerajaan bertindak kerana pengguna membayar insuran dan cukai jalan setiap tahun. Mereka wajar dilindungi ketika berada di jalan raya.

Saturday, June 1, 2013

Kempen boikot beli barangan dan tawaran Pakatan Rakyat

Sejak negara ini merdeka sudah 56 tahun, belum pernah kita lihat kempen boikot sesuatu produk benar-benar berkesan dan tidak menampakkan kejayaan. Apakah sebabnya tidak berkesan?
Terbaru ialah kempen boikot produk barangan orang Cina selepas PRU13 (Pilihan raya ke-13). Orang Cina sudah menguasai perniagaan barangan dan perkhidmatan di negara ini. Orang politik pun bergantung harap kepada orang Cina untuk bekalan barang. Banyak projek yang dibuat oleh BN(Barisan Nasional) kadang kala dilakukan oleh peniaga Cina dari segi bekalan barang, sumber bekalan dan sebagainya. Kadang kala projek itu mungkin 'dialibabakan'.
Kempen boikot sesuatu perniagaan yang diusahakan oleh rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan kaum lain tidak sesuai. Semua kaum di Malaysia saling memerlukan.
Perkara yang paling mustahak ialah kaji keperluan setiap kaum. Kurangnya sokongan orang Cina kepada BN bukan kerana nama parti. Orang Melayu khasnya di kawasan bandar dan pinggir bandar semakin kurang menyokong BN. Mereka lebih tertarik tawaran yang diberi oleh Pakatan Rakyat(PR).
Rakyat mahu rasuah dihapuskan, tol percuma, PTPTN percuma, harga minyak lebih rendah, harga kereta lebih rendah, harga air lebih rendah, Astro lebih murah, pendidikan percuma, bantuan kepada semua jenis sekolah dan AES dihapuskan.
Jika BN boleh menawarkan sama dengan PR itu, saya percaya sokongan kepada BN akan bertambah. Tetapi sesuatu yang sukar ditiru oleh BN ialah kehidupan pemimpin PR lebih sederhana. Lihat kediaman pemimpin PAS seperti Menteri Besar Kelantan. Sanggupkah pemimpin BN hidup sederhana macam pemimpin PR?

Peribahasa yang dipertikaikan

Saya ditanya tentang peribahasa Melayu yang dipertikaikan sebagaimana yang berikut: 1. Harapkan pagar, pagar makan padi 2. Melepaskan batu...